Tag: Agihan kerusi

  • Bagi semua setuju, BN-PH agih kerusi lepas DUN bubar – Tok Mat

    Bagi semua setuju, BN-PH agih kerusi lepas DUN bubar – Tok Mat

    TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hanya akan dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri dibubarkan.

    Beliau yang juga timbalan pengerusi BN berkata, rasional bagi tindakan itu bagi mengelak pertikaian, selain mengolah penerimaan semua pihak kerana tidak lagi mempunyai “pilihan” selain bersetuju.

    Menurutnya, berhubung isu pembahagian kerusi semua parti terlibat pastinya tidak mahu mengalah dan dibimbangi berlaku pergaduhan sesama sendiri.

    “Berkaitan pembahagian kerusi kita belum buat lagi…kita buat gerak kerja dulu, kalau kita bincang dan putuskan soal kerusi (sekarang) memang akan menimbulkan masalah.

    “Kalau sekarang kita cakap pasal kerusi, memang masing-masing tak mahu mengalah dan akhirnya lama-lama nanti kita bergaduh sesama sendiri.

    “Jadi, perkara membabitkan pembahagian kerusi ini akan dibuat selepas pembubaran DUN kerana selepas itu kita tiada apa-apa pilihan dan semua akan bersetuju,” katanya menurut Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Mohamad berkata, BN juga tidak membenarkan mana-mana individu atau parti dalam gabungan itu membuat sebarang keputusan dalam soal pembahagian kerusi.

    Beliau yang juga pengarah pilihan raya BN berkata, kepimpinan peringkat negeri hanya boleh melakukan rundingan, tetapi akhirnya pemimpin tertinggi di peringkat pusat yang akan memutuskannya.

    “Kita hanya minta negeri berunding, tetapi mereka tak (boleh) buat keputusan (pembahagian kerusi) kerana keputusan itu dibuat di peringkat pusat.

    “Perundingan pula hanya babitkan antara BN dan PH dan bukan parti dalam gabungan seperti Umno dengan Amanah atau PKR dan sebagainya,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohamad berkata, fokus utama BN adalah untuk memenangi PRN bawah kerajaan perpaduan di enam negeri, sekali gus menyekat penguasaan Perikatan Nasional (PN) terutama di tiga negeri iaitu di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

    “Fokus kita (tumpu) macam mana kerajaan perpaduan hendak menang, kerana sekarang kita diperlekehkan apabila PN hendak ambil semua enam negeri.

    “Ini suatu cabaran bagi kita, namun kita perlu pastikan di Negeri Sembilan khususnya tiada satu kerusi pun yang akan dimenangi PN, sekali gus cuba kekalkan pemerintahan sekarang dan begitu juga di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

  • Agihan kerusi PH, BN dan parti Kerajaan Perpaduan untuk PRN diumum akhir Mac

    Agihan kerusi PH, BN dan parti Kerajaan Perpaduan untuk PRN diumum akhir Mac

    HASIL rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan bagi berdepan pilihan raya negeri (PRN), dijangka diumum sebelum hujung bulan depan.

    Menurut Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, perkara berkenaan mungkin diumum lebih awal kerana rundingan secara rasmi mengenai pembahagian kerusi di enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah berlangsung agak lama.

    “Rundingan berjalan lancar di setiap negeri ketika ini dan hasilnya akan dibawa ke Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan sebelum diumumkan.

    “Saya jangka (pengumuman hasil rundingan pembahagian kerusi PRN) dalam masa yang tidak terlalu lama dari sekarang sebab perbincangan rasmi sudah berlangsung agak lama.

    “Mungkin diumumkan sebelum hujung Mac atau lebih awal. Tidak semestinya semua negeri diumumkan serentak, mungkin ada sesetengah negeri diumum dahulu.

    “Apa pun kita tunggu pengumuman rasmi daripada Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor, Petaling Jaya, hari ini.