Tag: Agenda Daily

  • Ismail Sabri tak pernah rayu untuk terus jadi Perdana Menteri

    Ismail Sabri tak pernah rayu untuk terus jadi Perdana Menteri

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau tidak pernah merayu kepada mana-mana parti politik untuk mengekalkan sokongan mereka terhadapnya supaya terus menjadi Perdana Menteri.

    Perkara itu dinyatakan Ismail Sabri, 62, selaku plaintif bagi menjawab pembelaan yang difailkan oleh pemilik Agenda Daily Media Enterprise, Muhamad Izwan Mohd Zubit, yang disaman berhubung penerbitan artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ yang didakwa memfitnah Perdana Menteri.

    Ismail Sabri mendakwa, beliau percaya bahawa Muhamad Izwan tidak hadir pada ceramah yang diadakan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada 29 Jan lepas.

    “Dalam ceramah itu, saya telah memberi ucapan yang dirujuk oleh berita-berita yang diterbit oleh surat khabar tempatan. Pada masa material sebelum penerbitan artikel itu, defendan tidak menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan berkenaan dengan ucapan di konvensyen berkenaan.

    “Sebaliknya, defendan telah secara melulu merujuk kepada artikel-artikel yang diterbit oleh surat khabar tempatan semasa menerbitkan artikel itu yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap saya,” kata Ismail Sabri di dalam jawapan kepada pembelaan itu yang difailkan pada 6 April.

    Ismail Sabri turut mendakwa artikel berkenaan secara keseluruhan memfitnahnya selain mendakwa ia membawa maksud bahawa beliau tidak jujur, licik dan mementingkan diri sendiri serta terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan menggunakan apa cara sekali pun.

    Dakwa plaintif, defendan (Muhamad Izwan) telah gagal menjalankan ‘kewartawanan bertanggungjawab’ ketika menerbitkan artikel itu.

    Ismail Sabri mendakwa semasa menulis artikel itu, defendan dipengaruhi atau didorong oleh niat jahat kerana pada masa itu, defendan tahu bahawa Pilihan Raya Negeri Johor akan diadakan pada 12 Mac dan matlamat defendan adalah untuk memperkecilkan dan menjejaskan reputasi plaintif sebagai seorang ahli UMNO dan perdana menteri.

    “Alasan yang digunakan oleh defendan untuk kononnya menunjukkan ‘kewartawanan bertanggungjawab’ adalah sama sekali tidak berasas dan tidak boleh dipertahankan,” dakwa perdana menteri.

    Pada 4 Mac, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April.

    Pada 18 Feb, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan, dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

    Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud bahawa, beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

    Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan, selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif.

    Sementara itu, Muhamad Izwan, 37, dalam pernyataan pembelaannya mendakwa beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Ismail Sabri.

    Muhamad Izwan turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa artikel berkenaan mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap plaintif. – BERNAMA

  • Pemilik Agenda Daily nafi artikel fitnah PM

    Pemilik Agenda Daily nafi artikel fitnah PM

    PEMILIK Agenda Daily Media Enterprise, Muhamad Izwan Mohd Zubit mendakwa, beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Muhamad Izwan, 37, selaku defendan memfailkan pernyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi, minggu lepas menerusi Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers.

    Berdasarkan pernyataan pembelaan, Muhamad Izwan menafikan sekeras-kerasnya bahawa artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap Ismail Sabri, selaku plaintif dalam kes saman itu.

    “Artikel tersebut merupakan suatu ulasan dan analisis politik yang adil dan berjustifikasi. Sekiranya plaintif (Ismail Sabri) tidak bersetuju dengan ulasan dan analisis tersebut, pada bila-bila masa, plaintif selaku seorang perdana menteri dan ahli politik ternama, sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk menjawab dan menangkis semula ulasan serta analisis itu,” dakwanya.

    Defendan yang merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Ijazah Sarjana Muda Terjemahan dan Interpretasi, mendakwa perkataan ‘rayu’ dan ‘merayu’ bukan satu konotasi negatif atau hina dalam politik, sebaliknya melambangkan kerendahan budi dan kebesaran jiwa seseorang ahli politik semasa merayu sokongan terhadapnya.

    “Perkataan ‘rayu dan ‘merayu’ digunakan secara meluas dalam aktiviti politik. Contohnya ‘perayu undi’ merupakan gelaran biasa yang digunakan setiap kali pilihan raya, di mana perayu-perayu undi akan turun bertemu dengan rakyat bagi merayu undi terhadap calon pilihannya,” dakwa defendan yang telah berkhidmat sebagai wartawan, pemberita, editor dan penterjemah sejak 2008.

    Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April.

    Pada 18 Feb, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan, dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

    Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud bahawa, beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai Perdana Menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri, 62, mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel tersebut, boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

    Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan, selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif. – BERNAMA

  • Ismail Sabri dapat injunksi ad-interim terhadap Agenda Daily

    Ismail Sabri dapat injunksi ad-interim terhadap Agenda Daily

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap pemilik Agenda Daily Media Enterprise berhubung saman fitnahnya berkaitan artikel yang diterbitkan Januari lepas.

    Peguam Joshua Tan, yang mewakili Ismail Sabri, berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters membenarkan injunksi itu berkuat kuasa sehingga 27 April kerana injunksi ex-parte (sebelah pihak) sebelum ini akan luput pada 11 Mac.

    “Mahkamah telah membenarkan injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan Mohd Zubit (pemilik) untuk mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April,” kata peguam itu kepada media selepas prosiding secara maya hari ini.

    Beliau berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan defendan untuk lanjutan masa bagi memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan injunksi plaintif.

    Pada 18 Feb, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang menfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

    Beliau mendakwa, artikel itu antaranya membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    “Artikel itu juga membawa maksud saya tidak setia dengan UMNO dan hanya berminat untuk terus menjadi perdana menteri tanpa mengira kepentingan UMNO dan lebih bimbang tentang kedudukan saya sebagai perdana menteri dan bukannya kepentingan negara,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar.

    “Penerbitan itu juga telah menyebabkan emosi saya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu juga boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politik saya,” dakwanya.

    Menurut Ismail Sabri, walaupun peguamnya telah menghantar surat tuntutan bertarikh 3 Feb lepas memohon defendan memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf, namun sehingga hari ini ia masih belum dilaksanakan.

    Oleh itu, Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif. – BERNAMA

  • Ismail Sabri peroleh perintah mahkamah Agenda Daily padam artikel fitnah

    Ismail Sabri peroleh perintah mahkamah Agenda Daily padam artikel fitnah

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pemilik Agenda Daily Media Enterprise memadamkan artikel yang didakwa memfitnah Perdana Menteri yang diterbitkan oleh portal berita berkenaan, bulan lepas.

    Peguam Joshua Tan yang mewakili Perdana Menteri berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Ismail Sabri selaku plaintif terhadap Muhamad Izwan Mohd Zubit sebagai defendan dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian, petang ini.

    “Mahkamah mengeluarkan perintah supaya defendan mengeluarkan artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ di Agenda Daily dan injunksi untuk Agenda Daily daripada membuat sebarang kenyataan untuk menyatakan/membawa maksud bahawa Ismail Sabri terdesak untuk kekal sebagai PM dan Ismail Sabri ‘rayu’ atau ‘akan rayu’ kepada parti politik untuk tidak menarik balik sokongan mereka untuk beliau kekal sebagai PM.

    “Perintah ex-parte itu selama 21 hari dan perbicaraan inter-parte (dua pihak) ditetapkan pada 4 Mac,” kata peguam itu.

    Ismail Sabri, 60, memohon perintah injunksi itu dalam kes saman difailkannya terhadap Muhamad Izwan, 37, semalam di Mahkamah Tinggi di sini yang didakwa menerbitkan artikel memfitnahnya di laman web tersebut.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang menfailkan saman atas kapasiti peribadinya mendakwa, pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel berkenaan di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan dengan plaintif.

    Beliau mendakwa, artikel itu telah diterbitkan semula di dalam satu laman web dikenali sebagai “The MalaysiaLife” iaitu portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh orang ramai.

    Plaintif mendakwa, artikel berkenaan antaranya membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    “Artikel itu juga membawa maksud saya tidak setia dengan UMNO dan hanya berminat untuk terus menjadi perdana menteri tanpa mengira kepentingan UMNO dan lebih bimbang tentang kedudukan saya sebagai perdana menteri dan bukannya kepentingan negara,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar dan turut menyinggung perasaannya.

    “Penerbitan itu juga telah menyebabkan emosi saya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu juga boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politik saya,” dakwanya.

    Menurut Ismail Sabri, walaupun peguamnya telah menghantar surat tuntutan bertarikh 3 Feb lepas memohon defendan memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf, namun sehingga hari ini ia masih belum dilaksanakan.

    Oleh itu, Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif selain defendan diperintah menyerahkan dokumen bagi menunjukkan bahawa artikel terbabit telah dipadamkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.

    Turut dipohon adalah permohonan maaf daripada defendan dalam bentuk yang akan ditentukan oleh plaintif yang akan diterbitkan dalam laman web Agenda Daily dan di 21 akhbar tempatan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.

    Selain itu, Ismail Sabri turut menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – BERNAMA