Tag: 7 ditahan

  • SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

    SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menumpaskan sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan suruhanjaya itu dan pegawai kanan kepada menteri dalam negeri, baru-baru ini.

    Menurut sumber, modus operandi sindiket terbabit dipercayai menggunakan penyamaran untuk menipu mangsa, kononnya mereka boleh menyelesaikan kes disiasat agensi penguat kuasa.

    Sindiket itu mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit, tambahnya.

    Menurut sumber, tujuh individu warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan hasil serbuan berdasarkan risikan oleh SPRM dan polis.

    “Proses permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu esok,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy, yang mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Beliau juga menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM.

  • Pergaduhan sekumpulan warga asing:1 maut, 1 parah, 7 ditahan

    Pergaduhan sekumpulan warga asing:1 maut, 1 parah, 7 ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga asing maut manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki warga asing dalam bilik sewa bangunan kedai di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru semalam.

    Anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerima aduan kejadian tersebut pada pukul 11.14 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan mendapati kejadian melibatkan pergaduhan sesama warga asing berpunca daripada beberapa suspek mabuk dan mengakibatkan berlaku pergaduhan.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, telah membuat tangkapan seramai tujuh lelaki warga asing lingkungan umur 22 tahun hingga 51 tahun dan seorang wanita warga asing lingkungan umur 35 tahun.

    “Akibat pergaduhan ini, dua lelaki mengalami kecederaan, di mana seorang daripada mereka lingkungan umur 32 tahun telah meninggal dunia disyaki ditikam dengan objek tajam pada bahagian dada kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, seorang lagi mangsa lingkungan umur 51 tahun mengalami kecederaan luka di bahagian lengan tangan kanan.

    Pihak polis katanya, sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan iaitu lelaki warganegara Myanmar, Myint Hlaing, berusia 41 tahun.

    Menurut Mohd. Sohaimi, mangsa yang meninggal dunia telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat.

    Suspek yang mengalami kecederaan turut dirujuk ke hospital yang sama untuk rawatan, katanya.

    “Polis turut merampas barang termasuk tiga swab kesan disyaki darah, sehelai cadar bercorak bunga, dua helai baju terdapat kesan disyaki darah, dua helai seluar terdapat kesan disyaki darah, pelitup muka dan tiga botol kosong minuman keras,” ujar beliau.

    Jelas Mohd. Sohaimi, semua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ selama empat hari bermula Isnin hingga 6 April ini.

    Kejayaan itu katanya, berjaya menyelesaikan kes bunuh berkenaan dalam tempoh 24 jam.

    Tambahnya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kanan ASP Nik Samsuriah Daud, 013-7272120 atau 07-3864222.

    Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati.