Category: Umum

  • Dania Garage tawar tayar motosikal rahmah RM5

    Dania Garage tawar tayar motosikal rahmah RM5

    DENGAN niat untuk meringankan beban pengguna, sebuah bengkel motosikal di Kajang, Selangor baru-baru ini telah menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah RM5.

    Dinamakan Program Amal Tayar Rahmah, ia ditawarkan oleh Bengkel Dania Garage pada 20 Mac lalu.

    Menurut pemilik bengkel itu, Mohd Mustakim Mohd Munawir, beliau menganjurkan jualan amal itu sebagai sebahagian sumbangan penghargaan kepada pelanggan bengkelnya.

    Dinamakan Program Amal Tayar Rahmah, ia ditawarkan oleh Bengkel Dania Garage pada 20 Mac lalu.

    “Saya berterima kasih kepada semua pengguna dan pemilik motosikal yang menjadi pelanggan dan menyokong bengkel saya selama ini.

    Jadi sempena bulan Ramadan ini juga saya menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah, juga dengan tujuan untuk membantu meringankan beban pemilik motosikal,” katanya kepada media.

    Kata beliau, jualan amal yang dianjurkan selama sehari itu telah berjaya menarik kehadiran kira-kira tiga ribu pemilik motosikal.

    Bagaimanapun pihaknya memperuntukkan sejumlah seribu unit tayar untuk dibeli oleh pemilik motosikal pada harga RM5 seunit.

    “Program jualan amal ini merupakan jualan tayar motosikal bersaiz 70/90-17 serta 80/90-17, harga jualan sebenar tayar tersebut adalah RM60 seunit yang mana harga Rahmah tayar itu tidak ada dijual di mana-mana tempatlah, setakat ini hanya di bengkel Dania Garage sahaja.”

    “Saya memikirkan bahawa pada bulan Mac tahun ini merupakan bulan yang amat mencabar kepada pengguna semua kerana sesi persekolahan bermula dan persiapan raya datang serentak yang mana rata-rata memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi”.

    “Sebab itu saya tampil menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah memandangkan sebahagian besar pemilik motosikal ini adalah golongan B40”, kata Mustakim.

    Dania Garage merupakan bengkel motosikal 100 peratus milik Bumiputera yang berpusat di Sungai Chua, Kajang.

    Bengkel tersebut mula beroperasi pada 2016 dan kini mempunyai tiga cawangan iaitu dua di Kajang dan satu di Serdang.

    Bengkel Dania Garage amat popular di media sosial khususnya di Tiktok dengan jumlah pengikut lebih 506 ribu orang.

  • Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tiada apa yang menghalang umat Islam daripada mengunjungi tempat ibadat agama lain.

    Bagaimanapun, baginda bertitah, kunjungan itu mestilah tanpa mengambil bahagian dalam sebarang upacara atau amalan agama berkenaan.

    “Tidak salah untuk menghadiri majlis perkahwinan atau berada di gereja misalnya, tetapi umat Islam hanya perlu memerhati.

    “Orang Islam tidak boleh mengambil bahagian dalam upacara atau amalan sama ada di kuil atau gereja,” titah baginda menurut The Star.

    Sultan Sharafuddin percaya penganut Kristian juga tidak akan menyertai sembahyang atau ritual di kuil Tao.

    Baginda turut mengimbau kisah silamnya ketika almarhum datuknya, Sultan Alam Shah, menghadiri pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953 di gereja Westminster Abbey di London.

    “Baginda baru pulang dari Mekah, kemudian berunding dengan mufti negeri jika berkenan untuk menghadiri pertabalan.

    “Mufti berkata tidak ada salahnya asalkan beliau tidak mengambil bahagian dalam mana-mana ibadat,” titah baginda.

    ‘Baca dan buat rujukan’

    Sultan Sharafuddin juga dilaporkan menggesa ahli politik untuk “membaca dan membuat rujukan” sebelum mengulas kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baru-baru ini bahawa haram bagi orang Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara untuk mengenali agama lain.

    Sambil menyifatkan pandangan Mais sebagai betul dan jelas, baginda bertitah adalah baik untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham kerana terdapat undang-undang yang menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam.

    Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira kaum supaya tidak menjadikan agama untuk mempopularkan diri mereka.

    Baginda bertitah, larangan itu dibuat atas kapasitinya sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor bersama Mais.

    “Hanya saya sebagai ketua agama Islam di Selangor dan Mais pihak berkuasa agama di negeri ini,” titah baginda.

    Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa umat Islam di negeri itu boleh melawat rumah ibadat agama lain selagi mereka tidak terbabit dalam sebarang upacara dan sembahyang.

    “Ini adalah jelas dan saya percaya pada orang Islam kerana kepercayaan mereka kukuh dan tidak goyah. Saya tidak mahu terus memanjangkan isu ini. Tidak perlu lagi sebarang polemik isu ini,” titah baginda.

  • Zahid sahkan Noraini Pengerusi RISDA yang baharu

    Zahid sahkan Noraini Pengerusi RISDA yang baharu

    KETUA Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang baharu.

    Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan kerjanya di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengesahkan pelantikan Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong untuk menerajui RISDA.

    “Ya, saya mengesahkan Noraini Ahmad dilantik sebagai Pengerusi RISDA,” katanya secara ringkas ketika diminta mengulas dakwaan lantikan terbabit yang tular di media sosial sejak semalam.

    Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat PERDA di Butterworth, hari ini.

    Untuk rekod, Noraini, 56, sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi.

    Selain itu, beliau juga adalah wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi memeriksa dan memantau urusan dan pentadbiran kewangan negara.

    Semalam, tular di media sosial beberapa keping gambar berserta ucapan tahniah yang mendakwa Noraini dilantik sebagai Pengerusi RISDA baharu.

  • Pelajar 14 tahun di Kelantan bayar zakat perniagaan RM10,000

    Pelajar 14 tahun di Kelantan bayar zakat perniagaan RM10,000

    SIAPA sangka pada usia seawal 14 tahun, seorang pelajar sudah mampu membayar zakat perniagaan berjumlah RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Khamis, lalu.

    Bayaran zakat bagi tahun lalu itu dibuat oleh Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mohd Mustamaman, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Pasir Mas kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

    Menurut Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya yang merupakan pengasas produk pemakanan Bebycurf, dia terkejut mampu mencapai jualan sebanyak RM400,000 sejak berada di pasaran pada September tahun lalu.

    “Sepanjang empat bulan, produk saya sudah mencecah jualan sebanyak itu (RM400,000),” katanya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya, melihat kepada nilai jualan, ibunya, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin dan ayahnya, Mustaman Che Yusof memberi nasihat supaya menunaikan tanggungjawab dengan mengeluarkan zakat.

    Katanya, tanpa berlengah dia terus berbuat demikian dengan melaksanakan salah satu Rukun Islam iaitu berzakat dengan MAIK.

    “Alhamdulillah, saya lega dapat berbuat demikian dan berharap sumbangan itu dapat membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

    Mengulas lanjut Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya berkata, dia tidak menyangka perniagaan yang bermula di TikTok itu mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

    Katanya, dia berterima kasih kepada pelanggan yang memberikan sokongan penuh kepada produk keluarannya itu.

    Sementara itu, Bibi Hasnalinda berkata, beliau terharu dengan usaha yang ditunjukkan oleh anaknya itu untuk berzakat.

    Tambahnya, beliau berharap usaha tersebut dapat menjadi contoh kepada usahawan dan ahli perniagaan lain untuk sama-sama berzakat.

  • Harga ayam di ladang naik 20 sen, RM11 sekilogram peringkat runcit

    Harga ayam di ladang naik 20 sen, RM11 sekilogram peringkat runcit

    HARGA ayam segar di peringkat ladang naik 20 sen pada hari pertama Ramadan Khamis lalu selepas bekalan bahan mentah itu berkurangan di pasaran.

    Buat masa ini, harga ayam peringkat runcit dinaikkan RM11 sekilogram sejak awal Ramadan dan harganya dijangka melonjak kepada RM11.50 dalam tempoh terdekat jika peniaga menerima notis kenaikan 20 sen daripada peladang.

    Menurut Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng, ketika ini berlaku kekurangan bekalan ayam segar hampir 30 peratus di pasaran menyebabkan kenaikan harga bahan mentah itu tidak dapat dielakkan.

    Katanya, kekurangan bekalan ayam itu disebabkan benih ayam yang berkurangan disebabkan penyakit melanda.

    “Memang benar harga ayam segar dari ladang naik 20 sen sejak awal Ramadan lalu, selepas penyelarasan harga dibuat semula.

    “Kenaikan harga tidak dapat dielakkan berikutan ketika ini berlaku kekurangan ayam kira-kira 30 peratus di pasaran tempatan akibat penyakit melanda unggas itu menyebabkan benih ayam berkurangan.

    “Sebelum ini harganya dari ladang antara RM8.90 hingga RM9 setiap kilogram (kg), namun sejak awal Ramadan lalu ia naik kepada RM9.10 atau RM9.20 setiap kg.

    “Walaupun berlaku kekurangan bekalan ayam ketika ini, ia tidak terlalu menjejaskan berikutan permintaan dan pembelian ayam turut menurun tidak seperti Ramadan sebelum ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pada 12 Januari lalu, kerajaan dilaporkan akan meneliti semula harga siling ayam susulan bekalan bahan mentah itu semakin pulih.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, dilaporkan berkata ia bagi membantu pengguna mendapatkan ayam dengan harga lebih murah berbanding harga siling ketika ini RM9.40 sekilogram.

    Dalam pada itu, peniaga ayam di Pasar Pandan, Edy Ali, 42, berkata kenaikan harga ayam segar memaksa peniaga menjual bahan mentah itu pada harga RM11 sekilogram sejak awal Ramadan lalu.

    Katanya, sebelum Ramadan lalu kebanyakan peniaga menjual bahan mentah itu pada harga antara RM9.90 hingga RM10.90 setiap kg.

    “Harga ayam memang tak ada turun, mencanak naik sejak awal Ramadan lalu. Memang kebanyakan peniaga tak mampu nak jual ayam pada harga siling sejak sebelum ini lagi.

    “Jika harga ayam sampai pun RM8.90 sebelum ini, bayangkan bagaimana peniaga nak jual pada harga RM9.40 padahal kami menanggung kos operasi sangat tinggi.

    “Ini bila harga ayam segar dari ladang naik lagi 20 sen jadi RM9.20 setiap kg, kami peniaga memang tiada pilihan dan terpaksa jual pada harga antara RM10.80 hingga RM11 setiap kg kepada pelanggan,” katanya.

  • Pas hormat pembinaan rumah ibadat bukan Islam ikut peraturan

    Pas hormat pembinaan rumah ibadat bukan Islam ikut peraturan

    PAS Selangor membidas laporan sebuah portal berita yang mendakwa parti itu melarang sebarang pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri berkenaan dan menyifatkannya cukup jahat.

    Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, laporan oleh portal Malaysiakini bertajuk “Quit politicising religion – politicians told” menggambarkan seolah parti itu bermain isu perbezaan agama.

    Menurutnya, dakwaan itu kononnya Pas memperolehi sokongan politik dan mengaitkan ucapan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor di Parlimen baru-baru ini.

    “Ia (laporan) mendakwa gesaan Dr Ahmad Yunus agar pihak kerajaan tidak membina rumah ibadat bukan Islam berhampiran masjid sebagai bukti Pas memperalatkan agama untuk kepentingan politik.

    “Pas Selangor menganggap laporan ini cukup jahat dan malah ialah yang sesungguhnya cuba mempolitikkan kenyataan jujur seorang wakil rakyat yang dalam perbahasannya mahu melihat keharmonian kaum dikekalkan dan sebarang konflik dan ketegangan sesama rakyat berbilang agama dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, Dr Ahmad Yunus merujuk kepada cadangan pembinaan baru, yang melibatkan garispanduan sedia ada yang dikeluarkan pihak perancang bandar di PBT, Jabatan Perancangan Negeri dan di Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan dengan gesaan agar sensitiviti masyarakat setempat sentiasa diambil kira.

    Katanya, dalam ucapan pada 16 Mac lalu di Parlimen, Pesuruhjaya Pas Selangor itu membawa contoh sebuah tapak di sempadan kawasan beliau iaitu di Canary Garden, Bandar Bestari Klang, di bawah Majlis Perbandaran Klang dimana sebuah rumah ibadat bukan Islam sedang dibina tanpa kelulusan di tapak yang dikelilingi kampung Melayu Islam di Sijangkang, Kuala Langat.

    Penduduk di perkampungan itu katanya juga telah membuat bantahan ke PBT, malah beliau sendiri selaku wakil rakyat kerana itu, isu ini dibangkitkan di Parlimen untuk penyelesaian.

    “Untuk pengetahuan Malaysiakini dan pihak yang tidak bertanggungjawab menyerang Pas dalam isu ini, Manual Garispanduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor menetapkan bahawa sebarang tapak rumah ibadat perlu diwartakan di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

    “Ia juga perlu memperolehi Kebenaran Merancang dari PBT berkaitan, dalam kes ini tiada pewartawaan mahupun kelulusan diperolehi

    “Manual yang sama juga menyebut, pembinaan rumah ibadat bukan Islam di Selangor hendaklah di kawasan taburan penduduk 5,000 penduduk untuk 1 tapak atau 2,600 penganut bagi 1 tapak.

    “Di kawasan yang dibangkitkan ahli Parlimen Kuala Langat ini, tidak ada penduduk bukan Islam pun berhampiran kawasan berkenaan,” tegasnya.

    Dalam pada itu, Roslan Shahir berkata, tindakan memutarbelit kenyataan seorang wakil rakyat di Parlimen dengan niat jahat adalah cukup dikesali.

    Beliau menjelaskan, Pas tidak pernah ada masalah dengan rumah-rumah ibadat pelbagai agama termasuklah di Selangor yang ada sedia terbina sekian lama dan dapat diterima masyarakat setempat sejak awal lagi.

    “Isu ini berbeza kerana ia melibatkan rumah ibadat bukan Islam yang baru, dan yang tidak mendapat kelulusan. Ia pula dibina di kawasan perkampungan Melayu Islam yang mendapat bantahan masyarakat setempat.

    “Secara amnya mana-mana masyarakat tidak akan menyokong pembinaan rumah ibadat mana-mana agama sekalipun yang tidak memperolehi kebenaran pihak berkuasa tempatan dan negeri,” tegas beliau.

    Sementara itu, Roslan Shahir berkata, Pas Selangor berharap sebagai portal berita yang bertanggungjawab, Malaysiakini tidak menyalurkan maklumat tidak tepat dan tidak membantu dalam pembinaan sebuah negara yang bersatu-padu dan masyarakatnya patuh serta taat pada undang-undang dan peraturan negeri dan negara.

  • TH minta 31,600 bakal haji segera jawab surat tawaran

    TH minta 31,600 bakal haji segera jawab surat tawaran

    SEBANYAK 31,600 bakal jemaah haji musim 1444H/2023M diminta segera menjawab surat tawaran haji yang dikeluarkan Lembaga Tabung Haji (TH) bermula 22 Mac lalu.

    Menurut Pengarah Eksekutif (Haji) TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, bakal haji tahun ini perlu memberikan jawapan sama ada setuju atau tidak, dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat berkenaan dikeluarkan.

    “Bakal jemaah haji boleh melayari www.thijari.com.my dan memuat turun aplikasi ThiJARI untuk menyemak serta menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Syed Salleh berkata, semua bakal haji terpilih perlu mencukupkan wang dalam akaun Tabung Haji mengikut bayaran haji yang tertera dalam surat tawaran.

    Pada masa sama katanya, bakal jemaah haji juga perlu mendapatkan Buku Rekod Rawatan di mana-mana cawangan Tabung Haji berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dilakukan.

    “Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan di hospital ataupun klinik-klinik kerajaan dan swasta yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) dan semua bakal haji diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperolehi visa haji sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

    “Setelah selesai pemeriksaan kesihatan, semua bakal haji diminta untuk menghantar jawapan surat tawaran haji, buku rekod rawatan dan pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH yang berhampiran,” tambah Syed Saleh.

    Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

  • Lawatan Anwar ke Arab Saudi satu “diplomatic blunder” – Wan Fayhsal

    Lawatan Anwar ke Arab Saudi satu “diplomatic blunder” – Wan Fayhsal

    LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac lalu dianggap satu “blunder” atau kesilapan besar diplomasi antara Malaysia dan Arab Saudi, sekutu utama Kuala Lumpur dalam politik antarabangsa.

    Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, penjelasan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengenai perkara itu tandanya ada krisis politik yang melatari lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi adalah benar.

    “Macam mana Pejabat Perdana Menteri (PMO) boleh suruh Wisma Putra buat pemakluman media yang ini adalah lawatan rasmi kalau tidak dapat bertemu dengan Putera Raja merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, YM Putera Mohamed Bin Salman (MBS)?

    “Ini jelas adalah satu “blunder” diplomasi antara Malaysia dan Arab Saudi, sekutu utama kita dalam politik antarabangsa.

    “Ianya tetap satu tamparan hebat ke atas Malaysia dan kami akan usulkan dalam Dewan Rakyat jawapan sebenar berhubung kegagalan lawatan rasmi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal meminta penyokong kerajaan belajar daripada lawatan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau melawat Arab Saudi pada 2021.

    Menurutnya, terdapat protokolnya yang perlu ada iaitu:

    1. Disambut oleh Putera Raja MBS sendiri di lapangan terbang dengan karpet merah.
    2. Pertemuan empat mata bersama Putera Raja MBS di Istana al-Yamamah, Riyadh.
    3. Pengumuman besar dan utama berhubung hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi, di mana ketika PM-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan kerajaan Arab Saudi yang diwakili oleh YM Putera Raja MBS kita mendapat 10,000 kuota haji tambahan dan kemudahan urusan imigresen buat rakyat kita menunaikan ibadah Umrah dan Haji. Manakala Arab Saudi bersetuju di masa hadapan untuk tingkatkan import minyak kelapa sawit Malaysia daripada 318,000 tonnes berjumlah RM900 juta ke 500,000 tonnes.
    4. Lupa satu lagi – diberi penghormatan untuk masuk ke dalam Ka’bah sepertimana Perdana Menteri Malaysia sebelum-sebelum ini.
      Apa yang YB Pagoh lakukan sewaktu PM8 itulah namanya Lawatan Rasmi Negara. Mengeratkan lagi hubungan dan menambahkan manfaat antara kedua-dua buah negara.

    “Dan bukan tak pernah YAB PMX dapat layanan rasmi seperti mana beliau ke Turki, Filipina, Indonesia sebelum ini. Tetapi di Arab Saudi lain pula jadinya. Mengapa jadi begini?,” soal beliau.

    Terdahulu dalam penjelasannya, Dr Mohammad Agus yang memetik kenyataan Anwar berkata, sebenarnya, pimpinan Arab Saudi telah memohon supaya kunjungannya dipanjangkan selama dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu.

    Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.

    Namun, Anwar terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi. Menolak kerana pada 25 Mac beliau dan Kabinet ada majlis berbuka puasa dengan Yang di-Pertuan Agong, 27 Mac lawatan sehari ke Kemboja, dan 29 Mac lawatan ke China bertemu dengan dua pemimpin besar China Xi Jinping & Li Qiang.

  • PMO perlu jelaskan pencapaian lawatan Anwar di Arab Saudi

    PMO perlu jelaskan pencapaian lawatan Anwar di Arab Saudi

    SEORANG Ahli Parlimen meminta Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberikan penjelasan mengenai objektif, persiapan, penyusunan dan keseluruhan kos lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini.

    Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, apa yang menjadi kepentingan adalah penjelasan mengenai pencapaian yang terhasil daripada lawatan bersejarah tersebut.

    Menurut beliau, secara umumnya, terdapat tiga bentuk lawatan ke luar negara, iaitu lawatan rasmi, lawatan perniagaan dan lawatan umrah yang mempunyai objektif, sambutan dan aturan tersendiri.

    Kata Mohd Syahir, bagi sesebuah lawatan rasmi, objektifnya adalah untuk mengeratkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin, sambutannya penuh protokol, kemuncaknya kunjungan hormat ketua negara atau rakan sejawat dan disambut di istana atau pusat pentadbiran negara.

    “Memetik laporan Bernama bertarikh 22 Mac 2023, ‘Sepanjang lawatan rasmi itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam’.

    “Namun kunjungan hormat di Istana Al-Salam yang dikatakan telah dijadualkan tidak berlangsung seperti yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut Mohd Syahir menjelaskan, bagi sesebuah lawatan perniagaan pula objektifnya adalah untuk meningkatkan hubungan dagang antara dua negara.

    “Laporan menyatakan pertemuan dengan komuniti perniagaan berjaya diaturkan di Jeddah dan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani walaupun tidak disaksikan bersama oleh Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, ataupun Menteri Kewangan Arab Saudi.

    “Manakala bagi sesebuah lawatan umrah, objektifnya adalah untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah.

    “Alhamdulillah, PMX berjaya menunaikan umrah dengan sebaiknya, diiringi isteri, Menteri Luar dan Menteri Komunikasi Malaysia. Semoga beroleh umrah yang mabrur,” katanya.

  • Nasi ayam berempah RM15 sebungkus tular

    Nasi ayam berempah RM15 sebungkus tular

    BARU tiga hari berpuasa, rakyat terpaksa berdepan situasi yang agak membebankan apabila dilaporkan harga ayam naik hingga melepasi harga kawalan.

    Ironinya jika harga ayam mahal, sudah tentu makanan siap dimasak berasaskan ayam yang dijual di bazar Ramadan turut naik harga atau potongan saiznya lebih kecil.

    Hari ini, tular di media sosial mengenai tindakan seorang peniaga menjual nasi ayam berempah dengan harga RM15 sebungkus.

    Memetik laporan Sinar Harian, harga yang dikenakan itu disifatkan tidak masuk akal kerana ayam berempah tersebut bukan bersaiz besar sementara begedilnya cuma besar sedikit daripada duit syiling 50 sen lama serta tempe pula panjangnya tidak sampai sejengkal.

    Perkembangan tersebut pastinya mengundang resah rakyat kerana jika lauk ayam pun sudah mahal sebegitu, pastinya lauk-lauk lain akan lebih mahal.

    Lazimnya sebelum ini lauk ayam menjadi lauk pilihan majoriti rakyat marhaen kerana harganya lebih murah.

    Mereka yang biasa ke pasar sememangnya tahu harga ayam agak murah berbanding ikan yang rata-ratanya berharga belasan ringgit dan ke atas bagi setiap kilogram.

    Itu belum disentuh harga barang mentah lain seperti daging, sotong, udang dan ketam yang berganda lebih tinggi.

    Bagaimanapun, jaminan yang diberikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Sabtu bahawa harga kawalan ayam mentah tidak akan dinaikkan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat.

    Salahuddin berkata, KPDN akan mendapatkan data bekalan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) berhubung kenaikan harga ayam.

    Katanya, kenaikan harga barang mentah berkenaan ketika ini mungkin disebabkan isu bekalan yang mana ia di bawah tanggungjawab MAFS.

    Pada Jumaat dilaporkan purata harga ayam standard pada bulan Februari 2023 meningkat kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM9.46 pada Februari 2022 yang mana turut melepasi harga kawalan ditetapkan iaitu RM9.40.

    Diharapkan isu kenaikan harga ayam tersebut dapat ditangani segera apatah lagi pada 16 Mac lalu KPDN menjangkakan bekalan makanan bekalan makanan asas mencukupi menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

    Oleh itu kementerian yang bertanggungjawab perlu memastikan orang ramai tidak terus dibelenggu masalah kenaikan harga makanan yang melampau.