Category: Umum

  • ‘’Habis tu nak tengok cerita apa..Sinetron? – Pencipta ‘Upin&Ipin’ jawab Gabenor Bali

    ‘’Habis tu nak tengok cerita apa..Sinetron? – Pencipta ‘Upin&Ipin’ jawab Gabenor Bali

    PENCIPTA siri animasi Upin & Ipin menepis kritikan Gabenor Bali Wayan Koster yang menggesa pelajar negara itu tidak lagi menonton rancangan popular berkenaan.

    Pengarah Urusan Les’ Copaque Burhanuddin Md Radzi menegaskan semua pihak termasuk Wayan tidak perlu bimbang kerana program itu sarat dengan nilai Timur dan pengajaran.

    “Kita tunjuk semua budaya Timur, beliau nak budaya maca mana lagi? Indonesia itu besar, kalau kita tengok sebelah Riau (ramai) orang Melayu.

    “Orang Jawa pun tahu Upin & Ipin ini menyeronokkan, kanak-kanak di sana pun cakap Melayu yang mungkin membuatkan mereka risau

    “Upin Ipin banyak bagi pengajaran, Habis, mereka nak tengok cerita apa? Sinetron (drama)? Kalau baca komen-komen di media dan lain-lain, orang Indonesia sendiri marahkannya (Wayan),’’  katanya kepada FMT.

    Sebelum itu Wayan menggesa supaya pelajar negara itu mengutamakan filem dan kartun tempatan berbanding Upin & Ipin yang berasal dari Malaysia.

    “Orang muda biasanya suka menonton animasi apa yang datang dari Malaysia kan? Ya, Upin & Ipin. Jangan kita tonton lagi…Lebih baik sokong filem yang memfokuskan tradisi dan budaya kita,” kata Wayan pada majlis anugerah pertandingan esei filem di Dewan Perundangan Wilayah Bali baru-baru ini.

    Di sebalik gesaan itu, Burhanuddin yakin tayangan Upin & Ipin tidak akan terjejas selepas menerima jaminan daripada stesen televisyen di negara jiran.

    “Saya sudah periksa dengan stesen televisyen di sana dan mereka kata ‘biarkan pak’, kalau ada masalah stesen televisyen sudah tentu nasihatkan kami. Di Indonesia, penonton kita bukan macam di Malaysia, di sana seluruh ahli keluarga menonton (Upin & Ipin),” katanya yang turut memberitahu pihaknya dalam proses membina Taman Tema Upin & Ipin di Melaka.Les’ Copaque yang menerbitkan siri animasi popular itu mempunyai 17.9 juta pengikut di YouTube dan menjadi saluran pertama di Malaysia meraih ‘Diamond Play Button’ dengan sembilan bilion jumlah tonton

  • ‘Sudah takdir anak ‘pergi’ begini, kami reda’

    ‘Sudah takdir anak ‘pergi’ begini, kami reda’

    IBU kepada Allahyarham Muhammad Taufiq Mohd. Zaki, 38, yang terkorban dalam pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, semalam reda dengan kejadian tragis itu.

    “Saya reda kerana ini sudah ketentuan Allah SWT,” kata ibu kepada Allahyarham Muhammad Taufiq.

    Muhammad Taufiq yang juga pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara mangsa nahas pesawat semalam.

    Wanita terbabit berkata, keluarga menerima ketentuan bahawa jenazah anaknya tidak dapat dituntut hari ini kerana proses bedah siasat dan DNA dijangka mengambil masa yang panjang.

    “Sudah takdir anak akan ‘pergi’ begini dan keluarga terima dengan reda.

    “Apa dilakukan Dia (perancangan Allah) yang terbaik untuk kebaikannya. Anak juga pergi pada hari baik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, hari ini.

    Katanya, buat masa ini mereka sekeluarga akan pulang ke rumah di Ampang sementara menunggu panggilan daripada pihak hospital sekiranya proses bedah siasat sudah selesai.

    “Urusan pengebumian juga sudah diatur dan hanya menunggu jenazah untuk dikebumikan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Allahyarham Muhammad Taufiq meninggalkan isteri dan tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.

    Semalam, isteri Allahyarham iaitu Suzana Paiman, 38, berkongsi suami berbelah bahagi untuk mengikuti penerbangan itu kerana keadaan anak yang tidak sihat.

    Tinjauan media di HTAR mendapati waris keluarga beransur pulang selepas dimaklumkan jenazah kesemua mangsa tidak dapat dituntut hari ini.

  • Prestasi UMNO ‘buruk,memalukan’, bukti penolakan pengundi terhadap parti itu – Chandra

    Prestasi UMNO ‘buruk,memalukan’, bukti penolakan pengundi terhadap parti itu – Chandra

    AHLI akademik dan pengkritik sosial terkemuka Chandra Muzaffar menyifatkan prestasi UMNO dalam pilihan raya baru-baru ini sebagai “terburuk dan memalukan”, mengatakan trend penurunan sokongan dan penolakan pengundi terhadap parti itu adalah jelas kepada semua pihak kecuali bagi pimpinan tertinggi. 

    Beliau  berkata, walaupun isu rasuah yang melanda kepimpinan UMNO  menjadi punca utama, namun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu juga menunjukkan hilangnya kelompok tengah yang pernah menerajui kerajaan suatu ketika dulu.

    “Rungutan sosio-ekonomi ini diluahkan melalui parti politik etno-agama. Ini dapat dilihat dalam PRN. Ia berlaku pada pilihan raya umum 2022, tetapi paling jelas ditunjukkan dalam pilihan raya negeri ini: rasuah dan hubungan antara rungutan sosio-ekonomi dan politik identiti,” kata Chandra kepada portal MalaysiaNow.

    Beliau berkata faktor yang sama menjelaskan “kejayaan besar” DAP dalam PRN, di mana ia memenangi semua kecuali satu daripada 47 kerusi yang ditandinginya. 

    Chandra berkata sejak berkembang daripada PAP Singapura, parti itu sentiasa menjadi jurucakap kepada rungutan bukan Melayu. 

    “Ini adalah bagaimana ia menggerakkan sokongannya, dan ia memainkan peranan dengan berkesan dalam setiap pilihan raya,’’ katanya.

    Namun, katanya apa yang lebih penting ialah bagaimana rungutan itu disuarakan, iaitu dengan berhujah bahawa orang bukan Melayu adalah “warganegara kelas kedua”. 

    “Ia sangat berkesan apabila dibentangkan secara terang-terangan dan istilah perkauman yang begitu jelas. Saya katakan ia adalah terang-terangan dan jelas kerana jika anda melihat kepada keseluruhan realiti dan keseluruhan landskap, adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa orang bukan Melayu benar-benar terpinggir atau mereka ditindas,’’ katanya.

    Beliau berkata selain pencapaian ekonomi, hak budaya dan pendidikan yang diberikan kepada masyarakat Cina di Malaysia adalah unik jika dibandingkan dengan negara lain yang dijajah.

    Katanya, walaupun beberapa rungutan bukan Melayu adalah benar, namun terdapat usaha “memutar belit dan mengelirukan” dalam mengutarakan perkara tersebut sehingga mewujudkan jurang antara orang Melayu dan bukan Melayu.

    “Sebab inilah DAP dilihat dari sudut tertentu oleh orang Melayu, bukan hanya mereka dalam UMNO, iaitu disebabkan cara ia menyuarakan rungutan orang Cina,” kata Chandra sambil menambah bahawa perkara yang sama juga dilakukan Pas dalam menyalurkan rungutan orang Melayu.

    “Saya tidak mengatakan gabungan yang memerintah sekarang tidak melakukan kesalahan serupa, mereka turut sama dalam permainan ini tetapi dengan cara yang berbeza dan untuk tujuan yang berbeza,’’ katanya.

    Beliau berkata terdapat keperluan untuk bersikap jujur apabila bercakap tentang rungutan etnik, mengatakan kecenderungan untuk memperjuangkan sesuatu kaum adalah lebih berbahaya sekarang berbanding sebelum ini.

    “Parti politik berasaskan etnik kini mendominasi. Gabungan politik masa lalu, walaupun lemah, namun dapat mengekalkan kelompok tengah. Kelompok ini sudah hilang, dan sebaliknya anda mempunyai kuasa dominan yang bercakap bagi pihak satu komuniti terhadap yang lain,’’ katanya.

    PRN baru-baru ini menyaksikan enam kerajaan negeri kembali kepada status quo, dengan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal di bawah PN. 

    Rakan kongsi PH, Barisan Nasional (BN) yang hanya diwakili oleh UMNO, ditewaskan sekali lagi oleh PN, hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya, mengulangi kekalahan  pada pilihan raya umum November lalu apabila hanya memenangi 26 kerusi Parlimen. 

    Sokongan besar orang Melayu terhadap PN juga menyaksikan gabungan itu menafikan majoriti dua pertiga PH di Selangor, menjadi lebih kuat di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Chandra berkata keuntungan Pas  dalam PRN tidak mengejutkan, mengatakan parti itu dan UMNO mendapat manfaat daripada kelemahan antara satu sama lain pada masa lalu. 

    Tetapi faktor yang lebih besar, katanya, ialah kebangkitan kesedaran Islam dalam kalangan orang Melayu, sambil menambah ini boleh dilihat dalam populariti pematuhan syariah dalam sektor perniagaan dan pendidikan, serta lebih ramai wanita Islam yang bertudung. 

    Beliau berkata “formula kemenangan” Pas ialah kejayaannya menggabungkan personaliti agamawan dengan teknokratnya, sambil menambah ini dimainkan di Terengganu apabila pasukan teknokrat dan agama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya menguasai negeri itu di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

    “Inilah sebabnya mereka menukar kepimpinan di Kelantan,” katanya merujuk kepada keputusan Pas menjelang pilihan raya untuk menggugurkan Datuk Ahmad Yakob dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah masing-masing sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar.

  • Salah seorang mangsa bukan anak Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis

    Salah seorang mangsa bukan anak Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis

    MANGSA  kejadian pesawat ringan persendirian yang terhempas di Elmina, dekat sini difahamkan bukan anak bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

    Memetik Sinar Harian difahamkan, nama seorang mangsa kejadian ialah Khairil Azwan Jamaludin, namun dia bukan anak kepada Allahyarham Jamaluddin.

    Sumber menyatakan, Allahyarham hanya mempunyai dua orang anak sahaja dan nama yang tular itu bukan anak beliau.

    Katanya, dia memeriksa nama Khairil yang tular itu bukan seperti yang digembar gembur di laman media sosial.

    Malah pihak polis juga tidak dapat mengesahkan sama ada anak Allahyarham Jamaluddin terlibat dalam kejadian malang tersebut.

    Sementara itu kejadian pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) terhempas itu sempat dirakam kamera dashcam beberapa kenderaan ketika kejadian.

    Berdasarkan paparan pada video berkenaan, kejadian itu dirakam pada jam 2.42 petang, yang menunjukkan api marak dalam keadaan yang sangat besar ketika pesawat itu terhempas.

    Video berkenaan menunjukkan situasi semasa dari bahagian belakang sebuah kenderaan dan satu lagi video dari bahagian depan kenderaan 

  • ADUN Pengkalan Kubor selamat diijabkabul

    ADUN Pengkalan Kubor selamat diijabkabul

    AHLI Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat, 57, selamat mendirikan rumah tangga kali kedua dengan pasangannya, Selasa lalu.

    Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan itu diijabkabulkan dengan pilihan hati, Nurfariza Mhd Hassan, 38.

    Wan Roslan berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu selepas beliau selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada hari sama.

    “Isteri saya berasal dari Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu,” katanya lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, gambar pasangan mempelai itu tular selepas Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memuat naik status ucapan tahniah kepada mereka di Facebook pada Rabu.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, isteri terdahulu beliau, Wan Norihan Wan Ab Rahman, 54, meninggal dunia akibat paru-paru berair di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, pada Julai 2022.

    Pada PRN itu, Wan Roslan meraih 14,043 undi dengan majoriti 6,040 undi mengalahkan Zulkifli Abdullah (Barisan Nasional) yang mendapat 8,003 undi.

  • ‘Peguam nafi larikan diri, tak beri kerjasama kepada SPRM

    ‘Peguam nafi larikan diri, tak beri kerjasama kepada SPRM

    PEGUAM  yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS), Mansoor Saat, yang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyangkal dakwaan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

    Mansoor, 69, menegaskan beliau bukan seorang pelarian dan tidak melarikan diri, selain sudah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.

    Lapor Beritah Harian, Mansoor berkata, tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan, namun ia kini digunakan terhadapnya sebagai isyarat seolah-oleh dirinya bersalah.

    “Saya meninggalkan Malaysia pada pertengahan Mei atas urusan perniagaan. Saya kemudian dihubungi oleh pegawai penyiasat SPRM dan memberi maklum balas melalui surat bertarikh 3 Jun 2023 bahawa saya akan kembali selepas menyelesaikan urusan perniagaan.

    “Bagaimanapun, pegawai penyiasat SPRM menggesa saya pulang segera ketika kemuncak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN). Saya memaklumkan ada urusan yang belum selesai dan akan pulang dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini, menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, dilapor menegaskan tidak pernah ditangkap atau dihubungi SPRM selepas didakwa melarikan diri ke luar negara dan dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki agensi itu.

    Semakan rekod mendapati Muhammad Adlan dan Mansoor meninggalkan Malaysia masing-masing pada pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dengan tiada rekod kembali ke tanah air.

    Penafian Mansoor itu dilakukan selepas SPRM mengeluarkan kenyataan mengesan kedua-duanya bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

    Tegasnya, keengganan pulang ke tanah air sebelum PRN menyebabkan akaun peribadinya dan isteri dibekukan tanpa notis.

    Beliau turut mendakwa diganggu secara berterusan oleh pegawai SPRM dengan ancaman fitnah dan pembunuhan watak.

    “Kenyataan kononnya saya tidak dapat dihubungi adalah tidak benar. Pegawai penyiasat yang mengendalikan siasatan mengetahui keberadaan saya. Saya tidak akan membenarkan diri saya dibuli untuk menyerah dan melepaskan saham saya untuk dimanfaatkan pemain korporat yang rapat dengan sesetengah pegawai SPRM. Saya menolak naratif palsu ini,” katanya.

    Mansoor mendakwa dikaitkan secara tidak sah kerana mempunyai urusan perniagaan dengan Muhammad Adlan.

    “Saya seorang ahli perniagaan serta peguam bela dan peguam cara yang mempunyai urusan perniagaan dengan ramai orang, namun saya terkejut kerana hubungan saya dengan Muhammad Adlan yang dikhususkan. Tindakan mengeluarkan kenyataan media bagi mencari keberadaan saya tidak perlu sama sekali. Ia hanya menguatkan kepercayaan saya bahawa wujud usaha berterusan untuk memburuk-burukkan dan membunuh watak dan reputasi, termasuk saya,” katanya.

    Mansoor mengesahkan akan kembali ke Malaysia untuk menghadapi pendakwaan sekiranya ada, namun tidak akan berbuat demikian selagi dianiaya.

    Beliau turut menolak sebarang cubaan SPRM menggunakan media bagi mempengaruhi pendapat umum terhadapnya atau orang lain sebagai bersalah dan pada masa sama meningkatkan reputasi agensi itu.

  • Arab Saudi sarankan jemaah umrah pakai pelitup muka di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    Arab Saudi sarankan jemaah umrah pakai pelitup muka di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    ARAB  Saudi menyarankan pemakaian semula pelitup muka kepada jemaah umrah yang mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi mencegah penularan penyakit berjangkit di kawasan sekitarnya.

    Menurut infografik yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Direktorat Am Keselamatan Awam Arab Saudi di laman X pada Isnin, saranan itu dibuat bagi memelihara tahap kesihatan jemaah umrah dan para pengunjung kedua-dua masjid suci umat Islam berkenaan.

    Saranan itu juga merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan yang dikuat kuasakan Arab Saudi sejak bermulanya musim umrah 1445 Hijrah bagi warganegara dan penduduk tetap Arab Saudi serta negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

    Saranan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penyebaran varian Omicron baharu EG.5 dengan mengklasifikasikannya sebagai ‘varian yang menjadi perhatian’.

    Media Arab Saudi sebelum ini melaporkan Jabatan Hal-Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada Julai lalu telah mengedarkan hampir dua juta pelitup muka kepada para tetamu al-Rahman. – Bernama

  • Shuhaily dilantik Pengarah JSJ berdasarkan pengalaman,prestasi – KPN

    Shuhaily dilantik Pengarah JSJ berdasarkan pengalaman,prestasi – KPN

    PEMILIHAN Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) baharu adalah berdasarkan pengalaman dan prestasinya yang baik sebagai bekas Ketua Polis Pulau Pinang dan Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum ini.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kemampuan ditunjukkan Mohd Shuhaily itu akan dapat memberi keyakinan serta kebaikan kepada JSJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Mohd Shuhaily mempunyai pengalaman luas kerana beliau pernah bertugas dalam Cawangan Khas dan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Teluk Intan sebelum ini.

    “Selain itu, pemilihan senarai nama calon Pengarah JSJ bukanlah satu nama sebaliknya empat nama dicadangkan untuk menjawat jawatan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJ di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini, lapor BERNAMA.

    Razarudin berkata nama-nama calon berkenaan disediakan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Seri Azmi Abu Kassim, dan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Pengarah JSJ.

    “Pemilihan Pengarah JSJ ini hasil perbincangan antara saya dan Datuk Seri DIG (Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay) untuk dibawa kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail).

    “Ada nama-nama dicalonkan terdiri daripada pegawai kanan polis mengikut senioriti yang mempunyai kredibiliti, pengalaman dari segi umur dan integriti. Saya hendak jelaskan bahawa pemilihan nama Pengarah JSJ (Mohd Shuhaily) ini bukan diambil daripada hand-picked sebaliknya ia adalah keputusan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya.

    Terdahulu, Razarudin memakaikan lencana pangkat CP kepada Mohd Shuhaily sebagai Pengarah JSJ yang baharu berkuat kuasa hari ini, disaksikan Ayob Khan dan Azmi.

    Mohd Shuhaily sebelum ini merupakan Ketua Polis Kuala Lumpur.

    Mengulas mengenai tempoh kekosongan jawatan Pengarah JSJ yang dikatakan mengambil masa lama, Razarudin menjelaskan perkara itu melibatkan pelbagai pihak termasuk SPP untuk bersidang.

    Semalam, Mohd Shuhaily menyerahkan tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur kepada Datuk Allaudeen Abdul Majid yang dilantik ke jawatan berkenaan.

  • Azmin Ali menang di Hulu Kelang

    Azmin Ali menang di Hulu Kelang

    PERCATURAN Perikatan Nasional (PN) meletakkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang membuahkan hasil selepas bekas Menteri Besar Selangor itu menang di kerusi berkenaan.

    Keputusan rasmi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaksikan Mohamed Azmin menang dengan majoriti 1,617 undi.

    Pengerusi PN Selangor itu memperoleh 25,597 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli dengan 23,980 undi.

    Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN sebelum ini memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa atas tiket Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Susulan perpindahan itu, PN menampilkan peguam yang juga aktivis kemasyarakatan, Shasha Lyna Abdul Latiff untuk mempertahankan DUN Bukit Antarabangsa.

  • PN kecewa peratusan keluar undi rendah

    PN kecewa peratusan keluar undi rendah

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meluahkan kekecewaan atas peratusan keluar mengundi yang rendah, namun optimis Perikatan Nasional (PN) mampu mencipta kejutan pada PRN enam negeri.

    “Kita mencatatkan beberapa keputusan baik di Terengganu, Kelantan dan Kedah,” katanya di lokasi perhimpunan kepimpinan PN pusat.

    “Rakan kita (yang bertanding) di kerusi getir sebelum ini juga dah berjaya. Kita gembira untuk mereka,” katanya tanpa mengulas lanjut.

    Menurut kemas kini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 4 petang tadi, Terengganu merekodkan peratusan keluar mengundi 70%, diikuti Kedah (68%); Pulau Pinang (67%); Selangor (65%); Negeri Sembilan (62%); dan Kelantan (56%).

    Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan gabungan mana yang mendahului di mana-mana negeri.

    “Terlalu awal untuk dikatakan (menang atau tidak), tetapi kita masih optimis.

    “Cumanya kita nak tengok keputusan di Selangor dan Negeri Sembilan,” kata pengerusi PN Negeri Sembilan itu, lapor FMT.