Tag: Abdul Hamid Bador

  • Hamid Bador, Ahmad Idham senarai calon GTA Negeri Sembilan

    Hamid Bador, Ahmad Idham senarai calon GTA Negeri Sembilan

    BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan penerbit serta pengarah Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, antara dua individu yang disenaraikan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Negeri Sembilan.

    Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail, berkata Abdul Hamid termasuk dalam senarai yang dicadangkan sebagai calon gabungan itu untuk bertanding di Parlimen Rembau.

    Katanya, manakala Ahmad Idham pula dicadangkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

    “Kedua-dua nama individu berkenaan termasuk dalam senarai yang saya bawa ke peringkat pucuk pimpinan sebagai calon GTA Negeri Sembilan menerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    “Hamid Bador dicalonkan bagi Parlimen Rembau manakala Ahmad Idham bagi kerusi Parlimen Port Dickson.

    “Keputusan sama ada mereka terpilih sebagai calon atau sebaliknya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya lapor Harian Metro, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Jani yang juga Timbalan Pengerusi GTA serta Ketua Pejuang Negeri Sembilan, berkata GTA perlu meletakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham bagi memberikan saingan sengit di kedua-dua kerusi terbabit.

    “Bagi saya buat masa ini dialah (Abdul Hamid) calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau, lebih-lebih lagi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun keputusan muktamad akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tidak lama lagi, namun Ahmad Idham yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan, dilihat tokoh yang boleh memberikan saingan di kerusi Port Dickson.

    “Kita (GTA) perlu letakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini,” katanya.

    Dalam pada itu, katanya, GTA Negeri Sembilan menyambut baik dan menyokong penuh hasrat gabungan itu untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 ini.

    “GTA Negeri Sembilan sambut baik usaha menjalinkan kerjasama dengan PN dan yakin ianya akan dapat memperkukuhkan lagi gerak kerja jentera pilihan raya bagi mencapai kemenangan besar,” katanya.

    Sementara itu, Mohamad Jani berkata, pelancaran jentera pilihan raya gabungan itu bagi peringkat Negeri Sembilan dijadual akan diadakan pada 23 Oktober ini.

    “Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan akan hadir dan melancarkan program berkenaan, yang akan diadakan di Senawang,” katanya.

  • Abdul Hamid Bador calon terbaik GTA lawan Tok Mat

    Abdul Hamid Bador calon terbaik GTA lawan Tok Mat

    GERAKAN Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan yakin mampu memecahkan tembok kuat UMNO di Parlimen Rembau jika bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersetuju mewakili gabungan itu bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, walaupun Abdul Hamid bukan ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), namun GTA bersedia memberi ruang kepada semua termasuk individu tertentu yang mempunyai nama besar.

    “Bagi saya buat masa ini dialah (Abdul Hamid) calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau. Lagipun dia memang orang Rembau.

    “Nak pecahkan tembok yang besar, kita perlu letakkan nama yang besar seperti beliau, lebih-lebih lagi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini,” katanya kepada Sinar Harian.

    Mohamad Jani menurut laporan itu lagi, nama Abdul Hamid dicadangkan kerana beliau disifatkan seorang yang berani bercakap benar dan tegas seperti mana ditunjukkan ketika dalam perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara.

    Tambah Mohamad Jani, ciri-ciri kepimpinan sebegitu sememangnya diharapkan oleh rakyat.

    “Kalau kita nak betulkan negara, kita perlu letakkan orang ada ciri-ciri begitu.

    “Kalau setakat nak letak calon bertanding, saya selaku ketua negeri pun boleh. Tapi hasrat kita, kita nak menang dan boleh bawa suara rakyat dalam Parlimen,” katanya.

    Bagaimanapun beliau berkata, hasrat itu tidak pernah dibincangkan bersama Abdul Hamid dan hanya disuarakan kepada Timbalan Pengerusi GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bulan lalu.

    “Saya rasa yang hanya boleh pujuk dia (Abdul Hamid) Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad saja,” katanya.

    Sementara itu, usaha Sinar Harian cuba menghubungi Abdul Hamid untuk mendapatkan kenyataannya masih belum berhasil.

  • Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    BARISAN Pesuruhjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Mereka berkata, dalam rakaman percakapan beliau kepada EAIC, beliau tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaannya bahawa wujud kartel dalam PDRM.

    “Selain itu , beliau tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel ini dan beliau mengakui selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman,” kata mereka dalam kenyataan media hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi EAIC, Tan Sri Zainun Ali dan pesuruhjaya-pesuruhjaya EAIC iaitu Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’ Hara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

    EAIC merujuk kepada kenyataan Abdul Hamid Bador dilaporkan dalam media yang mengatakan dapatan siasatan EAIC mengenai isu kewujudan kartel dalam PDRM adalah “cetek dan tidak betul”.

    Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati bahawa:

    (a) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media;

    (b) beliau selaku Ketua Polis Negara sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media;

    (c) sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan; dan

    (d) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

    Mereka menambah, terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat oleh Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai Ketua Polis Negara tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut.

    “Selain itu, EAIC ingin menegaskan bahawa Tan Sri Abdul Hamid Bador enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini,” jelas mereka.