Tag: Afnan Hamimi Taib Azamudden

  • Dewan Pemuda Pas sindir Kabinet ‘Reformasi’ Anwar

    Dewan Pemuda Pas sindir Kabinet ‘Reformasi’ Anwar

    DEWAN Pemuda Pas hari ini menyindir barisan Kabinet kerajaan perpaduan yang baru mengangkat sumpah semalam yang disifatkan pergerakan itu cukup mantap dan menyerlahkan semangat reformasi dengan memberikan ‘kelegaan dan kegembiraan’ kepada rakyat khususnya pengundi Pakatan Harapan (PH).

    Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, reformasi terbesar Kabinet baharu itu adalah pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dalam kes Yayasan Akalbudi, sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

    “Pelantikan ini selaras tawaran kedua dalam 10 Manifesto PH, iaitu untuk memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi.

    “Selain itu, Kabinet ‘Reformasi’ ini juga turut dianggotai (Naib Pengerusi Kebangsaan DAP) Nga Kor Ming, pemimpin DAP ekstrim yang masyhur dengan ceramah berbaur perkauman, sebagai Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan.

    “Ini bukti PH sangat menyanjung perpaduan dan menolak perkauman. Dengan pelantikan ini, hasrat DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal terlaksana dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Kesemua 27 menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara semalam.

    Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, kejayaan paling besar Kabinet ‘Reformasi’ itu apabila PH bertindak tidak meletakkan semula menteri-menteri mereka yang dicanang sebagai kejayaan dan kebanggaan Kabinet PH pada 2020.

    “Contohnya, (Datuk Seri) Dr Dzulkefly Ahmad tidak dipilih sebagai Menteri Kesihatan, walaupun menang di kerusi Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Sebaliknya, lawan beliau di kerusi Parlimen berkenaan yang kalah dilantik pula menjadi menteri .

    “Pemuda Pas mengucapkan tahniah atas pembentukan Kabinet ‘Reformasi’ ini. Pas akan terus memainkan peranan kami semaksimum mungkin dalam menjadi pembangkang berwibawa yang akan menyemak imbang setiap tindak tanduk kerajaan campuran PH, BN ini!,” katanya.

  • UMNO masih dengan perangai lama

    UMNO masih dengan perangai lama

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SETIAUSAHA Politik Menteri Besar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Baling pada lusa telah menampakkan betapa UMNO masih dengan perangai lama.

    Beliau telah membangkitkan beberapa perkara terutamanya melibatkan lokasi kehadiran Perdana Menteri, yang didakwa seolah-lah tidak menghormati beberapa pihak termasuk kerajaan negeri selaku tuan rumah.

    Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:

    Pada 1 Sept 2022 akan datang, YAB PM dijadualkan turun mai lawatan rasmi ke Kedah. Salah satu tempat lawatan ialah di Baling. PM nak melawat lokasi tragedi banjir puing di Iboi, dan menyantuni mangsa banjir. Mungkin juga ada majlis penyerahan bantuan.

    Disebabkan program ini adalah program rasmi kerajaan, maka tuan rumah kepada majlis ini ialah Pejabat Daerah Baling, bersama beberapa agensi-agensi Kerajaan Negeri Kedah dan agensi Kerajaan Persekutuan. Jawatankuasa Pelaksana ini diketuai oleh Tuan DO Baling. Depa buat mesyuarat. Tempat program dicadangkan di premis kerajaan, iaitu Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling.

    Setelah perancangan dibuat dan gerak kerja disusun, tiba-tiba, ada ‘arahan dan tekanan’ supaya program rasmi ini dibuat di PREMIS BN. Stor Logistik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling yang dipaparkan di dalam Kad Jemputan ini adalah premis parti, premis BN. Bukan premis kerajaan. Orang nombor 1 negara mai, hangpa bawak pi ‘stor’ sahaja. Amat biadap dan memalukan.

    Walaupun Tuan DO Baling menegur dan berunding supaya program ini dilaksanakan di premis kerajaan, namun BN tetap berkeras mahu program ini dilaksanakan di premis miliknya, premis BN. Teguran dan rundingan Tuan DO Baling tidak diendahkan mereka.

    Tuan DO Baling adalah wakil rasmi Kerajaan Negeri Kedah. Suaranya di dalam program ini adalah suara rasmi Kerajaan Negeri Kedah. Bila suara Tuan DO Baling tidak diendahkan, maknanya UMNO BN TAK HORMAT Pegawai Kerajaan Negeri Kedah. UMNO BN TAK HORMAT Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah.

    Mangsa-mangsa yang dijemput hadir ke majlis ini terdiri daripada pelbagai latar belakang fahaman politik. Bahkan mungkin juga bukan penyokong mana-mana parti politik. Namun, mereka terpaksa hadir ke premis politik kerana hendak memenuhi kehendak rakus politik kuno dan lapuk pihak tertentu. Maknanya, UMNO BN tak hormat mangsa banjir.

    Ada logo UMNO dalam kad jemputan rasmi program kerajaan. Ni program kerajaan. Bukan program parti politik. Kad ini dipercayai diedarkan kepada semua tetamu-tetamu. UMNO BN tak hormat tetamu.

    Difahamkan, semua Guru Besar dan Pengetua sekolah-sekolah dalam daerah Baling juga dikerahkan untuk hadir. Guru-guru dan murid-murid juga dikerahkan hadir. Kalau hadir ke premis kerajaan, tak mengapa. Tapi dikerahkan hadir ke premis parti.

    UMNO BN TAK HORMAT GURU, TAK HORMAT MURID SEKOLAH

    Semua sikap-sikap di atas adalah perangai lama UMNO BN ketika berkuasa sebelum ini. Nampaknya sekarang mereka sudah kembali kepada perangai lama, perangai politiking melampau yang amat memualkan dan dibenci oleh pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat.

    Kerana perangai ini, pengundi pernah menghukum UMNO BN dalam PRU14. UMNO BN dilihat insaf masa tiada kuasa. Tapi itu semua hanya sementara. Bila dah berkuasa, UMNO BN ulang balik perangai lama. Tak hormat pegawai kerajaan.

    PH juga buat perangai yang sama masa ada kuasa, tak hormat pegawai kerajaan. Arah buat itu ini untuk penuhi agenda politik kepartian. Pegawai kerajaan meluat dan benci dengan PH. Mereka amat gembira bila PH jatuh.

    PRU kali ni, pengundi tak perlu fikir panjang. Tak perlu hormat orang yang tak hormat kita. Benamkan sahaja UMNO BN DAP PH dalam tanah.