Tag: agama

  • PRN: ‘Jangan main isu sensitif, agama, kaum ketika kempen’ – Sultan Selangor

    PRN: ‘Jangan main isu sensitif, agama, kaum ketika kempen’ – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan calon pilihan raya dan penyokong agar tidak memainkan isu berkaitan agama, kaum dan isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan kelak.

    Baginda berpesan supaya setiap kempen pilihan raya dijalankan dengan cara berhemah dan bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang pilihan raya sedia ada serta undang-undang lain yang berkaitan.

    “Calon dan penyokong juga diingatkan tidak mencaci, menabur fitnah dan mengadu domba terhadap pihak lawan ketika berkempen bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat,” titah baginda ketika Istiadat Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, di Klang, hari ini.

    Sultan Selangor menjelaskan istiadat berkenaan diadakan lebih awal, hari ini memandangkan baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin akan berangkat menunaikan ibadah haji esok dan dijangka kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji pada 4 Julai ini.

    “Maka oleh yang demikian, Beta dalam menjalankan kuasa diberikan di bawah Fasal (2) Perkara 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan setelah berunding dan menerima permintaan pembubaran DUN Selangor dari Menteri Besar, telah berkenan menandatangani Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor hari ini dan akan berkuat kuasa pada hari Jumaat 23 Jun,” titah baginda.

    Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin berharap semua pihak dapat mendoakan agar Allah mempermudahkan segala urusan baginda berdua ketika menjalankan ibadah haji dan memperoleh haji yang mabrur.

    Susulan perkenan Sultan Sharafuddin itu, ia menyaksikan DUN Selangor yang diterajui PH dibubarkan dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 25 Jun ini.

    Persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 26 Jun 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

    Selain Selangor, lima lagi negeri akan berhadapan dengan PRN tahun ini, iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    Sementara itu, Sultan Selangor juga memaklumkan bahawa pada 28 Julai nanti, baginda akan berangkat ke London untuk menjalani rawatan dan pembedahan Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) yang akan diketuai oleh Dr Tev Aho.

    “Beta menjangkakan akan kembali ke tanah air pada 15 Ogos 2023. Sekiranya kesihatan Beta mengizinkan, Beta akan berangkat balik lebih awal daripada tarikh berkenaan,” titah baginda.

    Sultan Sharafuddin juga berharap pada sekalian yang hadir dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda ketika menjalani rawatan itu nanti agar kembali sembuh seperti sediakala bagi membolehkan baginda menjalankan tugas.

  • Pas tak guna kedudukan laksana dasar menekan rakyat – Takiyuddin

    Pas tak guna kedudukan laksana dasar menekan rakyat – Takiyuddin

    PAS tidak akan menggunakan kedudukan kerusi yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar bagi menekan mana-mana pihak terutama di Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani kehidupan harmoni mengikut adat resam serta agama masing-masing.

    Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dan individu bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama tersebut melainkan atas kerelaan serta kefahaman sendiri.

    Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia serta mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Pas telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui di Kelantan lebih 30 tahun,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau berkata PAS memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan kongsi meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

    Takiyuddin juga berkata para pemimpin dan ahli PAS yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besar profesional mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing apabila diberikan kedudukan serta peranan di dalam kerajaan dan agensinya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, PAS yang merupakan komponen Perikatan Nasional tampil sebagai parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen iaitu 49 manakala Bersatu 24.

    PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. – BERNAMA

  • RUU355, RUU babit akta kawalan doktrin, agama akan dibentang bulan ini

    RUU355, RUU babit akta kawalan doktrin, agama akan dibentang bulan ini

    RANG Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 dan RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) sedang dimuktamadkan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, selepas itu akan dibentangkan kepada kerajaan-kerajaan negeri pada Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil yang dijadual pada 12 hingga 14 Oktober ini.

    Jelas beliau, sepanjang 2020 dan 2021, jawatankuasa teknikal telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan kedua-dua RUU tersebut.

    “Kedua-dua RUU ini tidak pun melibatkan orang bukan Islam, ia hanya melibatkan untuk orang Islam sahaja.

    “Sebenarnya RUU ini adalah Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam sahaja. RUU ini bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama dari kalangan orang bukan Islam.

    “Orang-orang bukan Islam bebas nak menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka, tidak dalam kalangan orang Islam,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, bagi RUU355, Idris berkata, perbincangan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jakim melihat kepada pelbagai aspek khususnya aspek Perlembagaan Undang-Undang dan Hukum Syarak.

    Perbincangan itu katanya, bagi memastikan RUU tersebut lebih komprehensif dan seterusnya memperkasakan bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

    “Berhubung RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam pula, jawatankuasa teknikal turut menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil, khususnya bagi meneliti secara lebih mendalam RUU tersebut.

    “Seterusnya, mencadangkan penambahbaikan terhadap RUU tersebut bagi memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

  • Lelaki dituduh hina raja, agama

    Lelaki dituduh hina raja, agama

    SEORANG lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, gara-gara membuat hantaran menghina institusi raja dan agama di laman sosial Facebook.

    Bagaimanapun tertuduh, Prajiv Lionel Proctor, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Mengikut pertuduhan, Prajiv didapati secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menganiayai orang lain, yang telah dibaca di laman profil Facebook ‘Bantal Busuk’ dan kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari di KM4 Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Dis 2019.

    Prjajiv didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000.

    Namun peguam Tan Chow Teng yang mewakili Prajiv merayu agar sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu dikenakan jaminan RM3,000 kerana beliau menghidapi kanser tiroid, kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) selain masih menjaga kedua-dua orang tuanya, serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

    Hakim Maziah Joary kemudian membenarkan Prajiv diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 17 Jan 2022.- BERNAMA