Tag: Ahmad Faizal Azumu

  • Tak wajar hukum jurulatih Ziyad, kata Ahmad Faizal

    Tak wajar hukum jurulatih Ziyad, kata Ahmad Faizal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN jurulatih, Faizol Harun mengaku bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku ke atas bintang paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Tokyo baru-baru ini, tidak boleh dijadikan sandaran untuk mana-mana pihak menjatuhkan hukuman ke atasnya.

    Malah, menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebarang tindakan yang diambil terhadap pihak bertanggungjawab perlulah bersifat mendatangkan keuntungan dan tidak hanya berbentuk hukuman yang semata-mata merugikan negara.

    “Kalau bercakap tentang tanggungjawab, semua pihak perlu ambil tanggungjawab. Bukan hanya jurulatih Ziyad malah saya sendiri serta Chef de Mission (CDM), Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) juga perlu ambil tanggungjawab dalam isu ini.

    “Tetapi apabila bercakap tentang tindakan yang hendak diambil, kita bukan hanya tumpukan kepada hukuman sebaliknya apa usaha untuk pastikan kejadian ini tidak berlaku lagi serta tindakan yang boleh diambil bagi menambah baik keadaan. Itu yang paling penting,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Majlis Belia Daerah Yan di Yan, Kedah, hari ini.

    Terdahulu, Ahmad Faizal mengunjungi serta menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa tragedi kepala air di Yan yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

    Tambahnya, beliau amat memahami keresahan rakyat berhubung kejadian itu malah dirinya juga turut merasa kecewa dengan apa yang berlaku.

    “Namun jika benar jurulatih tersebut bertanggungjawab sekali pun, adakah wajar kita menghukum agar beliau tidak boleh melatih lagi? Dalam keadaan beliau sudah berjaya mencungkil bakat ke peringkat tertinggi dunia, saya fikir amat merugikan sekiranya jurulatih itu dihukum hanya semata-mata kerana satu kesilapan,” katanya.

    Ketika bercakap kepada media sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jepun semalam, Faizol menzahirkan harapannya agar semua pihak tidak menuding jari antara satu sama lain terhadap apa yang berlaku.

    Sebaliknya kata Faizol, beliau bertanggungjawab kepada semua yang berlaku hingga menyebabkan Muhammad Ziyad terlepas pingat emas walaupun telah menampilkan aksi bertenaga dengan turut mencatatkan lontaran mengatasi rekod dunia.

    Beliau malah tidak menganggap isu itu sebagai sabotaj dari pihak lawan sebaliknya terjadi kerana sedikit kesilapan teknikal.

  • Ahmad Faizal syorkan nama kerajaan PN dikekalkan

    Ahmad Faizal syorkan nama kerajaan PN dikekalkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN baharu disyorkan mengekalkan nama Perikatan Nasional (PN) kerana PN masih mendominasi gabungan itu selain dianggotai Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

    Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengesyorkan penggunaan itu berkata, ini kerana ahli Parlimen yang mendokong PN seramai 77 orang manakala BN pula seramai 41 Ahli Parlimen.

    “Jadi, kami percaya ia mewakili kerajaan PN,” katanya yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas selesai mesyuarat PN di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sejak semalam, wujud perselisihan antara pemimpin UMNO dan Bersatu mengenai nama kerajaan baharu yang dipimpin Ismail Sabri.

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kelmarin mempertikaikan penggunaan nama kerajaan PN dalam kenyataan dikeluarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, dengan mendakwa itu rujukan kepada kerajaan terdahulu.

    Katanya, kerajaan dulu ialah gabungan BN, PN, PBS dan GPS, bukannya kerajaan PN.

    Seramai 114 Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sebelum ini membabitkan parti komponen PN (54), BN (41), Gabungan Parti Sarawak (18) serta seorang ahli Parlimen daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).

  • Faizal Azumu dilantik Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf menteri

    Faizal Azumu dilantik Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf menteri

    Oleh: Bernama

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri.

    Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Ahli Parlimen Tambun dan mantan Menteri Besar Perak itu bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.

    “Pejabat ini mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikan ini,” maklum kenyataan itu hari ini. – BERNAMA