Tag: abai

  • Kes aniaya Bella: Siti Bainun bebas atau bela diri diketahui esok

    Kes aniaya Bella: Siti Bainun bebas atau bela diri diketahui esok

    KEPUTUSAN sama ada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan diketahui esok di Mahkamah Sesyen di sini.

    Hakim Izralizam Sanusi dijadual membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9 pagi.

    Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, maka dia akan dipanggil membela diri, manakala jika sebaliknya pengasas rumah kebajikan itu akan dilepaskan dan dibebaskan.

    Pada 28 Okt lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lepas.

    Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

    Siti Bainun, mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Abai 2 anak bermain tepi balkoni, suami isteri disiasat

    Abai 2 anak bermain tepi balkoni, suami isteri disiasat

    POLIS sedang menyiasat sepasang suami isteri kerana disyaki membiarkan dua anak mereka bermain di tepi balkoni tingkap di tingkat 17 sebuah kondominium di Taman Setapak di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata ibu bapa kepada kanak-kanak itu telah dipanggil untuk diambil keterangan dan dibenarkan pulang malam tadi.

    Beliau berkata satu laporan polis dibuat pegawai polis Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam, susulan tular satu rakaman video kejadian itu di media sosial.

    Beliau berkata video berkenaan dimuat naik pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Reff Lia memaparkan dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan dua tahun dibiarkan cuai dan bermain di tepi balkoni tingkap berkenaan yang tidak berpagar.

    “Hasil siasatan mendapati ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak berkenaan berada di dalam rumah dan tidak menyedari kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ashari berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak (2001). 

    “Pihak polis menasihatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak,” katanya.

    Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk  menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

  • Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak

    Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang tular sebelum ini.

    Siti Bainun, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

    Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan kediaman.

    “Kes ini adalah kes kepentingan awam dan mendapat perhatian media. Pihak kerajaan juga memandang serius terhadap kes pengabaian kanak-kanak. Mangsa dalam kes ini adalah orang kurang upaya (OKU), sindrom down,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Rosidah Abu Bakar.

    Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis selain berjanji akan hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

    “Kesemua syarat yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh tertuduh kerana membabitkan mangsa kanak-kanak, jika syarat ini gagal dipatuhi jaminan akan dibatalkan,” katanya yang kemudian menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.- BERNAMA