Tag: ahli perniagaan malaysia

  • Manipulasi pasaran saham: Ahli perniagaan Malaysia dipenjara 36 tahun di Singapura

    Manipulasi pasaran saham: Ahli perniagaan Malaysia dipenjara 36 tahun di Singapura

    SEBUAH mahkamah Singapura menjatuhi hukuman penjara 36 tahun ke atas ahli perniagaan Malaysia John Soh Chee Wen kerana menjadi dalang bagi salah satu manipulasi pasaran saham terbesar republik itu.

    Menurut laporan The Straits Times, pengkomplotnya Quah Su-Ling turut dijatuhi hukuman 20 tahun.

    Kedua-duanya didapati memanipulasi harga saham Kumpulan Blumont, Asiasons Capital dan Lion-Gold Corp – secara kolektif dikenali sebagai BAL – antara Ogos 2012 dan Oktober 2013, dan melenyapkan hampir SGD8 bilion (RM27 bilion) dalam permodalan pasaran pada akhir kegiatan mereka.

    Lapor Free Malaysia Today, kedua-duanya merayu hukuman yang dijatuhkan.

    Soh disabitkan atas beberapa tuduhan, termasuk manipulasi pasaran dan perdagangan palsu.

    Penjatuhan hukuman ini menjadi penutup hampir 200 hari perbicaran, dengan 349 tuduhan berjaya.

    Pendakwa raya memohon hukuman penjara 40 tahun untuk Soh, yang disabitkan atas 180 tuduhan, dan 19 tahun setengah untuk Quah, yang disabitkan atas 169 tuduhan.

    Soh, 63, telah direman sejak 2016, manakala Quah, 58, bekas ketua eksekutif Ipco (kini dinamakan semula sebagai Renaissance United), bebas dengan jaminan SGD4 juta (RM13 juta).

    The Straits Times sebelum ini melaporkan pihak pendakwaan sebagai berkata, skim Soh melibatkan lebih 50 individu, termasuk ketua pegawai eksekutif dan individu bernilai tinggi.

  • Ahli perniagaan Malaysia ‘Fat Leonard’ diberkas di Venezuela

    Ahli perniagaan Malaysia ‘Fat Leonard’ diberkas di Venezuela

    AHLI perniagaan warga Malaysia, Leonard Glenn Francis yang melarikan diri daripada tahanan rumah di San Diego, awal bulan ini selepas mengaku bersalah dalam skandal rasuah tentera laut Amerika Syarikat (AS) ditahan di Venezuela pagi kelmarin.

    Portal NBC News melaporkan, lelaki yang dikenali sebagai ‘Fat Leonard’ ditahan ketika cuba menaiki pesawat di lapangan terbang antarabangsa Caracas.

    Pegawai kanan Polis Antarabangsa (INTERPOL) di Venezuela, Carlos Garate Rondon berkata, Francis memasuki negara itu dari Mexico sebelum Cuba dan destinasi terakhirnya adalah Rusia.

    Dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simón Bolívar di ibu negara Venezuela dan kekal dalam tahanan sementara menunggu proses ekstradisi oleh pihak berkuasa AS.

    Francis dilaporkan melarikan diri dengan memotong gelang peranti pemantauannya pada 4 September sebelum melarikan diri dari kediamannya di San Diego.

    Pada 2015, dia mengaku bersalah merasuah pegawai tentera laut AS dalam skandal bernilai AS$35 juta (RM160 juta) setelah ditahan pada 2013.

  • Kes rasuah kapal tentera laut AS: Ahli perniagaan Malaysia lari tahanan rumah

    Kes rasuah kapal tentera laut AS: Ahli perniagaan Malaysia lari tahanan rumah

    SEORANG ahli perniagaan Malaysia yang terlibat dengan skandal rasuah besar Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) telah melarikan diri dari tahanan rumah menjelang keputusan mahkamah untuk memotong gelang kaki pemantauannya.

    San Diego Union-Tribune dalam laporannya yang dipetik Astro Awani melaporkan, Leonard Glenn Francis, lebih dikenali sebagai ‘Fat Leonard’, melarikan diri dengan memotong gelang kaki GPSnya pada Ahad tanpa kebenaran.

    Pemeriksan pihak polis turut mendapati rumahnya telah dikosongkan, laporan memetik Timbalan Penyelia Marsyal AS Omar Castillo, semalam.

    Francis didakwa apabila memberikan wang tunai kepada pegawai Tentera Laut, makanan gourmet, cerut mahal, arak mewah dan pesta seks liar di hotel mewah, sebagai ganjaran pertukaran kontrak.

    Penguatkuasaan undang-undang tempatan dan Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut AS sedang menggiatkan usaha memburu Francis.

    Jiran Francis melaporkan mereka ternampak trak bergerak masuk dan keluar dari rumahnya sejak beberapa hari lalu.

    Leonard, yang telah bekerjasama dengan penyiasat Ameriaka, dibebaskan dengan cuti perubatan dan telah berada di bawah tahanan rumah dan sepatutnya dijatuhkan hukuman pada 22 September.

    Pada 2015, Leonard mengaku bersalah merasuah pegawai Tentera Laut sebagai sebahagian daripada skim rasuah dan penipuan meluas yang melibatkan syarikatnya Glenn Defence Marine Asia yang berpangkalan di Singapura, yang memberi perkhidmatan kepada kapal di Armada Pasifik Tentera Laut.

    Jabatan Kehakiman Amerika menggelar skim itu sebagai penipuan besar melibatkan puluhan juta dolar yang merugikan Tentera Laut AS sekali gus melibatkan pertuduhan terhadap lebih 30 orang.

    Kebanyakannya mengaku bersalah atau disabitkan kesalahan ketika perbicaraan.