Tag: 2 maut

  • 2 maut, 1 parah Honda Civic rempuh 4 kereta di hadapan bengkel

    2 maut, 1 parah Honda Civic rempuh 4 kereta di hadapan bengkel

    DUA lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas Honda Civic dinaiki terbabas sebelum merempuh empat kereta yang diletakkan di hadapan sebuah pusat servis kenderaan di Kilometer (KM) 11, Jalan Kluang Batu Pahat, Batu Pahat malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, mangsa yang maut adalah pemandu dikenali sebagai Teo Kai Hong, 22; dan penumpang belakang, Marcus Teo Howe Yue, 19.

    “Seorang lagi penumpang hadapan lelaki berusia 19 tahun yang belum dikenal pasti, parah.

    “Tiga sekawan itu dipercayai keluar meronda di sekitar daerah ini sebelum nahas berlaku.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian, mendapati kemalangan dipercayai berlaku pada jam 12.50 pagi apabila pemandu Honda Civic yang bekerja di kedai kereta terpakai bersama penumpang belakang (tidak bekerja) dan penumpang hadapan pekerja sebuah pasar raya di Singapura dalam perjalanan dari bandar Batu Pahat ke Sri Gading.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki oleh semua warga tempatan itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan melanggar empat kereta yang diletakkan di hadapan pusat servis kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, akibat kejadian itu, pemandu dan penumpang belakang parah pada kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan.

    Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram dengan kekuatan keseluruhan seramai 12 anggota dihantar ke tempat kejadian.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Shahrul Nizam Sadri, berkata terdapat dua mangsa tersepit dan seorang mangsa keluar sendiri sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    “PKO bertindak mengeluarkan dua yang tersepit menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mereka kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian.

  • 2 maut, 3 cedera kenderaan pacuan empat roda rempuh tiang jejantas

    2 maut, 3 cedera kenderaan pacuan empat roda rempuh tiang jejantas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas dan melanggar tiang jejantas di susur masuk ke Taman Damansara Aliff di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Taman Perling di Johor Bahru hari ini.

    Mangsa yang maut Charles Anak Singgai, 24, dan Rizky Ahmad Hua Abdullah, 35, manakala mangsa mengalami kecederaan Douglas Anak Martin, 29, Kareno Anak Esang, 39 dan Andy Mieky Anak Bunyah, 22.

    Komander Operasi dari
    Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 6.39 pagi.

    “Susulan itu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan kekuatan sembilan anggota dari BBP Tebrau dan BBP Kempas dikejarkan ke tempat kejadian

    “Pasukan penyelamat mendapati berlaku kemalangan membabitkan Toyota Hilux yang terbabas dan merempuh tiang jejantas berkenaan.

    “Lima lelaki terbabit dalam kemalangan berkenaan termasuk tiga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

    “Sementara dua mangsa lagi maut di tempat kejadian termasuk tersepit di bahagian penumpang dan seorang mangsa dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata operasi tersebut selesai pada pukul 7.55 pagi.

    Habis