Category: Umum

  • Golongan M40 diberi pengurangan cukai individu dua peratus

    Golongan M40 diberi pengurangan cukai individu dua peratus

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, bermula tahun ini, kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna golongan pertengahan M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak dua peratus.

    Menurut Perdana Menteri, pengurangan cukai itu membabitkan banjaran antara lebih RM35,000 hingga RM100,000.

    “Selama ini, golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan sementara kumpulan pertengahan, M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam.

    “Pengurangan ini (kadar cukai) dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, sementara M40 mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus membabitkan lebih RM100, 000 hingga RM1 juta.

    Namun katanya, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menambah, menerusi pendekatan itu, cukai bersih kerajaan berkurang sebanyak RM900 juta yang dimanfaatkan sepenuhnya rakyat, khususnya golongan M40.

  • Cukai terhadap cecair rokok elektronik – Belanjawan 2023

    Cukai terhadap cecair rokok elektronik – Belanjawan 2023

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengenakan cukai terhadap produk cecair bagi rokok elektronik yang mengandungi nikotin.

    Perdana Menteri berkata, penggunaan rokok elektronik yang mengandungi nikotin telah dijual secara berleluasa meskipun ia masih tidak sah disisi undang-undang.

    “Walaupun rokok elektronik atau vape belum sah disisi undang-undang tetapi hakikatnya ia dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

    “Alangkah baiknya sekiranya dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape,” katanya pada sesi pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, hari ini.

    Anwar menjelaskan, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan Generational End Game (GEG) selain bersetuju untuk menyalurkan hasil cukai berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Langkah itu katanya bagi meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan kesihatan dan sokongan terhadap kempen anti rokok dan sebagainya dengan lebih berkesan.

  • Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

    Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata demikian mengulas isu pembatalan Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus yang akan diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini pada Ahad ini.

    Katanya, kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

    “Semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

    “Pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu tidak memiliki tauliah mengajar diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus semalam berkenaan kuliah maghribnya yang sepatutnya diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah terpaksa dibatalkan atas kuasa JAIS.

    “Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliyah di negeri anda.

    “Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Feb ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya,” katanya. – BERNAMA

  • Kelantan, Terengganu tak layak terima royalti minyak, kata Azalina

    Kelantan, Terengganu tak layak terima royalti minyak, kata Azalina

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

    Menurut beliau, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

    Mengikut Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.

    “Namun, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Kelantan dan Terengganu,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Bagaimanapun, katanya, kerajaan persekutuan telah menyalurkan wang ehsan ke negeri-negeri yang berhampiran dengan kawasan penggalian petroleum, termasuk Kelantan dan Terengganu, untuk projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

    Azalina menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanya sama ada kerajaan akan menyalurkan hasil minyak “secara terus” kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu “seperti yang dilakukan oleh kerajaan PN”.

    Bayaran yang dirujuk oleh Muhyiddin itu ialah wang RM200 juta yang diberikan kepada kerajaan Kelantan masing-masing pada 2020 dan 2021.

    Ini adalah peningkatan yang besar berbanding wang ehsan RM28 juta yang diterima negeri melalui Jabatan Kemajuan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

    Bagaimanapun, pada 2019, Putrajaya di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membayar Kelantan RM400 juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran “sekali sahaja”. Bayaran itu tidak diminta oleh kerajaan Kelantan yang menuntut bayaran petroleum sebanyak 5 peratus.

    Menjelang pilihan raya Parlimen ke-15, Muhyiddin telah berjanji bahawa Kelantan dan Terengganu akan dibayar royalti 5 peratus sekiranya PN berkuasa.

    Pertikaian berkaitan royalti minyak Kelantan itu telah berlarutan sejak bertahun-tahun sehingga kerajaan negeri membawa kes itu ke mahkamah.

    Kelantan bagaimanapun menarik balik saman itu selepas yakin dengan pentadbiran Mahathir Mohamad ketika memimpin kerajaan kali kedua bersama Pakatan Harapan (PH).

    Bagaimanapun, isu kembali hangat selepas Kelantan tidak mengiktiraf pemberian pusat itu yang menganggapnya hanya sebagai wang ehsan.

    Beberapa pihak beranggapan masalah itu tidak selesai kerana kedudukan telaga minyak dalam sempadan perairan negeri tidak ditentukan.

    Malah, tindakan Kelantan menarik balik samannya pada 2019 menyebabkan perkara itu terus tergantung.

    Menteri ekonomi sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan bahawa, bayaran royalti petroleum kepada Kelantan setakat ini daripada lapangan Bumi Selatan dan Suria Selatan saja.

    Kedua-dua lapangan itu berada dalam lingkungan tiga batu nautika daripada pesisir pantai Kelantan.

    Sepuluh lagi lapangan pengeluaran masih tidak mempunyai persempadanan perairan antara Kelantan, Terengganu dan Pahang, menyebabkan hasilnya belum disalurkan kepada mana-mana negeri.

    Katanya, bayaran tunai royalti minyak oleh Petronas terhadap 10 lapangan itu disalurkan ke akaun terimaan tidak diperuntukkan (ATTD) berjumlah hampir RM1.2 bilion, untuk tempoh 2013 hingga 2019 sementara menunggu persempadanan ditentukan.

  • Siasatan LCS masih berjalan, kata Azalina

    Siasatan LCS masih berjalan, kata Azalina

    SIASATAN ke atas kes projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Menurut beliau, beberapa kertas siasatan sudah dibuka dan keterangan daripada pelbagai pihak perlu diperoleh termasuk dari luar negara.

    “Bagaimanapun, terdapat kertas siasatan yang sudah lengkap, yang mana seorang bekas Panglima Tentera Laut Malaysia (TLDM) sudah dituduh dengan tiga pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan pada 18 Ogos 2022,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian.

    Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai perkembangan siasatan LCS.

    Selain itu, Azalina memaklumkan, SPRM turut mengemukakan Surat Makluman Penyiasatan (SMP) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan untuk tindakan sewajarnya bagi menutup ruang dan peluang berlakunya perbuatan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan ke atas projek LCS.

    “SPRM juga masih lagi dalam tindakan melaksanakan pemeriksaan untuk penambahbaikan tata kelola berkaitan dengan perolehan oleh kementerian,” katanya.

  • Kerajaan henti inisiatif Muhyiddin lupus hutang peneroka RM8.3bilion

    Kerajaan henti inisiatif Muhyiddin lupus hutang peneroka RM8.3bilion

    KERAJAAN PH-BN sedang menghentikan inisiatif dimulakan oleh pentadbiran bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memansuhkan sebahagian daripada pinjaman peneroka Felda.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pentadbiran terdahulu pada Julai 2021 telah meluluskan penghapusan hutang peneroka Felda keseluruhanya bernilai RM8.3 bilion.

    “Namun kerajaan tidak akan dapat meneruskan pelupusan pinjaman peneroka Felda lagi kerana ia telah memberi kesan besar kepada aliran tunai Felda,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) pada persidangan Dewan Rakyat, semalam, lapor Harakahdaily.

    Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan kerajaannya bersetuju untuk melupuskan sebahagian daripada pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat tertentu.

    Ini termasuk pinjaman untuk latihan penanaman semula (92,441 peneroka), baja (52,180 peneroka), saham FGV Holdings Bhd (38,043 peneroka) dan modal pembangunan (6,711 peneroka).

    Kamal meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan untuk meneruskan lagi usaha Kerajaan sebelum ini dalam menghapuskan hutang Felda.

    Oleh yang demikian, kata Azalina kutipan balik baki hutang ataupun pinjaman yang telah dikeluarkan sehingga kini perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan Felda untuk kelangsungan organisasi dan kebajikan warga peneroka Felda.

    “Hal ini disebabkan kutipan hutang peneroka Felda merupakan salah satu sumber pendapatan Felda yang penting bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun 2023,” katanya lagi.

    Kamal semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 20 Februari lalu turut menyentuh mengenai penghapusan hutang peneroka Felda.

    Beliau memberi cadangan kepada pihak-pihak yang wajib sebagaimana yang telah dilakukan oleh Muhyiddin yang menghapuskan 80 peratus hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion.

    “Saya mewakili anak-anak peneroka, merasai beban tanggungan hutang generasi pertama memohon agar hendaklah kiranya ada usaha lagi dibuat agar menghapuskan keseluruhan hutang peneroka yang berjumlah lebihan daripada RM8.3 bilion tersebut.

    “Mudah-mudahan ia memberi sedikit kelegaan kepada anak-anak peneroka pertama yang telah meninggal dunia. Ini sekurang-kurangnya mereka tidak terbeban dengan hutang yang mereka tanggung,” katanya.

  • Kuliah Ustaz Azhar Idrus dibatal JAIS, pengikut UAI sedih

    Kuliah Ustaz Azhar Idrus dibatal JAIS, pengikut UAI sedih

    KULIAH maghrib Ustaz Azhar Idrus atau UAI yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di sebuah masjid di Selangor Ahad ini terpaksa dibatalkan.

    Perkara itu dimaklumkan oleh pentadbir akaun penceramah popular itu menerusi satu hantaran Facebook, semalam.

    “Dukacita dimaklumkan bahawa kuliah maghrib perdana UAI yang akan diadakan di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong pada 26 Febuari 2023 (Ahad) terpaksa dibatalkan atas kuasa Jabatan Agama Negeri Selangor (JAIS).

    “Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di negeri anda,” katanya, semalam.

    Kata kenyataan itu lagi, kuliah Maghrib pada tarikh tersebut akan ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

    Dalam pada itu, lapor Sinar Harian, perkongsian ringkas itu mendapat reaksi kurang senang pengikut pendakwah popular tersebut antaranya seorang guru, Mohd Fadli Salleh yang meluahkan rasa sedih dengan keputusan pembatalan kuliah maghrib tersebut.

    “Sedihnya bila orang mengajak buat maksiat dialu-alukan, orang mengajak mengingat akhirat dan ladang pahala, disekat,” tulis guru yang mempunyai 694,000 pengikut di Facebook.

    Seorang lagi pengguna media sosial Facebook, Eyza Ali turut meluahkan rasa kurang senang dengan sekatan ke atas penceramah tersebut.

    “Allahuakbar, pergi ceramah agama je pun, bukan pergi konsert,” tulisnya ringkas.

    Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada JAIS berhubung perkara tersebut.

  • Ibnor Riza terlantar, isteri rayu bantuan tampung kos perubatan

    Ibnor Riza terlantar, isteri rayu bantuan tampung kos perubatan

    ISTERI penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza, iaitu Sarimah Sulaiman mengaku berdepan kekangan dalam menampung kos perubatan suaminya yang kini terlantar di hospital.

    Menurutnya, Ibnor masih dirawat di Hospital Port Dickson (HPD) akibat pelbagai komplikasi penyakit seperti leher membengkak, darah tinggi, kencing manis, hilang suara, migrain dan tahap kolesterol kritikal mengakibatkannya hilang mata pencarian.

    Keadaan itu membuatkan Sarimah, 51, merendah diri mengharapkan orang ramai menghulurkan bantuan dalam bentuk apa sekalipun, bagi meringankan beban selepas suami bertarung dengan tahap kesihatan membimbangkan, sejak tiga bulan lalu.

    “Kami sekeluarga bimbang dengan keadaan semasa Ibnor. Kami harap doa daripada semua pihak. Ibnor adalah ketua keluarga, jadi, apabila suami jatuh sakit, kami berdepan kesukaran.

    “Saya mohon bantuan untuk menampung kos perjalanan bagi tujuan rawatan suami di hospital. Ini juga cadangan daripada kenalan terdekat. Tetapi, saya tak sempat (suarakan) kerana perkara ini berlaku pantas.

    “Jadi, jika ada yang sudi beri bantuan kewangan terutamanya, kami sangat berterima kasih,” katanya kepada BH Online.

    Bagaimanapun, Sarimah bersyukur rakan-rakan Ibnor yang bergiat dalam dunia seni tidak lokek tampil menghulurkan bantuan.

    “Rakan-rakan artis banyak membantu, antaranya, Datuk Nash dan Datuk DJ Dave. Ini sedikit sebanyak memudahkan urusan rawatan suami,” katanya.

    Ditanya keadaan Ibnor selepas dilaporkan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), selepas pengsan di kediamannya, Ahad lalu, Sarimah berkata, doktor masih mencari punca masalah kesihatan suaminya itu.

    “Sekarang, suami sudah dimasukkan ke wad biasa. Doktor masih siasat bengkak pada lehernya. Doktor masih belum ambil sebarang tindakan kerana dikhuatiri memberi kesan kepada jantung.

    “Suami kerap pengsan disebabkan saraf antara otak ke jantung membengkak. Doktor beritahu, keadaan itu membuatkan oksigen tidak sampai ke otak hingga menimbulkan pelbagai masalah.

    “Sebelum ini, suami sudah buat CT Scan (imbasan tomografi berkomputer), ambil air tulang belakang, vaksin dan sebagainya. Namun, masih belum nampak perubahan,” katanya.

    Sarimah berkata, suaminya sukar bertutur dengan baik dan masih dipantau doktor.

    “Suami boleh bercakap, tetapi tidak berapa jelas kerana dia masih pening. Sejak tiga bulan lalu, kalau suami bercakap, suaranya perlahan kerana angin banyak keluar.

    “Kalau bercakap lama, suami penat. Tetapi selepas masuk ke wad biasa dan doktor buka tiub oksigen di mulut, suami boleh bercakap dengan lebih baik,” katanya.

    Bulan lalu, Ibnor yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan, mula dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan menghidap ‘Vocal Cord Palsy’ yang membuatkan dirinya sukar bercakap akibat bengkak dialami pada leher.

  • Warga emas maut dihempap pokok kelapa

    Warga emas maut dihempap pokok kelapa

    SEORANG wanita warga emas maut selepas dipercayai dihempap pokok dalam kejadian di Felda Palong 8 di Jmepol hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Hazren Mohd Zahar berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian orang dihempap pokok pada pukul 1 petang.

    “Mangsa merupakan seorang wanita warga emas berusia 66 tahun telah dihempap sebatang pokok kelapa tumbang,” katanya ketika dihubungi.

    Pihak bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Saipol Azlee Abd Rahim bergegas ke lokasi kejadian sebaik panggilan diterima.

    Mangsa katanya, berjaya dikeluarkan namun telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ‘Beli ‘submarine’ berbilion, tapi kediaman askar daif’ – Shafie Apdal

    ‘Beli ‘submarine’ berbilion, tapi kediaman askar daif’ – Shafie Apdal

    DATUK Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mempersoalkan langkah kerajaan yang perlahan dan tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kemelut anggota keselamatan negara terutamanya isu kebajikan mereka melibatkan kuarters kediaman di kem-kem tentera di seluruh negara.

    Menurut beliau, ketika faktor keselamatan dunia semakin mencabar kerajaan perlu mementingkan aspek keselesaan dan kebajikan mereka supaya dapat melahirkan satu suasana tentera yang boleh mencurahkan bakti dalam keadaan yang terbaik.

    Namun katanya, beliau berpandangan kerajaan seolah-olah tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan kemelut itu apabila tiada cadangan dan langkah yang kukuh untuk menaiktaraf kebajikan para tentera.

    “Kita mampu beli ‘submarine’, kita mampu beli peralatan berbilion ringgit tapi masa saya jadi timbalan menteri pertahanan, saya masih ingat satu bilik sahaja.

    “Di situlah anak tidur, mak tidur dan anak belajar. Bayangkan,” katanya dalam celahan sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Sebelum ini, beberapa ahli Parlimen pernah membangkitkan isu yang sama kepada Kementerian Pertahanan melibatkan isu kebajikan tentera dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Antaranya melibatkan isu kediaman yang semakin daif dan kadar pencen yang lapuk dan tidak munasabah dengan keperluan semasa.

    Mengulas lanjut, Shafie mencadangkan supaya pihak menteri dan timbalan menteri pertahanan membuat lawatan dan tinjauan ke kem-kem tentera seperti di Sabah atau Langkawi bagi menyaksikan sendiri keadaan sebenar kediaman para tentera.

    “Pergi buat lawatan di kawasan saya Semporna, Masya Allah bila saya lihat. Sebab itu masa saya jadi ketua menteri, saya beri peruntukan untuk bantu mereka.”

    Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari meminta ahli-ahli Parlimen supaya merujuk kepada Kertas Putih Pertahanan untuk lebih memahami Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang turut menekankan isu kebajikan sosial warga pertahanan.

    Katanya, terdapat lapan perkara diletakkan dalam laporan lengkap itu termasuk hala tuju dan masa depan kementerian, keselamatan dan kedaulatan negara.

    “Sebab itu dalam Perkara 5 Kertas Putih Pertahanan itu ialah tentang warga pertahanan.

    “Dan saya yakin bahawa kita di Kementerian Pertahanan sepanjang saya duduk beberapa bulan ini di kementerian dalam mesyuarat post Kabinet tak pernah terlepas dalam membicarakan persoalan tentang warga pertahanan itu sendiri,” katanya.