Tag: Air ketum

  • Empat lelaki ditahan miliki 1,000 pil Yaba, air ketum

    Empat lelaki ditahan miliki 1,000 pil Yaba, air ketum

    POLIS menahan empat lelaki tempatan berumur antara 25 hingga 32 tahun dan merampas 1,000 biji pil Yaba berserta air ketum di sebuah tempat memproses ayam dekat Felda Chiku 1, Gua Musang, Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata dalam serbuan pada kira-kira pukul 10.30 malam itu, polis turut menemukan 1,000 biji pil Yaba anggaran berat 100 gram dan lapan bungkus plastik dan sebotol plastik berisi air ketum dengan berat keseluruhan 2.7 liter.

    “Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM11,100 manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Choon berkata kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu direman tujuh hari bermula 12 Julai lepas.

    Sik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

  • Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM700

    Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM700

    SEORANG anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan menerima rasuah RM700 bagi membebaskan seorang lerlaki yang didapati memiliki air ketum, hujung tahun lepas. 

    Pengakuan Mohamed Syaffiq Mohamed Sidek, 32, yang berkhidmat di Bahagian Tugas Bit dan Patrol (Rondaan) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain. 

    Dia didakwa menerima suapan itu antara jam 1 tengah hari dan 2 petang, 25 Dis lepas di tempat kerjanya daripada seorang lelaki yang dikatakan sebagai dorongan melepaskan rakannya yang ditahan kerana disyaki memiliki air ketum. 

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

    Mohamad Syaffiq, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jaminan RM10,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM3,000 kerana mempunyai tempoh masa singkat untuk mengumpulkan wang selepas dimaklumkan SPRM untuk hadir ke mahkamah pada minggu lepas.  

    “Isteri saya yang bekerja sebagai jururawat akan menjadi penjamin. Saya mempunyai dua anak berusia tujuh dan tiga tahun selain menjaga ibu serta ayah. Saya mungkin digantung kerja selepas ini dan sukar untuk mencari pekerjaan baharu disebabkan COVID-19,” katanya. 

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin.-BERNAMA 

  • Dua lelaki ditahan proses, jual air ketum

    Dua lelaki ditahan proses, jual air ketum

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki ditahan kerana memiliki daun ketum selepas polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Sepakat 1, Taman Sepakat, Kulai semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya melakukan serbuan pada jam 4 petang dan menahan kedua-dua lelaki tempatan itu yang berusia 32 dan 46 tahun.

    “Pihak polis menemukan 47 bungkusan plastik hitam dan biru yang mengandungi daun-daun disyaki ketum dianggar seberat 490.4 kilogram.

    “Selain itu kita juga merampas dua buah tong ais setiap satunya 30 botol berisi cecair warna hijau disyaki air ketum dengan anggaran berat isi padu kasar 90 liter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pihaknya turut merampas peralatan dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek didapati memproses air ketum untuk pasaran Kulai dan Johor Bahru.

    Hasil ujian air kecing terhadap kedua-dua suspek katanya, didapati negatif.

    Katanya, lelaki berusia 46 tahun pernah ditangkap atas kesalahan yang sama pada Jun lalu dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    “Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.