Tag: acryl sani

  • PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak pasukan Op Cantas Khas untuk menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pasukan itu turut bertindak mengawal tingkah laku dan gerak kerja pihak terlibat dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PRU15 diadakan.

    Selain itu, pihaknya menempatkan pegawai PDRM dalam Pasukan Pemantau Kesalahan Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memastikan setiap pihak melakukan kempen mengikut garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “PDRM bersama SPR serta agensi lain yang berkaitan juga akan melakukan pemantauan setiap masa dalam memastikan proses berkempen dan pengundian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seramai 80,000 pegawai dan anggota seluruh negara diaturgerak untuk penugasan PRU15 bagi memastikan tahap keselamatan terjamin dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk keluar mengundi secara selamat.

    Acryl Sani turut menasihatkan parti-parti politik untuk berkempen secara beretika dan matang serta tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan perkauman.

    “Pihak yang terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya seperti calon dan pengurus kempen harus memikul tanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden seperti di Tenom, Sabah.

    “Kejadian berkenaan merupakan contoh bagaimana situasi penyokong yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kemudaratan yang seharusnya tidak berulang kembali kerana (ia) merupakan ancaman kepada tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti kesalahan lazim yang berlaku ketika berkempen iaitu mengoyak poster, mengeluarkan kata-kata atau perbuatan yang berbaur hasutan, bergaduh, demonstrasi, kesalahan melalui medium Internet dan tohmahan.

    Acryl Sani berkata selain tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan, PDRM juga akan menggunakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait secara langsung dengan pilihan raya.

    “Tindakan itu adalah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003,” katanya.

    “PDRM sentiasa komited dalam memastikan situasi keselamatan terkawal sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan pasca PRU…kita berharap proses demokrasi pada kali ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa insiden-insiden yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: PDRM kenal pasti kurang daripada 100 kawasan ‘panas’

    PRU-15: PDRM kenal pasti kurang daripada 100 kawasan ‘panas’

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kurang daripada 100 kawasan berstatus ‘hotspot’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata penugasan pegawai dan anggota telah dibuat untuk ditempatkan di kesemua kawasan tersebut.

    “…melalui risikan daripada polis daerah, kita tahu beberapa kawasan agak hangat dari segi kempen, sentimen emosi dan seumpamanya. Kita sudah kenal pasti dan membuat penugasan sewajarnya untuk berusaha meredakan suhu apabila kempen tiba kelak,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Asas Tiger Platoon Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Batalion 6 PGA di sini hari ini.

    Katanya seorang anggota polis akan ditempatkan di setiap saluran mengundi yang melibatkan lebih 38,000 saluran, selain anggota dan pegawai untuk tugasan kawalan rondaan.

    “Kesemua mereka akan bertugas bermula hari penamaan calon, masa berkempen…bagi memastikan tiada unsur mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.

    Acryl Sani turut mengingatkan mereka yang terlibat dengan kempen pilihan raya supaya berhemah dan tertib, mengikut peraturan yang ditetapkan.

    Sebelum ini, Acryl Sani dilaporkan berkata seramai 94,411 daripada 120,557 pegawai dan anggota PDRM akan digerakkan bagi menghadapi PRU15.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dengan penamaan calon pada 5 Nov, manakala pengundian awal pada 15 Nov ini. – BERNAMA

  • Polis rujuk kertas siasatan ahli Parlimen berhimpun kepada Pejabat Peguam Negara

    Polis rujuk kertas siasatan ahli Parlimen berhimpun kepada Pejabat Peguam Negara

    KERTAS siasatan membabitkan Ahli Parlimen yang terlibat dalam perhimpunan di ibu negara pada 2 Ogos lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua Ahli Parlimen yang terlibat telah memberi keterangan masing-masing dan pihaknya juga telah selesai menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

    “Semua yang terlibat sudah diambil keterangan. Insya-Allah akan ada keputusan dan tindakan yang diambil. Mungkin tidak berapa lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghantar barangan keperluan harian ke rumah beberapa pesara polis di sini hari ini.

    Pada 2 Ogos lepas, sekumpulan Ahli Parlimen berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum berarak dan cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen untuk mendesak supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diteruskan namun akhirnya bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarah polis.

    Sidang khas lima hari itu, yang dijadualkan berakhir pada 2 Ogos, bagaimanapun ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.

    Acryl Sani juga berkata pembekuan cuti semua anggota serta pegawai polis yang dilaporkan berkuat kuasa pada 12 Ogos adalah sekadar proses pentadbiran dan sememangnya pasukan keselamatan itu perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

    “Polis sentiasa dikehendaki berada dalam keadaan bersiap sedia. Cuti ini sebenarnya pentadbiran sahaja. Dalam keadaan siap sedia tersebut, kita akan mengetatkan dari segi pelepasan dan seumpamanya bagi memastikan tahap siap sedia sentiasa ditepati,” katanya.

    Sebelum ini, satu pekeliling bertarikh 12 Ogos tular di media sosial yang memetik Acryl Sani mengeluarkan arahan bahawa cuti dalam negeri, luar negara serta pergerakan luar daerah bagi semua pegawai kanan serta rendah anggota polis dibekukan berkuat kuasa mengikut tarikh ia dikeluarkan sehingga diberitahu kelak.

    Kepada pertanyaan adakah pihak polis sedang melakukan persiapan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum dalam masa terdekat, Acryl Sani berkata “Belum lagi.”

    Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berkaitan salah guna sijil digital vaksinasi namun pihaknya akan sentiasa memantau dan mengambil langkah tertentu bagi mengelakkan perkara itu berlaku.- BERNAMA