Tag: Addy Kana

  • Addy Kana didenda RM10,000 tak lapor permintaan rasuah

    Addy Kana didenda RM10,000 tak lapor permintaan rasuah

    MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 kepada seorang ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kana’ kerana tidak melaporkan permintaan rasuah seorang pegawai penguat kuasa tiga tahun lepas.

    Hakim Rozilah Salleh turut mengarahkan Zaidi, 38 tahun dikenakan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Zaidi tanpa alasan yang munasabah tidak melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis permintaan suapan wang tunai yang telah dibuat kepadanya sekitar Julai 2019 di sebuah hotel di Puchong, Petaling, dekat sini.

    Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(4) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes yang dibacakan jurubahasa, tertuduh merupakan pekerja kepada seorang ahli perniagaan menjalankan perniagaan berunsurkan aktiviti tidak bermoral dan perjudian telah bertemu dengan seorang pegawai sebuah badan penguat kuasa di sebuah hotel di Puchong sekitar Julai 2019.

    Penguat kuasa itu telah meminta suapan RM110,000 setiap bulan dengan tujuan untuk tidak mengambil tindakan atas perniagaan majikannya dan Zaidi tidak melaporkan perbuatan tersebut kepada SPRM atau polis.

    Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Zaidi atau Addy Kana yang diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisham memohon hukuman dalam bentuk denda dan sedia membayarnya.

    “Tertuduh mempunyai seorang isteri yang masih berpantang selepas melahirkan anak kelimanya dan turut menjaga bapa berumur 74 tahun. Dia juga menyesal dengan kesalahan dan berjanji tidak mengulanginya. Pengakuan bersalahnya juga menjimatkan kos dan masa kesemua pihak,” kata Effa Azuin.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab bagaimanapun memohon kepentingan awam diletakkan sebagai pemberat dalam menentukan hukuman.

    “Tertuduh gagal memaklumkan kepada SPRM atau polis bahawa dia diminta suapan rasuah RM110,000 setiap bulan. Tertuduh seharusnya lebih mengetahui dan bertanggungjawab jika terdapat apa-apa permintaan rasuah, seharusnya dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

    Rozilah sebelum menjatuhkan hukuman menasihatkan Zaidi bahawa kesalahan tidak melaporkan rasuah merupakan perbuatan serius dan jika dilaporkan, ia boleh mencegah dan mengekang rasuah daripada berlaku. – BERNAMA

  • LHDN saman Addy Kana cukai tertunggak RM1.4 juta

    LHDN saman Addy Kana cukai tertunggak RM1.4 juta

    KERAJAAN Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap ahli perniagaan Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana yang menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM1,427,915.45.

    Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 1 Okt lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Zaidi, 37, sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama dua tahun.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.

    “Oleh kerana defendan telah gagal membayar keseluruhan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus berjumlah RM38,002.57 dan RM91,807.92 telah dikenakan dan ditambahkan ke atas keseluruhan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) itu,” menurut Kerajaan Malaysia dalam pernyataan tuntutan itu.

    Dakwa plaintif, defendan masih gagal membayar kepada plaintif keseluruhan cukai pendapatannya yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) termasuk kenaikan-kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM1,427,915.45.

    “Plaintif berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang itu serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

    Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM1,427,915.45, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

    Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 22 Nov ini untuk memaklumkan mengenai status serahan saman itu.

    Pada 28 Okt lalu, kerajaan memohon untuk melucut hak wang lebih RM500,000 milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada Addy Kana, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Mahkamah Persekutuan pada 27 April lalu memerintahkan Addy Kana dan dua anggota polis yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan satu sindiket perjudian dalam talian, dibebaskan dengan serta-merta.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim membenarkan rayuan ketiga-tiga mereka terhadap permohonan writ habeas corpus. – BERNAMA

  • Kerajaan mohon lucut hak wang Alvin Goh, isteri Addy Kana

    Kerajaan mohon lucut hak wang Alvin Goh, isteri Addy Kana

    KERAJAAN memohon untuk melucut hak wang lebih RM500,000 milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada ‘Datuk Addy Kana’, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Notis usul itu difailkan oleh pendakwa raya selaku pemohon secara berasingan pada 29 Sept lepas dengan menamakan Goh, 33, dan syarikatnya, Malaysian House of Internet Sdn Bhd dan Networld Computer (KL) Sdn Bhd serta Alyaa, 34, dan syarikatnya, Nine Nine International Sdn Bhd selaku responden.

    Dalam notis usul itu, pendakwa raya memohon untuk melucut hak wang milik Goh berjumlah RM60,232.01 yang disimpan di dalam tiga akaun bank lelaki itu dan wang RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik syarikatnya iaitu Malaysian House of Internet dan Network Computer.

    Pendakwa raya juga memohon untuk melucut hak wang milik Alyaa berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International.

    Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari tahun ini didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan hari ini, mahkamah menetapkan 29 Dis ini untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak memaklumkan berhubung status penyiaran notis warta kepada pihak ketiga.

    Pihak ketiga berkepentingan perlu tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

    Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Goh diwakili peguam Lim Jin Wen dan Alyaa diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisyam. – BERNAMA