Category: Umum

  • Jakim sangkal laporan cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah

    Jakim sangkal laporan cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah

    LAPORAN yang menyatakan hasil cerapan 1 Syawal 1443H yang ditetapkan pada 2 Mei 2022 tidak sah dan terbatal, adalah tidak benar, menurut Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hari ini.

    Jakim dalam kenyataan hari ini, sebagai maklum balas terhadap laporan bertajuk ‘Cerapan Anak Bulan Lebih Ketat Dan Teliti’ menegaskan hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

    “Pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan,” menurut Jakim.

    Selain itu, Jakim memaklumkan kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang merupakan ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal (anak bulan/bulan sabit) menerusi peralatan teodolit.

    Menurut Jakim imej yang diperoleh kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur.

    Satu perbincangan khusus juga kemudiannya dilaksanakan oleh mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan, sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat, menurut kenyataan itu. 

    “Kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong,” menurut Jakim.

    Jakim dalam kenyataannya juga menyangkal artikel berkenaan yang menyatakan laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia kerana semakan di laman sesawang itu mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan.

    Jakim berkata semua pihak diminta berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam.

    “… masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen.

    “Jakim menyeru masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal 1444H yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan 1444H/ 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia,” katanya.

  • Dakwaan LGBT:Pas mohon batalkan saman fitnah oleh Mujahid

    Dakwaan LGBT:Pas mohon batalkan saman fitnah oleh Mujahid

    PAS memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah Naib Ketua Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Muhajid Yusof Rawa terhadap parti pembangkang itu.

    Peguam bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu, Noorazmir Zakaria mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Pas memohon untuk membatalkan tindakan sivil itu tanpa mendengar meritnya pada perbicaraan penuh.

    “Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Jun depan untuk pendengaran permohonan selepas mengosongkan tarikh pendengaran hari ini,” katanya.

    Menurut salinan permohonan pembatalan yang dirangka di bawah Perintah 18 Peraturan 19(1)(a) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, Pas yang disaman melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Mujahid gagal mendedahkan sebarang sebab tindakan yang munasabah terhadap parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.

    Pada 15 Disember tahun lalu, Mujahid mengheret Pas ke mahkamah kerana dakwaan bekas menteri agama itu menyokong golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

    Tindakan sivil itu berkaitan satu hantaran dalam Facebook pada 16 Oktober lalu, yang merujuk ketika beliau menjadi menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga hal-ehwal agama ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

    Pentadbiran PH di bawah teraju Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berlangsung dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

    Menerusi writ saman itu, plaintif memohon antara lain perintah mahkamah agar Takiyuddin atau Pas membuat permohonan maaf terbuka yang disiarkan dalam akhbar harian Melayu dan Facebook parti itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

  • Waris mangsa Double Six persoal laporan dirahsiakan terlalu lama

    Waris mangsa Double Six persoal laporan dirahsiakan terlalu lama

    WARIS mangsa pesawat Double Six pada 1976 di Sabah menimbulkan lebih banyak persoalan berkaitan laporan hasil siasatan nahas terbabit yang dikeluarkan selepas tempoh agak lama.

    Memetik laporan Berita Harian, Iskandar Sulong, anak bongsu kepada Menteri Kewangan Sabah ketika itu, Datuk Salleh Sulong berkata, seperti majoriti waris keluarga mangsa lain, beliau juga tidak berpuas hati dengan hasil laporan terbabit.

    “Saya cuma rasa tidak puas hati kenapa mereka (pihak bertanggungjawab) tidak beritahu sebab sebenarnya sejak awal lagi. Waktu kejadian saya berumur lima tahun, sekarang saya berumur 52 tahun.

    “Sejak saya kecil, fikiran saya terganggu (disebabkan tragedi Double Six). Tambahan pula, saya cenderung untuk menunggu hasil laporan dilepaskan dari Kerajaan Australia,” katanya, hari ini.

    Menurut Iskandar, ahli keluarganya yang lain juga mempunyai pandangan sama terhadap laporan hasil siasatan pesawat itu.

    Beliau turut memberitahu berkemungkinan besar pihaknya akan membuat tuntutan agar kerajaan tampil dengan laporan terperinci mengenai tragedi berkenaan.

    Dalam pada itu, Timbalan Presiden UPKO, Donald Peter Mojuntin mempersoalkan mengapa laporan berkenaan diletakkan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) selama 47 tahun sedangkan ia “tidak berbahaya” dan menawarkan “penjelasan mudah” punca kepada nahas.

    Donald adalah anak kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan negeri ketika itu, Peter Mojuntin, antara 11 terkorban dalam tragedi itu.

    “Kami keliru mengapa laporan itu dirahsiakan bagi tempoh sangat lama. Ada pegawai kerajaan dan menteri berkata laporan itu dirahsiakan kerana melibatkan kepentingan awam. Ada juga yang berkata ia melibatkan keselamatan negara.

    “Tetapi, mereka boleh sahaja memaklumkan semua ini 46 tahun lalu. (Laporan) ini anti-klimaks,” katanya kepada FMT.

    Tambahnya, beliau menggesa kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat mengapa laporan itu perlu dirahsiakan.

    Menurut laporan tragedi yang dinyahklasifikasi, tiada unsur sabotaj, kebakaran atau letupan yang menjadi punca kemalangan tragik pesawat terhempas pada 1976 yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain.

    Menurut laporan itu, pesawat itu diselenggara mengikut jadual dan terbang dengan had berat yang dibenarkan.

    Bagaimanapun, kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal, kata laporan itu.

    Kata laporan itu, jelas prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional.

    Kata laporan itu, syarikat itu perlu ada sistem pemantauan untuk memastikan semua prosedur dipatuhi, tambahnya satu contoh adalah pemantauan masa rehat kru penerbangan.

    Juruterbang pesawat itu dilaporkan sudah melebihi masa bertugas selama 67 minit ketika kemalangan berlaku. Jumlah masa bertugas ditetapkan kepada 10 jam. Manual operasi syarikat menunjukkan masa kru penerbangan mula bertugas adalah dua jam sebelum berlepas dan sejam selepas penerbangan.

    Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

  • Kedah beri pegawai masjid, MKK bantuan khas Aidilfitri

    Kedah beri pegawai masjid, MKK bantuan khas Aidilfitri

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri Kedah mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM200 kepada semua pegawai masjid serta pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) di negeri itu.

    Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan berjumlah hampir RM800,000 itu merangkumi bantuan kepada 3,924 penerima terdiri daripada 2,386 imam, bilal dan siak.

    “Pemberian turut melibatkan 772 pengerusi MKK dan 766 setiausaha MKK di seluruh Kedah yang mana bayaran akan dibuat melalui aplikasi i-Sara secara pemindahan tunai dalam talian (EFT) bermula 18 April ini. 

    “Sumbangan ini diharap dapat membantu mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Minggu lalu, Kedah mengumumkan sebanyak 5,100 penjawat awam negeri itu akan menerima bantuan khas sebanyak RM1,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang turut akan dibayar pada tarikh sama.

  • Tanpa UMNO-BN, PH masih ada majoriti, kata Khairy

    Tanpa UMNO-BN, PH masih ada majoriti, kata Khairy

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat walaupun tanpa UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

    Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, mengikut angka itu, ANwar sebenarnya boleh menolak permainan politik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Jelasnya, ini termasuklah berkaitan pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Malah beliau menegaskan, Anwar semestinya tahu harga politik yang perlu dibayar sekiranya diketahui bahawa beliau telah memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan kepada Najib.

    “Saya nak jadi budak nakal sikit. Sekarang ini Perdana Menteri sudah ada sokongan daripada Sabah dan Sarawak.

    “Tolak BN, masih lagi ada majoriti, masih ada 118 kerusi. Jadi adakah ini masa PMX (PM ke-10) mengatakan bahawa cukuplah…enough is enough?

    “Saya tidak mahu jadi tebusan kepada politk Zahid di mana segala-galanya terpaksa dihalalkan, segala-galanya terpaksa diputihkan.

    “Jadi saya put my foot down, sebab bagi saya, you do the crime, you serve the time…dan saya cukup tanpa UMNO dan BN,” katanya, menurut laporan Astro AWANI.

    Khairy berkata, sebelum ini Pakatan Harapan (PH) menggunakan alasan terpaksa terima Ahmad Zahid, terpaksa terima ‘perangai’ UMNO kerana enggan kerajaan jatuh kepada Perikatan Nasional (PN).

    Namun tegas Khairy, berdasarkan kira-kira kerusi Parlimen, Anwar sebenarnya masih mempunyai majoriti sokongan, meskipun tanpa UMNO dan BN.

    Beliau berkata demikian dalam siaran podcast ‘Keluar Sekejap’ yang turut menampilkan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

    Walau bagaimanapun, Shahril tidak senada dengan Khairy apabila beliau berpendapat bahawa Anwar akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan kepada Najib.

    Menurutnya, sekiranya UMNO tahu Perdana Menteri tidak menyokong usul tersebut, parti itu pasti tidak akan berdiam diri.

  • Majlis Kewangan Negara: Sanusi dakwa ada surat MOF kepada Pejabat Sultan Kedah

    Majlis Kewangan Negara: Sanusi dakwa ada surat MOF kepada Pejabat Sultan Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAKWAAN dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa beliau cuba disingkirkan daripada mewakili negeri itu dalam Majlis Kewangan Negara sebelum ini bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

    Sebaliknya menurut Muhammad Sanusi, terdapat surat dari Kementerian Kewangan (MOF) kepada Pejabat Sultan Kedah sebelum ini, dengan tujuan melobi agar beliau digantikan dengan individu lain dalam Majlis Kewangan Negara.

    “Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan MOF itu samalah, orang yang sama. Surat itu datang dari Kementerian Kewangan.

    “Saya ‘habaq’ (beritahu) dari MOF, bermakna adalah (surat) tersebut. Bukan pertahan dah tetapi benda itu ‘dok’ ada.

    “Di Wisma Darul Aman (pusat pentadbiran negeri Kedah) ini saya berkawan dengan semua orang dari sekecil-kecil jawatan hingga yang besar. Sebab itu apa yang dibuat di sini saya tahu termasuklah tindakan ‘depa’ hantar surat kepada baginda untuk lobi agar ditukar Ahli Majlis Kewangan Negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, beliau tidak mendedahkan surat tersebut sebelum ini kerana tindakan tersebut jika dilakukan akan memperlihatkannya seolah-olah cuba melakukan konfrontasi.

    “Hasrat saya jangan bagi perkara itu berlaku dan bukannya mencari gaduh. Sepatutnya apabila dah jadi Perdana Menteri, menteri atau pegawai hebat di PMO, gunalah bahasa pentadbiran dan bukan bahasa politik lagi.

    “Jangan ambil tindakan politik terhadap kerajaan lain kerana kerajaan negeri juga berdaulat dan perlu dihormati. Jangan anggap sebagai dianggap sebagai ‘belasahan’,” katanya.

    Katanya tindakan untuk melobi agar individu tertentu ditukar serta didiskriminasi sentiasa dipandang orang dan terlihat jelas dalam keadaan dunia kian canggih kini.

    “Dalam dunia sekarang dah tak boleh buat begitu. Kita kena bergerak sebagai seorang pentadbir apabila menjadi kerajaan dan bukannya otak pembangkang di PMO,” katanya.

    Ditanya kemungkinan beliau akan mendedahkan surat itu jika terus ditekan selepas ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau merasakan setakat ini tidak perlu untuknya menuju terus ke penamat.

    “Benda itu ada, tak payahlah sampai hujung lagi. ‘Main’ dulu separuh masa pertama, nanti pengadil tiup wisel untuk separuh masa kedua, kita masuk lain pula.

    “Lakukan langkah demi langkah, tak bolehlah terus nak habiskan saja,” katanya.

  • 59,230 mohon FSA2 KWSP, hanya 27,705 layak

    59,230 mohon FSA2 KWSP, hanya 27,705 layak

    LEBIH 31,500 permohonan untuk mendapatkan pembiayaan peribadi melalui Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disahkan tidak layak.

    Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, dengan punca utama disebabkan pemohon berusia di bawah 40 tahun.

    Mengulas lanjut, katanya, seramai 59,230 orang memohon FSA2 setakat semalam seelpas ia mula dibuka pada 7 April dengan hanya 27,705 sahaja daripada jumlah itu yang layak.

    “Mereka yang tidak layak itu kerana umur mereka di bawah 40 tahun, kerana kita dah maklumkan bahawa hanya yang berumur 40 ke atas yang layak,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Akauntan Negara (JANM) di sini hari ini.

    FSA2 adalah kemudahan bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan, yang mana setakat ini dua bank mengambil bahagian iaitu MBSB dan Bank Simpanan Nasional.

    FSA2 membabitkan jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP) serta tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

    Antara syarat ditetapkan ialah pemohon mesti mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.

    Ahmad berkata, meskipun kerajaan tegas tidak membenarkan pengeluaran KWSP walaupun ada cadangan ia diberikan kepada ahli yang benar-benar terdesak, pengeluaran bagaimanapun dibenarkan bagi tujuan perumahan, pendidikan, kesihatan, pelan perlindungan tertentu seperti sakit kronik dan sebahagian kos haji RM3,000.

    “Kita tak kata apabila kita tak benarkan, maka tak boleh keluar KWSP. KWSP masih lagi boleh dikeluarkan.

    “Ada lima perkara yang boleh dikeluarkan untuk Akaun 2 KWSP. Akaun 1 memang tidak dibenarkan untuk pengeluaran kerana ia adalah khas untuk tujuan persaraan,” katanya.

    Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebelum ini dilaporkan berkata adalah lebih mudah membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP berbanding menggunakannya sebagai sandaran permohonan pinjaman.

    Sementara itu, Ahmad berkata, setakat 31 Disember lalu, jumlah aset dan liabiliti yang telah diakaunkan di Sistem Bersepadu Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan Persekutuan adalah RM2.85 trilion.

    Beliau berkata, JANM ketika ini masih meneliti dan mencari aset-aset kerajaan Persekutuan dalam bentuk pelaburan, harta dan pelbagai bentuk lain.

    “Tahun ini kemungkinan kita dapat RM30 bilion aset lagi untuk diakaunkan,” katanya dan menambah majoriti aset itu berada di dalam negara. – BERNAMA

  • Koperal tentera hilang semasa operasi di Hutan Simpan Belum ditemui maut

    Koperal tentera hilang semasa operasi di Hutan Simpan Belum ditemui maut

    SEORANG anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lalu ditemukan meninggal dunia, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mayat anggota dari Batalion ke-35 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang berusia 33 tahun itu dijumpai pukul 10.15 pagi tadi.

    “Ya sudah jumpa (mangsa). Saya akan dapatkan laporan penuh dan muktamadkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dahulu dan siaran media mengenainya akan saya keluarkan, terima kasih,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Bagaimanapun polis belum mendedahkan identiti mangsa ketika tular dalam media sosial Facebook berita berkaitan kehilangan anggota berkenaan dikenali sebagai Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib.

    Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

    Kelmarin, media melaporkan mengenai kehilangan mangsa ketika menjalankan tugas operasi bersama lima anggota lain kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu.

    Kehilangan mangsa yang merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu itu dilaporkan kepada polis pada pukul 12.50 tengah malam Ahad lalu.

    Usaha mencari dan menyrlamst (SAR) mangsa dijalankan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula pada hari yang sama mangsa hilang (7 April).

  • 183,000 pelarian, pemohon suaka di Malaysia

    183,000 pelarian, pemohon suaka di Malaysia

    SEBANYAK 182,990 pelarian dan pemohon suaka dari 59 negara berada di Malaysia ketika ini dengan Myanmar merupakan golongan tertinggi.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 74 peratus atau 135,440 merupakan pelarian, manakala baki ialah pemohon suaka.

    “Pelarian dan pemohon suaka dari Myanmar merupakan golongan tertinggi, iaitu 158,165 orang (86.43%),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, menurut laporan Free Malaysia Today.

    Armizan berkata, statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan etnik Rohingya membentuk 58 peratus daripada keseluruhan jumlah pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

    Malaysia merupakan destinasi utama untuk pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan dan penghapusan etnik di Myanmar.

    Baki terdiri daripada warga Pakistan (6,876), Afghanistan (3,391), Yemen (3,346), Somalia (3,033), Syria (2,809), Sri Lanka (1,507), Iraq (750), Palestin (639), Iran (393), Sudan (278) dan negara lain (1,803).

    Antara 2019 dan 2022, Armizan berkata, sejumlah 7,557 pelarian ditempatkan semula di negara lain seperti US, Australia dan New Zealand.

  • Pengasas Karangkraf dakwa dikasari pengawal peribadi menteri

    Pengasas Karangkraf dakwa dikasari pengawal peribadi menteri

    PENGASAS Kumpulan Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub mendakwa dikasari pengawal peribadi seorang menteri semasa acara berlangsung di pejabat syarikat media itu.

    Beliau yang juga penasihat Karangkraf mengeluh berkaitan perkara itu di media sosialnya, tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut.

    Bagaimanapun setakat ini tidak pasti dia merujuk kepada acara mana.

    Bagaimanapun dua hari lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution hadir dalam acara perbincangan bersama rakyat di pejabat Karangkraf di Shah Alam.

    “Ujian terbesar saya Ramadan kali ini adalah bila saya ditolak dengan kasar oleh seorang bodyguard menteri yang datang ke event di Karangkraf dan saya adalah hos utamanya,” dakwanya, lapor Malaysiakini.

    Usaha menghubungi Hussamuddin dan Saifuddin bagi mendapatkan maklumat lanjut dan komen mereka sedang dibuat.

    Hussamuddin berkata dia telah menjadi tuan rumah kepada banyak golongan kenamaan termasuk sultan, perdana menteri, menteri besar dan menteri tetapi tidak pernah berlaku insiden seperti itu.

    Dia justeru menyifatkan pengawal peribadi itu sebagai overzealous (melampau).

    Karangkraf adalah pemilik akhbar Sinar Harian.