Tag: adham baba

  • MOSTI sasar 5,000 peluang pekerjaan tahun hadapan

    MOSTI sasar 5,000 peluang pekerjaan tahun hadapan

    KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 5,000 peluang pekerjaan menerusi pelbagai program dan inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

    Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata seramai 4,145 individu dalam bidang ‘deeptech’ (deep technology) dan berkaitan, telah mendapat pekerjaan melalui inisiatif itu bermula awal Januari hingga 31 Ogos lepas.

    Katanya MOSTI menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pelaksanaan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional, bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia supaya lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.

    “Jadi sasaran 4,700 peluang pekerjaan menerusi inisiatif tersebut diyakini dapat dicapai sebelum akhir tahun ini,” katanya pada pemberita selepas melawat Program Ruang Reka di Taman Rasa Sayang, Paroi di sini hari ini.

    Beliau berkata MOSTI sebagai ahli tetap Majlis Pekerjaan Negara (NEC) memberi tumpuan kepada kluster ‘Deeptech’ dan ‘Future Skills’, yang memainkan peranan penting memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden, selain mempercepat penerapan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan dron.

    Mengenai program hari ini, Adham berkata Program Ruang  Reka Komuniti merupakan inisiatif pembangunan usahawan inovasi (innopreneur), untuk mengalakkan lebih ramai dalam kalangan B40 dan M40 menceburi bidang keusahawanan berlandaskan  Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

    Katanya program tersebut dikendalikan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) komited meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti setempat, melalui aktiviti pengkomersialan.

    “Melalui Ruang Reka ini, pendedahan dan latihan kemahiran dalam penggunaan teknologi seperti 3D Printer, Robotik, Virtual Reality (VR) bagi aktiviti inovasi mereka,” katanya.

    Katanya setakat ini YIM membangunkan dua projek rintis Ruang Reka di Taman Rasa Sayang di Paroi dan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Kuala Terengganu.-BERNAMA

  • Vaksinasi Covid-19 secara ‘walk in’ di Lembah Klang dihentikan selepas 15 Sept.

    Vaksinasi Covid-19 secara ‘walk in’ di Lembah Klang dihentikan selepas 15 Sept.

    PROGRAM vaksinasi COVID-19 secara walk-in atau jumpa terus di pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang dihentikan selepas 15 Sept ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

    Beliau berkata pemberhentian dilakukan setelah mengambil kira faktor penduduk di Lembah Klang yang masih belum divaksinasi adalah kecil dan kadar kehadiran ke PPV adalah rendah.

    Sehubungan itu, bermula 16 Sept ini, penduduk di Lembah Klang yang belum divaksinasi boleh mendapatkan suntikan COVID-19 di klinik kesihatan tertentu yang senarainya akan diumumkan kelak.

    “Vaksinasi walk-in (secara jumpa terus) di negeri-negeri masih lagi akan diteruskan. Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan negeri masing-masing untuk maklumat terkini mengenai walk-in,” katanya dalam sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Menteri Kesihatan, di sini hari ini.

    Pada majlis itu, Dr Adham dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang ‘bertukar portfolio’ masing-masing dalam barisan Kabinet diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyerahkan nota serah terima tugas mereka.

    Sementara itu, Dr Adham berkata jumlah peratusan populasi dewasa yang lengkap divaksinasi di negara setakat semalam adalah 69.9 peratus.

    Beliau berkata sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah untuk mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi di seluruh negara dan bagi negeri, 60 peratus lengkap divaksinasi menjelang akhir bulan ini.

    “Alhamdulillah, kini kita berada di landasan yang betul dan vaksinasi mencapai kadar membanggakan,” katanya serta menambah pada 2 Sept lepas, Malaysia telah melepasi Amerika Syarikat dalam kadar vaksinasi ke atas populasi untuk sekurang-kurangnya satu dos.

    Dr Adham menjelaskan kadar vaksinasi yang menurun di negara ini merupakan ‘petanda baik’ kerana ia menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia telah divaksinasi.

    “Baru-baru ini banyak pertanyaan kenapa kadar vaksinasi kita menurun, ini sebenarnya petanda yang baik menunjukkan lebih ramai rakyat kini divaksinasi. Kita perlu menjangkakan penurunan dalam kadar vaksinasi pada minggu-minggu akan datang,” katanya.- BERNAMA

  • Semua guru terima vaksin sebelum sekolah dibuka bulan depan

    Semua guru terima vaksin sebelum sekolah dibuka bulan depan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KIRA-KIRA 85,000 guru di seluruh negara yang masih belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 dijangka menerima sekurang-kurangnya dos pertama sebelum sesi persekolahan dibuka September ini.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ketika ini senarai penuh nama guru sudah diberikan Kementerian Pendidikan kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan merek semua divaksinasi sebelum sekolah dibuka.

    “Selain guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan termasuk pengendali kantin sekolah, pemandu bas dan van sekolah serta pengawal keselamatan sekolah juga akan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha mencapai imuniti di kawasan sekolah.

    “Saya sendiri telah meneliti dan membuat permintaan kepada CITF untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan ini sebelum September,” katanya selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di Dewan Serbaguna Semanggar, Kota Tinggi hari ini.

    Setakat ini, 326,998 orang guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala seramai 215,999 orang guru telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

    Sementara itu, beliau berkata, pemberian vaksin kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun sedang diteliti data klinikal yang lebih tepat dan terkini daripada Pfizer sebelum membuat keputusan untuk menjalankan vaksinasi terhadap kumpulan itu.

  • Vaksinasi harian lebihi 500,000 dos 6 hari berturut-turut

    Vaksinasi harian lebihi 500,000 dos 6 hari berturut-turut

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JUMLAH vaksinasi harian Covid-19 di negara ini mencatat angka melebihi 500,000 dos selama enam hari berturut-turut.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberitahu, sebanyak 519,111 dos suntikan diberikan semalam melibatkan 316,492 dos pertama manakala 202,619 lagi dos kedua.

    Menurutnya, secara kumulatifnya, sebanyak 20,533,660 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari lalu.

    “Jumlah itu meliputi 13,816,971 untuk suntikan vaksin dos pertama, manakala 6,716,689 lagi bagi dos kedua,” katanya menerusi perkongsian infografik dalam Twitter miliknya.

  • 20 juta vaksin diberikan menerusi PICK-Adham Baba

    20 juta vaksin diberikan menerusi PICK-Adham Baba

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah memberikan 20,014,549 dos vaksin COVID-19 sejak 24 Februari lalu hingga semalam.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi perkongsian infografik dalam Twitter miliknya berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13,500,479 adalah suntikan vaksin dos pertama manakala 6,514,070 lagi adalah dos kedua.

    “Mengikut peratusan, 41.3 peratus daripada populasi negara sudah mendapat dos pertama, manakala 19.9 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya menerusi hantaran itu.

    Bagi vaksinasi harian pula, Dr Adham berkata, sebanyak 512,097 dos diberikan semalam, dengan 315,737 adalah pemberian dos pertama, manakala 196,360 lagi dos kedua.

  • 552,701 dos harian vaksin Covid-19 semalam, 1.5 juta dalam tiga hari

    552,701 dos harian vaksin Covid-19 semalam, 1.5 juta dalam tiga hari

    PELAKSANAAN vaksinasi harian Covid-19 negara terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 552,701 dos suntikan vaksin dilaporkan diberikan di seluruh negara setakat semalam.

    Ini sekali gus menjadikan pelaksanaan vaksin di seluruh negara merekodkan pemberian vaksin harian melebihi 500,000 dos buat hari ketiga berturut-turut.

    Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik data pemberian vaksin dalam laman Twitternya, daripada jumlah itu, seramai 353,771 individu menerima dos pertama dan 198,930 lagi melengkapkan dos kedua.

    Jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian tertinggi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Februari lalu adalah pada Selasa dengan 553,871 dos suntikan, manakala Isnin mencatatkan 521,923 dos.

    Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melalui laman Twitter memaklumkan secara kumulatifnya, sebanyak 18,946,048 dos vaksin sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam.

    Ia meliputi 12,841,212 orang untuk dos pertama dan 6,104,836 bagi dos kedua.

    Operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang pula merekodkan 239,874 dos diberikan secara keseluruhan, pada Rabu.