Tag: Abdul Hadi Awang

  • Beri peluang PN PRU-15, tolak jika gagal buktikan: Abdul Hadi

    Beri peluang PN PRU-15, tolak jika gagal buktikan: Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta pengundi memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara ini bagi tempoh satu penggal.

    Menurut Timbalan Pengerusi PN itu, jika gabungan berkenaan gagal membuktikan kemampuan mentadbir negara dengan baik, rakyat boleh menolak mereka pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

    “Beri peluang kepada kami, tengok satu penggal apa yang kami buat. Kalau ada buat kesalahan, tolaklah pada PRU16.

    “Beri kita tunjukkan dulu bagaimana untuk perintah negara dengan baik,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

    Yang turut hadir, tiga calon Pas mewakili PN, iaitu calon kerusi Parlimen Wangsa Maju, Nuridah Mohd Salleh, Azhar Yahya (Batu) dan Fauzi Abu Bakar (Lembah Pantai).

    Penyandang kerusi Parlimen Marang itu turut optimis PN mampu menawan Perlis dan Pahang pada PRU15 terutama dengan penyertaan calon boleh menang yang digugurkan oleh Barisan Nasional (BN).

    “Apabila BN bertindak mencantas orang dia seperti (Tan Sri) Annuar Musa, (Datuk Seri Dr) Shahidan Kassim dan (Tan Sri) Noh Omar dan ramai lagi, kami ambil pendekatan ambil mana-mana yang boleh seperti Shahidan jadi calon PN di Arau (Perlis) dan (Datuk Seri) Ismail Muttalib di Maran (Pahang).

    “Ini bermakna kita boleh menembusi Perlis dan Pahang… insya-Allah kita boleh tawan Perlis dan Pahang,” katanya.

    Mendedahkan kemelut PAS-BN, Abdul Hadi berkata, ia tidak dapat diselamatkan berikutan parti itu tetap memaksa PAS memutuskan kerjasama dengan BERSATU.

    “Mereka (BN) masih degil dan saat akhir iaitu minggu selepas Parlimen dibubarkan, PAS diajak berbincang dengan PAS diberikan syarat sama, mesti berpisah dengan BERSATU. Mana boleh dia (BN) nak paksa sebegitu.

    “Disebabkan itu kami buat keputusan untuk terus bersama PN dan tolak BN,” katanya.

    Menyentuh kerjasama PAS-UMNO melalui Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi berkata, sekiranya parti itu sedia bertoleransi, kerjasama itu pastinya dapat diteruskan pada PRU15.

    Katanya, ia sekali gus mampu mengelakkan perpecahan undi orang Melayu yang sepatutnya boleh dielakkan.

    “Mereka kata tak boleh (kerjasama) dengan BERSATU kerana mereka khianat dan keluar UMNO. Saya beritahu pemimpin UMNO, kalau ikut perbezaan pendapat, PAS lebih lama berkelahi (bermusuh) dengan UMNO, lebih puluhan tahun.

    “Daripada peristiwa Memali, orang PAS ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), malah ada yang dibuang kerja serta diturunkan pangkat. Kita lupakan semua ini kerana nak satukan umat,” katanya.

  • Dakwaan DAP sokong ideologi komunis: Hadi tak akan tarik balik kenyataan

    Dakwaan DAP sokong ideologi komunis: Hadi tak akan tarik balik kenyataan

    TAN Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, beliau tidak akan menarik balik kenyataannya yang mendakwa DAP adalah parti yang menyokong dan membawa ideologi komunis.

    Kata Presiden Pas itu, beliau tidak gentar, malah tidak akan berganjak daripada pendirian berkenaan walaupun berdepan pelbagai desakan daripada pimpinan DAP.

    “Saya tidak akan mohon maaf atau tarik balik (kenyataan itu). Eloklah (mereka) buat laporan polis, memang saya kenal beberapa orang (pimpinan DAP) yang tak percaya Tuhan. (Mereka) pernah bercampur dengan kami, tak perlu sebut nama.

    “Nanti jumpalah di mahkamah. Saya boleh tunjuk bukti,” katanya mengulas laporan polis pemimpin DAP yang mendakwa beliau bersikap rasis dan fitnah membabitkan isu parti komunis.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

    Yang turut hadir, calon PN Parlimen Wangsa Maju, Nuridah Mohd Salleh; calon PN Parlimen Batu, Azhar Yahya dan calon PN Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar.

    DAP sebelum ini mencabar Abdul Hadi membuat laporan polis berhubung dakwaan bahawa ada pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada puak komunis dan menolak institusi Raja.

    Abdul Hadi yang juga Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN), turut mendedahkan pengaruh komunis dalam pentadbiran DAP terserlah ketika mentadbir Pulau Pinang.

    “Ini nyata, masa (DAP) perintah Pulau Pinang, sama seperti apa yang berlaku di Singapura. DAP tonjolkan calon Melayu sebagai alat politik, macam Lee Kuan Yew pernah buat di Singapura, gunakan parti Melayu.

    “Sebab itu mereka nak lantik (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sebab Anwar ikut (arahan) dia,” katanya.

    Penyandang Parlimen Marang itu turut memberitahu telah dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung isu berkenaan.

    “Polis dah panggil saya ke Bukit Aman. (Pada mulanya) polis nak datang ke rumah, tetapi saya pilih untuk pergi (Bukit Aman). Yang datang (uruskan) pun polis (berbangsa) India, bukan Melayu. Jika (polis) Melayu, mungkin boleh cetus sentimen kaum dan sebagainya.

    “Ada buktinya yang saya telah kemukakan kepada Bukit Aman,” katanya.

    Walaupun mengakui bukan semua pimpinan DAP dipengaruhi ideologi komunis, katanya, PAS tetap dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti itu dan PH kerana mendakwa agenda politik mereka sangat ‘bahaya’.

    “Dalam PH ini ada macam-macam, komunis dan bekas komunis. Kita masih ingat pemimpin DAP minta bawa balik abu mayat Chin Peng (bekas pemimpin Parti Komunis Malaya).

    “Selain itu, ada dalam kalangan mereka ini liberal, menghalalkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), ada juga yang bagi dan terima rasuah,” katanya, lapor Berita Harian.

    Hadi turut berkata, agenda DAP dan PH yang jauh menyimpang daripada prinsip PAS turut menjadi punca parti itu memilih untuk keluar daripada Pakatan Rakyat pada 2008.

    Untuk rekod, selain PAS, Pakatan Rakyat adalah gabungan beberapa parti termasuk PKR dan DAP.

    Sementara itu, PH membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

    Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

  • Mengundi berkait pahala, dosa dan catatan amal – Hadi

    Mengundi berkait pahala, dosa dan catatan amal – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kewajipan mengundi hendaklah diambil secara serius semua pengundi yang layak terutamanya orang Islam.

    Tegas beliau, ini kerana, perkara itu bukan sahaja melibatkan soal masa depan kepimpinan negara, bahkan turut berkaitan dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal.

    “Saya menegaskan bahawa kewajipan mengundi hendaklah diambil secara serius kerana perkara ini bukan sahaja melibatkan soal masa depan kepimpinan negara, bahkan turut berkaitan dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal,” tulisnya di akaun Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, beliau turut mengingatkan kepada semua agar sentiasa bergerak kerja secara berpasukan.

    Katanya, ini kerana calon yang akan terpilih sebagai Ahli Parlimen nanti tidak akan mampu bekerja secara berseorangan, sebaliknya memerlukan sebuah pasukan yang saling mendukung untuk mentadbir dengan pelbagai kepakaran.

    “Mudah-mudahan, setiap amalan kita dinilai sebagai ibadat di sisi Allah SWT dan menjadi asbab kepada kemenangan Islam. Siiru ‘ala barakatillah,” katanya.

    Pada hantaran itu, Abdul Hadi menyatakan beliau turut berkesempatan bertemu mata bersama rakyat Kelantan di Parlimen Ketereh, bersama calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Ketereh, Mejar Jen (B) Datuk Khlir Mohd Nor.

    Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan Abdul Hadi bertanding mempertahankan kerusi Marang.

  • Dr M ajak tumbangkan BN, wujud kerajaan perpaduan dengan PH – Hadi

    Dr M ajak tumbangkan BN, wujud kerajaan perpaduan dengan PH – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengajaknya untuk bergabung bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, ajakan tersebut disuarakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dalam satu pertemua sebelum PRU-15 diumumkan.

    Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan beliau menolak tawaran itu kerana tidak bersetuju dengan pendekatan kerana terdapat percanggahan antara kedua-dua parti.

    “Pertemuan itu berlangsung sebelum pilihan raya atas dasar perjumpaan veteran politik. Dr Mahathir mengajak Pas bergabung untuk menjatuhkan BN kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan BN, selain berbeza pendapat.

    “Kita (Pas) tidak bersetuju untuk bergabung dengan Tun kerana ia membabitkan penubuhan kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) yang di dalamnya ada DAP. DAP masih mendominasi PH dan mempunyai jumlah besar,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Ramah Mesra Tuan Guru Presiden PAS Jupo Ore Tterey (Jumpa Orang Ketereh) di Medan Ilmu Pasar Peringat, hari ini. Hadir sama, calon PAS Parlimen Machang, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang akan mempertahankan Parlimen Marang pada PRU15 ini berkata, Pas terpaksa menolak cadangan itu dan tidak menerima PH kerana isu janji.

    Dalam perkembangan lain, ketika diminta berhubung keputusan Datuk Che Abdullah Mat Nawi menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tumpat pada PRU-15, Abdul Hadi berkata, keputusan menjadi calon bukannya diputuskan individu.

    “Bukan individu menentukan siapa calon untuk bertanding, sebaliknya ia diputuskan parti,” katanya, lapor Berita Harian.

    Che Abdullah bakal bertanding atas tiket BN dan ditentang Datuk Mumtaz Md Nawi (PAS); Che Mohd Asemari Che Ali dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA); Khairul Azuan Kamarrudin (Parti Warisan) dan Wan Mohd Johari Wan Omar (Pakatan Harapan).

  • Tak jadi calon, tak dapat jawatan itu ujian Allah – Hadi

    Tak jadi calon, tak dapat jawatan itu ujian Allah – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, ahli parti yang wala’ dan setia, rela diletakkan di mana sahaja mereka ditugaskan tanpa mengikut pilihan mereka bagi menegakkan Islam.

    Menurutnya, sama ada ahli muslimin, muslimat, orang muda dan lain-lain, mereka sepatutnya mengikut arahan diputuskan jemaah kerana adanya keberkatan di situ.

    “Bukannya ikut pilihan kita sendiri tetapi ikut (keputusan) jemaah letak.

    “Ini tak puas hati, nak diletak ditempat yang dapat habuan banyak.

    “Tak boleh jadi calon marah. Tak beroleh jawatan merajuk, itu semua ujian daripada Allah. Inilah perjuangan Islam yang kita kena faham ,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam klip video yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau hari ini.

    Abdul Hadi menjelaskan, bertugas satu hari dalam perjuangan Islam lebih baik daripada dunia dan isinya.

    Ini kerana, ia kelebihan ahli parti dalam menjalankan tugas diberikan.

    “Hanya mereka yang taat, yang wala yang setia kepada jemaah rela diletak di mana sahaja dia ditugaskan.

    “Sama ada Muslimin, Muslimat orang tua, orang muda dan lain-lain,” katanya.

  • Amal budaya politik matang, sejahtera semasa berkempen – Hadi

    Amal budaya politik matang, sejahtera semasa berkempen – Hadi

    JENTERA Perikatan Nasional (PN) digesa agar sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia perlu dilakukan sepanjang berurusan dengan semua pihak, sama ada kawan mahupun lawan.

    “Saya menyeru kepada semua jentera parti agar sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera sepanjang berurusan dengan semua pihak, sama ada kawan mahupun lawan.

    “Mudah-mudahan, Allah SWT menurunkan pertolongan-Nya melalui kemenangan kepada Perikatan Nasional untuk semua kerusi yang ditandingi kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini.

    Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, untuk kerusi Parlimen Marang, akan ada pertandingan sebanyak empat penjuru.

    Mereka membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Zarawi Sulong.

    “Alhamdulillah, selesai proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Parlimen Marang pagi tadi. InsyaAllah, di Parlimen Marang, akan ada pertandingan sebanyak empat penjuru,” katanya.

    Pada PRU-14, Abdul Hadi memperoleh majoriti 21,954 undi menewaskan Mohamad Nor Endot (BN) yang memperoleh 31,795 undi dan Zarawi yang memperoleh 5,138 undi.

  • [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan minat untuk bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata permohonan mereka masih dalam proses sebelum diumumkan pada hari penamaan calon Sabtu ini.

    “Tak boleh sebut berapa kerusi. Yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Rusila di sini, malam ini.

    Ditanya mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang akan mempertahankan kerusia Parlimen Arau atas tiket PN, Abdul Hadi berkata Shahidan telah bersama dengan PAS sejak di Parlimen dan beliau seorang yang berani mengkritik pimpinan UMNO.

    Selain Shahidan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib juga diumum akan mempertahankan Parlimen Maran sebagai calon PN.

    Shahidan dan Ismail adalah antara menteri dan timbalan menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang digugurkan sebagai calon BN pada PRU15.

    Abdul Hadi berkata rundingan di peringkat parti mengenai calon daripada BN yang akan mewakili PN telah dibincangkan di peringkat pimpinan PAS dan PN, serta ia diterima sebulat suara.

    Malah katanya, bakal calon daripada PN yang disenaraikan juga telah menarik diri secara sukarela bagi memberi laluan kepada pemimpin BN tersebut. – BERNAMA

  • [VIDEO] Shahidan, Ismail diumum tanding tiket PN di Arau dan Maran

    [VIDEO] Shahidan, Ismail diumum tanding tiket PN di Arau dan Maran

    MENTERI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN), kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang malam ini.

    Abdul Hadi turut mengumumkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran di Pahang, juga atas tiket PN.

    Shahidan dan Ismail telah digugurkan sebagai calon oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.

    Terdahulu, Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15, mengumumkan dua bakal calon baharu mewakili PN bagi kerusi Parlimen di negeri itu.

    Mereka adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Dr Alias Razak yang akan bertanding di Parlimen Kuala Nerus dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Parlimen Besut.

    Ahmad Samsuri turut mengumumkan lima penyandang daripada PAS bakal mempertahankan kawasan masing-masing termasuk Abdul Hadi yang bertanding semula di Parlimen Marang.

    Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim bakal mempertahankan Parlimen Kuala Nerus; Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu); Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun); dan Che Alias Hamid (Kemaman).

    Selain itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid disahkan mewakili PN bagi Parlimen Hulu Terengganu.

    Sementara itu, selepas diumumkan sebagai bakal calon PN bagi Parlimen Arau, Shahidan dalam ucapannya berkata beliau membuat keputusan untuk mewakili PN kerana menyifatkan Abdul Hadi memahami dirinya dan mereka tetap bersahabat walau berbeza pendapat.

    “Saya idamkan perpaduan ummah. Saya nak PAS dan UMNO di Arau sokong saya. Biar Muafakat Nasional bermula di Arau. Saya akan gempur Arau habis-habisan. Sekali saya masuk gelanggang saya nak menang,” katanya.

    Berikut senarai calon PN bagi PRU15 di Terengganu:

    P033 Besut – Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh  

    P034 Setiu – Shaharizukirnain Abd Kadir 

    P035 Kuala Nerus –  Datuk Dr Alias Razak 

    P036 Kuala Terengganu – Datuk Ahmad Amzad Hashim

    P037 Marang – Tan Sri Abdul Hadi Awang 

    P038 Hulu Terengganu – Datuk Rosol Wahid 

    P039 Dungun –  Wan Hassan Mohd Ramli 

    P040 Kemaman – Che Alias Hamid 

    — BERNAMA

  • Kalau khianat pada parti akan dilaknat oleh Allah – Hadi

    Kalau khianat pada parti akan dilaknat oleh Allah – Hadi

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan mereka yang mengkhianat kepada parti tersebut akan dilaknat oleh Allah.

    Menjawab soalan berhubung bai’ah (perjanjian) yang digunapakai oleh Pas, penyandang kerusi Parlimen Marang itu berkata bahawa bai’ah sedia ada tidak seperti zaman dahulu.

    “Bersifat kesetiaan kepada parti, kepada perjuangan, tak boleh khianat

    “Kita punya wadah Islam kita, tak boleh salah laku, tak boleh khianat pada parti, kalau khianat pada parti akan dilaknat oleh Allah… ini adalah bai’ah PAS,” katanya dalam sidang di bilik gerakan utama Perikatan Nasional di Arau, Perlis malam tadi.

    Terdahulu, beliau ditanya jika parti komponen PN – Bersatu perlu mengguna pakai bai’ah seperti yang diamalkan oleh Pas, Hadi menjawab terpulang kepada parti masing-masing kerana kedua-dua parti itu lebih kepada bersifat kerjasama.

    “Terpulang kepada Bersatu… bai’ah ni untuk Pas saja.

    “Dia parti Bersatu ada ‘aku janji’ yang dibuat. Terpulang kepada parti masing-masing, tak terikat. Kita lebih kepada bekerjasama,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Sementara itu, dia turut diminta mengulas kenyataan bekas pemimpin Pas Datuk Khairuddin Aman Razali dua hari lalu yang menyeru supaya ahli Pas memberikan undi mereka kepada BN dan bukannya PN. Pas merupakan sebahagian daripada PN.

    “Dia (Khairuddin) bukan orang Pas lagi. Kita (Pas) tak perlu jawab,” katanya.

    Khairuddin sebelum ini mengumumkan keluar daripada Pas dipercayai susulan isu-isu berkaitan dengan usaha menyatukan UMNO dan Pas semua selepas parti itu menyertai PN.

    Beliau yang adalah bekas setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu berkata, cara untuk menghalang kemenangan PH pada PRU15 hanyalah dengan memberi sokongan kepada BN.

  • Abdul Hadi tidak pernah tuduh Anwar ahli Freemason sedunia

    Abdul Hadi tidak pernah tuduh Anwar ahli Freemason sedunia

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah menuduh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli Freemason sedunia.

    Pejabat Presiden Pas menerusi kenyataan media berkata, pihaknya menafikan dakwaan tersebut dan untuk rekod Abdul Hadi tidak pernah mengungkapkan tuduhan seperti dikatakan.

    “Merujuk kepada suatu laporan berita dan petikan video ucapan Presiden PKR yang mendakwa kononnya Presiden Pas mengatakan beliau adalah ahli Freemason sedunia.

    “Pihak kami dengan ini terpanggil untuk menafikan dakwaan tersebut, malah untuk rekod Presiden Pas tidak pernah mengungkapkan tuduhan yang dikatakan itu,” kata kenyataan itu hari ini.

    Mengulas lanjut, Pejabat Presiden Pas berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Pas tetap menolak budaya politik fitnah, janji kosong dan tuduhan palsu yang tidak berasas sama sekali.

    Katanya, benarlah pepatah Arab yang berbunyi, ‘Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu dizalimi’.

    Artikel dan rakaman video yang mengandungi dakwaan Anwar terhadap Abdul Hadi itu disiarkan dalam portal SelayangPandang.net pada 23 Oktober lalu.