Category: Umum

  • Surat RoS usul tambahan UMNO tidak sah, PN tuntut penjelasan Saifuddin

    Surat RoS usul tambahan UMNO tidak sah, PN tuntut penjelasan Saifuddin

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail digesa membuat penjelasan berhubung kewujudan satu surat yang didakwa dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan UMNO.

    Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendakwa, surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO itu, antara lain menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, sebagai tidak sah.

    Mengikut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa ROS berpandangan usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

    Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas, menegaskan jika surat itu tulen, ia bertentangan dengan kenyataan media Saifuddin Nasution hari ini, yang memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

    “Ini adalah satu isu kepentingan awam. Jika inilah amalan yang dilakukan, adakah pertubuhan lain boleh mencontohi atau perkara ini menjadi duluan kepada perkara seperti ini (pada masa depan).

    “Adakah ini satu duluan yang mengikat semua pertubuhan, termasuk pertubuhan sebelah sana (parti kerajaan) dan sebelah sini (parti pembangkang). Ini adalah perkara cukup penting untuk dijelaskan oleh kerajaan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.

    Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

    Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

    Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

    Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO yang dikatakan dipetik dalam surat RoS yang dibacakan Takiyuddin, memperuntukkan semua jawatan tertinggi UMNO, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, perlu dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

    Sabtu lalu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya sudah menerima surat daripada KDN, yang mengesahkan bahawa RoS menerima usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti.

    Menurut Zahid, UMNO menerima surat dua halaman itu bertarikh 3 Mac lalu.

    Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Zahid untuk mendedahkan surat berkenaan.

    Susulan itu, Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya akan mendedahkan surat RoS berkenaan bagi menoktahkan polemik berkaitan usul tambahan PAU 2022 yang menghalang pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

  • OPR dijangka naik kepada 3.0 peratus Mei ini

    OPR dijangka naik kepada 3.0 peratus Mei ini

    KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dibuat pada Mei ini selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah di luar jangkaan mengekalkannya pada paras 2.75 peratus Januari lalu, demikian menurut Standard Chartered.

    Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Bank (Singapore) Limited, Edward Lee berkata, pihaknya menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan mengekalkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu pada paras semasa pada mesyuaratnya 9 Mac ini.

    “Memandangkan subsidi masih ada, inflasi Januari menyederhana sedikit dan dengan hanya satu bulan data sejak Januari, BNM diunjur mengekalkan pendirian tunggu dan lihat untuk menilai kesan pelarasan OPR terkumpul yang lalu.

    “Justeru, pihak kami akan memerhatikan penilaian BNM terhadap pertumbuhan domestik dan prospek perkembangan inflasi.

    “Walaupun bank pusat menghentikan seketika pada Januari (menaikkan OPR), nada penyataan dasar monetari adalah tidak lembut.

    “BNM mempunyai penilaian positif terhadap ekonomi domestik dan membiarkan ruang terbuka untuk kenaikan selanjutnya,” katanya dalam satu nota penyelidikan, lapor BH Online.

    Mengulas lanjut, Lee berkata, pihaknya mengekalkan jangkaannya bahawa BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus Mei ini.

    Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan kemungkinan rasionalisasi subsidi bahan api pada separuh kedua, yang mungkin mengecualikan kumpulan pendapatan 20 peratus teratas (T20) daripada subsidi bahan api.

    Katanya, berdasarkan andaian harga minyak AS$80 setong oleh Kementerian Kewangan (MoF), pihaknya menganggarkan bahawa pemansuhan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan menambah 0.5 mata peratusan kepada inflasi setiap tahun.

    Januari lalu, BNM menerusi MPC membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut tahun lalu.

    OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

  • Bantuan KWSP RM500 hanya boleh dirasai bertahun-tahun akan datang – Ismail Sabri

    Bantuan KWSP RM500 hanya boleh dirasai bertahun-tahun akan datang – Ismail Sabri

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyindir bantuan RM500 yang dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023.

    Sambil memanggil usaha itu sebagai ‘murni’, katanya bantuan itu bagaimanapun hanya boleh dirasai bertahun-tahun akan datang. 

    “Rakyat memerlukan bantuan pada masa sekarang, terutama mangsa-mangsa banjir. Namun keperluan rakyat adalah pada hari ini.

    “Rumah hendak kena lelong, anak hendak masuk universiti, mereka mereka memerlukan wang pada masa sekarang bukan 10 atau 15 tahun lagi,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023. 

    Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan RM500 ke dalam akaun simpanan individu yang mempunyai kurang daripada RM10,000.

    Bantuan itu membabitkan RM1 bilion yang akan diberikan kepada hampir dua juta ahli yang berusia antara 40 hingga 54 tahun.

    Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera turut mengulangi gesaan agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar. 

    Beliau turut menyentuh cukai barangan mewah yang diperkenalkan dalam belanjawan itu. 

    Katanya, langkah tersebut dilihat bakal menjejaskan sumber pendapatan daripada pelancongan. 

    “Aktiviti membeli belah pelancong asing menyumbang sebanyak 30 peratus daripada RM86.1 bilion hasil pendapatan pelancongan negara pada tahun 2019 adalah disumbangkan oleh aktiviti membeli belah pelancong asing.

    “Ini kerana Malaysia adalah syurga membeli belah kepada pelancong asing. Pengenalan cukai ini  menyebabkan mereka akan pergi ke negara-negara jiran untuk berbelanja, di Indonesia semakin banyak gedung yang menjual barangan mewah,” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • KDN seakan sahkan ada yang tak betul dalam UMNO, kata pengadu

    KDN seakan sahkan ada yang tak betul dalam UMNO, kata pengadu

    TINDAKAN Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengecualikan peruntukan pembatalan pendaftaran terhadap UMNO ‘mengesahkan’ terdapat ketidakaturan dalam pemilihan parti itu

    Pemfail notis bantahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Aizat Fikri Nasir Fikri berkata, secara logiknya jika tiada pelanggaran terhadap Akta Pertubuhan 1966, menteri tidak perlu menggunakan kuasa mengecualikan peruntukan pembatalan pendaftaran itu.

    “ROS boleh menghantar surat memaklumkan tiada pelanggaran berlaku sahaja,” katanya yang merupakan Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus.

    Beliau secara jujur berkata, kecewa dengan tindakan ini memandangkan kerajaan dan kepimpinan hari ini yang dikatakan sangat mengangkat kedaulatan undang-undang, telah menggunakan kuasa bagi memastikan Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

    “Ini sepatutnya dijalankan melalui proses demokrasi,” katanya dalam kenyataan, lapor MalaysiaKini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasa budi bicaranya untuk mengecualikan UMNO daripada dibatalkan pendaftaran.

    Dalam kenyataan pagi tadi, beliau berkata KDN mengecualikan UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 kepada UMNO.

    Seksyen 13 berkaitan pembatalan sesebuah pertubuhan.

    Ini berhubung usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

    Pertimbang semakan kehakiman

    Sementara itu, Aizat Fikri berkata, pihaknya akan berbincang dengan seorang lagi pengadu Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom dan peguam bagi mempertimbangkan semakan kehakiman terhadap keputusan menteri itu.

    Aizat Fikri dan Fiqri Firdaus memfailkan bantahan mereka pada 20 Jan lalu dengan mendakwa resolusi tiada pertandingan untuk dua jawatan terutama parti sebagai tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

    Pemilihan UMNO akan bermula hujung bulan ini bermula dengan pemilihan calon-calon bagi jawatan dalam sayap-sayap parti.

    Bagi Naib Presiden iaitu jawatan tertinggi yang dipertandingkan kali ini berlaku pertembungan lapan penjuru termasuk dua penyandang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahankan jawatan itu walaupun sebelum ini disebut-sebut mungkin mahu mencabar jawatan Presiden.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk mencabar Zahid. Bagaimanapun dia telah dipecat daripada parti itu.

  • UMNO sah diberi pengecualian tidak pertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden

    UMNO sah diberi pengecualian tidak pertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas parti berkenaan dalam pemilihan akan datang.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    “Kementerian telah meneliti mengenai ketetapan yang telah dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO pada 3 Mac 2023.

    “Merujuk kepada perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO, Kementerian berdasarkan seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah memutuskan untuk memberikan pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti UMNO akan datang,” katanya, lapor Astro Awani.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

    Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya wujud pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

    Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

    Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini.

    Ia bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi perlembagaannya.

  • Ambil tindakan tegas penyebaran bahan promosi LGBT, negara sekular – Pas Selangor

    Ambil tindakan tegas penyebaran bahan promosi LGBT, negara sekular – Pas Selangor

    PENYEBARAN bahan-bahan yang mempromosi budaya songsang Lesbian Gay Bisexual dan Transgender (LGBT) dan konsep negara sekular seperti fahaman komunis oleh pihak-pihak tertentu mestilah diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa di negara ini.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, parti itu menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas keprihatinan untuk membendung umat Islam daripada budaya songsang LGBT serta konsep negara sekular.

    Tegas beliau, Pas konsisten berpegang dengan kemuliaan dan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan Negara.

    “Peruntukan mengadakan latihan dan meningkatkan kecekapan sistem perundangan syariah oleh pihak kerajaan persekutuan juga amat wajar bagi memajukan lagi pentadbiran agama Islam di peringkat persekutuan dan negeri seterusnya mengekang budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus tumbuh di Negeri Selangor khususnya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, Pas Selangor juga menegaskan bahawa dialog antara agama juga perlu digerakkan semula.

    Beliau menjelaskan, ini bagi membugar semangat toleransi dan mencapai kesepakatan dalam menolak budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus membarah dalam masyarakat di negara ini.

    “Pas dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung budaya politik matang dan sejahtera, dan akan terus berkerja memartabatkan Agama Islam dan seterusnya mengembalikan kegemilangan dan kemakmuran di Negeri Selangor ini khususnya,” tambahnya.

    Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf golongan LGBT serta konsep negara sekular.

    Titah baginda, jaminan itu bertepatan waktunya untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

  • Pengosongan 4 kerusi DUN Pulau Pinang hapus peranan semak dan imbang-Wan Saiful

    Pengosongan 4 kerusi DUN Pulau Pinang hapus peranan semak dan imbang-Wan Saiful

    PENGOSONGAN empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang akan menghapuskan peranan semak dan imbang di negeri itu.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pengosongan kerusi itu juga satu perkara yang dikesali dan titik hitam dalam sejarah Pulau Pinang.

    “Kerajaan yang diketuai oleh DAP dan UMNO juga akan melakukan apa saja terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang berlangsung dalam masa terdekat.

    “Bagi saya tindakan yang dilakukan meluluskan usul pengosongan empat kerusi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang ini melambangkan ketakutan mereka,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

    Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi yang diwakili ADUN Bersatu mengikut Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

    Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai selepas selesai sesi perbahasan dengan sokongan majoriti ADUN.

    ADUN dan kerusi terbabit adalah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, tindakan tersebut menggunakan segala saluran perundangan untuk memastikan kebangkitan rakyat serta sokongan kepada PN dapat dilumpuhkan.

    Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor , mereka menggunakan segala kuasa termasuk kuasa yang ada di DUN.

    Wan Saiful berkata, mereka sepatutnya menunggu daripada membawakan usul itu kerana PRN tinggal beberapa bulan lagi.

    “Seharusnya tunggulah dulu sehingga pilihan raya negeri yang kita tahu tidak berapa bulan lagi.

    “Tetapi kerakusan mereka ini menyebabkan mereka meluluskan usaha untuk memaksa empat ADUN PN di DUN Pulau Pinang terpaksa mengosongkan kerusinya hari ini,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Wujudkan Jawatankuasa Pilihan Kewangan di Parlimen, kata Ronald

    Wujudkan Jawatankuasa Pilihan Kewangan di Parlimen, kata Ronald

    AHLI Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mencadangkan diwujudkan satu Jawatankuasa Pilihan Kewangan di Parlimen bagi membolehkan ahli Dewan Rakyat sama ada blok kerajaan dan pembangkang menyuarakan pendapat mereka sebelum belanjawan negara dibentangkan.

    Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perkara berkenaan juga sering dibangkitkan Ahli Parlimen kerajaan sekarang ketika mereka menjadi pembangkang sebelum ini.

    “Ramai Ahli Parlimen terbabit dalam perbahasan belanjawan tetapi adakah cadangan dan teguran mereka dapat diambil kira oleh kerajaan, yang boleh mengubah pembentangan belanjawan?

    “Justeru, kita perlu mewujudkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Kewangan bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk menyuarakan pendapat sebelum belanjawan dibentangkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ronald turut menekankan kepentingan untuk semua ahli Parlimen mendapat peruntukan kewangan yang sama rata, dan ia perlu dimaktubkan dalam undang-undang atau peraturan bagi memastikan peruntukan kewangan berkenaan kekal walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

    “Kerajaan sekarang (membabitkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan) berasal daripada blok sini (pembangkang). Anda lebih faham bahawa peruntukan sama rata bagi semua Ahli Parlimen diperlukan kerana duduk di sana (kerajaan) tidak kekal.

    “Ada peruntukan yang boleh dijadikan instrumen undang-undang… boleh dibuat melalui pindaan Perlembagaan atau Peraturan Mesyuarat untuk meletakkan ia sebagai satu instrumen kekal,” katanya.

    Ronald juga mencadangkan supaya kedudukan Ketua Pembangkang dijadikan instrumen jelas yang bukan saja bertaraf Menteri Kanan tetapi juga berserta faedah lain.

    “Ia perlu datang dengan faedah dari segi penyelidik, pegawai dan sebagainya, sama seperti Parlimen Komanwel lain yang menyatakan kedudukan Ketua Pembangkang sama taraf serta penting,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kelantan gesa kerajaan tunaikan janji 2018 untuk bayar royalti minyak

    Kelantan gesa kerajaan tunaikan janji 2018 untuk bayar royalti minyak

    KERAJAAN Kelantan melahirkan rasa kesal dengan keengganan kerajaan menyalurkan royalti minyak kepada negeri itu.

    Keputusan itu dilihat bertentangan dengan keputusan Putrajaya di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat pembayaran sedemikian kepada semua negeri termasuk di bawah pemerintahan pembangkang. 

    Ini susulan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima bayaran daripada Petronas kerana minyak yang dikeluarkan berada di luar lingkungan tiga batu nautika milik negeri itu di bawah Akta Laut Wilayah 2012. 

    Namun Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata DUN sudah menolak akta itu pada 2015, kerana merasakan kerajaan Pusat cuba menghalang kerajaan negeri daripada memperoleh royalti minyak dengan mengehadkan wilayah mereka.

    “Perjanjian kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975 dalam fasal 1(1) jelas menyatakan Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah 5% daripada nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan,” katanya.

    Beliau juga menyebut minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 menyatakan bahawa: “Memansuhkan program wang ihsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara terus kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut yang dikuasai oleh pembangkang”.

    Ahmad berkata, kerajaan negeri selama ini sudah mengambil pelbagai langkah dan usaha dalam menuntut bayaran tunai petroleum bermula 2013 hingga 2021, sambil menambah bahawa perbincangan itu turut disertai oleh pengerusi dan pegawai kanan Petronas.

    “Oleh itu, kerajaan negeri dengan ini menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menjelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat,” tambahnya, lapor MalaysiaNow.

    Minggu lalu, ahli Parlimen Pas menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menjunjung titah Sultan Muhammad yang mahu tuntutan bayaran petroleum kepada negeri Kelantan dapat ditunaikan mengikut perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

    “Kawasan ‘joint-development area’, sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand jaraknya dengan pantai Bachok hanya 145 kilometer.

    “Tetapi keputusan kerajaan pada 1996 yang mana Tambun (Anwar Ibrahim) sebagai Menteri Kewangan ketika itu telah melarikan pendaratan ke Songkhla, jaraknya 230 kilometer.

    “Kalau hendak mengangkat martabat Melayu, Melayu ada mana di Songkhla? Kalau hendak menoktahkan miskin tegar, sepatutnya ia didaratkan di Bachok,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

  • 4 ADUN Bersatu sifatkan keputusan DUN P. Pinang tidak adil

    4 ADUN Bersatu sifatkan keputusan DUN P. Pinang tidak adil

    EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini yang mengarahkan mereka mengosongkan kerusi masing-masing sebagai tidak adil.

    ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, keputusan berkenaan tidak mengejutkan dan menerima keputusan berkenaan dengan perit.

    Beliau mempersoalkan bagaimana pembangkang Pulau Pinang mampu berperanan dan berfungsi dengan aktif memandangkan hanya tinggal satu-satunya ADUN pembangkang di DUN kini iaitu Mohd. Yusni Mat Piah daripada Pas.

    “Saya juga hairan kerana ADUN UMNO Sungai Dua, Datuk Muhammad Yusoff Mohd. Noor masih berperanan sebagai Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah membentuk kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Kami terpaksa menerima keputusan ini sebab kami tahu kalau sudah melalui proses undian kami akan kalah. Sebab secara logiknya pun nombor (jumlah) ADUN kerajaan melebihi ADUN pembangkang.

    “Sekiranya ada ADUN kerajaan yang bersetuju dengan kami sekali pun kerana beranggapan kami betul, mereka akan kena pecat kalau jika menyokong kami,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan bangunan DUN selepas diarahkan keluar daripada sidang DUN berikutan usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing diluluskan majoriti ADUN hari ini.

    Selain Khaliq Mehtab, turut diarahkan mengosongkan kerusi dan meninggalkan sidang DUN ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang).

    Usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu diluluskan dengan sokongan majoriti ADUN selepas dibahaskan oleh seramai 12 ADUN.

    Terdahulu, usul itu dicadangkan Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR-Pinang Tunggal) dan disokong Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat).

    Usul itu dibentangkan hari ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

    Ini berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

    Dalam pada itu, Khaliq Mehtab berkata, keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengosongkan kerusi mereka menerusi usul di sidang DUN itu adalah jelas satu tindakan bermotifkan politik.

    “Insya-Allah, kita akan kembali selepas ini dengan lebih besar dan lebih kuat,” ujar beliau lagi.