Tag: Abd Latif Bandi

  • Tuduhan rasuah, pengubahan wang haram: Abd Latif dan anak bebasĀ 

    Tuduhan rasuah, pengubahan wang haram: Abd Latif dan anak bebasĀ 

    BEKAS Exco Kerajaan Negeri Johor Datuk Abd Latif Bandi, anaknya dan seorang perunding hartanah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, lima tahun lalu, hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani, keputusan itu dibuat hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kamaruddin Kamsun selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan terhadap kesemua tertuduh Abdul Latif, 56, Ahmad Fauzan Hatim, 30, dan Amir Shariffuddin Abd Raub, 49.

    Abdul Latif dan Amir Shariffuddin menghadapi 33 pertuduhan rasuah mengikut seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama seksyen 16(a)(B) akta sama.

    Abdul latif turut menghadapi 13 pertuduhan dan masing-masing empat pertuduhan bagi Amir Shariffudfin serta Ahmad Fauzan di bawah Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

    Kamaruddin dalam penghakimannya berkata keputusan dibuat setelah mahkamah meneliti perbicaraan dan hujahan.

    Mahkamah turut mengarahkan agar wang jaminan dipulangkan semula.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah 1, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

    Abdul Latif dan Ahmad Fauzan diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk Salehuddin Saidin.

    Manakala Amir Shariffuddin diwakili Khairulazwad Sariman.

    Sementara itu, Wan Shaharuddin dalam hujahnya berkata pihaknya akan meneliti keputusan yang diputuskan mahkamah terhadap ketiga-tiga tertuduh, dan akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut pada minggu ini.

    Pada 26 Jun lalu, Mahkamah Sesyen menangguhkan keputusan kes dihadapi Abd Latif dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah kerana terhadap hujahan daripada pihak terbabit yang belum diterima.

    Kamaruddin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

    Abd Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa pada 14 Jun 2017, atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah.

  • Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi, anak ditunda

    Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi, anak ditunda

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menangguhkan keputusan kes dihadapi bekas Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah yang menghadapi 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta ke 7 Ogos ini.

    Hakim Kamarudin Kamsun dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan hari ini, bagaimanapun beliau berkata masih terdapat beberapa hujahan daripada pihak-pihak terbabit yang belum diterima.

    “Masih terdapat beberapa hujahan yang belum dibuat dan saya perlu mendengar hujahan terbabit sebelum membuat keputusan.

    “Maka, saya tidak boleh membuat keputusan pada hari ini dan keputusan akan ditetapkan ke satu tarikh baharu,” katanya.

    Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Abd Latif, 56, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30, kemudiannya memohon mahkamah untuk mendengar hujahan daripada pihak pembelaan.

    Prosiding turut mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama barisan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan Mahadi Abdul Jumaat.

    Selain Salehuddin, Abd Latif dan Ahmad Fauzan turut diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican manakala perunding , Amir Shariffuddin Abd Raub, 49, diwakili Khairulazwad Sariman.

    Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

    Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

    Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

    Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001. – BERNAMA

  • Bekas Exco Johor diperintah bela diri 37 pertuduhan

    Bekas Exco Johor diperintah bela diri 37 pertuduhan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi diarah Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk membela diri bagi 37 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 2017.

    Selain Abdul Latif, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub turut diarah untuk membela diri atas pertuduhan sama.

    Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan perkara itu selepas prosiding hari ini selesai sekaligus mengenepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan ketiga-tiga mereka.

    Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keputusan terdahulu oleh Mahkamah Sesyen adalah salah.

    “Mahkamah Sesyen telah tidak mempertimbangkan banyak isu-isu penting dalam kes tersebut dan Hakim juga telah menetapkan jaminan berjumlah RM1.1 juta untuk ketiga-tiga tertuduh dengan cagaran tanah,” katanya.

    Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan jumlah lebih RM30 juta.

    Selain itu, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan selepas ketiga-tiga mereka pada 14 Jun 2017 dihadapkan dengan empat pertuduhan melibatkan aktiviti terbabit.

    Sebelum itu, mereka masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, peguam tertuduh, Datuk Salehuddin Saidin berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu bukan pengakhiran buat anak guamnya.

    Beliau berkata akan terus mewakili anak guamnya bagi membuktikan tidak bersalah atas segala pertuduhan dikenakan memandangkan ketiga-tiga mereka ketika ini belum dibuktikan bersalah.

    “Apa yang perlu saya tekankan anak guam kami telah menghormati proses undang-undang dan mereka akan hadir ke mahkamah walaupun jumlah jaminan telah dikurangkan kepada RM1.1 juta,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Salehuddin turut memberitahu anak guamnya akan membayar wang jaminan tersebut menggunakan cagaran tanah.

    Beliau bersama-sama Hasnal Redzua Merican merupakan peguam kepada ketiga-tiga mereka, manakala barisan pendakwaan disertai Wan Shaharuddin; Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong.

    Mahkamah kemudian turut menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.