Category: Umum

  • Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Oleh: Bernama

    JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bahawa sampel daging kerbau yang diimport dari India dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, didapati bebas daripada virus COVID-19.

    Menurut JPV, jabatan itu telah melaksanakan program pemantauan dan pengawasan sejak pandemik COVID-19 menular dalam negara, bermula tahun lepas.

    “Sejak Januari hingga Julai, sebanyak 455 sampel haiwan dan produk berasaskan haiwan keluaran tempatan dan import, termasuk daging kerbau dari India, telah dikumpul dan didapati negatif daripada virus itu.

    “Setelah tiada virus COVID-19 dikesan pada daging kerbau yang diimport dari India, JPV tidak akan mengenakan sekatan import untuk daging kerbau sejuk beku,” menurut JPV kepada Bernama menerusi e-mel, semalam.

    JPV juga mempunyai sistem yang teratur mengenai prosedur kelulusan pengimportan daging sejuk beku yang turut melibatkan daging kerbau India yang akan dibawa masuk ke negara ini.

    Justeru jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan daging kerbau sejuk beku yang diimport, kerana daging tersebut diperoleh dari rumah sembelihan yang telah mendapat kelulusan kerajaan Malaysia selain pusat pengeluaran daging dipantau rapi oleh pihak berkuasa negara pengeksport produk tersebut. – BERNAMA

  • Ahli Parlimen UMNO diberi tempoh 48 jam tarik diri atau dipecat?

    Ahli Parlimen UMNO diberi tempoh 48 jam tarik diri atau dipecat?

    KHABARNYA, kepemimpinan tertinggi UMNO mula memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen parti itu yang berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Mereka dikatakan diberikan tempoh 48 jam sama ada menarik sokongan kepada Kerajaan PN dan perlu meletakkan jawatan dalam Kabinet atau GLC jika tidak mahu dipecat.

    Lapor UtusanTV, sumber mendakwa, seorang pemimpin tertinggi parti dikatakan menghubungi sendiri ahli-ahli Parlimen terlibat.

    Walaupun tidak dipastikan sejauh manakah kebenaran berita tersebut namun sudah ada cakap-cakap Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikatakan tertekan selepas keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik sokongan kepada Kerajaan PN seolah-olah tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen berkenaan.

    Hanya beberapa orang sahaja ahli Parlimen yang menyokong keputusan MT, walaupun ia turut disokong oleh dua pemimpin berpengaruh dalam UMNO iaitu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Pada masa sama tiga lagi anggota Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC masih kekal dalam Kerajaan PN, adakah UMNO akan menyingkirkan mereka daripada gabungan itu?

    Persoalannya, adakah UMNO akan benar-benar memecat ahli-ahli Parlimen berkenaan memandangkan ia akan menyebabkan jumlah kerusi parti itu akan berkurangan secara drastik?

    Selain itu adakah tindakan tersebut akan mengubah perkenan Yang di-Pertuan Agong kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya satu undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September ini? Ia memandangkan sama ada seorang  Perdana Menteri kehilangan majoriti atau tidak, ia perlu dibuktikan di Parlimen.

    Jika benar ahli-ahli Parlimen mahu dipecat apakah kesalahan mereka? Kalau mereka dianggap mengingkari arahan parti atau melanggar dasar parti, bagaimana pula dengan tindakan Ahmad Zahid yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang beliau tidak nafikan sehingga kini?

    Bagaimana pula dengan rakaman audi mirip suara beliau berbual dengan Anwar. Walaupun Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya dan menganggap ia politik jijik serta berjanji membuat laporan polis namun sampai hari ini tiada laporan polis dibuat.

    Lagi pula Perhimpunan Agung UMNO sudah memutuskan bahawa parti itu akan berada dalam Kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan? Sedangkan alasan tindakan UMNO menarik diri daripada Kerajaan PN seperti mana diumumkan Ahmad Zahid mula dipersoalkan memandangkan semalam Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan Muhyiddin berhubung soal undi percaya yang sekaligus membuktikan hubungan antara Kerajaan dan Istana adalah baik – tidak timbul soal penderhakaan.

  • Covid-19:Kapasiti katil hospital di Greater Klang Valley ditingkatkan

    Covid-19:Kapasiti katil hospital di Greater Klang Valley ditingkatkan

    Oleh: Bernama

    KAPASITI katil di hospital awam dan swasta yang merawat pesakit COVID-19 di kawasan Greater Klang Valley (GKV) dipertingkatkan, termasuk menukarkan fungsi repurposed area dalam hospital sebagai wad pesakit.

    Komander Pasukan Bertindak Khas GKV (GKV STF) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata langkah berkenaan dibuat berikutan situasi terkini penularan wabak itu di GKV merangkumi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

    Beliau berkata inisiatif lain iaitu penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan ke hospital swasta turut dilakukan bagi membolehkan lebih banyak katil di hospital awam digunakan untuk pesakit COVID-19.

    “Perkhidmatan ambulan juga dipertingkatkan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jababatan Bomba dan Penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah.

    “Selain itu, isolasi di rumah dan pemantauan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya dibuat bagi pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata GKV STF turut menjalinkan kerjasama dengan NGO dan sukarelawan bagi melaksanakan pengesanan kontak rapat.

    Sehingga kini, di GKV terdapat 29 hospital awam dan 51 hospital swasta serta dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk empat hospital penuh rawatan COVID-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Serdang.

  • JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    Oleh: Bernama

    JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan dakwaan seekor beruk di Gua Musang, positif Covid-19.

    Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya tidak melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas haiwan.

    “Tidak munasabah, kita tidak buat ujian calitan kepada beruk,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu hantaran tular dalam Facebook yang memaparkan gambar seekor beruk memakai gelang merah jambu didakwa positif Covid-19. – BERNAMA

  • Kes global Covid-19 kini melebihi 200 juta

    Kes global Covid-19 kini melebihi 200 juta

    Oleh: Bernama

    KES Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 200 juta pada Rabu, menurut data Universiti Johns Hopkins.

    Sehingga 3.21 petang waktu tempatan, jumlah kes mencecah 200,014,602, dengan 4,252,873 kematian dicatatkan seluruh dunia.

    Menurut Xinhua, Amerika Syarikat merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 35,292,721 dan 614,666 kematian, menyumbang kepada hampir 18 peratus kes global dan 15 peratus kematian.

    India di tangga kedua dengan 31,769,132 kes diikuti Brazil 19,985,817 kes serta jumlah kematian kedua tertinggi di dunia iaitu 558,432.

    Negara dengan jangkitan melebihi empat juta kes termasuk Rusia, Perancis, Britain, Turki, Argentina, Colombia, Sepanyol, Itali dan Iran.

    Sementara negara yang melebihi 100,000 kematian pula ialah India, Mexico, Peru, Rusia, Britain, Itali, Colombia, Perancis , Argentina dan Indonesia.

    Jumlah kes global mencecah 100 juta pada 26 Januari, telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam bulan. – BERNAMA

  • Vaksinasi pantas dorong Arab Saudi buka pintu kepada Malaysia – Dr Zulkifli

    Vaksinasi pantas dorong Arab Saudi buka pintu kepada Malaysia – Dr Zulkifli

    ARAB Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan berikutan kadar vaksinasi yang pantas di negara ini, di sebalik kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

    Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa menerima kunjungan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan, semalam.

    Mengulas lanjut Dr Zulkifli berkata, di samping kepantasan vaksinasi, keberkesanan vaksin yang memperlihatkan 98.1 peratus kes Covid-19 hanya di tahap 1 dan 2 serta kadar kesembuhan pada 81.37 peratus turut menzahirkan sistem pengurusan kesihatan Malaysia yang teratur.

    “Alhamdulillah, Duta Besar Arab Saudi memaklumkan kepada saya bahawa mulai 1 Ogos lalu, Arab Saudi membuka pintunya kepada para pelancong daripada 49 buah negara termasuk Malaysia.

    “Ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia,” tulisnya di akaun rasmi Facebook beliau malam tadi.

    Bagaimanapun kata Dr Zulkifli, Malaysia buat masa ini masih menunggu kenyataan rasmi dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia.

    “Saya ingin menyeru untuk umat Islam memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar wabak Covid-19 segera pulih agar kita dapat kembali menziarahi Tanah Suci dalam masa terdekat,” katanya.

    Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, hubungan yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua buah negara.

    Ujarnya, sumbangan 1 juta dos AstraZeneca dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Muhammad Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSRelief) amat dihargai.

    “Hanya Allah SWT yang selayaknya mengganjari Khadimul Haramain al-Syarifain, Putera Mahkota dan Kerajaan Arab Saudi atas bakti ini,” tambahnya.

  • Hampir 23 juta dos vaksin Covid-19 diberikan semalam

    Hampir 23 juta dos vaksin Covid-19 diberikan semalam

    Oleh:Bernama

    SEBANYAK 22,646,581 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 14,941,585 orang menerima suntikan dos pertama manakala 7,704,996 orang menerima dos kedua.

    “Mengikut peratusan, 45.8 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 23.6 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya.

    Sementara itu, vaksinasi harian pula mencatatkan sebanyak 494,214 dos diberikan semalam dengan 230,053 adalah pemberian dos pertama manakala 264,161 lagi adalah dos kedua. – BERNAMA

  • Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Oleh:Bernama

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di negeri Johor yang masih rendah.

    Mengikut statistik media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian vaksin bagi Johor hingga 4 Ogos menunjukkan 33.3 peratus (1,260,049 orang) menerima vaksin dos pertama manakala 13.1 peratus (495,730 orang) telah menerima dos kedua.

    “Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan COVID-19 dan telah meninggal dunia.

    “Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta. Strateginya amat jelas iaitu kita mesti memvaksinasi seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat mungkin,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, malam tadi.

    Sultan Ibrahim bertitah baginda bersama anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.

    Sehubungan itu, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.

    “Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri,” titah baginda. – BERNAMA

  • Kalau kerajaan derhaka, Agong tak terima menghadap

    Kalau kerajaan derhaka, Agong tak terima menghadap

    HUBUNGAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disifatkan sebagai ‘istimewa.’

    Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata demikian ketika merujuk sikap Muhyiddin yang sentiasa memulakan Mesyuarat Jemaah Menteri dengan menyampaikan titah Seri Paduka termasuk teguran sekali gus menyelar tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa Perdana Menteri sebagai derhaka.

    “Minggu ini sahaja, tiga kali Muhyiddin menghadap Tuanku iaitu waktu berlaku kekeliruan pindaan Ordinan Darurat pada 28 Julai, sebelum mesyuarat Kabinet pada 29 Julai dan hari ini menghadap lagi.

    “Orang yang derhaka, Tuanku tidak benarkan masuk Istana Negara. Yang tahu derhaka atau tidak derhaka itu Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini yang membincangkan tajuk ‘Politik: Apa lagi selepas ini?’

    Annuar turut menyifatkan Muhyiddin sebagai individu yang sangat menjaga hubungan dengan institusi diraja, seterusnya tuduhan derhaka yang dilemparkan kepadanya tidak patut dibangkitkan.

    “Kebetulan saya ada pengalaman duduk dalam Kabinet Perdana Menteri lain, dari (masa) Dr Mahathir Mohamad… dan sekarang bawah Muhyiddin.

    “Dari segi perhubungan dengan Agong cukup istimewa, beliau tanpa gagal sebelum pengerusikan mesyuarat Kabinet akan menghadap. Ada Perdana Menteri tak begitu, menghadap (cuma) bila perlu, tapi Muhyiddin setiap Rabu Tuanku terima menghadap.

    “Menjadi amalan Perdana Menteri memulakan setiap mesyuarat Kabinet dengan menyampaikan titah dan pandangan Yang Di-Pertuan Agong. Baginda banyak memberi pandangan, teguran dan ia sentiasa diterima pakai oleh kerajaan,” katanya.

    Menurutnya, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah seorang yang cukup mengambil berat soal pentadbiran kerajaan dan setiap apa yang dibincangkan jemaah menteri akan disemak baginda.

    “Jadi di mana timbul soal derhaka? Ia dicipta oleh orang yang nak jatuhkan kerajaan,” katanya.

    Mengulas keputusan yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin, Annuar berkata di saat semua menteri memfokuskan usaha mendepani Covid-19 langkah meninggalkan kerajaan secara terburu-buru boleh membantutkan segala perancangan.

    “Rakyat tengah susah kita nak tinggal begitu. Katakan Khairy Jamaluddin sebagai menteri yang fokus soal vaksin ketika ini tiba-tiba nak keluar kerajaan, begitu juga Datuk Seri Dr Adham Baba jaga kesihatan, Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    “Kebetulan mereka semua dari UMNO, semua ada tanggungjawab, jadi kita kena fikir betul-betul yang mana perlu didahulu dan yang mana kena tunggu, tapi kerja pada rakyat harus dilakukan,” katanya.

    Annuar berkata Perdana Menteri mengambil langkah yang tepat dan berani bagi menyelesaikan kemelut politik tanah air.

    Katanya jika polemik politik itu dibiarkan berpanjangan, ia akan mengganggu tanggungjawab kerajaan yang sedang bertungkus-lumus berjuang dengan cabaran besar iaitu pandemik Covid-19.

    Beliau juga menyifatkan pembentangan usul undi percaya kepada Muhyiddin pada sidang Parlimen bulan depan sebagai profesional dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

  • Zahid tak perlu kelam-kabut hantar SD

    Zahid tak perlu kelam-kabut hantar SD

    DATUK  Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menerima tamparan hebat apabila majoriti ahli Parlimen parti itu masih menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun UMNO sudah menarik sokongan hari ini menghantar lagi surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Kata Presiden UMNO itu, ia bagi memaklumkan pertambahan bilangan ahli Parlimen UMNO yang tidak lagi memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

    Justeru kata beliau dalam kenyataan, dakwaan Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti di Parlimen adalah tidak benar dan wajar melepaskan jawatannya segera.

    ‘’UMNO mencabar kerajaan untuk segera mengadakan sidang khas Parlimen untukmembuktikan Perdana Menteri masih mempunyai sokongan majoriti dan bukannya menunggu sehingga September,’’ katanya.

    Persoalannya kenapa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kelam kabut sangat mahu menghantar surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong? Apakah ia akan dilakukan setiap hari sehingga September?

    Kalau Ahmad Zahid sudah yakin Muhyiddin tiada lagi sokongan dan yakin dengan jumlah ahli Parlimen bersamanya, Presiden UMNO itu sepatutnya tenang-tenang sahaja menanti sidang Dewan Rakyat pada September.

    Ia memandangkan sebagai seorang yang semalam dengan tegas  menyatakan UMNO memihak kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga membuat keputusan menarik sokongan kepada Kerajaan PN, Ahmad Zahid sepatutnya taat apabila Seri Paduka telah memberi perkenan kepada Muhyiddin untuk membentangkan usul percaya kepada beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

    SD tidak bernilai bukan undi DewanGopal Sri Ram

    Lagi pula seperti mana kata Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram seperti dilaporkan oleh Malaysia Now, mereka boleh menghantar semua SD ke istana, tiada masalah, yang penting adalah apa yang berlaku di Dewan Rakyat.

    ‘’SD tidak bernilai kerana ia bukan undi dewan. Kehilangan kepercayaan bermaksud kehilangan kepercayaan di Dewan Rakyat. Sebelum ada apa-apa usul pengundian tidak percaya berlaku di Dewan Rakyat, kerajaan akan terus berkuasa. Kerajaan tidak jatuh berdasarkan SD yang dihantar ke Istana,’’ kata Gopal Sri Ram.

    Beliau turut menegaskan, hanya sepanjang sesi Parlimen sahaja majoriti Perdana Menteri boleh dibuktikan.

    ”Cara-cara lain itu hanya menunjukkan kejahilan seseorang mengenai prosedur undang-undang,” katanya.

    Berdasarkan hujah itu tidak perlulah Ahmad Zahid kelam kabut mahu menghantar SD kepada Yang di-Pertuan Agong. Dalam tempoh sebulan ini menjelang September lebih baik beliau menumpukan perhatian kes mahkamah pada 24 Ogos ini selain memastikan apa yang dinyatakan dalam ‘SD’ benar-benar diterjemahkan ketika Parlimen nanti.

    Ahli Parlimen Kimanis kekal sokong Kerajaan PN

    Ketika Ahmad Zahid dilihat semakin ‘gabra’ untuk membuktikan bahawa Muhyiddin tiada sokongan daripada parti itu,  hari ini dua ahli Parlimen UMNO membuat kenyataan terbuka menyokong Kerajaan PN iaitu Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

    Mohamad Alamin ketika dihubungi Astro Awani malam ini berkata, beliau kekal menyokong Kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin walaupun terdapat segelintir pemimpin UMNO Pusat menarik sokongan mereka.

    Kata wakil rakyat UMNO dari Sabah itu, beliau masih menyokong kerajaan PN sebagaimana pendiriannya sebelum ini dan menyifatkan tiada perubahan berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

    “Saya akan terus memberi sokongan kerajaan PN dan soal kedudukan Perdana Menteri itu, kita serahkan kepada Parlimen sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri pada tengah hari tadi,” katanya.

    Sebelum itu, Ismail menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan.

    Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pendirian tersebut ditunjukkan seperti mana sokongan beliau kepada Perdana Menteri sebelum ini dan kerajaan kerana amanah dan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

    Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib rakyat dan isu semasa yang melanda negara ketika ini.