Tag: Abdul Hadi

  • Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    PAS akan menyerahkan kepada menteri besar untuk membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasai parti berkenaan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

    Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perkara itu akan diputuskan dalam perbincangan bersama menteri besar-menteri besar berkenaan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.

    “Tarikh pembubaran DUN akan diserahkan kepada perbincangan dengan menteri besar,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

    Abdul Hadi ditemui selepas selesai memberi keterangan selama hampir dua jam di IPD Sentul susulan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung ucapan berbaur hasutan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bulan lepas.

    Pada sidang media kempen Perikatan Nasional (PN) di kawasan Parlimen Padang Serai semalam, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mencadangkan Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN selepas PRU15 Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, selesai.

    Beliau berkata ia adalah masa terbaik untuk ketiga-tiga negeri yang ditadbir PN itu mengadakan PRN susulan sokongan pengundi terhadap gabungan itu pada PRU15, 19 Nov lepas.

    Mengulas mengenai kenyataan Shahidan yang mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan, Abdul Hadi berkata pada masa ini pihaknya sedang melihat kepada perkembangan semasa sejauh mana pentadbiran kerajaan ketika ini.

    “Kita lihat kepada perkembangan semasa dan reaksi rakyat selepas ini. Usaha untuk menjadi kerajaan itu sekurang-kurangnya untuk pilihan raya akan datang,” katanya. – BERNAMA

  • Malaysia bukan perisai atau proksi negara lain – tegas Abdul Hadi

    Malaysia bukan perisai atau proksi negara lain – tegas Abdul Hadi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Malaysia tidak seharusnya menjadi perisai ataupun proksi kepada mana-mana kuasa besar sehingga membolehkan mereka melakukan provokasi terhadap negara lain.

    Presiden Pas itu berkata, kuasa-kuasa besar juga tidak seharusnya dibiarkan menjadi penyelesai kepada masalah dalam kalangan negara di rantau ini.

    “Negara-negara serantau sepatutnya menyelesaikan masalah sendiri melalui pakatan kerjasama setempat selain mengadakan hubungan dengan semua pihak tanpa mengira Blok Timur atau Barat, menerima aspek positif dan menolak polisi negatif serta melampau.

    “Tanggungjawab dan peranan untuk menyelamatkan negara sendiri lebih diutamakan, selain tidak menjadi alat kepada campur tangan asing secara langsung atau tidak langsung.

    “Jangan jadikan negara ini sebagai perisai kepada negara lain atau proksi bagi pihaknya melalui provokasi murahan yang boleh dibeli oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang akan meminta pandangan China berhubung perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

    Hadi berkata, kenyataan Hishammuddin untuk meminta pandangan China itu bukan bermakna Malaysia sudah berpihak China tetapi, lebih bersifat kepada menunjukkan bahawa Malaysia tidak bergantung lagi kepada Barat.

    Kelmarin, Hishammuddin menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa Malaysia menerima arahan daripada China berhubung pembentukan AUKUS.

    Menteri Pertahanan itu sebaliknya berkata, Malaysia mahukan pandangan China dan tindakan mereka berhubung AUKUS supaya negara di rantau ini, termasuk negara ASEAN lain boleh ambil tindakan proaktif.

    Hadi berkata, adalah wajar Malaysia meminta penjelasan China kerana keutamaan yang sepatutnya dalam hubungan antarabangsa adalah melihat terlebih dahulu terhadap sikap negara serantau yang terdekat, bukannya merangkak ke negara yang jauh merentasi lautan dan benua.