Tag: Ahmad Yahaya

  • Islam wacana sebenar perpaduan masyarakat Melayu

    Islam wacana sebenar perpaduan masyarakat Melayu

    Oleh DATUK AHMAD YAHAYA

    DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin menegaskan bahawa Islam adalah wacana sebenar perpaduan masyarakat Melayu di negara ini. Saranan bersatu padu telah menjadi mesej utama yang disampaikan melalui Kalamullah dan ia seharusnya didukung dengan sepenuh jiwa oleh masyarakat Melayu.

    Islam telah mula berkembang ke Nusantara sejak awal abad pertama Masihi dengan pemerintahan Islam Perlak mulai dibangunkan pada abad kesembilan Masihi. Kemudian, ia terus berkembang dengan kemunculan Kerajaan Islam yang lain termasuklah Kerajaan Kedah selain rekod pelaksanaan syariat melalui Batu Bersurat di Terengganu dan dinar emas di Kelantan.

    Perkembangan Islam di rantau ini melahirkan Empayar Kesultanan Melayu Melaka menjelang kurun ke-15. Perjalanan panjang sejarah kedatangan Islam ini telah membentuk norma dan identiti masyarakat Melayu yang berasaskan kepada agama Islam. 

    Oleh itu, hubung kait Islam-Melayu sebagai ‘ethno-religious’ digarap melalui Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu pada tafsiran ‘orang Melayu’ sebagai ‘seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, dan menurut adat Melayu’. 

    Tanpa mengenepikan faktor kesejagatan Islam serta tafsiran ‘orang Melayu’ yang sebenar dalam peruntukan perundangan tertinggi negara ini, hubungan Melayu dan Islam sememangnya sinonim. Kekuatan orang Melayu yang luntur dan terhakis hari ini adalah kerana jauhnya Islam dalam penghayatan dan amalan dalam masyarakatnya. 

    Oleh itu, kembali kepada ajaran Islam adalah wacana yang seharusnya menjadi nadi utama kepada perpaduan masyarakat Melayu di negara ini kerana ikatan ‘ethno-religious’ tadi. Walaupun bukan bermaksud memeluk agama Islam adalah menjadi orang Melayu, namun, inilah tali yang mengikat masyarakat Melayu dengan aqidahnya yang jitu. 

    Bersempena bulan Ramadan yang masih berbaki ini, DUPP ingin menyeru masyarakat Melayu-Islam khususnya supaya mengikat tali penyatuan atas nama Islam. Kita seharusnya meletakkan sepenuhnya keyakinan terhadap ajaran Islam serta bersatu padu di atas jalan yang dibentangkan di hadapan. 

    Semoga dengan kekuatan ini akan tersingkap semula era kegemilangan masyarakat Melayu yang pernah memahat nama di peringkat antarabangsa suatu ketika dahulu. Itulah Islam yang menzahirkan kekuatan umatnya.

    Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak Pas

  • Kerajaan PH-BN undur negara ke politik lapuk

    Kerajaan PH-BN undur negara ke politik lapuk

    LANGKAH kerajaan persekutuan membelakangi pemimpin kerajaan negeri yang berbeza parti politik dianggap bertentangan dengan semangat federalisme.

    Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, amalan sedemikian dianggap tempang, lebih-lebih lagi kerajaan sekarang mahu dikenali sebagai Malaysia Madani.

    Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkata, tindakan seumpama itu jelas mengundurkan negara ke belakang dan bertentangan dengan prinsip dan amalan federalisme.

    “Semua pihak harus bersikap profesional dalam konteks pelaksanaan dasar mahu pun program yang melibatkan hubungan dua hala persekutuan dan negeri.

    “Apatah lagi dalam perkara berkaitan urus tadbir kerajaan, perbezaan politik harus diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harakahdaily.

    Semalam Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Noor mendedahkan beliau dihalang daripada terlibat dengan mana-mana program kerajaan persekutuan termasuk LIMA di Langkawi.

    Malah program Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan yang dijadual diadakan di Dewan A, MEAPS Serdang 9 April ini turut diarah ditarik balik.

    Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya tidak mengundurkan negara ke landskap politik lapuk.

    Beliau menambah, polemik itu dicetus apabila projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah cuba disukarkan kerajaan sekarang.

  • Program maksiat: Jangan cemari kemuliaan Ramadan

    Program maksiat: Jangan cemari kemuliaan Ramadan

    Oleh DATUK AHMAD YAHAYA

    SAYA mengecam sepenuhnya penganjuran program Grand Opening Privacy Club Tun Razak dengan Thai Hot Guy disenarai sebagai jemputan dalam program tersebut.

    Pertama, penganjuran program sebegini mencemarkan kemurnian dan kemuliaan bulan Ramadan serta bertentangan dengan keberkatan Ramadan itu sendiri. Malah, penganjuran program sebegini juga tidak sepatutnya dianjurkan dalam negara ini.

    Keduanya, kumpulan Thai Hot Guy yang menampilkan lelaki berpakaian wanita ini bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran yang diamalkan dalam negara. Ia juga bertentangan dengan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

    Ketiganya, kehadiran kumpulan Thai Hot Guy adalah menjijikkan, tidak senonoh serta mendorong ke arah mempromosi ideologi dan perlakuan songsang LGBT dalam negara.

    Keempat, golongan sebegini akan mencemarkan imej negara yang dihormati di mata umat Islam di seluruh dunia, malah berlawanan dengan prinsip Madani yang dilaungkan oleh Kerajaan.

    Kelima, golongan ini akan menjadi tarikan golongan gay untuk bertandang dan berkembang dalam negara. Perkara ini akhirnya akan turut menyumbang kepada implikasi terhadap perkembangan penyakit HIV.

    Laporan Malaysian Strategic Plan for Ending AIDS menjelaskan golongan Men Sex with Men (MSM) atau bahasa mudahnya gay merupakan penyumbang utama kepada penyakit HIV ketika ini.

    Oleh yang demikian, saya menyarankan kepada pihak berwajib mengambil beberapa langkah berikut:

    Pertama, menggunakan segala kuasa yang ada bagi menyekat penganjuran program tersebut serta menghalang kehadiran kumpulan songsang daripada Thailand. Ia jelas tidak mempunyai manfaat langsung kepada negara.

    Kedua, mengenalpasti kelab atau tempat yang menjadi lubuk kumpulan songsang ini berpencak. Langkah yang tegas wajar dikuatkuasa bagi mengelakkan daripada golongan sebegini terus berkembang dalam negara.

    Ketiga, menyediakan pelan tindakan bagi memperuntukkan undang-undang atau dasar yang tegas terhadap kumpulan yang mempromosi ideologi serta perlakuan LGBT yang bertentangan dengan agama, budaya dan fitrah seorang manusia.

    Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

  • Jangan nyalakan api Islamofobia dalam negara

    Jangan nyalakan api Islamofobia dalam negara

    Oleh DATUK AHMAD YAHAYA

    SAYA ingin mengingatkan pihak tertentu agar tidak berterusan menyalakan api Islamofobia dengan tuduhan yang melulu terhadap mereka yang memperjuangkan agama. Gesaan seorang pemimpin utama PKR menyerang golongan yang berpolitik berpandukan agama ibarat menentang seruan yang dianjurkan di dalam al-Quran sendiri.

    Sayugia diingatkan bahawa Islam adalah agama bernegara dan politik adalah jalan mentadbir urus negara dengan agama. Politik menjadi tunjang agama malah sebahagian besar para Rasul dan Sahabat utama Nabi S.A.W merupakan ahli politik. Justeru, tidak layak bagi seseorang memperkecilkan hubungan politik dan agama.

    Namun, tidaklah menghairankan bagaimana Islamofobia cuba dihalakan kepada perjuangan Islam dengan pelbagai alasan yang direka-reka. Kita sedar mereka cuba mensudutkan perjuangan agama dengan gelaran ekstremisme yang menyeleweng.

    Tuduhan ekstrem dan usaha membangkitkan Islamofobia oleh pemimpin lawan adalah ‘grand design’ ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung. Kesemua ini dilakukan demi memastikan ‘swing voters’ selepas kekalahan besar PH dalam kalangan pengundi muda dan Melayu-Islam.

    Walau bagaimanapun, ia tidak mampu mengubah perspektif rakyat yang menilai prestasi semasa Kerajaan Persekutuan secara objektif. Ketiadaan dasar yang coherent, substantif serta bersepadu dalam menyelesaikan permasalahan asas rakyat jelas menunjukkan hala tuju dasar Kerajaan Persekutuan ketika ini semakin tersasar.

    Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat/Ahli Parlimen Pokok Sena

  • Usul tanpa pemberitahuan ke DUN: Pengundi bakal kuburkan ego Guan Eng

    Usul tanpa pemberitahuan ke DUN: Pengundi bakal kuburkan ego Guan Eng

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng disifatkan tidak pernah mengkaji isu melibatkan Kedah dan Pulau Pinang secara mendalam, apabila membawa usul tanpa pemberitahuan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, yang mencadangkan supaya ketetapan diambil terhadap dakwaan ucapan provokasi bersifat menghasut dan ekstremis oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya, apa yang dimahukan Kedah hanyalah nilai pampasan yang dinyatakan dalam Triti Kedah 1869, diteliti semula selaras dengan perkembangan terkini selepas menghampiri tempoh 200 tahun.

    Malah katanya, kalau mahu diulang semula soal sejarah dan perspektif perundangan, cukup jelas bahawa Kedah adalah kedaulatan bagi Pulau Pinang.

    “Malangnya Guan Eng bermain dengan sentimen tidak perlu serta sengaja mensudutkan isu ini dalam konteks ‘melanggari sempadan negeri’.

    “Sedangkan perjuangan nilai pajakan yang setimpal adalah hak negeri dan rakyat Kedah. Tindakan itu bukan mengambil hak orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Melalui usul tersebut, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, kedaulatan negeri Pulau Pinang berasal dan berpunca daripada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan bentuk, nyawa dan kuasa perundangan mutlak kepada Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan negeri serupa dengan 13 buah negeri yang mewujudkan Persekutuan Malaysia.

    Selain itu, Guan Eng menerusi usul sama mencadangkan kerajaan negeri berikrar bersedia menggunakan segala tenaga dan usaha termasuk mengerahkan dan menggerakkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk membela dan mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang daripada dicemuh, diragui, dipertikaikan atau diceroboh oleh Menteri Besar Kedah.

    Malah, Guan Eng turut mempertontonkan kepada sidang DUN video kenyataan Muhammad Sanusi yang mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang tersebut yang tular di dalam media sosial.

    Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, tindak-tanduk Guan Eng akan menambah muak rakyat terhadap politiking Pakatan Harapan (PH).

    “Tunggu signal lebih besar daripada pengundi Pulau Pinang selepas ini apabila sampai masanya nanti unuk menguburkan keegoan beliau,” katanya.