Tag: ahli politik

  • Saya hanya akan jawab kepada pihak berkuasa, bukan ahli politik

    Saya hanya akan jawab kepada pihak berkuasa, bukan ahli politik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, tiada keperluan untuknya menjawab setiap persoalan ditimbulkan ahli politik lawan di media sebelum ini termasuk mengenai pentadbiran Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah berhubung isu unsur nadir bumi (REE).

    Katanya, beliau hanya akan memberi kerjasama dan menjawab soalan mana-mana pihak berkuasa kerana merekalah pihak yang selayaknya melakukan siasatan dan diberikan jawapan.

    Menurutnya, kalangan ahli politik itu sengaja ‘gatal’ mulut untuk bertanya sedangkan mereka sebenarnya sudah memiliki jawapan kepada setiap persoalan yang diajukan itu.

    “Sebenarnya mereka dah ada semua jawapan tetapi saja ‘gatal’ mulut nak tanya. Mereka tahu orang itu sudah ditangkap serta dikurung dan siasatan sudah dijalankan. Jadi kenapa tanya saya lagi?

    “Ini satu perbuatan yang tidak munasabah dan saja nak main-main. Apabila kita perhatikan semula semua operasi dijalankan ini, semakin hari semakin jelas ia telah dipolitikkan walaupun siasatan dijalankan oleh agensi penguatkuasa kerajaan.

    “Jadi ‘hangpa’ janganlah tunjuk sangat sebab mereka ini adalah agensi awam yang buat kerja untuk negara, bukan untuk orang politik. Benda ini boleh disiasat lama dulu atau kemudian tetapi ‘ditekan’ untuk dibuat masa ini untuk memberi gambaran tertentu demi kepentingan politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Bagi Tahun Kewangan 2022 dan 2023 di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Beliau menambah, tugas untuk mengimport pekerja dari China bukanlah kerja seorang Menteri Besar dengan beliau sendiri banyak kerja lain yang perlu diselesaikan melibatkan pentadbiran negeri.

    “Kerja-kerja itu dibuat oleh syarikat dan saya bukan ada kuasa eksekutif kepada syarikat-syarikat itu. Saya ini kerjanya membuat dasar kerajaan,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini beliau merasakan berlaku suasana yang menjuruskan masyarakat untuk mengesyaki bahawa agensi-agensi terlibat, disalah guna oleh kumpulan politik berkuasa bagi menimbulkan persepsi kononnya timbul salah laku dalam kalangan pihak tertentu.

    “Agensi-agensi ini tak patut bertindak mengikut kehendak politik kerana mereka menjaga kepentingan negara dengan ketaatannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukan kepada elit politik yang berkuasa.

    “Tidaklah bermaksud saya tak mahu disiasat tetapi siasatan itu mesti ada maksud yang jelas. Kerajaan mungkin boleh berubah dan kalaulah mereka yang berkuasa selepas ini buat ‘kerja’ sebegini pula, sampai bila nak selesai?” katanya.

    Beliau dalam pada itu mengharapkan agar semua pihak termasuk ahli politik menghormati ‘petak’ masing-masing dan tidak masuk ke ‘petak’ orang lain.

    “Saya hanya akan jawab kepada pihak berkuasa dan bukan ahli politik. Itu bukan kerja mereka dan ‘depa’ sepatutnya hormatlah kerja orang.

    “‘Hang’ kerja sebagai Menteri Dalam Negeri tetapi jadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Menteri Kewangan itu kenapa? Jagalah petak masing-masing kerana sekarang ini nampaknya ‘Madanon’ ini semua dah berselerak,” katanya.

  • 5 ahli politik ditahan bantah kerjasama GPS-PN

    5 ahli politik ditahan bantah kerjasama GPS-PN

    PRESIDEN Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan bersama empat lagi pemimpin parti itu ditahan di Kuching, semalam, kerana terbabit dalam bantahan terhadap kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Perikatan Nasional (PN).

    Lapor Berita Harian, kesemua ahli politik itu difahamkan menaiki lima kenderaan berkonvoi sekitar bandar raya ini sambil melaungkan ‘Say no to PAS’ petang kelmarin.

    Bantahan itu diadakan kerana parti terbabit tidak menerima Pas yang menjadi komponen utama PN.

    Sumber berkata, kelima-lima ahli politik itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga, di Kuching, kira-kira pukul 11 malam tadi.

    Jurucakap polis berkata, siasatan terhadap lima ahli politik itu dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Lee Shan dalam hantaran di akaun Facebooknya berkata, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini.

    Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mengumumkan keputusan GPS untuk menyertai kerajaan campuran bersama PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

  • Datuk, ahli politik Malaysia pilih selatan Thailand bernikah

    Datuk, ahli politik Malaysia pilih selatan Thailand bernikah

    LEBIH 500 pasangan dari Malaysia telah bernikah di selatan Thailand, sejak pintu sempadan negara itu dibuka pada awal Mei lepas hingga sehingga kini.

    Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Narathiwat, Abd Rahman Yusuf berkata, kedatangan pasangan dari Malaysia menunjukkan trend peningkatan terutama membabitkan orang kenamaan bergelar Datuk.

    Abd Rahman Yusuf

    Beliau yang juga Ketua Persatuan Imam, Khatib dan Bilal Sungai Golok, berkata pernikahan dikendalikan pihaknya turut membabitkan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan.

    Tambahnya lagi, kebanyakan lelaki yang melangsungkan pernikahan di sini adalah untuk berpoligami atau mengahwini janda.

    “Ramai yang datang ke sini untuk menyelesaikan permasalahan mereka. Kebanyakannya orang kenamaan yang berpangkat Datuk.

    “Kesukaran untuk berkahwin lagi (di Malaysia), membuatkan mereka mencari penyelesaian mendaftarkan perkahwinan di sini. Di sini lebih mudah dan ia adalah sah.

    “Selepas itu, pasangan tersebut boleh terus mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia dengan mudah,” katanya, lapor Astro Awani.

    Menurut Abd Rahman, perkahwinan di Masjid Kedai Baru, Narathiwat adalah yang satu-satunya proses sah bagi pengeluaran sijil nikah dari Thailand yang mempunyai pengesahan daripada Konsulat Malaysia di Songkhla.

    “Hanya sijil pernikahan yang dikeluarkan daripada kita sahaja (Narathiwat) yang mendapat pengiktirafan di Konsulat Malaysia,” jelasnya.

    Ditanya mengenai dokumen yang diperlukan, Abd Rahman berkata, bagi pasangan yang mahu mendaftar perkahwinan, mereka perlu menyediakan wang tunai RM900 bersama dokumen perjalanan seperti pasport atau pas sempadan.

    Selain itu, mereka perlu menyediakan kad pengenalan, surat cerai yang asal bagi janda atau surat kematian suami yang asal bagi balu.

    Media sebelum ini melaporkan, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid menasihati rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak melengahkan pendaftaran perkahwinan apabila kembali ke tanah air.

    Beliau berkata, pendaftaran perlu dilakukan bagi mengelak berlaku masalah pada masa akan datang.

  • PRU-15 ketika banjir: “Yang berkempen bukan bomba, tapi ahli politik” – Asyraf Wajdi

    PRU-15 ketika banjir: “Yang berkempen bukan bomba, tapi ahli politik” – Asyraf Wajdi

    PEMUDA UMNO berpendapat tiada sebarang isu sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terpaksa berdepan dengan situasi banjir kerana kerajaan dilihat sudah bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.

    Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perihal pilihan raya juga hanya melibatkan ahli politik.

    Tegas beliau, terdapat sebilangan pihak yang memainkan isu banjir seolah-olah kerajaan tidak wujud.

    “Kerajaan masih ada, yang berkempen bukan pasukan bomba, NADMA, bukan PDRM dan Rela… yang terlibat hanya orang parti politik,” katanya, lapor Astro Awani dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, hari ini.

    Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan (caretaker) sedia ada sudah pasti bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah memberikan gambaran yang jelas.

    Dalam masa sama, Asyraf Wajdi menegaskan, lazimnya, Pemuda UMNO merupakan antara yang terawal turun padang sekiranya berlaku insiden banjir.

    Penglibatan Pemuda UMNO sudah terbukti semasa bencana banjir di Baling, Kedah beberapa bulan lalu, apabila pihaknya antara terawal membantu agensi terlibat.

    Kata Asyraf Wajdi juga, kebiasaannya musim tengkujuh berlaku secara berfasa dan tidak terjadi serentak melibatkan seluruh negara.

  • Kes ahli politik disyaki cederakan individu diserah kepada Pejabat Timb. Pendakwa Raya

    Kes ahli politik disyaki cederakan individu diserah kepada Pejabat Timb. Pendakwa Raya

    POLIS telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes melibatkan seorang ahli politik yang dipercayai mencederakan individu yang membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda Berbahaya).

    “Kita telah serahkan kertas siasatan pagi tadi dan sedang menunggu bila individu ini akan dituduh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Beh berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sejak tengah malam Sabtu bagi membantu siasatan kes.

    Pada Jumaat, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun luka di pergelangan tangan kiri dengan kedalaman tiga sentimeter selepas ditoreh oleh suspek pada 4 petang di Jalan Ipoh, di sini.

    Siasat polis mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham berikutan mangsa telah membuat aduan berhubung kesalahan penyelewengan wang suspek kepada SPRM- BERNAMA