Tag: Agong ucap tahniah

  • Agong dan Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Bonnie

    Agong dan Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Bonnie

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin yang telah menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun hari ini.

    Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan anak kelahiran Sarawak itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

    “Kejayaan Bonnie merupakan kejayaan yang amat bermakna kepada kontinjen Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada rakan-rakan atlet untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan terbesar sukan paralimpik,” menurut catatan itu.

    Seri Paduka Baginda berdua juga menyifatkan pencapaian cemerlang Bonnie sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

    Menurut catatan itu, kejayaan itu juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

    Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

    Kenyataan itu juga memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan mendatang.

    Bonnie, 22, merangkul pingat emas dengan angkatan seberat 228 kilogram (kg) menewaskan atlet dari Mesir, Mahmoud Attia (191 kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (182 kg).

    Lebih mengagumkan, beliau turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung. 

  • Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Allahyarham Ghazali

    Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Allahyarham Ghazali

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Seth yang meninggal dunia hari ini.

    Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih itu.

    Menurut satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.

    “Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM dan juga negara,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

    Mohd. Ghazali, 92, yang merupakan Panglima Angkatan Tentera ketujuh, meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.

    Menurut kenyataan Istana Negara itu, Allahyarham yang dilahirkan pada 4 Februari 1929 di Johor Bahru, pada awal penglibatannya bersama ATM telah memulakan latihan pegawai kadet di Eaton Hall, England pada 1952.

    Dari Eaton Hall, Allahyarham pernah terpilih untuk menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst sehingga 1954, sebelum memulakan perkhidmatan bersama ATM di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah.

    Sebagai Ketua Platun, Allahyarham pernah mengetuai operasi menentang pengganas komunis di Sungai Siput, Bidor dan Alor Setar.

    Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai atase tentera di Jakarta pada 1958 dan merupakan penasihat tentera Malaysia yang termuda dan pertama ke Indonesia pada ketika itu.

    Pada tahun 1977, Allahyarham dilantik sebagai Panglima Tentera Darat bagi tempoh lima tahun hingga 1982 sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ketujuh dari 1982 hingga 1985.