Tag: Abd Latiff Ahmad

  • Laporan polis dakwaan fitnah menteri, polis akan panggil Rafizi

    Laporan polis dakwaan fitnah menteri, polis akan panggil Rafizi

    POLIS akan memanggil Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam masa terdekat berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan menerima laporan yang dibuat malam tadi oleh pegawai khas Abdul Latiff berkenaan tulisan di blog Rafizi yang turut dikongsi di akaun Facebook dan Twitter miliknya.

    “Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 500 KK (kesalahan memfitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).

    “Penama Rafizi Ramli akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Rafizi dalam beberapa siri pendedahan sebelum ini mendakwa Abdul Latiff dan ahli keluarganya mendapat keuntungan daripada projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) bernilai RM6 bilion dan kontrak pertahanan lain semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan .

    Rafizi juga menegaskan bahawa Abdul Latiff mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh, yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek kapal tersebut.

    Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pegawai khas Latiff, Sayed Ahmad Mu’izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap mengulangi dakwaannya walaupun menteri berkenaan telah membuat penafian.

    Sayed juga berkata Rafizi mengelirukan orang ramai dengan hanya merujuk draf laporan audit forensik untuk menyokong dakwaannya, sepertimana yang disebut Abdul Latiff.

    Katanya, ia dilakukan dengan mengabaikan penafian yang terkandung dalam laporan berkenaan yang menyatakan juruaudit tidak dapat menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh individu yang terlibat dalam projek itu.

    Pada 26 Ogos, Abdul Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS dan keluarganya juga tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan dari tahun 2009 hingga 2013.

    Dia juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh, dan sebarang perbuatan yang dilakukan individu berkenaan tiada kaitan dengan dirinya.

  • Skandal LCS: Abd Latiff buat laporan polis terhadap Rafizi

    Skandal LCS: Abd Latiff buat laporan polis terhadap Rafizi

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad membuat laporan polis terhadap Rafizi Ramli berhubung tindakan Timbalan Presiden PKR itu mengaitkannya dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

    Ahli Parlimen Mersing itu percaya bahawa fitnah dan tohmahan berkenaan dicipta untuk merosakkan nama baiknya bagi tujuan politik.

    Menurutnya, ini bagi menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap beliau dan menyemarakkan keresahan rakyat.

    “Satu laporan polis telah dibuat berkenaan dengan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh saudara Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik saya.

    “Saya percaya bahawa fitnah dan tohmahan tersebut diciptakan untuk merosakkan nama baik saya untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap saya dan menyemarakkan keresahan rakyat.

    “Penyiaran dan komunikasi secara elektronik tersebut adalah sumbang, palsu, mengancam dan bersifat jelik untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan mengganggu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini,

    Beliau turut berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mendakwa Rafizi serta pihak-pihak yang bersubahat melakukan kesalahan terbabit.

    Dalam hantaran sama, Abdul Latiff turut memuat naik gambar laporan polis dibuat pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

    Sebelum ini, laporan audit forensik LCS, antara lain menyatakan syarikat pembekal peralatan LCS adalah isteri kepada Dr Abd Latiff yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 2008 hingga 2013.

    Namun Abd Latiff beberapa kali menafikan wanita dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.

    Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Dr Abd Latiff berpandukan siasatan dalaman skandal itu dan semakan susulan dilakukannya.

    Menurutnya, siasatan dalaman LCS mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.

    Abd Latiff menyifatkan Rafizi cuba mengelirukan orang ramai apabila terus mengaitkannya dengan isu projek LCS.

    Katanya lagi, tindakan itu dapat dilihat melalui laporan audit yang masih di peringkat draf, sedangkan laporan audit didakwanya laporan ‘sebenar’ yang sudah ditandatangani firma audit tidak menyebut Zainab Mohd Salleh sebagai isteri keduanya.

  • Laporan polis terhadap Ahmad Zahid, Abd Latiff

    Laporan polis terhadap Ahmad Zahid, Abd Latiff

    PARTI Amanah Negara (Amanah) membuat laporan polis, berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap semasa Taklimat Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, klip video dan teks ucapan Zahid di majlis itu tersebar luas di media sosial.

    “Dalam ucapan itu, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

    “Susulan itu, kami membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan termasuk terhadap beberapa individu lain yang turut berucap dalam majlis sama selain menyiasat pihak yang memuat naik ucapan berkenaan serta pihak menganjurkan majlis berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada pukul 11 pagi hari ini.

    Dalam perkembangan berasingan, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Akmal Nasir turut membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini, terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkaitan isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

    Akmal berkata, laporan polis yang dibuat itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau rasuah dalam skandal berkenaan.

    “Pendedahan sudah dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli serta laporan juru audit dalaman menamakan Latiff yang disyaki terbabit dalam skandal LCS.

    “Namun, penafian Menteri berkenaan sehinggalah saat ini hanya melalui kenyataan di Facebook (FB) tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan polis bagi kedua-dua isu berkenaan.

    “Bagi laporan dibuat Amanah, kes dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Satu lagi laporan diterima berkaitan Laporan Audit LCS pula dirujuk ke Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Skandal LCS: Rafizi minta disaman, dakwa Abd Latiff buat penafian kosong

    Skandal LCS: Rafizi minta disaman, dakwa Abd Latiff buat penafian kosong

    TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan penafian kali kedua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkaitan penglibatan “isterinya” dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) hanyalah pernafian kosong.

    Menurut beliau, penafian mudah tanpa menunjukkan fakta atau dokumen ialah taktik biasa pimpinan dan bekas pimpinan UMNO.

    Katanya, semasa skandal SRC dan 1MDB mula didedahkan, Datuk Seri Najib Razak pun menafikan bahawa wang masuk ke akaun peribadinya.

    “Justeru apabila telah dibuktikan, barulah bekas perdana menteri menyebut ia wang derma hartawan Arab namun setelah disiasat, didapati wang itu datang dari tabung pencen rakyat.

    “Sebab itu rakyat tidak boleh lagi mempercayai penafian kosong menteri-menteri UMNO kerana rekod yang telah ada setakat ini,” katanya.

    Mengulas lanjut Rafizi berkata, jika Dr Abd Latiff tiada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan beliau atau keluarganya tidak terlibat dengan kontrak projek LCS, beliau diminta mengambil tindakan saman.

    Katanya, saman serta merta itu perlu dibuat Dr Abd Latiff ke atasnya, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) yang mengarahkan audit forensik LCS dan juruaudit Alliance IFA (M) Sdn Bhd.

    “Jika ini tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Dr Abd Latiff akan mengheret partinya Bersatu ke kancah kekalahan dalam PRU-15 kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS ini,” katanya.

    Rafizi sebelum ini memetik audit forensik itu yang menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh ialah isteri Latiff, yang berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan sebelum ini.

    Latiff hari ini sekali lagi menegaskan bahawa dia tiada isteri yang bernama Zainab.

    “Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Salleh,” katanya di Fcaebook.

  • Abd Latiff nafi isteri atau isteri-isteri beliau ada yang bernama Zainab Mohd Salleh

    Abd Latiff nafi isteri atau isteri-isteri beliau ada yang bernama Zainab Mohd Salleh

    BUAT kali kedua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, sekali lagi menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS)  Zainab Mohd Salleh adalah isteri beliau.

    Dr Abd Latiff menerusi hantaran Facebook miliknya hari ini membidas tuduhan berterusan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ke atasnya berhubung skandal itu.

    “Salam Jumaat yang penuh barakah penghulu segala hari. Semoga apa saja yang kita lakukan hari ini membawa kebaikan buat semua dan beroleh keberkatan dari yang maha esa.

    “Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh.

    “Tiada ahli keluarga saya yang terbabit dalam bisnes (perniagaan) membabitkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.

    “Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Mersing)…saya suka makan ikan…tapi bukan ikan jerung,” tulisnya di Facebook.

    Tidak cukup dengan itu, Dr Abd Latiff turut menyertakan serangkap pantun berunsur sindiran dipercayai terhadap dakwaan Rafizi.

    Siakap senohong gelama ikan duri,

    Cakap bohong lama lama jadi pencuri,

    Siakap senohong gelama ikan jerung,

    Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung.

    Semalam, Rafizi menerusi catatan di Facebook mendakwa, sejak beliau mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Dr Abd Latiff di dalam laporan forensik projek LCS, sehingga sekarang ahli Parlimen Mersing tidak menafikan kenyataan itu.

    “Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai,” kata Rafizi dalam kenyataan itu.

    Isnin lalu, Dr Abd Latiff menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya malah bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.

    Kenyataan beliau itu susulan kenyataan Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

    Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff.

    Beliau juga mendakwa siasatan dalam LCS juga mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.

  • Kerajaan teliti wujudkan NADMA peringkat negeri dan daerah

    Kerajaan teliti wujudkan NADMA peringkat negeri dan daerah

    KERAJAAN sedang meneliti untuk mewujudkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat negeri dan daerah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

    Beliau berkata, ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 22 Dis lepas supaya struktur NADMA diteliti semula untuk memperkukuh peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara.

    “Perkara ini sedang dalam tindakan NADMA bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Antara perkara yang diteliti adalah pewujudan NADMA di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

    Abd Latiff berkata demikian ketika membentangkan mengenai pengurusan bencana banjir penghujung tahun 2021 dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

    Menyentuh mengenai hala tuju pengurusan bencana, Abd Latiff berkata NADMA turut mengambil inisiatif untuk memperkasakan pengurusan pengurangan risiko bencana (DRR) melalui penggubalan Dasar DRR termasuk penambahbaikan kefahaman tentang risiko bencana.

    “Meningkatkan pelaburan dalam inisiatif pengurangan risiko bencana daripada aspek kapasiti sumber manusia, pemerkasaan institusi, perluasan langkah mitigasi, aplikasi teknologi dan memperhebatkan langkah kesiapsiagaan nasional.

    “Selain itu, NADMA juga dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Pengurusan Bencana yang bersifat omnibus antara lain meliputi aspek tadbir urus, penguatkuasaan, kesiapsiagaan, DRR, tindak balas, pemulihan dan pembangunan semula,” katanya.

    Beliau juga berkata, NADMA akan memperkasakan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) agar seiring perkembangan teknologi semasa.

    Katanya, ia mengambil kira keperluan dan kepentingan pengurusan maklumat yang dinamik, tepat dan cepat bagi membantu perancangan, pelaksanaan operasi, pemberian bantuan, pemulihan awal dan pembangunan semula.

    “Antara perkara yang akan diberi fokus adalah memastikan data-data bencana daripada pelbagai agensi adalah terseragam, terkini dan mempunyai ciri-ciri peramalan kesan serta penderiaan permintaan bagi membantu di dalam membuat keputusan,” katanya.

    Sebelum mengakhiri pembentangannya, Abd Latiff juga mengalu-alukan cadangan Ahli Parlimen pada Mesyuarat Khas berkenaan bagi menambah baik agensi dan bersedia dalam memastikan NADMA dapat menguruskan bencana negara dengan lebih cekap dan berkesan. – BERNAMA

  • Dr Latiff turun padang senyap-senyap tanpa konvoi, liputan media

    Dr Latiff turun padang senyap-senyap tanpa konvoi, liputan media

    MACAM-MACAM ragam yang ditunjukkan oleh mereka yang turun padang membantu mangsa banjir yang terjejas di sekitar lima negeri.

    Ada yang datang berkonvoi, lengkap dengan liputan media dan ada juga yang tiba-tiba menjadi tular seperti Abang Viva.

    Tidak kurang juga yang datang senyap-senyap secara bersendirian tanpa diiringi pegawai atau penyokong yang berduyun-duyun walaupun bergelar menteri Kabinet.

    Salah seorang daripada mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

    Semalam, beliau membuat ‘kejutan’ apabila datang secara solo tanpa protokol dan dikerumuni media bagi membantu dan mendengar keluhan penduduk di sekitar Kampung Labohan Dagang di Banting, Selangor.

    Seperti yang dikongsikan oleh aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin dalam laman Facebook miliknya hari ini, Abd Latif yang tiba pada waktu pagi turut menyumbang tenaga membersihkan rumah penduduk sambil mendengar sendiri dari mulut mangsa banjir tentang apa yang mereka perlukan.

    “Menurut staff pejabatnya rupanya Dr Latiff ni memang suka turun jumpa orang dengar sendiri tanpa protokol dan media ramai ramai.

    “Dia datang nak bantu sama sumbang tenaga sambil dengar sendiri dari mulut mangsa banjir mengenai keperluan dan sebagainya. Bukan tuan rumah dan jiran jirannya sahaja terkejut … kami sendiri terkejut….

    “Dekat dua jam setengah juga Dr Latiff sama operasikan pembersihan dan ketika kami berhenti makan tengahari sebelum balik Dr Latiff sempat bersama seorang staffnya, dia bertandang ke rumah rumah untuk mendengar sendiri perbagai perkara ada beberapa kediaman yang teruk dan sangat memerlukan mendapat sumbangan peribadi Dr Latiff,” jelasnya dalam hantaran tersebut.

    Gambar: Facebook Che’gu Bard

    Malah, Dr Abd Latiff turut mengusahakan supaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghantar sebuah lori besar pada waktu petang bagi mengangkut keluar barangan milik penduduk yang rosak akibat banjir.

    Berhubung kerja-kerja kesukarelaan yang memasuki hari ketujuh semalam, Che’gu Bard menambah, pasukannya menumpukan di kawasan sekitar Jalan Haji Amin, Kampung Labohan Dagang.

    “Banjir telah surut di kawasan rumah namun kena harung air untuk sampai ke kawasan rumah. Tak banyak rumah mampu dibersihkan kerana team kami bersih habis termasuk pinggan dan lain lain.

    “Sebab tumpuan kami bantu rumah milik orang kurang upaya (OKU), orang sakit kritikal dan warga emas yang tak mampu bersih rumah sendiri,” katanya.

    Sebelum itu, pasukan berkenaan telah menjalankan kerja-kerja membantu mangsa banjir di lokasi-lokasi lain yang terjejas.

  • Seri Perdana banyak kerosakan, mesti baik pulih

    Seri Perdana banyak kerosakan, mesti baik pulih

    KERAJAAN perlu membaik pulih Kompleks Seri Perdana kerana kediaman rasmi Perdana Menteri sejak 1999 itu mengalami banyak kerosakan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta, termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.

    “Projek ini telah diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021. Ia dijangka siap pada 7 Disember 2021.

    “Setakat hari ini (29 September 2021), kerja-kerja baik pulih telah mencapai 74 peratus kemajuan, berbanding 71 peratus seperti dalam jadual,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Abd Latiff turut menjelaskan, soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang Dewan Rakyat tentang projek tersebut dijawab oleh beliau selaku menteri yang bertanggungjawab dan bukannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.