Tag: Ahmad Idham

  • Hamid Bador, Ahmad Idham senarai calon GTA Negeri Sembilan

    Hamid Bador, Ahmad Idham senarai calon GTA Negeri Sembilan

    BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan penerbit serta pengarah Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, antara dua individu yang disenaraikan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Negeri Sembilan.

    Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail, berkata Abdul Hamid termasuk dalam senarai yang dicadangkan sebagai calon gabungan itu untuk bertanding di Parlimen Rembau.

    Katanya, manakala Ahmad Idham pula dicadangkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

    “Kedua-dua nama individu berkenaan termasuk dalam senarai yang saya bawa ke peringkat pucuk pimpinan sebagai calon GTA Negeri Sembilan menerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    “Hamid Bador dicalonkan bagi Parlimen Rembau manakala Ahmad Idham bagi kerusi Parlimen Port Dickson.

    “Keputusan sama ada mereka terpilih sebagai calon atau sebaliknya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya lapor Harian Metro, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Jani yang juga Timbalan Pengerusi GTA serta Ketua Pejuang Negeri Sembilan, berkata GTA perlu meletakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham bagi memberikan saingan sengit di kedua-dua kerusi terbabit.

    “Bagi saya buat masa ini dialah (Abdul Hamid) calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau, lebih-lebih lagi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun keputusan muktamad akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tidak lama lagi, namun Ahmad Idham yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan, dilihat tokoh yang boleh memberikan saingan di kerusi Port Dickson.

    “Kita (GTA) perlu letakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini,” katanya.

    Dalam pada itu, katanya, GTA Negeri Sembilan menyambut baik dan menyokong penuh hasrat gabungan itu untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 ini.

    “GTA Negeri Sembilan sambut baik usaha menjalinkan kerjasama dengan PN dan yakin ianya akan dapat memperkukuhkan lagi gerak kerja jentera pilihan raya bagi mencapai kemenangan besar,” katanya.

    Sementara itu, Mohamad Jani berkata, pelancaran jentera pilihan raya gabungan itu bagi peringkat Negeri Sembilan dijadual akan diadakan pada 23 Oktober ini.

    “Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan akan hadir dan melancarkan program berkenaan, yang akan diadakan di Senawang,” katanya.

  • Ahmad Idham letak jawatan CEO FINAS

    Ahmad Idham letak jawatan CEO FINAS

    PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sudah menyatakan hasrat meletak jawatan dalam mesyuarat Ahli Lembaga pada Khamis lalu.

    Memetik BH Online, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, Ahli Lembaga FINAS bersetuju melepaskan Ahmad Idham dan menyokong penuh perjalanan kerjaya seterusnya.

    “Perasaan kami tentulah sedih dan gembira seperti dinyatakan dalam mesyuarat Ahli Lembaga FINAS.

    “Sedih kerana terpaksa melepaskan ketua komandan, tentulah rasa kehilangannya. Kami berjuang bersama dalam membantu menggerakkan dan membangunkan industri seni kreatif pada era pandemik.

    “Terlalu banyak agenda dirancang dan dilaksanakan. Walaupun antaranya masih tertangguh dan baru hendak bermula disebabkan penularan serta peningkatan kes COVID-19,” katanya hari ini.

    Bagaimanapun, katanya, Ahli Perbadanan FINAS tetap gembira kerana Ahmad Idham beralih ke kementerian yang membuka ruang untuk industri kreatif melakukan anjakan lebih besar.

    “Dalam bersedih, kami tetap gembira dengan lonjakan kerjaya Ahmad Idham.

    “Apa yang dilihat, ia membuka ruang lebih besar untuk Ahmad Idham mengembangkan industri kreatif ke peringkat global. Kami mengharapkan Ahmad Idham dapat melaksanakan tugasan baharu dengan lebih cemerlang.

    “Ahli Perbadanan FINAS akan segera mengemukakan surat peletakan jawatan Ahmad Idham kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa untuk kelulusan,” katanya.

    Zakaria mengulas khabar angin mengenai Ahmad Idham akan beralih ke kementerian lain menerusi ruangan Desas Desus dalam sisipan B*POP, BH, hari ini.

    Desas-desus bertiup kencang mengatakan Ahmad Idham akan menyandang jawatan penting di sebuah kementerian bertaraf diplomat.

    Difahamkan, tugasan baharu Ahmad Idham masih berkaitan dunia seni, kreatif dan budaya. Namun, tugasan lebih mencabar apabila membawa budaya, muzik dan filem ke mata dunia.