Tag: 10 sebatan

  • Rogol anak saudara OKU, warga emas dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

    Rogol anak saudara OKU, warga emas dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

    SEORANG warga emas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas mengaku salah merogol anak saudaranya yang juga OKU lembam, pada Mac tahun lalu.

    Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Moin Usop, 60, yang juga buruh ladang selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berumur 20 tahun dalam tandas di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit dalam daerah Semporna, pada 12.30 tengah malam, 7 Mac 2022.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta hukuman sebat.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, menurut Berita Harian.

    Syahnidzam dalam hujahnya memohon hukuman berat atas faktor kepentingan awam selain sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor pertalian darah antara tertuduh dan mangsa dalam kes itu adalah anak saudaranya sendiri.

    Katanya, tertuduh yang tinggal sebumbung bersama mangsa dan ibunya seharusnya bertindak sebagai pelindung dan bukan mengambil peluang atas kekurangan mangsa.

    “Pendakwaan juga ingin tekankan pada mahkamah keadaan mangsa ialah seorang individu (OKU) lembam, namun tertuduh tergamak merogol mangsa yang juga anak saudaranya sendiri,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, kejadian pada 12.30 tengah malam itu ketika mangsa bangun untuk ke tandas, sebelum tertuduh bertindak mengekori mangsa lalu merogolnya.

    Kejadian itu bagaimanapun disedari ibu mangsa yang sempat menyaksikan sendiri perbuatan keji tertuduh itu sebelum membuat laporan polis.

  • Rogol, miliki gambar lucah, tukang masak dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

    Rogol, miliki gambar lucah, tukang masak dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

    SEORANG tukang masak warganegara Thailand dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen Gua Musang, hari ini atas pertuduhan merogol dan memiliki gambar lucah mangsa, Oktober tahun lalu.

    Ilham Wedue-oh, 26, yang kelihatan sugul, mengangguk faham dan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah, lapor Harian Metro.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa bawah umur yang berusia 15 tahun di tempat rehat pekerja di Hentian Anjung Paloh 02, Oktober tahun lalu

    Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan.

    Tertuduh juga didakwa terbabit dalam penghasilan pornografi kanak-kanak iaitu mangsa yang sama dengan menggunakan telefon bimbit di lokasi dan tarikh yang sama.

    Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada enam sebatan.

    Tertuduh turut didakwa tidak memiliki pas yang sah bagi memasuki Malaysia di lokasi yang sama, pukul 8.30 malam, pada 4 Januari 2023.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya atau tidak lebih enam sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan hukuman terhadapnya.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan bagi pertuduhan rogol, penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi penghasilan pornografi dan lapan bulan penjara untuk pertuduhan tidak memiliki pas sah.

    Hakim mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 4 Januari lalu.

  • Penganggur miliki dadah dipenjara lima tahun, 10 sebatan

    Penganggur miliki dadah dipenjara lima tahun, 10 sebatan

    SEORANG penganggur yang pernah menerima hukuman atas beberapa kesalahan berkaitan dadah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini.

    Tertuduh, Rosli Mohamad Jaafar, 41, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Norma Ismail, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, pada 20 Julai lalu pukul 8 pagi di tangki air Felda Lui Muda didapati dalam milikannya dadah berbahaya yang mengandungi 11.2 gram Heroin dan Monoacetylmorphines.

    Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.