Category: Umum

  • 13 lokaliti di lima negeri dikenakan PKPD

    13 lokaliti di lima negeri dikenakan PKPD

    SEBANYAK 13 lokaliti di Johor, Kelantan, Sabah, Perak dan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Jumaat ini hingga 19 Ogos depan.

    Menurut Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sebanyak lima lokaliti dikenakan PKPD di Sabah masing-masing dua di Kunak iaitu Perumahan Ladang Mostyn dan Kampung Kasnuri, dua di Kota Kinabalu (Kampung Tanjung Aru Lama dan Universiti Apartment 1) serta satu di Sipitang iaitu Kampung Kuala Mengalong.

    Selain itu katanya, lima lokaliti di Perak terlibat PKPD iaitu kilang Comfort Rubber Glove di Simpang dan Matang serta asrama kilang Comfort Rubber Glove di Hujung Matang.

    “Turut dikenakan PKPD ialah Kampung Menteri Kuala Sepetang di Mukim Matang serta Kampung Belum Baru di Hulu Perak,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

    Hishammuddin berkata, lokaliti lain dikenakan PKPD ialah Gugusan Semarak, PJU 5 di Kota Damansara; Taman Puteri di Kluang, Johor dan Taman Sri Kebakat di Tumpat, Kelantan.

    Selain itu katanya, PKPD di Bandar Pulai Jaya, Kinta, Perak sejak 26 Julai lalu pula ditamatkan lebih awal bermula tengah malam ini.

    “Selain itu, setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa, PKPD di empat lokaliti akan ditamatkan esok seperti dijadualkan iaitu Kondominium One Borneo di Kota Kinabalu, Kampung Istimewa dan Taman Merpati di Sandakan, Sabah serta FELDA Jengka 12 di Jerantut, Pahang,” katanya.

    Sementara itu, Hishammuddin semasa menyentuh operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam, beliau berkata, sebanyak 41 premis diarah tutup serta-merta ekoran kegagalan mematuhi SOP.

    Katanya, seramai 248 individu dikompaun kerana ingkar SOP dan 25 lagi direman manakala dalam Op Benteng, 10 pendatang tanpa izin ditahan serta tiga kenderaan darat dirampas.

  • Ismail zahir sokongan kepada Muhyiddin, taat setia kepada Agong

    Ismail zahir sokongan kepada Muhyiddin, taat setia kepada Agong

    AHLI  Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan.

    Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pendirian tersebut ditunjukkan seperti mana sokongan beliau kepada Perdana Menteri sebelum ini dan kerajaan kerana amanah dan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

    Beliau yang merupakan salah seorang daripada Ahli Parlimen daripada UMNO turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib rakyat dan isu semasa yang melanda negara ketika ini.

    “Sesungguhnya patik merafak sembah mohon menyembah taat setia patik yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dari dulu sehingga akhir hayat patik.

    “Patik juga akan sentiaa menjaga dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu selagi nyawa dikandung badan. Patik turut menzahirkan sokongan penuh patik kepada Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan Malaysia sebagaimana sokongan patik kepada Perdana Menteri sebelum ini dan juga kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau  membuat kenyataan tersebut beberapa jam selepas Muhyiddin memaklumkan masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

    Ismail menambah cara pemerintahan Al-Sultan Abdullah memberikan keinsafan kepadanya mengenai tanggungjawab yang dipikul.

    “Keprihatinan Tuanku terhadap apa juga isu telah membuatkan rakyat jelata turut terdidik dengan sifat-sifat mulia dan berhemah tinggi,” ujar beliau.

    Ismail telah berkhidmat selama empat penggal sebagai Ahli Parlimen Maran.

  • Vaksinasi: MB Kedah beri jaminan PATI tak akan ditangkap – MB

    Vaksinasi: MB Kedah beri jaminan PATI tak akan ditangkap – MB

    KERAJAAN negeri Kedah memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap pendatang asing yang tinggal di Bukit Malut di Langkawi, yang keluar untuk menerima suntikan vaksin bagi mengekang penularan COVID-19 di kawasan berkenaan.

    Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata tiada sebarang diskriminasi dalam program vaksinasi dan semua pihak akan diberi layanan yang sama termasuk pendatang tanpa izin.

    “Saya beri jaminan kepada semua bahawa mereka akan diberi vaksin secara percuma… Mungkin ada kebimbangan kalau keluar suntik vaksin akan kena tangkap, saya beri jaminan mereka tidak akan ditangkap.

    “Semua patut terima vaksin kerana kalau tidak diberi vaksin, kita takut mereka akan menjadi pembawa (virus COVID-19) dan memang dalam program vaksinasi ini ia sudah mengambil kira penduduk warganegara dan bukan warganegara,” katanya dalam sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

    Muhammad Sanusi Md Nor

    Beliau berkata bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Bukit Malut yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak juga telah dilaksanakan di penempatan berkenaan.

    “PPV bergerak diperlukan kerana kesukaran untuk mereka keluar ke PPV awam dan PPV integrasi atas beberapa faktor termasuklah kediaman yang berhimpit (terlalu rapat)… saya difahamkan rekod terkini penduduk di Bukit Malut sudah melebihi 10,000 orang.

    “Ada yang bukan warganegara tapi mereka tetap diberi suntikan vaksin untuk elakkan jangkitan merebak dan hari ini sahaja ada tiga kematian penduduk di Bukit Malut dan saya ucapkan takziah. Justeru penduduk dimohon beri kerjasama penuh kepada agensi yang sedang laksanakan PKPD dan buat pendaftaran suntikan vaksin,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata keluarga kepada mangsa COVID-19 yang meninggal dunia terutama di daerah Kuala Muda dan Kota Setar tidak lagi boleh memilih tanah perkuburan untuk mengebumikan ahli keluarga masing-masing.

    “Kena ikut apa yang diputuskan kerajaan, kena redha sebab ia akan menjejaskan kesegeraan pengebumian jenazah lain. Sebelum ini sehari kita boleh kebumikan dalam lima jenazah sahaja sedangkan kadar kematian harian agak tinggi antara 10 hingga 12 jenazah sehari.

    “Setiap pengebumian perlu ada inspektor kesihatan dan kita kekurangan pegawai yang uruskan jenazah COVID-19, prosedur operasi standard proses pengebumian adalah lapan hingga 12 jam tapi ada yang sampai 20 jam sebab pergerakan petugas ke kawasan yang agak jauh ikut permintaan keluarga,”  katanya.

    Selepas ini setiap kariah akan bergilir-gilir menerima jenazah COVID-19 bagi membolehkan urusan pengebumian dapat disegerakan mengikut syarak, sekali gus mengurangkan tempoh keberadaan jenazah di rumah mayat hospital yang kini menggunakan kontena sejuk beku.

  • Ahli politik perlu taat perkenan Agong kepada Muhyiddin

    Ahli politik perlu taat perkenan Agong kepada Muhyiddin

    PENARIKAN  sokongan beberapa Ahli Parlimen masih tidak cukup untuk memperkukuhkan persepsi bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz berkata, ia selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan Muhyiddin meneruskan pentadbiran negara.

     “Apa yang dinyatakan sokongan atau tarik balik sokongan, itu tidak menjadi bukti yang kukuh untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti.

    “Itu penting untuk kita selesaikan persepsi bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti.

     “Dari segi undang-undang, penarikan balik sokongan itu bukanlah satu-satunya cara apabila berlaku di luar Dewan Rakyat, seperti yang dinyatakan dalam Perutusan Khas Perdana Menteri tadi.

    “Perdana Menteri juga menyatakan beliau mempunyai bukti-bukti dari segi dokumen iaitu akuan bersumpah (SD) bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

    “Jadi di sini memerlukan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan apabila dinyatakan dalam Perutusan Khas itu bahawa Tuanku telah perkenan Perdana Menteri kekal mengendalikan pentadbiran, itu seolah-olah telah diterima dan diperkenan oleh baginda,” katanya kepada AWANI.

    Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, ahli-ahli politik perlu mentaati titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan Muhyiddin untuk terus mentadbir negara ketika ini.

    Pada masa sama, beliau yang juga pakar Perlembagaan berkata, Perdana Menteri juga perlu untuk membawa Usul Undi Percaya di Dewan Rakyat pada September depan, walaupun dinamika politik mungkin berlaku dalam tempoh sebulan ini.

    “Baginda telah memperkenankan supaya Usul Undi Percaya itu dibawa pada September.

    “Saya seru kepada semua orang politik ini supaya mentaati titah Tuanku, jikalau kita kata, kita menjunjung titah Agong yang memperkenankan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan tugas sebagai ketua kepada Jemaah Menteri.

    “Ini termasuk juga menunggu saat di mana usul tersebut akan difailkan. Kita mengharapkan juga kepada Perdana Menteri, apa yang dinyatakan hari ini akan diteruskan, walaupun senario perubahan berlaku seperti penarikan balik sokongan atau penambahan balik sokongan.

    “Walaupun perubahan senario itu berlaku, kita pegang kepada perutusan Perdana Menteri yang dibuat pagi tadi,” katanya.

  • Arab Saudi benarkan visa setahun hingga 90 hari untuk pelancong dari 49 negara

    Arab Saudi benarkan visa setahun hingga 90 hari untuk pelancong dari 49 negara

    ARAB Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara tersebut.

    Saudi Gazette melaporkan, syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuk imunisasi legkap dengan vaksin yang diluluskan oleh kerajaan itu.

    Katanya, ini sebagai tambahan kepada ujian PCR negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan pendaftaran di portal Muqeem negara itu.

    Selepas hampir setahun setengah sejak pandemik bermula awal tahun lalu, Arab Saudi telah membangunkan laman web untuk memudahkan mereka yang ingin mendapatkan visa pelancong melalui portal dalam talian.

    Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa, yang membolehkan mereka menunaikan Umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.

    Selain Malaysia, warga dari negara berikut layak mendapatkan visa pelancongan: Amerika Syarikat, Kanada, Andorra, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Belanda, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania dan Luxembourg.

    Turut layak ialah Malta, Monaco, Montenegro, Norway, Poland, Portugal, Romania, Rusia, San Marino, Slovakia, Slovenia, Ukraine, United Kingdom, Switzerland, San Marino , Sepanyol, Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), serta Jepun, Kazakhstan, Singapura, Korea Selatan, Oceania, Australia dan New Zealand.

    Sebelum ini Kementerian Pelancongan Arab Saudi mengumumkan bermula 1 Ogos, negara ini membuka kembali pintu negara kepada pelancong dan menarik balik sekatan kemasukan bagi pemegang visa pelancong.

    Namun kata kementerian itu, pelancong yang tiba perlu mendaftarkan maklumat berkaitan dengan dos vaksinasi di https://muqeem.sa/#/vaccine-registration/home, data itu direkodkan dalam aplikasi Tawakkalna dan mesti ditunjukkan semasa memasuki tempat awam.

    Sementara itu, Haramain Sharifain, sebuah blog sosial berbahasa Inggeris melaporkan semua pengunjung yang tiba di negara itu mesti memberikan bukti lengkap mengenai satu daripada empat vaksin yang dibenarkan Arab Saudi: dua dos vaksin Oxford/Astra Zeneca, Pfizer/BioNTech atau Moderna atau satu dos vaksin dihasilkan Johnson and Johnson.

    Mereka yang lengkap dua dos vaksin Sinopharm atau Sinovac akan dibenarkan masuk dengan syarat dos tambahan perlu menggunakan satu daripada empat vaksin lain yang diluluskan Arab Saudi.

  • DUN Melaka bersidang 6 September – Speaker

    DUN Melaka bersidang 6 September – Speaker

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijadual berlangsung pada 6 hingga 10 September ini selepas selepas mendapat izin daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

    Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, persidangan DUN Melaka selama lima hari itu akan membawa semua usul untuk dimuktamadkan.

    “Kita akan bangkitkan semua sekali (isu) yang memerlukan perhatian kerajaan untuk kebaikan dan keharmonian rakyat dalam menangani wabak COVID-19,” katanya, hari ini.

    Sebelum ini sidang DUN Melaka dijangka dilaksanakan pada pertengahan Julai sebelum kali terkahir bersidang pada awal Disember tahun lalu.

    Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, UMNO Melaka menyokong penuh keputusan dibuat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam.

    “Semalam keputusan bersama telah dimuktamadkan dan Perhubungan UMNO Negeri menyokong keputusan dibuat pucuk pimpinan dalam menangani isu politik hari ini.

    “Kedudukan Melaka juga masih sama memandangkan tiada mana-mana wakil rakyat yang bergabung dengan UMNO mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan ini maknanya kita (kerajaan) masih seperti dahulu,” tambahnya.

    Untuk rekod, pada Mac tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada gabungan itu dan membentuk kerajaan negeri baharu.

    Daripada 28 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) Melaka mempunyai 14 kerusi, Bersatu (2 kerusi), PH (11 kerusi) dan Bebas (1 kerusi).

    Semalam, MKT UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • PN bina negara, PH runtuh negara – Rusman

    PN bina negara, PH runtuh negara – Rusman

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETIKA kerajaan Perikatan Nasional (PN) berusaha untuk membina negara dengan menangani kes Covid-19 yang masih tinggi, Pakatan Harapan (PH) pula dilihat sibuk menggagalkan usaha kerajaan.

    Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, perkara itu dapat dilihat ketika kumpulan itu mendakwa bahawa ‘kerajaan gagal’ menangani Covid-19, sedangkan mereka pula yang cuba menimbulkan kluster baharu.

    “Hakikatnya, kerajaan PN berusaha untuk menangani Covid-19 dengan peningkatan pemberian vaksin setiap hari serta pemberian sumbangan kepada masyarakat yang terjejas.

    “Tetapi PH pula sibuk menggagalkan usaha kerajaan untuk menangani Covid-19 dengan berhimpun secara haram. Mereka tidak kisah rakyat terbunuh, asalkan matlamat mereka tercapai.

    “Mereka rasa mereka sahaja yang boleh menangani wabak Covid-19 sedangkan rekod 22 bulan sudah menunjukkan kegagalannya. Manifesto yang dijanjikan tidak dapat diselesaikan, ini kan pula mahu menyelesaikan masalah penularan Covid-19 yang semakin merebak,” katanya.

    Kata Rusman, sejarah perebutan kawasan bermula dengan pergaduhan semasa pemilihan PKR, desakan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan sehingga akhirnya runtuh kerajaan pada masa itu disebabkan oleh tangan mereka sendiri.

    “Terkini, mereka juga ingin berebut kuasa semula dengan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan. Filem ini pasti berlangsung lagi apabila mereka memimpin semula negara, adakah kita masih ingin melihatkan perebutan kuasa ini berlarutan,” soalnya.

  • Henti desakan, tunggu September – PN Johor

    Henti desakan, tunggu September – PN Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMMAD

    SEBARANG desakan ke atas kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus dihentikan sehingga sidang Dewan Rakyat akan datang apabila Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan kesediaan beliau untuk membuktikan keabsahan kedudukannya.

    Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kerajaan perlu terus berfungsi seperti biasa dan menunggu sehingga sidang Dewan Rakyat pada September ini.

    “Semua Ahli Parlimen diseru untuk mengenepikan kepentingan politik masing-masing dan memberi tumpuan penuh kepada usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

    “Penumpuan harus diberi kepada usaha meningkatkan kadar pemberian vaksin kepada rakyat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta menyempurnakan usaha membantu rakyat di lapangan,” ujarnya.

    Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, keberanian Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu membuktikan keabsahan itu wajar diberi pujian.

    “Beliau berbuat demikian kerana keabsahannya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan segelintir pihak.

    “Perdana Menteri telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa dirinya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Malah kesemua cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri telah mendapat perhatian dan perkenan Seri Paduka.

    “Justeru, kerajaan PN perlu kekal melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara khususnya dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.

    Sementara itu, Dr. Sahruddin berkata, PN Johor menghormati dan memelihara sistem Raja Berperlembagaan sekali gus menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara yang telah menjadi asas perpaduan dan keamanan negara.

    “PN Johor juga teguh menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk terus mengemudi kerajaan ini,” tambahnya.

  • Operasi hospital medan HTAR Jumaat ini

    Operasi hospital medan HTAR Jumaat ini

    Oleh: Bernama

    HOSPITAL medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dijangka akan mula beroperasi pada petang Jumaat ini (6 Ogos).

    Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata ketika ini pihaknya sedang melakukan persiapan dan pemeriksaan terakhir membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta ATM bagi memastikan fasiliti itu selamat digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

    “Hari ini kami sedang laksanakan pemeriksaan dengan teliti dan esok kami akan mulakan latihan pengoperasian sehingga pagi Jumaat, pada sebelah petang atau malam kami jangka akan mula menggunakan hospital medan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dr Zulkarnain berkata hospital yang dibangunkan di tempat letak kenderaan HTAR dengan anggaran keluasan 15.24 meter (m) panjang dan 30.48m lebar itu mempunyai kelengkapan yang selesa antaranya bilik rawatan pesakit, bilik donning dan doffing, tandas, bilik mandi serta kaunter jururawat.

    Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang merawat kira-kira 1,000 pesakit COVID-19 dan hospital medan yang mempunyai 100 katil akan digunakan untuk pesakit kategori tiga dan ke atas yang memerlukan rawatan terapi oksigen khusus.

    Sementara itu, Dr Zulkarnain mengalu-alukan penyertaan orang awam yang ingin menjadi sukarelawan bukan perubatan di hospital medan dalam membantu kelancaran pengoperasian hospital itu dan boleh menghubungi Mercy Malaysia bagi maklumat lanjut.

    Pembinaan hospital medan adalah Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital COVID-19 Mercy Malaysia, usaha tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Maybank dan Mercy Malaysia dalam menghadapi lonjakan pesakit COVID-19 terutamanya di Lembah Klang. – BERNAMA

  • Tidak terima maklumat ganti Shamsul Anuar – Mahdzir

    Tidak terima maklumat ganti Shamsul Anuar – Mahdzir

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan tidak menerima sebarang makluman mengenai desas-desus yang mengatakan beliau dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang baharu.

    “Saya tidak ada menerima sebarang makluman mengenai berita yang disebarkan sejak semalam,” kata Pengerusi Tenaga Nasional Berhad itu di laman Twitter beliau hari ini.

    Beliau pada masa sama turut berkongsi artikel media tempatan yang menyiarkan berita mengenai pelantikan itu.

    Portal media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Padang Terap itu dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli bagi menggantikan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang meletak jawatan serta merta, semalam.

    Menurut Shamsul Anuar, keputusan meletak jawatan itu dibuat dengan mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

    “Sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kepada semua warga Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli.

    “Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” katanya.