Tag: 2 lelaki ditahan

  • Polis bongkar makmal proses heroin, 2 lelaki ditahan

    Polis bongkar makmal proses heroin, 2 lelaki ditahan

    KEGIATAN satu sindiket mengedar dadah yang menjadikan sebuah rumah sebagai makmal memproses dadah jenis heroin terbongkar selepas dua lelaki ditahan Polis Pulau Pinang di negeri itu dan di Bandar Baharu, Kedah, Jumaat lalu.

    Kedua-dua lelaki tempatan yang juga penganggur berusia 27 dan 30 itu ditahan dalam serbuan berasingan dalam operasi terancang bermula kira-kira pukul 10 malam Jumaat lalu dan berakhir 7 pagi semalam itu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas dadah bernilai RM135,250 serta pelbagai peralatan memproses dadah.

    Jelas beliau, kedua-duanya suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah itu ditahan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

    Kok Chin menunjukkan dadah dan peralatan memproses bahan terlarang tersebut dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di Georgetown hari ini

    Ujarnya, ketika pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dinaiki suspek, polis menjumpai sebanyak 22 bungkusan heroin seberat 10 kilogram (kg) dan syabu (6.25 gram) yang kesemuanya bernilai RM135,250.

    “Susulan penahanan dua suspek itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah tidak berpenghuni dipercayai menjadi makmal memproses dadah di Bandar Baharu, Kedah.

    “Dadah jenis heroin ini dipercayai diproses di rumah terbabit dan dua suspek tersebut kemudian akan mengedarkannya untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Menurut Kok Chin, hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif memproses dan mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran sebelum memprosesnya di rumah.

    Katanya, polis kini sedang giat mengesan beberapa lagi ahli sindiket tersebut yang dipercayai turut mempunyai kepakaran memproses heroin yang disyaki masih berada di sekitar Pulau Pinang serta di negeri jiran.

    “Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • ‘Selfie’ selepas tumbuk pekerja kedai, 2 lelaki ditahan

    ‘Selfie’ selepas tumbuk pekerja kedai, 2 lelaki ditahan

    POLIS hari ini menahan dua lelaki disyaki mencederakan pekerja kedai serbaneka sebelum mengambil swafoto bersama mangsa dalam kejadian di Bandar Rinching, Semenyih.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata suspek yang berusia 31 dan 32 tahun ditahan berasingan di Seremban dan Sepang kira-kira pukul 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari.

    “Suspek yang ditangkap masing-masing mempunyai satu rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Mohd. Zaid berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

    Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

    Dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam itu, dua suspek berkenaan dikatakan membeli minuman sebelum seorang daripadanya mengambil tiga batang payung tanpa membuat sebarang bayaran.

    Berang ditegur kerana tidak membuat pembayaran, seorang daripadanya menumbuk mangsa di bahagian muka.

  • Gaduh di pusat hiburan, 2 lelaki ditahan

    Gaduh di pusat hiburan, 2 lelaki ditahan

    POLIS menahan dua lelaki kerana dipercayai terlibat dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di sebuah pusat hiburan di Jalan Nusa Bestari 7/2, Taman Nusa Bestari, Skudai, Iskandar Puteri semalam.

    Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata kejadian itu tular menerusi media sosial pada 4 pagi dan dipercayai berpunca daripada pergaduhan mulut ketika mereka sedang minum di pusat hiburan tersebut.

    Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kedua-duanya berjaya diberkas di sekitar Larkin pada 12.10 tengah malam tadi.

    “Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam kes pergaduhan dan mengatakan kejadian mula berlaku di dalam sebuah pusat hiburan.

    “Kedua-duanya adalah kenalan dan pergaduhan berlarutan sehingga ke luar pusat hiburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pergaduhan itu turut melibatkan lima individu lain dan polis masih mengesan mereka itu.

    “Polis menggesa orang ramai menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenainya tampil memberikan keterangan,” katanya.

    Rahmat berkata, kedua-dua lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

    Semalam, tular video berdurasi tujuh saat di media sosial memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan seorang daripadanya tidak memakai baju terbaring di tengah jalan.

  • 2 lelaki ditahan, dadah 6.3kg dirampas

    2 lelaki ditahan, dadah 6.3kg dirampas

    POLIS Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi dua lelaki tempatan dan merampas sebanyak 6.3 kilogram dadah bernilai RM86,390 di Seberang Perai Utara (SPU), Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 25 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Butterworth.

    Menurut beliau, dalam serbuan itu polis merampas sebanyak 14 bungkusan dadah jenis heroin seberat 6.3 kilogram bernilai RM84,000 dan dua bungkusan ganja seberat 47.8 gram bernilai RM2,390.

    “Selain itu kita turut merampas sebuah kereta, sebuah motosikal, sebentuk cincin dan seutas rantai dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM136,140.

    “Hasil siasatan mendapati sindiket terbabit mulai aktif sejak Jun lalu untuk pasaran tempatan dan jumlah dadah yang dirampas boleh menampung keperluan kira-kira 31,500 penagih,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Tambah beliau, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis tetrahydrocannibol (THC) dan ketamin selain turut memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Katanya, kedua-dua suspek direman sehingga 8 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.