Tag: Abd Jalil Hassan

  • ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    POLIS menumpaskan sindiket samun kedai emas dikenali ‘Geng Amir @ Kecik’ yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak Mei lepas melibatkan kerugian lebih RM879,000 setelah menahan 23 individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di Lembah Klang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan menerusi Op Dulang yang dijalankan pada 13 hingga 20 Sept lepas.

    “Hasil daripada maklumat, sepasukan polis JSJ Selangor telah menjalankan operasi dan menahan 21 lelaki dan dua wanita termasuk ketuanya disyaki terlibat dalam kes samun di empat buah kedai emas di Setapak, Kepong, Gombak dan Seri Kembangan bermula Mei lepas.

    “Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan samun ke atas kedai emas dengan bersenjatakan parang, kapak serta tukul besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.

    Sebahagian daripada senjata serta hasil samun kedai emas yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurut beliau hasil siasatan lanjut mendapati ahli kumpulan itu berpura-pura sebagai pelanggan dan membuat pemerhatian ke atas kedai emas yang akan dijadikan sasaran bagi menentukan kelemahan yang ada di premis terbabit.

    “Tujuh suspek berperanan melakukan samun, enam lagi bertindak sebagai pembeli barang kemas hasil samun manakala dua suspek berperanan menyimpan hasil samun selain lapan lagi mempunyai pengetahuan tentang kegiatan samun yang dilakukan,” katanya.

    Abd Jalil berkata susulan penahanan itu, polis turut merampas enam ketulan emas, empat utas rantai leher emas, dua utas rantai tangan emas serta satu rantai kaki emas yang kesemuanya bernilai lebih RM193,479 serta barang-barang berkaitan dipercayai digunakan bagi tujuan samun.

    Menurutnya polis sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Boy Selayang’ atau nama sebenar Mohd Hafizuddin Roslan beralamat di No 12, Jalan Mutiara 5/6 Taman Selayang Mutiara, Batu Caves serta ‘Atai’ dengan nama sebenar Ataillah Ghazi beralamat No 128, Jalan Pelangi 1, Taman Pelangi Jaya, Kuala Lumpur yang dipercayai turut terlibat dengan kumpulan itu.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • PDRM panggil Hasanah, tiga pegawai kanan SPRM siasatan kehilangan RM25j

    PDRM panggil Hasanah, tiga pegawai kanan SPRM siasatan kehilangan RM25j

    POLIS Diraja Malaysia akan memanggil tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya juga turut akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

    “Kesemua mereka akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan dan mereka dipanggil berdasarkan siasatan oleh pegawai penyiasat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

    Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata PDRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang diterima berkaitan isu berkenaan.

    Hamzah berkata kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP).

    Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.

    Sementara itu Abd Jalil berkata proses permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat masih sedang berjalan.

    Beliau berkata proses ekstradisi usahawan kosmetik itu melibatkan Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand masih dipergiat.

    “Ya ia masih berjalan dan permohonan itu merupakan sebahagian daripada prosesnya,” katanya.

    Beliau mengulas dakwaan pihak berkuasa Thailand kononnya tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad, 36, yang kini ditahan pihak Imigresen Thailand kerana memiliki passport tidak sah.

    Muhammad Sajjad dikehendaki di negara ini atas beberapa kesalahan jenayah antaranya menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan dan halang penjawat awam menjalankan kewajipan selain kes penipuan pertukaran nama dan jantina.

    Beliau turut dikehendaki selepas waran tangkapnya dikeluarkan kerana gagal hadir di sebutan semula pertuduhan kerana berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. – BERNAMA