Tag: air

  • Kalau BN perintah Kelantan pun, masalah air tak selesai

    Kalau BN perintah Kelantan pun, masalah air tak selesai

    MASALAH air dijangka masih berlaku di Kelantan walaupun Barisan Nasional (BN) diberi peluang memerintah kembali negeri itu.

    Kemungkinan itu dibayangkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam wawancara bersama Malaysiakini yang disiarkan hari ini.

    Menurut beliau, jika ada pihak yang mahu menyalahkan kerajaan negeri Kelantan dan mahu agar parti pemerintah ditukar, mereka perlu berfikir dengan wajar.

    Andainya PAS digantikan dengan BN Kelantan, katanya, orang ramai perlu menyedari bahawa masalah air juga berlaku di negeri ditadbir parti terbabit.

    “Nak bagi kepada PH (perintah) pun sama. Selangor tu negeri PH. Maka nak tukar kerajaan ini tak boleh selesai masalah (air),” katanya.

    Mohd Amar menambah, masalah bekalan air sebenarnya tidak terhad kepada Kelantan semata-mata, bahkan turut dialami negeri-negeri lain termasuk di Selangor yang lebih maju.

    “Kita akui ada masalah air tetapi di Malaysia ini adakah Kelantan saja yang hadapi masalah air?

    “Sebab itu sepatutnya kena ada keseimbangan (semasa menilai). Lihat Selangor yang ada duit banyak dan maju pun berlaku gangguan-gangguan dan masalah air.

    “Negeri-negeri yang diperintah BN sendiri pun ada masalah air.

    “Justeru kalau kita fikir hanya kerana PAS memerintah Kelantan maka wujud masalah air – itu tak betul,” jelasnya.

    Dalam pada itu, berhubung dakwaan PAS bersikap menyalahkan Umno dalam isu tersebut, Mohd Amar berkata, beliau hanya menceritakan sejarah di sebalik masalah dan kekangan yang timbul.

    Beliau tidak bermaksud mahu menyalahkan BN, namun perlu menceritakan sejarah selepas BN memainkan isu berkenaan.

    “Sedangkan punca daripada UMNO. Dia (UMNO) katak (pukul) kaki kita hingga patah, lepas itu dia kata kita kewek (cacat). Padahal dia jadi punca kaki kita kewek.

    “Itu masalahnya, orang kata kenapa tak pasang besi di kaki kewek, (jawabnya) sebab duit tak ada nak beli besilah,” ujarnya secara berseloroh.

    Sehubungan itu, Mohd Amar berharap agar rakyat dapat melihat isu bekalan air di Kelantan melalui persepsi yang betul dan mengkritik secara adil.

    Beliau berkata, kerajaan Kelantan dan PAS bukanlah tidak boleh dikritik langsung.

    “Orang kata 30 tahun cari alasan… (sebenarnya) bukan cari alasan tetapi kita ini dah 30 tahun mengalami masalah, tiba-tiba nak suruh kita berlari dalam masa segera, memang tak boleh.

    “Kelantan sekarang memanglah sebahagian daripada kerajaan pusat tetapi baru berapa bulan, berapa tahun? Takkan penyakit 30 tahun boleh selesai dalam masa dua tahun.

    “Kalau nak selesai semua tapi tak ada peruntukan memang lambatlah, kalau turun peruntukan dengan anggaran kasar RM7 bilion diperlukan pun tak boleh selesai dalam satu hari,” katanya.

  • Kerajaan BN Pahang mesti segera selesai masalah air

    Kerajaan BN Pahang mesti segera selesai masalah air

    KERAJAAN negeri Pahang digesa supaya segera bertindak menyelesaikan masalah bekalan air yang kerap berlaku di negeri itu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, isu air yang sering dibangkitkan oleh wakil rakyat, harus diambil serius oleh kerajaan negeri kerana beberapa kawasan kerap mengalami masalah tekanan air rendah dan air keruh.

    “Selain itu, saya ingin menegur kerja-kerja yang dilakukan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ketika membaiki paip pecah di bawah tanah, kadang-kadang jalan diturap semula dengan keadaan yang tidak memuaskan. Ini menyebabkan jalan rosak dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

    Terdahulu, wakil rakyat DAP itu bertikam lidah dengan Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak (BN-Benta) yang mendakwanya sebagai berbohong apabila beliau berkata ADUN pembangkang tidak dilibatkan dalam sebarang mesyuarat selain tidak disalurkan informasi melibatkan isu semasa dan berkaitan rakyat.

    “ADUN Ketari berbohong, saya mencabar Ketari bahawa beliau tidak dapat informasi yang tepat daripada pihak kerajaan,” kata Mohd Soffi.

    Malah, beberapa wakil rakyat pembangkang turut meminta Mohd Soffi menarik balik kenyataan itu yang dianggap sangkaan jahat terhadap ahli dewan lain, bagaimanapun Timbalan Speaker Datuk Seri Mohamed Jaafar meminta perbahasan diteruskan.

    Sementara itu, Andansura Rabu (PAS-Beserah) ketika mencelah perbahasan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS-Tahan) mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan khas bagi mencari penyelesaian secara tuntas masalah bekalan air negeri ini.

    “Hampir kesemua wakil rakyat bercakap soal yang sama (isu air), jika belum ada, tubuh pasukan khas bagi mencari penyelesaian isu air dalam tempoh masa setahun hingga tiga tahun.

    “Kemukakan penyelesaian supaya rakyat tahu apa yang kita sedang buat, libatkan kepakaran teknikal dan ekonomi kerana penyelesaian ini turut melibatkan sumber pembiayaan,” katanya.

    Persidangan bersambung esok. – BERNAMA

  • Agenda transformasi sektor air 2040 akan diperkenal

    Agenda transformasi sektor air 2040 akan diperkenal

    RMK12

    AGENDA transformasi sektor air 2040 (WST 2040) akan diperkenalkan untuk menetapkan hala tuju strategik bagi memastikan sektor air sebagai pemacu pertumbuhan yang dinamik, di samping memastikan jaminan bekalan air untuk semua.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, transformasi itu akan dilaksanakan melalui empat fasa mengikut tempoh Rancangan Malaysia dengan tumpuan khusus dalam setiap fasa dengan hasrat Malaysia menjadi hab industri air serantau pada 2040.

    Empat fasa transformasi sektor air ialah fasa satu RMK-12 (2021-2025), mempergiatkan penerimagunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM); fasa dua RMK13 (2026-2030) membangunkan teknologi tempatan setanding dengan standard antarabangsa; fasa ketiga RMK14 (2031-2035) mencapai ekonomi bidangan dan fasa keempat RMK15 (2036-2040), menjadi hab industri air serantau.

    “Fasa satu iaitu penerimagunaan IWRM akan dipergiatkan kerana ia paling kritikal dan merupakan asas kepada transformasi ini. Pasukan petugas khas yang dianggotai oleh wakil sektor awam dan swasta akan ditubuhkan di bawah Majlis Air Negara yang berperanan memberi panduan, menyelaras, memantau dan melapor kemajuan pelaksanaan agenda WST 2040.

    “Pasukan ini juga akan bertanggungjawab mengkaji dan menjajar semula serta menyediakan syor penambahbaikan untuk menjayakan agenda ini,” menurut dokumen itu.

    Dalam pada itu, dokumen tersebut turut mencadangkan platform perundingan awam diwujudkan pada peringkat negeri dan daerah yang melibatkan orang awam secara aktif dalam pengurusan sektor air.

    Bagi memastikan keberkesanannya, keupayaan dan kemahiran ahli akan dipertingkatkan, terutama dalam penyelesaian konflik dan perundingan selain pelan komunikasi strategik juga akan dirangka untuk memastikan transformasi sektor air dilaksanakan dengan berkesan

    Selain itu, usaha memperkukuhkan tadbir urus pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah akan dilakukan termasuk semakan semula perundangan berkaitan air supaya selari dengan Rang Undang-Undang Sumber Air 2016.

    “Semakan ini akan menyediakan asas perundangan bagi penubuhan pihak berkuasa pengurusan sumber air di semua negeri untuk memastikan pelaksanaan IWRM yang berkesan dan perancangan guna tanah yang lebih baik pada peringkat daerah dan negeri,” menurut dokumen itu.

    Di samping itu, penggunaan Sistem Imbangan Air Negara (Nawabs) akan diperluaskan untuk menyediakan data yang komprehensif pada masa nyata dan penyedia perkhidmatan air akan digesa untuk mengkaji alternatif bagi menjana hasil bukan berasaskan tarif terutama daripada aktiviti kitar semula air.

    Turut disyorkan penggunaan teknologi berasaskan alam semula jadi iaitu tanah lembap buatan yang menggunakan teknologi biokejuruteraan yang bersesuaian akan dibina bagi merawat air sisa dan air yang terkumpul dalam kolam takungan.

    Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan RMK-12 berkata, pelaksanaan agenda tersebut melibatkan empat fasa dan fasa pertama Penerima-gunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu akan dipergiatkan pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.

    “Pewartaan dan perlindungan kawasan tadahan air akan dipercepat untuk menambah baik pengurusan sumber air dan loji rawatan air sisa bersepadu akan dibina untuk kawalan pencemaran,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga akan meningkatkan tadbir urus air melalui pemerkasaan penglibatan rakyat, pengukuhan aktiviti penguatkuasaan dan semakan undang-undang.

    Selain itu, katanya kerajaan telah meluluskan projek infrastruktur air dengan kos RM25.8 bilion untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air di samping penyediaan infrastruktur yang mampan serta meneruskan program pengurangan air tidak berhasil (NRW) yang dapat mengurangkan tahap NRW kepada 25 peratus pada 2050. – BERNAMA

  • Bekalan air di Sibu terjejas akibat himpunan serpihan balak

    Bekalan air di Sibu terjejas akibat himpunan serpihan balak

    LEMBAGA Air Sibu (SWB) tidak dapat mengekstrak air dari Sungai Rejang akibat berlaku pelodakan serius, susulan kejadian himpunan serpihan kayu balak di kawasan hulu Sungai Baleh di Bahagian Kapit, semalam.

    Dalam notis kepada pelangganya menerusi Facebook, SWB memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Salim dan Loji Rawatan Air Bukit Lima beroperasi pada kapasiti minimum, sekali gus memberi kesan terhadap bekalan air ke seluruh kawasan Sibu.

    “Kita akan cuba memulihkan bekalan dengan kadar segera. Sebarang kesulitan amat dikesali,” menurut SWB dalam kenyataan itu.

    Semalam Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Baleh Tan Sri Dr James Masing berkata himpunan balak tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan hulu Baleh.

    Beliau yang berang dengan kejadian itu, mendesak supaya lesen bagi pemilik-pemilik konsensi balak berkenaan tidak diperbaharui bagi mengelak insiden yang sama berulang.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew menggesa kerajaan Sarawak untuk menyiasat punca berlakunya himpunan balak tersebut, yang pernah berlaku pada 2010 sehingga menyebabkan ikan-ikan mati akibat kandungan bahan tercemar yang tinggi dan kandungan oksigen yang sangat rendah di dalam air.

    “Kesilapan sama berulang lagi hari ini, kami berhak mendapat jawapan daripada kerajaan negeri. Ini adalah isu alam sekitar yang serius, ikan-ikan yang bernilai di Sungai Rejang mungkin hilang jika isu ini tidak diselesaikan dan dibiar berulang lebih kerap,” tegas beliau menerusi satu kenyataan.

    Beliau mendesak kerajaan mengeluarkan laporan siasatan secepat mungkin dan langkah-langkah yang telah dilakukan sejak insiden himpunan kayu balak pada 2010 dan faktor berulangnya kejadian ini.

    Dalam pada itu, bekas presiden Kelab Rotary Sibu Dr Gregory Hii Sui Cheng meminta pemilik konsensi balak untuk mengamalkan kaedah yang lebih baik agar serpihan balak tidak dihanyutkan ke dalam sungai sehingga menyebabkan hakisan tebing sungai dan pencemaran yang teruk.

    “Pencemaran sungai ini telah memberi kesan kepada kita susulan gangguan bekalan sumber air minum,” kata Hii.

    Beliau turut merayu kepada penduduk di tebing sungai dan penghuni kota, supaya mengelak daripada membuang sisa domestik ke dalam sungai yang akan memburukkan lagi masalah kelodak dan pencemaran sungai itu.

    “Sungai perlu dijaga dan hargai, oleh itu saya merayu kepada semua supaya peliharalah kebersihan sungai kita dan hentikan mencemarinya,” katanya.- BERNAMA