Tag: Ahmad Samsuri Mokhtar

  • Anwar ambil pendekatan seperti minda pembangkang – Samsuri

    Anwar ambil pendekatan seperti minda pembangkang – Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan seperti minda pembangkang yang mengaitkankan dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dengan syarikat perjudian.

    Justeru, beliau yang juga Pengerusi PN Terengganu mempersoalkan kenapa isu berkenaan dibangkitkan oleh Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan itu.

    Menurutnya, sudah ada satu surat atau dokumen yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu yang menunjukkan ada parti-parti politik lain sebenarnya menerima bantuan daripada tauke judi.

    Sehubungan itu, beliau berpandangan supaya berlaku adillah dalam membuat apa-apa kenyataan.

    Katanya, Perdana Menteri sepatutnya bertemu dengan media selepas mesyuarat yang penting di awal pemerinatah kerajaan bercakap tentang isu-isu kenegaraan.

    “Dan kalau kita tengok semalam pun yang disebut oleh Perdana Menteri selepas mesyuarat Kabinet jauh beza seorang Perdana Menteri yang sepatutnya bertemu dengan media selepas mesyuarat yang penting di awal pemerintahan kerajaan sepatutnya bercakap tentang isu-isu kenegaraan.

    “Ke mana nak dibawa negara ini, bagaimana nak menyelesaikan masalah rakyat, bagaimana nak menyelesaikan masalah harga barang, ekonomi dan sebagainya tetapi diambil pendekatan seperti minda pembangkang,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menjawab pertanyaan media, Samsuri berkata, apa yang ditimbukan itu tiada kesudahan.

    “Minda pembangkang begitulah. Dia sentiasa mencari salah orang sedangkan di hadapan ada tanggungjawab yang besar untuk melaksanakan apa yang perlu dibuat seperti yang dijanjikan

    “Bagi kita itu pandangan orang yang desperate, atas apa tujuan mereka,” tambahnya.

  • Terengganu terbuka bincang adakan PRN serentak dengan negeri lain

    Terengganu terbuka bincang adakan PRN serentak dengan negeri lain

    KERAJAAN Terengganu terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan serentak dengan negeri-negeri lain, agar dapat menjimatkan kos pelaksanaannya, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Beliau berkata setakat ini masih belum ada perbincangan rasmi dijalankan antara enam negeri terlibat termasuk Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, selain hanya perbincangan secara kasual (bersahaja).

    “Perbincangan rasmi kita akan cuba cari ruang dan waktu untuk samakan (tarikh) pembubaran itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

    Pada masa ini Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditabir kerajaan Pakatan Harapan (PH) manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan diterajui PAS.

    Enam negeri tersebut tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk dijalankan secara serentak dengan peringkat Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 19 November lepas.

    Ditanya mengenai tarikh yang dicadangkan untuk pembubaran DUN Terengganu, Ahmad Samsuri berkata perkara tersebut masih belum diputuskan dan akan dimaklumkan apabila tiba masa dan waktu yang sesuai.

    “Belum tahu lagi (pembubaran DUN)… sebelum berakhir tempoh kita akan bubar,” katanya. – BERNAMA

  • Ahmad Said ‘cuba nasib’ di Parlimen, Samsuri tidak terkecuali?

    Ahmad Said ‘cuba nasib’ di Parlimen, Samsuri tidak terkecuali?

    PENGUMUMAN calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malam tadi, menyaksikan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said tersenarai sebagai calon Parlimen yang dijangka membawa perubahan pada landskap politik negeri itu.

    Beliau dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Kemaman.

    Ahmad yang juga Pengerusi BN negeri itu sebelum ini disebut-sebut tidak berhasrat untuk bertanding di peringkat Parlimen kerana masih menaruh harapan untuk kembali dilantik menerajui negeri sekiranya BN menawan kembali Terengganu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu pernah menjadi Menteri Besar Terengganu pada 2008 hingga 2014.

    “Perkara seperti ini (pemimpin negeri bertanding di Parlimen) tidak mustahil… Apa yang kita nampak, parti-parti sebolehnya mahu meletakkan nama-nama besar (di Parlimen), yang sedia mempunyai pengaruh besar agar dapat mewujudkan gelombang sokongan yang kuat untuk mereka.

    “Mereka mahu meletakkan seberapa banyak ‘nama besar’ di kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini,” kata penganalisis politik Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim yang juga Ketua Penyelidik ILHAM Centre kepada Bernama.

    Menurut Mohd Yusri, tidak mustahil juga lebih ramai lagi individu yang sudah memegang jawatan dalam kerajaan negeri seperti barisan Exco akan diangkat menjadi calon kerusi Parlimen termasuk menteri besar sendiri.

    “Sebagai contoh, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari diisytiharkan sebagai calon di Parlimen Gombak… ini tidak mustahil berlaku juga di Terengganu, biarlah ada yang mengatakan ia hanya khabar angin atau tuan badan sendiri menafikan dakwaan itu, namun selagi hari penamaan calon belum tiba, kita tidak tahu,” katanya.

    Senada dengan pendapat itu, bekas Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Rahman Bakar turut tidak menolak kemungkinan lebih ramai ‘watak negeri’ akan diangkat ke peringkat pusat termasuk menteri besar sendiri.

    “Saya lihat kalau ada perubahan di peringkat UMNO, biasanya akan diikuti oleh PAS, kerana mereka nak sesuaikan saingan tu, contohnya bila BN dah letak Ahmad Said, tidak mustahil Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga akan bertanding di Parlimen.

    “Mungkin Samsuri sudah tidak diperlukan dalam kepimpinan negeri… saya lihat perubahan ini cukup baik kerana ia dapat membina pengalaman baharu buat kepimpinan di peringkat negeri tidak kira PAS atau UMNO untuk menguasai politik di peringkat pusat,” katanya. 

    Menurutnya kemunculan watak-watak baharu di peringkat pusat juga memberi isyarat bahawa kepimpinan negeri selepas ini juga mungkin akan ditunjangi oleh tokoh baharu dan jika BN berjaya menguasai Terengganu kelak, tidak semestinya jawatan menteri besar itu diisi oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri semata-mata.

    “Calon-calon baharu akan menggantikan orang-orang lama…Saya lihat perubahan landskap ini sangat sihat demi perkembangan politik, ekonomi serta sosial negeri.

    “Setiap pembaharuan akan memberi impak yang besar dan ia sangat baik untuk masa depan,” kata Abdul Rahman yang pernah mendapat jolokan sebagai ‘Giant Killer’ apabila dua kali menewaskan Tan Sri Abdul Hadi Awang di kubu kuat Presiden PAS itu pada pilihan raya umum 1986 dan 2004.

    Di Terengganu, tujuh nama calon BN untuk kerusi Parlimen telah diumumkan malam tadi, namun bagi kerusi Kuala Nerus ia masih belum diputuskan, manakala bagi calon Perikatan Nasional (PN) senarai penuh akan diumumkan malam esok. – BERNAMA

  • MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MENTERI Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Setakat ini Alhamdulillah saya tak tanding Parlimen. Kenapa saya perlu pergi Parlimen?” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau di sini hari ini.

    Spekulasi Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden PAS, dikatakan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus adalah susulan penyebaran poster yang memaparkan lapan individu yang dikatakan calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Parlimen di Terengganu.

    Sementara itu Ahmad Samsuri berkata rundingan akhir agihan kerusi bagi parti komponen dalam PN untuk PRU15 akan diputuskan dalam satu mesyuarat hari ini, manakala pengumuman calon-calon PN pula dijangka dibuat pada 30 Okt, kecuali Terengganu pada 3 Nov.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA