Tag: 8 sebatan

  • Rogol pelajar 13 tahun, juruteknik dipenjara 64 tahun, 8 sebatan

    Rogol pelajar 13 tahun, juruteknik dipenjara 64 tahun, 8 sebatan

    SEORANG juruteknik dijatuhi hukuman penjara 64 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas mengaku salah atas kesalahan melarikan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu dari sebuah sekolah di Klang dan merogolnya hampir dua mingggu lalu.

    Tertuduh Azali Abu, 40, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus lapan pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Mohd. Sabri Ismail.

    Mengikut empat pertuduhan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan, tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak didapati merogol seorang kanak-kanak berusia 13 tahun tanpa kerelaannya.

    Astro Awani melaporkan, bagi kesalahan itu tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

    Tertuduh juga didakwa dengan empat pertuduhan lain atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bachang, dalam daerah Melaka Tengah pada 16 dan 17 Jun 2022 lalu.

    Mengikut fakta kes, tindakan terkutuk tertuduh dikesan apabila ibu mangsa dihubungi pemandu van sekolah memaklumkan remaja tersebut tidak ditemui selepas tamat waktu persekolahan.

    Wanita itu kemudian menghubungi rakan anaknya sebelum dimaklumkan remaja itu dilihat menaiki sebuah kereta bersama seorang lelaki.

    Pada 18 Jun mangsa kemudiannya telah pulang ke rumah dan memberitahu telah dirogol sebanyak empat kali antara pukul 10 malam pada 16 Jun sehingga pukul 10 malam keesokkannya oleh tertuduh.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

    Ini kerana tertuduh bertindak melarikan seorang pelajar sekolah dari Klang, Selangor dan dibawa ke tempat asing di Melaka selain faktor tertuduh yang sudah berusia 40 tahun itu sepatutnya membimbing kanak-kanak tersebut, bukan sebaliknya.

    Mohd. Sabri pada penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan penjara enam tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan amang seksual fizikal.

    Beliau memerintahkan hukuman di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan itu berjalan secara berasingan, manakala Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berjalan serentak dari tarikh tarikh ditangkap 25 Jun lalu.

    Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lelaki OKU rogol adik dipenjara 14 tahun, 8 sebatan

    Lelaki OKU rogol adik dipenjara 14 tahun, 8 sebatan

    SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) kudung kaki kanan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, Kelantan, hari ini selepas mengaku bersalah merogol adik kandungnya, November tahun lalu.

    Tertuduh, penganggur berusia 21 tahun yang bertongkat membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Menurut laporan Berita Harian, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian dan perhubungan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengan remaja itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Ketereh, Kelantan, antara jam 10 hingga 11 malam pada 1 hingga 7 November 2021.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh sudah mengaku perbuatan keji yang dilakukan terhadap adik kandung sendiri.

    “Ketika kejadian, mangsa berusia 13 tahun dan masih tidak dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perbuatan.

    Perbuatan itu meninggalkan kesan trauma kepada mangsa dan sepatutnya tertuduh memberi teladan yang baik dan menjaga maruah adiknya,” katanya.

    Mengikut fakta kes, tertuduh merogol adiknya November tahun lalu dan mengugut akan memukul mangsa sekiranya memaklumkan kejadian kepada orang lain.

    Pada 28 April lalu, mangsa pergi ke Klinik Kesihatan Lundang Paku kerana tidak sihat dan pada masa sama, ibunya berusia 46 tahun menyuruh mangsa supaya memeriksa di bahagian perut yang dijalankan oleh pegawai perubatan.

    Mangsa kemudian dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, sebelum pemeriksaan di Hospital Kajang, Selangor mengesahkan mangsa mengandung.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap tertuduh bermula daripada tarikh ditangkap iaitu pada 3 Jun lalu dan lapan sebatan.