Category: Umum

  • Kerajaan umum tindakan ke atas kumpulan antivaksin bulan depan – PM

    Kerajaan umum tindakan ke atas kumpulan antivaksin bulan depan – PM

    KERAJAAN bakal mengumumkan tindakan yang akan dikenakan kepada golongan antivaksin sama ada pada bulan ini atau bulan depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Perdana Menteri berkata ia bagi memastikan negara dapat mencapai imunisasi kelompok dalam membendung penularan pandemik Covid-19.  

    “Kita akan teliti dan dapatkan sedikit kajian kalau ada kumpulan (antivaksin) ini. Kita perlu tahu latar belakang adakah sebahagian besar itu (daripada mereka) berpenyakit hingga dia takut nak ambil vaksin ataupun kerana sengaja tak nak ambil vaksin kerana tak percaya.

    “Jadi bila kita dah analisa…sekiranya peratusan agak kecil sangat,  jadi tak membimbangkan, tetapi kalau besar kita kena cari jalan sama ada hendak kenakan mandatori di bawah peruntukan undang-undang sedia ada. Ia akan diputuskan kerajaan dalam tempoh bulan ini atau bulan depan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

    Muhyiddin berkata bagaimanapun sebelum sebarang tindakan diambil, kerajaan akan terlebih dahulu meneliti faktor yang menyebabkan keengganan seseorang individu tidak mendaftar sebagai penerima vaksin namun tidak menolak kemungkinan mewajibkan setiap individu mengambil suntikan vaksin berkenaan.

    Dalam kunjungan hari ini Muhyiddin turut menyeru agar lebih ramai yang tampil mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin agar dapat membentung penularan Covid-19.

    “Kalau tak ada vaksin tak terjamin, jadi sebab itulah kita nak minta dalam tempoh Oktober kita jangka hampir mencecah imuniti kelompok, maknanya hampir 80 peratus daripada yang patut dapat vaksin sudah diberikan suntikan vaksin,” katanya.

    Beliau turut menyatakan golongan remaja berusia 16 dan 17 tahun akan disuntik lebih awal, namun ia hanya boleh dilakukan selepas semua golongan dewasa yang layak selesai divaksin.

    Selain itu beliau turut mengumumkan Terengganu akan menerima 590,000 dos tambahan vaksin Covid-19 bulan ini.

    PPV Taman Tamadun Islam yang mula beroperasi pada Selasa (10 Ogos) itu mampu menempatkan sehingga 4,000 penerima vaksin pada satu-satu masa dan sebuah PPV integrasi ketiga di Terengganu selepas PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak dan PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

    Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim.

  • Pertemuan dengan pemimpin parti PN hanya perjumpaan biasa – Muhyiddin

    Pertemuan dengan pemimpin parti PN hanya perjumpaan biasa – Muhyiddin

    PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pertemuan beliau dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) semalam hanyalah satu perjumpaan biasa.

    “Pertemuan biasa sahaja. Pasal sudah lama tidak jumpa, elok juga…rindu,” katanya secara berseloroh kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

    Semalam, Muhyiddin mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam PN di Perdana Putra, Putrajaya.

    Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang petang ini selepas melawat PPV Taman Tamadun Islam, Muhyiddin berkata beliau hanya ingin menziarahi Ahli Parlimen Marang itu.

    “Pasal kita tahu Tok Guru Haji Hadi tidak berapa sihat. Tetapi saya diberitahu Menteri Besar (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) sudah jumpa tadi dan (Abdul Hadi) sudah bertambah sihat.

    “Jadi pasal sudah lama tidak jumpa, saya jumpa (Abdul Hadi) semasa di hospital hari itu… mudah-mudahan dia bertambah sihat supaya dapat menjalankan tugas untuk parti dan negara,” katanya.

    Pada Jun lepas, Abdul Hadi dimasukkan ke Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur selepas mengadu tidak sihat.

    Tinjauan di kediaman Abdul Hadi di Rusila, Marang petang tadi mendapati kedua-dua pemimpin meluangkan masa kira-kira sejam namun pihak media tidak dimaklumkan mengenai butiran perjumpaan itu.

  • Muhyiddin sedia pastikan sidang DUN Johor bincang isu kepentingan rakyat

    Muhyiddin sedia pastikan sidang DUN Johor bincang isu kepentingan rakyat

    PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia mengambil tanggungjawab memastikan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor memberi tumpuan kepada isu berkaitan langkah menangani Covid-19 serta pemulihan ekonomi negeri itu dan bukan hal lain berhubung politik atau kepentingan sendiri.

    Muhyiddin, menerusi hantaran di akaun rasmi Facebooknya, memaklumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dan dengan kapasiti yang ada padanya, beliau akan memastikan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diberi keutamaan serta diambil tindakan sewajarnya.

    “Saya akan pastikan titah nasihat Tuanku diberi keutamaan dan diambil tindakan sewajarnya khususnya berkaitan usaha menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi negeri Johor dan juga negara.

    “Segala titah pedoman dan titah nasihat baginda akan dijadikan panduan kepada saya dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.

    Beliau berkata sebagai seorang pemimpin, beliau dan ADUN lain bertanggungjawab untuk membantu rakyat sedaya upaya dengan penuh keikhlasan agar dapat menang bersama-sama dalam perang melawan pandemik Covid-19 ini.

    Muhyiddin sebelum itu diterima menghadap oleh Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru bagi mempersembah perkembangan semasa isu dalam negara sebelum baginda berkenan untuk santapan tengah hari bersama.

    Perdana Menteri turut menjunjung setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas perkenan Sultan Ibrahim itu.

    Terdahulu, sewaktu merasmikan Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Yang Ke-14 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kes Covid-19.

    Ia berikutan penularan varian baharu yang lebih berbahaya dan mudah berjangkit serta merebak kepada orang lain.

    Sultan Johor turut menitahkan supaya Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat segera menangguhkan persidangan sekiranya penilaian kesihatan mendapati wujud risiko atau ancaman daripada pandemik itu.

    Persidangan DUN Johor yang bermula hari ini, ditangguhkan sehingga Ahad depan (22 Ogos) untuk penilaian risiko Covid-19.

  • [Video]Renung titah Sultan Johor dalam konteks Malaysia

    [Video]Renung titah Sultan Johor dalam konteks Malaysia

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    JELAS dan padat apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengingatkan wakil-wakil rakyat di negeri itu agar tidak berterusan bermain politik ketika ada rakyat yang sedang kelaparan, hilang pekerjaan dan paling perit sedang bertarung nyawa akibat Covid-19.

    Ini bukan kali pertama Sultan Ibrahim secara terbuka menegur dan memberi amaran kepada ahli politik yang dilihat lebih memikirkan soal kedudukan dan kuasa berbanding kepentingan rakyat.

    Dua hari sebelum merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pun baginda sudah menzahirkan perasaan kecewa apabila berlaku perebutan kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah dan gelisah akibat penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    Baginda memahami rakyat tidak mahu melihat perbalahan politik menjadi lebih dominan sehingga menjejaskan usaha keras kerajaan untuk memulihkan kembali keadaan kesihatan dan juga ekonomi rakyat.

    Meskipun diketahui teguran Sultan Johor mungkin lebih memfokuskan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri baginda, tetapi rasanya tidak salah untuk pemimpin dari seluruh negara tanpa mengira parti apa pun merenung titah berkenaan.

    Sebenarnya, inilah masa untuk semua bersatu padu dan bekerjasama mencari titik penyelesaian dalam isu Covid-19 dan impak wabak itu terhadap kehidupan masyarakat.

    Memang tepat teguran Sultan Ibrahim yang meminta pemimpin yang mungkin sering mempersoalkan apa pihak lain lakukan sebaliknya bertanya kepada diri sendiri apa yang telah dilaksanakan, bak titah baginda ‘lihatlah cermin muka sendiri’.

    Maka, apabila direnung kembali kenyataan-kenyataan yang mungkin mempamerkan sikap sesetengah pemimpin menuding jari kepada pemimpin lain, inilah masanya mereka bermusahabah diri meletakkan situasi genting itu pula dalam diri masing-masing.

    Tidak salah mengkritik kerana perkara itu sentiasa sahaja terbuka untuk dibahaskan tetapi jika secara tiba-tiba menukar nakhoda yang sudah merencanakan perjalanan kapalnya di lautan luas, adakah nakhoda baharu mampu sampai ke destinasi yang dituju.

    Akan sampai masanya untuk semua orang berpolitik, bukan sahaja pemimpin tetapi rakyat yang berhak untuk menentukan wakil mereka juga akan turut berpolitik apabila waktu mengundi tiba nanti tetapi bukan sekarang.

    Sekarang adalah masa untuk masyarakat mengharapkan negara kembali seperti sedia kala agar si suami dapat berjumpa isteri yang jauh di mata dekat di hati, bermanja dengan anak-anak dan ada juga yang mahu menatap wajah ibu ayah di sebalik skrin telefon.

  • Malaysia sasar eksport satu juta tan minyak sawit setahun ke Turki

    Malaysia sasar eksport satu juta tan minyak sawit setahun ke Turki

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MALAYSIA menyasarkan eksport minyak sawit ke Turki mencecah satu juta tan setahun mulai tahun depan.

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah itu meningkat berbanding 500,000 tan pada masa ini.

    Beliau berkata, ini susulan lawatan beliau serta pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan Turki baru-baru ini.

    “Kita optimis angka tersebut mampu dicapai selain kedudukan Turki sebagai pintu masuk ke negara lain di rantau Asia Barat, Balkan serta Eropah Timur.

    “Turki adalah satu destinasi yang sangat penting untuk pasaran sawit kita, insya-Allah, kita mampu mencapai sasaran satu juta tan setahun bermula tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di SKT Banquet Hall 68, Muar hari ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dan Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr. Noorhaidah Ujang.

  • Keabsahan PM, kerajaan PN tidak boleh dipersoal – pakar undang-undang

    Keabsahan PM, kerajaan PN tidak boleh dipersoal – pakar undang-undang

    KEABSAHAN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai badan pentadbiran kerajaan tidak boleh dipersoalkan, sehingga Ahli Parlimen memuktamadkan undi mereka terhadap usul undi percaya kepada Perdana Menteri pada sesi parlimen bulan depan.

    Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata sebarang kenyataan yang menyatakan sokongan atau sebaliknya terhadap seseorang pemimpin politik perlu dilakukan di Parlimen.

    “Sebarang kenyataan (di luar parlimen) tidak ada kesan dalam Perlembagaan. Dewan Rakyat adalah tempat yang sebetulnya bagi menguji usul. Walau 30 atau 40 orang membuat kenyataan di luar Dewan, ia tidak mengubah apa-apa,” katanya kepada BERNAMA dan menambah deklarasi statutori bagi menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri tidak bermakna, kerana kerajaan semasa masih berkuasa.

    Beliau ditanya menenai kemelut politik semasa, susulan pengumuman oleh presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin, dan kerajaan PN.

    “Pembangkang mungkin memilih untuk mengekalkan kerajaan semasa, kerana mereka tidak mahu diadakan pilihan raya. Jadi, apa yang berlaku di Dewan Rakyat, itulah yang menentukan secara muktamad sama ada kerajaan masih mendapat sokongan atau sebaliknya. Itu saja,” katanya.

    Peguam Shahir Ab Razak pula berkata sekiranya terdapat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, ia perlu melalui proses mengundi di Parlimen dan bukan dengan membuat kenyataan di luar Dewan Rakyat.

    “Medium yang sesuai untuk menyatakan sokongan kepada pemimpin adalah di Parlimen. Selagi undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin tidak didengar, dibahas dan diundi di Parlimen, Tan Sri Muhyiddin akan kekal sebagai Perdana Menteri. 

    “Kalau ikut kata presiden UMNO, ada yang tidak menyokong Muhyiddin… tetapi bukan semua, hanya segelintir sahaja. Jika pergi ke Parlimen, kita boleh dapat tahu jumlah sebenar yang sokong, dan siapa yang tidak sokong. Muhyiddin akan kekal sebagai Perdana Menteri walaupun UMNO menarik balik sokongan terhadapnya,” katanya.

    Menurut Shahir, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

    Katanya tindakan Muhyiddin mengumumkan pembentangan usul undi percaya terhadap beliau pada sidang Parlimen bulan depan adalah wajar kerana ia merupakan satu cara muktamad untuk menyelesaikan isu yang sentiasa menjadi persoalan semua pihak.

    “Melalui undi yang akan dibuat di Parlimen itu nanti, kita dapat menentukan sama ada Perdana Menteri masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya,” kata peguam itu.

    Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Jeniri Amir pula berkata tindakan Muhyiddin itu dialu-alukan kerana ia bukan sahaja selari dengan tuntutan Perlembagaan dan undang-undang negara tetapi bersesuaian dengan tuntutan semua pihak.

    “Apabila Perdana Menteri merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong dan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau masih mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen, ini bermaksud beliau sudah mempunya bukti yang menyakinkan. Kenyataan itu dibuat berdasarkan bukti yang sahih dan bukan dakwaan.

    Kini Muhyiddin perlu membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan di kalangan Ahli Parlimen dan proses Parlimen dapat menentukan sokongan itu,” katanya dan menambah  hanya undi usul percaya itu dapat memberi kelegaan dan keyakinan kepada rakyat bahawa krisis ketidaktentuan politik yang berlaku sekarang dapat diredakan.

  • Sultan Johor terima menghadap Perdana Menteri

    Sultan Johor terima menghadap Perdana Menteri

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

    Titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office, baginda menjemput Perdana Menteri untuk santapan tengah hari.

    ‘’Beliau turut mempersembahkan kepada saya mengenai perkembangan negara pada masa sekarang,” titah baginda.

    Terdahulu, pada sebelah pagi Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir menghadiri persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

    Pembukaan Penggal Persidangan Ke 4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 pada hari ini dirasmikan oleh baginda.

  • Penafian menulis berita bertajuk ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional?

    Penafian menulis berita bertajuk ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional?

    Saya Zulkiflee Bakar tidak pernah menulis artikel bertajuk ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional? yang pautannya ke agendaily.com adalah tidak wujud.

    Sehubungan itu, saya tidak ada kaitan sama sekali dengan penghasilan artikel berkenaan walaupun nama adalah sama.

  • Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ni

    Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ni

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    RINGGIT dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini apabila dolar AS menyusut selepas laporan indeks harga pengguna (CPI) Amerika Syarikat yang diumum mengesahkan inflasi yang sederhana di negara itu.

    Pada pukul 9.19 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.2370/2400 berbanding dolar AS daripada 4.2380/2420 ketika ditutup pada petang urus niaga Rabu.

    Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. Adam Mohamed Rahim berkata, ringgit dijangka berhadapan tekanan berbanding dolar AS terutama selepas penggubal undang-undang AS bersetuju ke atas rang undang-undang infrastruktur bernilai AS$1.0 trilion untuk melonjakkan ekonomi AS.

    “Mungkin beberapa sokongan dapat diperoleh daripada laporan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) yang menyatakan bahawa stok minyak mentah jatuh minggu lepas, sekali gus menunjukkan permintaan berterusan dan ini baik untuk harga minyak dan juga ringgit untuk tempoh jangka pendek.

    “Tetapi permintaan bahan bakar dijangka menyusut kemudian berikutan varian Delta Covid-19 dan pastinya ia akan memberi tekanan kepada harga minyak,” katanya.

    Sementara itu, unit tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

    Ringgit lemah berbanding yen Jepun kepada 3.8393/8423 daripada 3.8253/8292 pada Rabu dan menyusut berbanding euro kepada 4.9734/9769 daripada 4.9623/9670 sebelumnya.

  • Apa matlamat akhir UMNO selepas tolak Muhyiddin?

    Apa matlamat akhir UMNO selepas tolak Muhyiddin?

    APA sebenarnya matlamat akhir atau ‘endgame’ yang cuba diperoleh UMNO dengan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada waktu krisis pandemik sedang memuncak ini?

    Itu yang dipersoalkan Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid, yang melihat berdasarkan kajian bahawa ketika ini tiada parti yang boleh mendapat majoriti dominan untuk membentuk kerajaan yang dikatakan stabil.

    “Kenapa tidak boleh tunggu sehingga September nanti (apabila sidang Dewan Rakyat disambung semula)? Kenapa tekanan harus diberikan (kepada kerajaan)?

    “Apakah yang ingin dicapai? Kerana, jelas bahawa UMNO tidak boleh berdiri dengan sendiri, UMNO hanya boleh berdiri dengan melakukan kerjasama dengan yang lain,” soal beliau dalam program bual bicara Agenda AWANI malam tadi.

    Pada 9 Ogos lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengandungi 14 nama Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

    Kata Hamidin, angka itu agak besar dan berupaya menyebabkan kerajaan hari ini menjadi rapuh dan runtuh.

    Namun, tegas beliau, ini sepatutnya waktu untuk semua pihak menjalin kerjasama erat antara satu sama lain dan mendahulukan kemaslahatan rakyat yang sedang menderita dibadai Covid-19.

    Dalam konteks ini, katanya, kematangan politik itu harus dibina dengan lebih kuat untuk membentuk satu gabungan yang lebih jelas bagi memastikan kerajaan ketika ini sekurang-kurangnya stabil untuk dua, tiga tahun, selagi peperangan dengan Covid-19 ini belum berakhir.

    Dari sisi lain, beliau melihat kerajaan Perikatan Nasional ketika ini berdepan dengan cabaran dan tekanan yang besar disebabkan legitimasi mereka yang dipersoalkan.

    “Apabila legitimasi mereka sentiasa dipersoalkan, maka inilah yang membawa kepada persoalan tentang keabsahan mereka, dan dasar-dasar mereka tidak menjadi sesuatu yang inklusif sifatnya.

    “Jadi, ini yang saya kira, sedikit sebanyak mengganggu-gugat tindak balas kita terhadap COVID-19,” ujarnya.