Tag: Ahmad Yakob

  • Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    KERAJAAN Kelantan bersedia mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

    Beliau menjangkakan perkara itu akan dibincang dalam pertemuan tidak langsung menteri-menteri besar yang hadir sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu depan, bagi mencari kata sepakat tentang tarikh sesuai diadakan PRN.

    “Pertemuan adalah sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja, itu merupakan perkara biasa dengan menteri besar akan berperanan mengiringi serta menjadi penasihat kepada Raja-Raja Melayu negeri masing-masing.

    “Jadi, pada masa sama kita juga mungkin akan adakan perbincangan secara tidak langsung mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tarikh PRN.

    “Tempoh akhir bagi DUN Kelantan adalah pada 26 Jun, (namun) saya rasa PRN boleh dilaksanakan pada bila-bila masa kerana kita telah bersedia untuk menghadapinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad berkata kerajaan Kelantan bersetuju menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai soladiriti kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

    “Kita (kerajaan negeri) sangat bersimpati dengan bencana gempa bumi yang melanda kedua-dua negara berkenaan dengan jumlah mangsa korban mencecah lebih 40,000 orang.

    “Kita menyumbang walaupun jumlahnya tidak seberapa bagi membantu rakyat kedua-dua negara yang terlibat,” katanya. – BERNAMA

  • Banjir di Kelantan akibatkan kerosakan infrastruktur berjumlah RM172.3j

    Banjir di Kelantan akibatkan kerosakan infrastruktur berjumlah RM172.3j

    BEBERAPA siri banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di Kelantan sejak 2021 hingga tahun ini telah mengakibatkan kerosakan kemudahan infrastruktur berjumlah RM172.3 juta.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata antara kerosakan yang dilaporkan ialah jalan raya, jambatan, sistem saliran dan pengairan, jeti serta runtuhan cerun.

    “Nilai kerosakan itu berdasarkan data yang direkodkan sehingga kini. Angka ini dijangka bertambah selepas proses pengumpulan data selesai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Bencana (e-Bencana) Negeri Kelantan di sini hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub.

    Sistem e-Bencana yang dibangunkan dalam tempoh lapan tahun dengan kos RM300,000 itu akan membolehkan mangsa banjir mendapat bantuan segera selain bertindak sebagai mekanisme pengurusan yang lebih kemas dalam menentukan peranan serta tanggungjawab agensi terbabit semasa bencana.

    Sementara itu, Ahmad berharap kerajaan Persekutuan mempercepat pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) Fasa Dua dan Tiga bagi menangani banjir.

    “Masalah banjir di Rantau Panjang bergantung kepada cepat atau tidak projek tebatan tersebut.

    “Kita harap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membantu menyegerakan pelaksanaan projek berkenaan. Ia penting kerana dapat menyelamatkan kawasan kampung di sekitar Rantau Panjang,” katanya.

    Pada Ahad, Bernama melaporkan penduduk Kampung Tersang di Rantau Panjang melahirkan rasa bimbang berikutan kampung mereka kembali digenangi air sejak Sabtu akibat hujan lebat serta pertembungan air Sungai Lanchang dengan Sungai Golok. – BERNAMA

  • Kerajaan Kelantan tak terima bantuan banjir RM50j diumumkan Anwar – MB

    Kerajaan Kelantan tak terima bantuan banjir RM50j diumumkan Anwar – MB

    KERAJAAN Negeri Kelantan mendedahkan tidak menerima bantuan banjir RM50 juta yang sebelum ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebaliknya bantuan banjir itu disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

    “Mengikut janji Perdana Menteri, beliau nak beri bantuan banjir kepada Kelantan RM50 juta dan Terengganu RM50 juta.

    “Sekarang bantuan itu disalurkan kepada JPP. Bagaimana kaedah JPP nak agih kepada rakyat Kelantan, itu kita (kerajaan negeri) tidak tahu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir Perikatan Nasional (PN) Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok di Tumpat hari ini.

    Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Dalam lawatan meninjau bencana di Kelantan pada 21 Disember lalu, Perdana Menteri, mengumumkan bantuan segera banjir sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu.

    Anwar berkata, bantuan awal itu bagi meringankan beban dua negeri berkenaan.

    “Memandangkan banjir lebih parah dari biasa, saya bersetuju selepas mengadakan perbincangan dengan Jemaah Menteri, kita meluluskan bantuan segera RM50 juta untuk Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu.

    “Bantuan ini bagi membantu kebajikan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan yang terkesan banjir,” katanya pada sidang media ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas.

    Menteri Besar Kelantan turut hadir ketika pengumuman itu. Selain Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zainin Husin.

    Anwar dilaporkan berkata, kerajaan juga akan meneruskan bantuan banjir RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan.

    “Manakala, bantuan RM10,000 bagi keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir dan bayaran berkenaan akan diberikan kepada KIR.

    “Mangka banjir berkenaan perlu mendaftar di PPS dan kita serahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menguruskan perkara itu,” katanya ketika itu.

    Pada 22 Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika melawat kawasan bencana di Kemaman, mengingatkan supaya bantuan segera RM50 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu dan Kelantan digunakan secara berhemah untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir.

    Ahmad Zahid dilaporkan berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan yang menyalurkan peruntukan itu sebagai bantuan awal untuk meringankan beban.

    Beliau berkata, pihaknya akan mengkoordinasi bantuan berkenaan bagi memastikan ia tidak digunakan untuk tujuan lain.

    “Kita mengikut arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di mana arahan perbendaharaan harus dipatuhi.

    “Saya akan koordinasi bersama-sama dengan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan juga APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) serta agensi-agensi yang lain agar wang bantuan banjir itu digunakan untuk mendepani permasalahan mangsa-mangsa banjir bukan digunakan untuk tujuan-tujuan lain, ” katanya.

  • MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MUHAMMAD FIRDAUS

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam mengimamkan solat jenazah pelajar Universiti Al-Azhar, Muhammad Firdaus Ab Rais yang mati lemas dalam satu kejadian di Mesir kelmarin.

    Allahyarham, 25, meninggal dunia semasa mandi di sebatang sungai di al-Qanathir Al-Khairiyah, Mesir.

    Ahmad berkongsikan perkembangan itu menerusi satu hantaran di akaun rasmi Facebook beliau malam tadi.

    Menurutnya, beliau bersama Duta Besar Malaysia Ke Mesir sempa bersuia dengan ahli keluarga Allahyarham yang baru tiba di negara itu.

    “Sama-sama kita doakan moga Allah SWT cucuri rahmat keatas roh Allahyarham,” katanya.

    Pelajar berusia 25 tahun jurusan Syariah itu dikatakan pergi berkelah bersama 10 rakan lain di sebuah sungai pada Jumaat tetapi ditemui lemas kira-kira pukul 10 pagi Sabtu.

    Kejadian itu turut mengorbankan seorang lagi rakannya yang berasal dari Patani, Thailand.

    Memetik laporan Sinar Harian, ibu Muhammad Firdaus, Siti Azlina Mohamad, 46, tidak menyangka dengan kejadian yang menimpa anaknya.

    Siti Azlina ketika ditemui mengakui masih terkejut dengan kejadian yang berlaku ke atas anak sulungnya itu tetapi reda dan sedang membuat persiapan untuk bertolak ke Mesir petang Ahad.

    Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Muhammad Firdaus ketika majlis perkahwinan anaknya itu tahun lalu.

    “Selepas itu arwah dan isterinya pulang semula ke Mesir untuk menyambung pelajaran.

    “Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada mertua arwah Jumaat lalu kira-kira jam 11 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, semalam.

    Menurut Siti Azlina, Muhammad Firdaus seorang anak yang baik dan peramah serta sentiasa memaklumkan kepada orang tua jika hendak melakukan sesuatu.

    “Bagaimanapun, kali ini arwah tidak memberitahu saya untuk pergi berkelah di sungai itu,” katanya.

  • Kelantan tak pernah jual tanah kepada rakyat, cuma lupuskan

    Kelantan tak pernah jual tanah kepada rakyat, cuma lupuskan

    KERAJAAN negeri Kelantan tidak pernah menjual tanah kepada rakyat sebagaimana yang didakwa, sebaliknya melupuskan tanah untuk diberi milik kepada rakyat.

    Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana kerajaan negeri tidak pernah berbuat sedemikian.

    Sebaliknya kata beliau, kerajaan negeri lupuskan tanah untuk diberi milik kepada rakyat dengan mengenakan bayaran premium tertentu. Jika rasa mahal, mereka boleh membuat rayuan untuk pengurangan.

    “Apa yang pasti, kita tidak jual tanah kepada rakyat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Mohd Adhan Kecik (BN-Bukit Bunga) berhubung dasar kerajaan dalam soal pemberian tanah berikutan terdapat dakwaan mengatakan kerajaan negeri Kelantan menjual tanah kepada rakyat.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan berkata, kerajaan sudah melaksanakan pengurangan bayaran premium tanah kepada rakyat di negeri itu.

    Menurut beliau, mana-mana penduduk yang merasakan bayaran premium perlu dibayar itu tinggi, mereka boleh membuat rayuan untuk mendapatkan pengurangan.

    “Boleh buat cadangan mengikut keadaan orang yang membuat rayuan. Kadang-kadang kita terkena dengan mereka yang sudah berduit.

    “Namun mereka yang kurang berkemampuan boleh membuat dengan mengemukakan sebab tertentu sebelum rayuan terbabit diangkat untuk perbincangan.

    “Menerusi perbincangan itu, kita akan membuat keputusan berapa banyak pengurangan yang dikenakan kepada pemohon,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Abdul Aziz Yusoff (BN-Nenggiri).

  • Kerajaan Kelantan rayu lulus 1 juta vaksin

    Kerajaan Kelantan rayu lulus 1 juta vaksin

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KERAJAAN Kelantan merayu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meluluskan segera permohonan sejuta dos vaksin Covid-19 bagi menyelamatkan nyawa rakyat di negeri ini sebelum musim tengkujuh Oktober ini.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob khuatir sekiranya Kelantan tidak sempat mencapai 80 peratus imunisasi kelompok dalam tempoh dua bulan ini.

    “Setakat ini, Kelantan mencapai 30 peratus dos pertama vaksin manakala lebih 13 peratus dos kedua.

    “Kita akan capai 40 peratus penduduk Kelantan divaksin pada akhir Ogos ini sekiranya bekalan vaksin dapat diperoleh mengikut jadual yang ditetapkan.

    “Kita rayu MOSTI supaya menyempurnakan permohonan satu juta dos kerana khuatir sekiranya tidak sempat mencapai 80 peratus penduduk Kelantan yang disuntik sebelum musim tengkujuh,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu hari ini.