Tag: Ahmad Marzuk Shaary

  • Cara hidup songsang LGBT di luar batas kehaiwanan – Ahmad Marzuk

    Cara hidup songsang LGBT di luar batas kehaiwanan – Ahmad Marzuk

    DATUK Ahmad Marzuk Shaari (PN-Pengkalan Chepa) menyifatkan gaya hidup komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebagai songsang dan di luar batasan kehaiwanan.

    “Bila sebut tentang LGBT, saya yakin manusia yang normal, akal pemikiran yang betul tidak akan menyokong LGBT ini.

    “Kalau ada yang bercakap ini adalah hak human rights, ini bukan manusia. Perbuatan songsang seperti ini melepasi batasan kehaiwanan, lembu jantan sama jantan takkan kahwin, lembu betina dengan betina takkan kahwin, itu haiwan, ini kan pula manusia,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Indeks Perpaduan Nasional di Dewan Rakyat hari ini.

    Bekas timbalan menteri hal ehwal agama itu berkata, kerajaan PN sebelum ini memandang serius mengenai isu LGBT dan membentuk sebuah pasukan petugas untuk menangani isu itu.

    “Saya yakin MP di sini tidak bersetuju dengan LGBT ini. Sebab itu saya nak seru di sini supaya perkara ini yang boleh menjejaskan indeks perpaduan, kerajaan dan kementerian berkenaan lebih menitik beratkan soal ini dan bawa satu naratif yang lebih holistik, dalam menyelesaikan isu LGBT,” katanya.

    Sementara itu Ahmad Marzuk mengingatkan tentang sejarah bandar Rom, Pompeii yang musnah akibat letusan gunung berapi pada 79 Masihi.

    “Kita tahu sejarah Pompeii itu bagaimana, supaya tak berulang dan tidak mengundang kemurkaan Allah dalam perkara songsang ini,” katanya yang turut mengingatkan kisah kaum nabi Lut yang ditimpakan bencana oleh Allah kerana perbuatan homoseksual mereka.

    “Cuma saya agak terkilan bila tiga penggal di sini, kita bercakap nak lawan LGBT, kita tidak pernah rakan-rakan DAP yang nak lawan LGBT ini.

    “Tak dengar pun, saya tak pernah dengar. Saya tidak kata mereka setuju tapi tak nampak mereka tak setuju.

    “Bila di kementerian agama, kita tubuh taskforce untuk tangani isu LGBT tapi sayangnya sahabat-sahabat kita belum bertindak dengan lebih agresif untuk zahirkan ketidaksetujuan mereka,” katanya.

  • Ingat jasa Sultan Kelantan beri pengampunan, PN beritahu Anwar

    Ingat jasa Sultan Kelantan beri pengampunan, PN beritahu Anwar

    SEORANG anggota Dewan Rakyat mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingati jasa Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang berkenan memberi pengampunan diraja kepada beliau, ketika kerajaan bertegas tidak akan memberikan royalti minyak 5% kepada Kelantan dan Terengganu.

    Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, Sultan Muhammad ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membebaskan Anwar yang ketika itu dipenjarakan atas kesalahan liwat.

    Justeru, Anwar digesa menjunjung titah Sultan Muhammad yang mahu tuntutan bayaran petroleum kepada negeri Kelantan dapat ditunaikan mengikut perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

    “Kawasan joint-development area, sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand jaraknya dengan pantai Bachok hanya 145 kilometer.

    “Tetapi keputusan kerajaan pada 1996 yang mana Tambun (Anwar Ibrahim) sebagai menteri kewangan ketika itu telah melarikan pendaratan ke Songkhla, jaraknya 230 kilometer.

    “Kalau hendak mengangkat martabat Melayu, Melayu ada mana di Songkhla? Kalau hendak menoktahkan miskin tegar, sepatutnya ia didaratkan di Bachok,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Anwar dibebaskan selepas mendapat pengampunan diraja, sejurus selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.

    Menurut Marzuk, Sultan Muhammad juga pernah menitahkan agar hasil bumi itu dapat didaratkan di Kelantan yang telah menyiapkan zon industri petroleum di Pantai Bachok sejak 1990.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum kerana negeri tersebut hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika, menurut Akta Laut Wilayah 2012.

    Sementara itu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata deposit gas dan minyak di negara ini melangkaui jarak tersebut.

    Tambahnya, 50% dana pembangunan infrastruktur dalam Belanjawan 2023 diberikan kepada negeri Kelantan, Terengganu, Kedah selain Sabah dan Sarawak.

    Terdahulu, Perikatan Nasional PN pernah menjanjikan pembayaran penuh royalti minyak kepada Kelantan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

  • “Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir” – Ahmad Marzuk

    “Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir” – Ahmad Marzuk

    SEORANG ahli Parlimen Pembangkang menasihatkan kerajaan agar tidak sewenang-wenangnya menjual aset Lembaga Tabung Haji (TH).

    Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN – Pengkalan Chepa) berkata, jika tetap mahu menjual aset TH, kajian dan langkah strategik perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

    Beliau turut memuji dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membatalkan penjualan 76,000 hektar tanah milih TH.

    “Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada waktu itu dengan usaha daripada Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang kuat pertahankan ladang-ladang ini tidak dijual.

    “Saya bimbang ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini sebagai back door untuk melaksanakan agenda tertangguh Pakatan Harapan pada 22 bulan yang tak sempat dilaksanakan.

    “Jangan ingat lebai-lebai yang berada di Tabung Haji itu hanya pandai buat bisnes haji dan umrah sebagaimana Pandan (Rafizi Ramli) yang selalu menyindir lebai-lebai.

    “Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir. Jadi lebai, mentadbir Kelantan selama 23 tahun tanpa ada sebarang ketirisan,” katanya, hari ini lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkaitan jaminan ekuiti Bumiputera disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan beliau mahu TH, Felda mengembalikan fungsinya.

  • Nikah guna khidmat sindiket boleh jadi tidak sah

    Nikah guna khidmat sindiket boleh jadi tidak sah

    PERKAHWINAN menggunakan khidmat sindiket nikah dibimbangi tidak dijalankan mengikut hukum syarak seterusnya boleh menyebabkan perkahwinan itu tidak sah.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan yang jelas, justeru pasangan pengantin seharusnya memilih kaedah yang telah disahkan.

    “Sindiket nikah tiada autoriti untuk melaksanakan perkahwinan, masyarakat di luar sana yang tidak arif dengan prosedur perkahwinan akan menganggap apa yang dilakukan sindiket nikah adalah betul sedangkan ia tidak betul.

    “Jika SOP perkahwinan tidak diikuti dengan betul, maka perkahwinan itu tidak sah. Perkara ini perlu diambil berat oleh pasangan yang ingin berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Program TH Prihatin Negeri Kelantan di Lembaga Tabung Haji Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    Beliau mengulas mengenai seruan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kepada pasangan yang bernikah menggunakan khidmat sindiket ‘Lebai Lah’ dari Kuala Krai supaya tampil menghubungi jabatan berkenaan.

    Langkah tersebut dibuat untuk mengesahkan sama ada pendaftaran pernikahan mereka sah mengikut hukum syarak atau sebaliknya berikutan penahanan bekas imam itu pada 28 Okt lepas.

    Sementara itu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa meminta masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah untuk menunaikan ibadah umrah.

    “Masyarakat juga perlu memilih ejen berdaftar supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

    “Umrah ini di bawah kelolaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). MOTAC telah meletakkan harga lantai umrah ialah RM6,900 dan harga itu yang paling murah,” katanya. – BERNAMA

  • Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    KEYAKINAN pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat kembali pulih selepas beberapa isu berkaitan institusi tersebut diselesaikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    Beliau berkata, satu ketika dahulu pendeposit mengeluarkan wang mereka apabila wujud dakwaan berlaku penyelewengan dan sebagainya, namun tindakan yang sama tidak lagi berlaku.

    “Kami sedang menyusun dan merangka strategi untuk memantapkan lagi pengurusan TH, terbaru TH Plantations telah menukar pengurusan baharu.

    “Insya-Allah projek berkaitan operasi ladang TH yang menjana keuntungan besar itu juga akan lebih berdaya saing, maju dan segala keuntungan akan dipulangkan kepada pendeposit,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah di Kampung Gong Tengah, Pengkalan Chepa, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, ketika ini TH memiliki kira-kira sembilan juta pendeposit, jumlah tersebut turut memberi gambaran keyakinan masyarakat kepada institusi itu.

    “Ini juga memberi gambaran keyakinan bahawa TH sebuah institusi yang menjaga bukan sahaja persiapan ibadat haji malah satu platform pelaburan kepada orang Islam di negara ini.

    “Kami akan terus tingkatkan daya saing dari segi pengurusan untuk menjana keuntungan seterusnya memberi pulangan kepada masyarakat,” katanya. – BERNAMA

  • Ajaran PMYT bercanggah hukum syarak – Ahmad Marzuk

    Ajaran PMYT bercanggah hukum syarak – Ahmad Marzuk

    MESYUARAT Khas Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MFK) telah memutuskan bahawa ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) bercanggah dengan agama Islam, bertentangan dengan hukum syarak dan membahayakan keselamatan negara.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata keputusan itu diputuskan pada mesyuarat minggu lepas yang turut dihadiri para mufti dan beliau sendiri.

    “Alhamdulillah keputusan sudahpun keluar dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap wanita itu dan lebih 1,000 pengikutnya.

    “Kita juga merasakan kes ini akan ditutup dalam masa terdekat dan yang tinggal hanyalah proses pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sini hari ini.

    Beliau berkata susulan keputusan dibuat oleh MFK, terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri untuk mewartakan mengenai ajaran tersebut.

    Ahmad Marzuk turut menasihati masyarakat agar tidak mencari ‘jalan pintas’ ke syurga dengan pelbagai cara sebaliknya kembali kepada ketulenan ajaran Islam dengan merujuk kepada pihak majlis agama negeri.

    “Kita boleh merujuk kepada hadis dan al-Quran yang sebenarnya sudah ada panduan lengkap cara mengamalkan agama,” katanya.

    Beliau berkata hukuman akan diputuskan oleh mahkamah terhadap wanita yang juga pengasas ajaran itu dan pengikutnya boleh dikenakan penjara serta denda.

    Katanya, sebelum terbabit, wanita berkenaan sudah dinasihatkan oleh suaminya supaya tidak meneruskan ajaran berkenaan.

    “Saya difahamkan, suami wanita itu tidak menjadi pengikut isterinya, sebaliknya pengikut wanita itu adalah dalam kalangan mereka yang dikenali secara dalam talian,” katanya.- BERNAMA