Tag: Abu Sayyaf

  • Komando UTK digerak tangani ancaman Abu Sayyaf

    Komando UTK digerak tangani ancaman Abu Sayyaf

    TAHAP keselamatan di pantai timur Sabah akan dipertingkatkan termasuk menggerakkan satu pasukan komando Unit Tindakan Khas (UTK) bagi menangani isu berkaitan kumpulan Abu Sayyaf.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan itu bagi menunjukkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan berkenaan termasuk di sempadan Sabah-Kalimantan.

    “Walaupun lebih dua tahun tidak berlakunya kes-kes penculikan khususnya di pantai timur Sabah tetapi kawalan keselamatan tetap dilaksanakan.

    “Hal ini juga berikutan maklumat mengenai sub ketua kumpulan Abu Sayyaf yang juga pakar pembuat bom iaitu Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup, jadi kawalan akan diperketatkan dan pihak keselamatan akan sentiasa mendapatkan maklumat daripada Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM),” katanya kepada pemberita selepas Program ‘Tangan Bersalaman’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hazani berkata, status Mudzrimar yang dikehendaki di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta J2 WESTMINCOM kerana terbabit dalam beberapa siri pertempuran dan pertembungan dengan pasukan keselamatan Filipina sejak Julai 2021.

    Berdasarkan makkumat risikan, kali terakhir dia dilihat adalah pada 10 Jan lepas di sebuah kawasan di Sulu ketika keluar mengambil makanan.

    Sementara itu, mengulas mengenai kawalan sempadan darat di sempadan Malaysia-Thailand, Hazani berkata, Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di Kelantan pada Mac nanti.

    “Ketika ini, proses tinjauan sedang dilakukan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand bagi mengenal pasti bentuk muka bumi, kawasan rondaan serta kawasan sering berlakunya penyeludupan.

    “Kita juga sedang meninjau lokasi sesuai untuk menempatkan kuda-kuda ini sama ada di Pengkalan Kubor, Tumpat atau Rantau Panjang,” katanya.

    Beliau berkata dengan adanya bantuan daripada Unit Berkuda FRU itu ia mampu meningkatkan lagi kawalan di sepanjang Sungai Golok serta keberkesanan dalam menangani kes penyeludupan. – BERNAMA

  • ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    PEMBUAT bom yang juga sub ketua kumpulan Abu Sayyaf, Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan yang dilaporkan ditembak mati Mei lepas di Filipina, disahkan masih hidup.

    Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), DCP Hamzah Ahmad berkata, status Mudzrimar yang dikehendaki di ESSCom, disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM).

    “Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup susulan beberapa siri pertempuran dan pertembungan pihak pasukan keselamatan Filipina dengan suspek sejak Julai 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hamzah berkata, susulan itu, Mudzrimar yang dikeluarkan dalam senarai individu dikehendaki ESSCom pada tahun lalu kini disenaraikan semula sebagai suspek dikehendaki membabitkan kes penculikan untuk wang tebusan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

    Muzdrimar juga merupakan anak saudara kepada pemimpin kanan Abu Sayyaf iaitu Hatib Hajan Sawadjaan, dan selain itu mempunyai kepakaran membuat bom serta perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada tahun 2020, termasuk insiden letupan bom di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’.

    Baru-baru ini tercetus persoalan berikutan kenyataan ESSCom menyenaraikan semula Mudzrimar antara 20 suspek warga Filipina dikehendaki terkini sedangkan dia dilaporkan telah ditembak mati. – BERNAMA

  • Abu Sayyaf rancang culik pemilik ladang

    Abu Sayyaf rancang culik pemilik ladang

    Dua anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) mati ditembak pasukan keselamatan di sebuah ladang kelapa sawit di Pulau Timbang, kira-kira 6 kilometer dari sini awal pagi tadi, yang merancang untuk menculik pemilik ladang itu untuk mendapatkan wang tebusan (KFR).

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata rancangan mereka itu digagalkan apabila ia didedahkan oleh seorang ketua kumpulan kecil ASG Sansibar Bencio yang ditahan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei lepas, ketika siasatan dilakukan.

    “Operasi ini dilancarkan selepas Bencio mendedahkan bahawa dia telah mengarahkan dua anggota yang ditembak itu untuk menculik dua pemilik ladang kelapa sawit berketurunan Cina yang tinggal di Sandakan dan Sukau (Kinabatangan) untuk mendapatkan wang tebusan.

    “Tindakan itu bagi memberi dana kepada kumpulan di markas timur Sulu di Kompleks Bud Bawis, Panamao, Sulu, Selatan Filipina,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Hazani berkata dua anggota militan yang maut itu dikenali sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan berumur antara 30 dan 40 tahun, ditembak mati kira-kira 5 pagi dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di ladang berkenaan.

    Sepucuk pistol A Colt .45, yang biasa digunakan di Filipina dan sebilah parang ditemukan bersama pengganas yang maut itu, katanya.

    Beliau berkata operasi itu adalah susulan daripada serbuan di ladang terbabit dua hari sebelumnya (18 Ogos), yang membawa kepada tangkapan 11 lelaki, tujuh daripadanya disahkan oleh pihak berkuasa Filipina sebagai anggota ASG.

    “Pada serbuan itu, dipercayai beberapa lelaki telah melarikan diri dan usaha mengesan mereka disambung semula keesokannya (19 Ogos),” katanya.

    Hazani berkata operasi itu dijalankan dengan bantuan antaranya pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Angkatan Tentera Malaysia.

    Tanpa mendedahkan maklumat lebih lanjut, beliau berkata polis mempunyai maklumat risikan mengenai lokasi saki-baki anggota ASG yang mungkin bersembunyi di negeri ini yang menurut kumpulan itu, mereka percaya Sabah adalah ‘safe haven’ (tempat perlindungan yang selamat) untuk mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

    “Saya menegaskan bahawa Sabah bukan ‘safe haven’ untuk ASG. Saya mahu membuang persepsi itu. Kami (polis) tidak akan berhenti mengesan mereka,” katanya.

    Hazani turut mengingatkan majikan termasuk pemilik ladang kelapa sawit dan pengurus pembinaan, untuk memastikan pekerja mereka mempunyai dokumen yang sah bagi mengelakkan mengambil pengganas sebagai pekerja.- BERNAMA

  • Dua dipercayai kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati

    Dua dipercayai kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati

    POLIS menembak mati dua individu dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan, awal pagi ini.

    Dalam kejadian tersebut, anggota pasukan keselamatan yang dalam operasi mengesan anggota kumpulan itu berbalas tembakan dengan individu terbabit pada 5 pagi tadi.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

    “Ya benar kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Polis dijadual mengadakan sidang media mengenai kejadian itu pada 10 pagi ini di Sandakan.