Category: Uncategorized

  • Kes saman RM1.9 juta: Najib bantah dua peguam wakili Tommy Thomas

    Kes saman RM1.9 juta: Najib bantah dua peguam wakili Tommy Thomas

    DATUK Seri Najib Tun Razak pada Jumaat membantah pelantikan dua peguam untuk mewakili Tan Sri Tommy Thomas dalam kes saman RM1.9 juta yang difailkan beliau terhadap bekas Peguam Negara itu.

    Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Najib, berhujah pelantikan Alan Adrian Gomez dan Lai Wei Shiung adalah tidak sesuai kerana sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional dan bertindak secara objektif dalam tindakan saman yang difailkan pada 22 Oktober tahun lepas.

    Beliau berkata, Thomas selaku defendan pertama merupakan pengasas dan konsultan atau rakan kongsi firma guaman itu manakala rakan kongsinya juga memiliki kepentingan kewangan.

    “Peguam daripada firma guaman yang sama tidak wajar mewakili Thomas kerana tindakan itu dilihat sesuatu yang tidak profesional,” katanya pada pendengaran bantahan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache.

    Alan pula berhujah bantahan itu wajar ditolak kerana Najib perlu membuktikan melalui afidavit sokongan bahawa peguam yang mewakili Thomas memiliki kepentingan kewangan selain gagal mengekalkan profesionalisme di mahkamah.

    “Thomas bukan rakan kongsi Tetuan Tommy Thomas, beliau hanya konsultan dan tidak mempunyai kepentingan kewangan dalam firma guaman tersebut. Thomas meninggalkan tetuan berkenaan selepas beliau dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 dan beliau kemudian memasuki semula firma guaman itu sebagai konsultan pada September 2020,” katanya.

    Thomas telah meletak jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Februari 2020.

    Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 19 Ogos ini untuk keputusan berhubung bantahan itu.

    Najib, 69, memfailkan saman itu dengan menamakan Thomas dan kerajaan sebagai defendan.

    Menurut pernyataan tuntutan, Najib berkata, beliau telah didakwa di mahkamah dalam kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company, salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Beliau mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Justeru, Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.- Bernama

  • Anggota PGA dipatuk ular semasa operasi

    Anggota PGA dipatuk ular semasa operasi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Pengkalan Hulu terpaksa menanggung kesakitan selama beberapa jam apabila dia dipatuk seekor ular dipercayai spesies kapak sumatera, di kawasan yang sukar diteroka di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir dekat Sik, semalam.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.47 petang semalam.

    Katanya, anggota tersebut yang berpangkat koperal dan berusia 38 tahun dipercayai sedang menjalankan tugas operasi dalam hutan berkenaan bersama-sama beberapa anggota lain.

    Mangsa sukar dibawa turun oleh rakan-rakannya kerana faktor muka bumi yang cerun dan berbukit

    “Difahamkan mangsa sukar dibawa turun oleh rakan-rakannya kerana faktor muka bumi yang cerun dan berbukit. Mangsa dianggarkan berada pada paras 500 meter dari aras laut.

    “Justeru pada pukul 6.40 petang, pihak kami dibantu pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta dua anggota PGA Batalion 18 Pengkalan Hulu menyertai operasi untuk membawa turun mangsa,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.

    Tambahnya, operasi tersebut berdepan kesukaran kerana tiada liputan radio komunikasi mahu pun telefon mudah alih di kawasan tersebut.

    Terpaksa menanggung kesakitan selama beberapa jam apabila dia dipatuk seekor ular dipercayai spesies kapak sumatera

    “Perhubungan antara kedua-dua pihak terpaksa dilakukan dengan menggunakan satelit fon PGA. Akhirnya pada pukul 10 malam, barulah pasukan penyelamat tiba di lokasi mangsa dan dia diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan PGA.

    “Akhirnya pada pukul 12.37 pagi, mangsa selamat dibawa turun dan dihantar ke Hospital Sik dengan menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Mangsa yang dipatuk di tangan dilaporkan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

  • Warga emas sesat lebih 13 jam dalam hutan ditemukan selamat

    Warga emas sesat lebih 13 jam dalam hutan ditemukan selamat

    MISTERI kehilangan seorang lelaki warga emas yang sesat lebih 13 jam ketika meninjau tanah di sebuah hutan berhampiran Sungai Bil, Tangjung Malim, terjawab apabila dia ditemukan selamat pukul 9.40 pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang berusia 60 tahun itu ditemukan selamat tanpa kecederaan oleh pasukan penyelamat sebelum dibawa keluar.

    “JBPM Perak memaklumkan gerakan mencari dan menyelamat dilakukan sebaik laporan mengenai kejadian itu diterima pukul 8.34 malam tadi.

    “Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim menerima maklumat berkenaan kehilangan mangsa daripada pihak polis.

    “Ketika kejadian, mangsa bersama-sama dua rakan telah masuk ke hutan atas urusan tinjauan tanah sebelum disedari hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, seramai 48 pegawai dan anggota daripada JBPM, Polis, Pasukan Bomba Sukarelas Slim Village, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi tersebut.

    “Dua kumpulan digerakkan untuk melakukan pencarian dengan kaedah ‘hasty search’ dan ‘follow the stream’.

    “Mangsa akhirnya ditemui oleh kumpulan pertama di ‘check point’ pertama iaitu dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba,” katanya.

  • Tiada maklumat keberadaan Jho Low – Hamzah

    Tiada maklumat keberadaan Jho Low – Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri mengakui tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low setakat hari ini.

    Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Singapura dan Amerika Syarikat, yang turut memfailkan kes mahkamah terhadap ahli perniagaan itu, juga gagal mengesan lokasi beliau.

    “Kementerian melalui Polis Diraja Malaysia komited untuk mengesan keberadaan Low Taek Jho atau Jho Low untuk dibawa balik bagi menghadapi siasatan.

    “Dalam hal ini, saya ingin memaklumkan bahawa selain Malaysia, Singapura juga telah memfailkan pertuduhan terhadap Low Taek Jho pada 2016 dan telah memperoleh Notis Merah daripada Interpol (Polis Antarabangsa) pada tahun yang sama.

    “Amerika Syarikat juga memfailkan pertuduhan di mahkamah di New York pada 2018 dan waran tangkap dikeluarkan ke atas Jho Low pada tahun yang sama,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

    Hamzah berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat diterima oleh Malaysia atau Singapura mahu pun Amerika Syarikat daripada mana-mana ahli Interpol yang dianggotai 194 negara berhubung keberadaan Jho Low.

    Beliau berkata selain itu, kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 2019 dan 2020 bahawa Jho Low dipercayai bersembunyi di China serta dilindungi oleh Beijing telah dinafikan Kedutaan Besar China pada tahun lepas.

    Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

    Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa beliau pulang.

    Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – Bernama