Tag: ah long

  • Bantu ah long simbah cat, bakar kereta untuk kurangkan hutang sendiri

    Bantu ah long simbah cat, bakar kereta untuk kurangkan hutang sendiri

    TERDESAK untuk mengurangkan hutang dengan ah long dari Singapura, dua lelaki sanggup mengambil upah daripada ah long sama untuk mengugut peminjam lain dengan menyimbah cat dan membakar kereta.

    Malah, dua lelaki tempatan itu turut mengajak dua wanita lain dipercayai teman wanita mereka untuk bersekongkol dalam perbuatan khianat tersebut.

    Bagaimanapun, selepas berjaya membakar sekurang-kurangnya tiga buah kenderaan dalam kejadian di Pulau Pinang, keempat-empat mereka yang berusia 22 hingga 33 itu akhirnya ditahan polis dalam serbuan berasingan di Ipoh, Perak pada 4 dan 6 Mei lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, terdahulu polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan kereta Perodua Kelisa milik anaknya dibakar pukul 4.20 pagi di Bukit Tengah, 30 April lalu.

    Pada tarikh sama, ujar beliau, polis turut menerima dua lagi laporan yang membabitkan kejadian membakar kereta masing-masing jenis Perodua Kelisa dan Perodua Alza iaitu di Bukit Minyak dan Air Itam.
    Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang terlibat dalam kejadian itu menggunakan kereta jenis Toyota Yaris berwarna merah.

    “Hasil risikan polis berjaya mengesan kedudukan kereta itu di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh dan ketika serbuan dilakukan pukul 12.05 tengah malam 4 Mei lalu, seorang lelaki dan teman wanitanya yang sedang tidur di dalam kereta itu telah ditahan.

    “Hasil soal siasat ke atas mereka kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta, Perak sebelum polis menahan seorang lagi suspek wanita di Kampung Simee, Ipoh, 6 Mei lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgerown hari ini.

    Tambahnya, siasatan, polis mendapati dua suspek lelaki terbabit meminjam wang sekitar RM1,000 hingga RM2,000 daripada seorang ah long dari Singapura yang dikenali sebagai Tian.

    Ujarnya, mereka menerima arahan terus daripada ah long berkenaan untuk melakukan khianat kepada peminjam lain yang gagal membayar hutang dan diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go E-Wallet.

    ”Teman wanita suspek pertama didapati membantu suspek menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps, manakala seorang lagi wanita berperanan menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat,” katanya.

    Jelas beliau, mereka melakukan jenayah itu sejak pertengahan Mac lalu dengan menumpukan kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

    Tambahnya, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti kes-kes lain yang dilakukan sindiket terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951/ Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

  • 12 wanita antara 18 suspek sindiket along haram

    12 wanita antara 18 suspek sindiket along haram

    POLIS Selangor menahan 18 individu warga tempatan termasuk 12 wanita disyaki terlibat dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen dalam serbuan di sebuah premis di Kajang, Khamis lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, ACP Azman Ali berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menyerbu sebuah premis di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua, Kajang pada 10.20 pagi dan bertindak menahan kesemua individu yang berumur lingkungan 18 hingga 52 tahun itu.

    Azman berkata, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas.

    “Hasil pemeriksaan, pihak kami turut merampas dokumen dan barangan antaranya komputer; fail mengandungi dokumen peminjam; kad ATM pelbagai bank dan wang tunai berjumlah RM21,598,” katanya dalam kenyataan.

    Azman berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • 4 wanita antara 10 suspek sindiket ah long online

    4 wanita antara 10 suspek sindiket ah long online

    SERAMAI empat wanita tempatan merupakan antara 10 individu warga tempatan yang ditahan selepas disyaki menjadi ahli sindiket yang menawarkan pinjaman wang secara haram di Pulau Pinang.

    Kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan BSJK IPD Seberang Perai Selatan (SPS) di sebuah premis di Nibong Tebal kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Lee Chong Chern berkata, serbuan menerusi Op Vulture itu turut menemukan sejumlah peralatan elektronik yang mencurigakan.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mengesyaki premis berkenaan menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang secara online tanpa lesen dan pusat panggilan bagi kegiatan mengutip hutang.

    “Selain menahan kesemua individu terbabit, kita turut merampas peralatan seperti komputer riba, telefon bimbit dan kad prabayar yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

  • Padah ugut bapa pemimpin MCA, ah long dipenjara 5 bulan

    Padah ugut bapa pemimpin MCA, ah long dipenjara 5 bulan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG ah long dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai, hari ini setelah didapati bersalah mengugut bapa kepada Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA pada September lalu.

    Tertuduh, Teng Chee Sing, 34, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah melakukan perbuatan ugut melalui panggilan telefon dengan mengugut mangsa berusia 58 tahun untuk membakar rumahnya menggunakan nombor telefon persendirian.

    Perbuatan terbabit dilakukan tertuduh di hadapan sebuah bank di Indahpura Kulai pada pukul 12.46 tengah hari, 21 September lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 kanun sama iaitu penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah menjatuhi hukuman penjara selama lima bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Oktober lalu.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edlynn Wong dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman, Hidayah Asri.

    Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan seorang lelaki ditahan pada pukul 2.45 petang di Taman Abad pada 31 Oktober lalu.

    Suspek ditahan kerana mengugut bapa kepada Chua Jian Boon yang juga Timbalan Pengerusi MCA Kulai. Jian Boon antara pemimpin yang aktif memerangi kegiatan ah long di daerah itu sebelum ini.

    Terdahulu, kediaman Jian Boon di Jalan Sri Putri 1/8, Taman Putri Kulai dan dua keretanya turut disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian pada pukul 11.15 malam, pada 7 Oktober lalu.

  • Polis tumpas sindiket ah long dengan pinjaman RM1.5 juta

    Polis tumpas sindiket ah long dengan pinjaman RM1.5 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ah long yang melibatkan pinjaman RM1.5 juta tumpas selepas menahan tiga lelaki warga tempatan di Johor Bahru pada 18 Ogos lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga suspek itu berusia 27 hingga 47 tahun dan hasil siasatan mendapati sindiket itu sudah beroperasi di daerah ini sejak hujung tahun lalu.

    Jelasnya, mereka menyasarkan mangsa yang terdiri daripada peniaga khususnya peniaga kecil dengan jumlah pinjaman ditawarkan antara RM1,000 hingga RM100,000 denga kadar faedah bulanan 8 hingga 15 peratus.

    “Setakat ini seramai 80 peminjam dikesan menjadi peminjam berulang kepada sindiket ini dengan jumlah pinjaman dianggarkan RM1.5 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini.

    Katanya, Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemebri Pinjaman Wang 1951, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan berasingan pada 17 Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor menangkap seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat kegiatan khianat.

    Menurutnya, lelaki tersebut, 41, menyimbah cat ke rumah peminjam di sekitar Batu Pahat dan Segamat dengan menerimah upah RM350 untuk setiap rumah yang disimbah cat.

    “Setakat ini suspek telah melakukan khianat ke atas empat buah rumah di daerah tersebut,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang (membantu kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen).

    Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Dalam perkembangan sama, Ayob memberitahu, dari Januari hingga 15 Ogos lalu JSJK Johor telah membuka 128 kertas siasatan melibatkan kes ah long dan daripada jumlah itu, 59 kertas siasatan sudah dituduh di mahkamah.

    Beliau berkata, seramai 78 suspek telah ditangkap dan 21 daripadanya merupakan tangkapan bersindiket manakala 57 lagi adakah pemilik ‘mule accaount’.

    Polis Johor menyeru dan mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat pinjaman dengan elemen pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

    Sekiranya mempunyai informasi bersabit kegiatan ini, laporkan kepada polis melalui Pegawai Risikan/Operasi JSJK Johor, Asisten Superitendan Timmy Anak Aheng menerusi talian 019-7773728 atau 013-2111222 atau 07-2254074.