Tag: 11 lembu ditemukan mati di Kuala Nerus

  • Padah main mercun ubah suai, tangan lelaki ‘hancur’

    Padah main mercun ubah suai, tangan lelaki ‘hancur’

    TINDAKAN seorang lelaki disyaki bermain mercun yang diubah suai membawa padah apabila cedera parah di kedua-dua belah tangan dan luka di badan dalam kejadian di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.

    Kejadian membabitkan lelaki berusia 27 tahun itu berlaku berdekatan rumah mereka kira-kira pukul 3.30 pagi.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail, insiden itu disedari abang mangsa berusia 29 tahun selepas terdengar bunyi letupan yang kuat.

    Katanya, abang mangsa pada awalnya menyangka berlaku pergaduhan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

    “Bagaimanapun, sebaik bergegas keluar dari rumah, abang mangsa mendapati adiknya mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan disyaki akibat letupan mercun yang diubah suai,” katanyamenurut laporan Harian Metro hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Mohd Zaki berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    “Ini adalah kejadian kedua yang direkodkan di daerah ini akibat mercun selepas empat kanak-kanak mengalami kecederaan akibat letupan mercun yang diubah suai pada 4 April lalu,” katanya.

  • 11 lembu ditemukan mati di Kuala Nerus

    11 lembu ditemukan mati di Kuala Nerus

    BANGKAI 11 ekor lembu dalam keadaan berulat ditemukan di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar, Kuala Nerus, Terengganu, dipercayai dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Menurut seorang penduduk kampung itu Wan Zaidi Wan Jaafar, 48, berkata, bangkai lembu tersebut dijumpai penduduk yang ingin memancing di Sungai Lekar yang terletak kira-kira lima meter dari kawasan itu pada petang Sabtu lepas.

    “Bangkai lembu ini mungkin dibuang pada hari yang sama kerana ada penduduk kampung terlihat dua buah lori memasuki simpang ke kawasan itu. Kedua-dua lori tersebut dilihat penuh dengan lembu yang telah mati,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian, di Kuala Nerus, hari ini.

    Tinjauan Bernama ke kawasan yang terletak kira-kira 15 meter dari Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu itu mendapati, bangkai 11 ekor lembu tersebut berada dalam keadaan bergelimpangan, sudah kembung, berulat dan dihurungi lalat.

    Wan Zaidi berkata bau busuk bangkai haiwan itu mendatangkan ketidakselesaan, kerana kawasan tersebut merupakan laluan utama penduduk ke Sungai Lekar ke kawasan berdekatan.

    “Walaupun kawasan tersebut jauh dari kawasan penempatan, namun ia merupakan laluan digunakan penduduk untuk memancing dan ke kebun. Jadi kita risau kalau bangkai lembu ini menyebabkan pencemaran bau yang lebih teruk dan air sungai juga boleh tercemar,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu Dr Anun Man ketika dihubungi berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai penemuan bangkai lembu tersebut.

    Namun katanya pihak veterinar negeri akan segera ke lokasi penemuan bangkai tersebut, bagi mendapatkan sampel mengenal pasti punca kematian lembu-lembu itu dan siasatan serta menjalankan kerja-kerja pelupusan.

    “Kita tidak tahu apa punca lembu-lembu itu dibuang di situ. Ada kemungkinan lembu-lembu itu diseludup dari luar dan sekiranya haiwan tersebut dibawa dalam lori tertutup (lori bungkus) serta melalui perjalanan yang jauh, ia boleh menyebabkan lembu-lembu itu lemas dan boleh menyebabkan kematian.

    “Sekiranya ia mati disebabkan wabak penyakit seperti penyakit kuku dan mulut (FMD) dan sebagainya, pemilik lembu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 Akta Binatang 1953, kerana gagal melaporkan penyakit haiwan ternakan mereka kepada pihak veterinar,” katanya.

    Beliau berkata tindakan juga juga boleh diambil di bawah Seksyen 34, Akta Binatang 1953 kerana melupuskan haiwan ternakan berpenyakit tanpa kebenaran pihak berkuasa Veterinar.

    Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu juga akan membuat siasatan sekiranya ada unsur-unsur melibatkan kezaliman haiwan di bawah Seksyen 29, Akta Kebajikan Haiwan 2015. – Bernama