Category: Umum

  • Aktiviti ziarah sumbang lima kluster Covid-19 di Kelantan

    Aktiviti ziarah sumbang lima kluster Covid-19 di Kelantan

    ZIARAH-menziarahi kembali menyumbang kepada jumlah kluster di Kelantan apabila lima daripada 13 kluster yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam berpunca daripada aktiviti itu.

    Daerah Pasir Mas mencatatkan tiga kluster daripada aktiviti ziarah iaitu di Kluster Kampung Kuin Merah, Kluster Kampung Gual Pasong Hantu dan Kluster Kampung Bayu Lalang.

    Kluster selebihnya membabitkan Kluster Kampung Jerimbong, Jeli dan Kluster Kampung Huda 2, Kota Bharu.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin, Kluster Kampung Jerimbong dikesan selepas seorang wanita berusia 19 tahun dilaporkan positif pada 14 Ogos lalu selepas hasil saringan individu bergejala.

    Beliau berkata, kluster itu mencatatkan sembilan kes daripada 11 individu yang disaring.

    “Kluster Kampung Huda 2 dicetuskan apabila wanita berusia 66 tahun dilaporkan positif pada 2 Ogos hasil saringan individu bergejala dan kes mula bergejala pada 30 Julai.

    “Seramai 34 individu yang disaring dan 20 daripadanya positif Covid-19,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, Kluster Kampung Kuin Merah tercetus apabila seorang wanita berusia 49 tahun yang dilaporkan positif pada 14 Ogos. Seramai 17 individu yang disaring, 13 daripadanya positif Covid-19.

    Selain itu katanya, Kluster Kampung Gual Pasong Hantu dikesan selepas wanita berusia 31 tahun dilaporkan positif pada 10 Ogos lalu. Daripada 45 orang yang disaring, 27 dilaporkan positif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    “Kluster Kampung Bayu Lalang pula dikesan selepas wanita berusia 55 tahun dilaporkan positif pada 12 Ogos. Setakat ini, sembilan individu yang disaring dan lima daripadanya positif,” katanya.

    Dr Zaini menegaskan, pihaknya mengingatkan orang ramai khususnya penduduk Kelantan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) kerana kes Covid-19 di negeri ini semakin meningkat.

    “Masyarakat diminta memainkan peranan masing-masing untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dan mengehadkan pergerakan atau tidak berada di kawasan yang sesak kecuali jika benar-benar perlu,” tambahnya.

    Kelantan semalam merekodkan 13 kluster iaitu 10 kluster komuniti, dua tempat kerja dan satu kumpulan berisiko tinggi.

    Jumlah kes baharu Covid-19 yang direkodkan di negeri itu adalah 1,227 kes dengan sembilan kematian.

  • Hukuman lebih berat bela pekerja kemalangan di tempat kerja

    Hukuman lebih berat bela pekerja kemalangan di tempat kerja

    SETIAP kali berlaku insiden kemalangan di tempat kerja termasuk tapak binaan dan kilang yang turut melibatkan kematian, sudah tentunya isu yang berbangkit ialah apakah nasib pekerja yang malang itu?

    Apakah mencukupi tindakan yang dikenakan ke atas pihak yang didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat?

    Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya ke atas pihak yang didapati bersalah kerana cuai dan mengabaikan aspek keselamatan pekerja sehingga menyebabkan kemalangan serta kematian.

    Banyak pihak yang menganggap hukuman berkenaan sebagai terlalu rendah dan tidak setimpal berbanding dengan nasib yang menimpa pekerja yang malang itu.

    Mereka mahukan akta tersebut dipinda dengan hukuman yang lebih berat dikenakan kepada pihak terlibat.

    Bernama mendapatkan penjelasan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Zailee Dollah serta Peguambela & Penguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Ahmad Ishrakh Saad sama ada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ini perlu digubal atau dipinda dari segi hukuman bagi memberikan lebih pengajaran kepada pihak yang bertanggungjawab.

    PENJARA MAKSIMUM LIMA TAHUN

     Ahmad Ishrakh berpandangan, sudah tiba masanya hukuman di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 itu disemak dan digubal memandangkan ia telah melangkaui usia 27 tahun.

    “Kerajaan perlu membuat semakan semula dengan mengambil kira situasi semasa. Ini kerana hukuman dalam kes jenayah perlu mencapai matlamatnya iaitu penghukuman, teladan, pencegahan berserta pemulihan,” katanya.

    Menurut beliau, hukuman yang membabitkan kes jenayah juga perlu setimpal dengan perkara yang telah dilakukan si pelaku kerana jika hukuman tidak setimpal, ia akan gagal mencapai matlamat tersebut.

    “Saya berpendapat hukuman sedia ada perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya penjara maksimum lima tahun. Ini menjadikan kes ini sebagai kes tangkap dan bukan kes saman. 

    “Jikalau hukuman dua tahun ke bawah, ia tergolong di bawah kes saman yang lazimnya tidak dianggap serius. Suspek lazimya tidak boleh ditahan tanpa waran. Sebaliknya, jika hukuman penjara lebih dua tahun, ia tergolong dalam kes tangkap di mana suspek lazimnya boleh ditahan dan direman,” tegasnya.

    TINGKATKAN DENDA KEPADA RM500,000

    Isu ini turut dipandang serius oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak agensi terbabit sedang merangka pindaan yang kini dalam peringkat akhir.

    Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Zailee Dollah berkata, JKKP kini dalam proses akhir bagi membuat pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

    “Rang Undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) kini menunggu masa untuk Bacaan Kedua di Dewan Rakyat, apabila Parlimen bersidang kelak. Antara pindaan yang akan dimasukkan ialah peruntukan berkenaan kenaikan kadar denda maksimum daripada RM50,000 kepada RM500,000,” katanya.

    Beliau berkata, kerajaan senantiasa menganggap pekerja sebagai aset penting negara yang bukan sahaja mencari rezeki untuk keluarga mereka tetapi juga menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan negara. 

    “Negara akan mengalami kerugian yang besar jika terdapat pekerja cedera atau maut disebabkan pekerjaan mereka. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan negara kehilangan empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berpunca daripada kemalangan dan penyakit pekerjaan.

    “Kerajaan tidak mahu pihak majikan hanya menumpukan kepada aspek keuntungan perniagaan semata-mata hingga mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja,” katanya.

    Menurut beliau, mengikut rekod,  kadar kemalangan pekerjaan negara menurun sebanyak 63 peratus, iaitu daripada 5.84 untuk setiap 1,000 orang pekerja pada tahun 2004, kepada 2.18  untuk setiap 1,000 orang pekerja pada tahun 2020.

    Manakala bagi kadar kematian pekerjaan, ianya menyusut sebanyak 71 peratus, iaitu daripada 7.17 untuk setiap 100,000 orang pekerja pada tahun 2004, kepada 2.09 untuk setiap 100,000 orang pekerja pada tahun 2020.

    “Walaupun kadar kemalangan dan kematian pekerjaan negara mencatatkan penurunan, masih ramai pekerja yang ditimpa kemalangan di tempat kerja. Pada tahun 2020, seramai 32,674 pekerja terlibat dengan kemalangan pekerjaan dengan 312 daripadanya merupakan kemalangan maut,” katanya.

    Zailee berkata, atas dasar tersebut, kerajaan turut berpandangan, kadar denda sedia ada adalah terlalu rendah dan pihak kerajaan sering mendapat maklum balas daripada orang awam, parti politik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kesatuan Sekerja yang meminta supaya kadar penalti dinaikkan.

    “Kenaikan denda yang tinggi untuk kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) juga adalah selaras dengan praktis yang dilaksanakan di negara-negara maju bagi memastikan majikan menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan keselamatan dan kesihatan para pekerja mereka,” katanya.

    PERANAN EFEKTIF SECARA BERSAMA

    Dalam menangani usaha ini, Zailee berkata, semua pihak termasuk agensi kerajaan, majikan dan pekerja, pengamal KKP serta pihak industri perlu melaksanakan peranan mereka secara efektif dan berintegrasi,. 

    Ini, katanya, bagi membentuk serta memperkukuh lapisan perlindungan yang mampu mengelakkan kegagalan sistem KKP sekaligus mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan.

    “Sehubungan itu juga, pihak kerajaan menerusi JKKP akan melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021 – 2025, atau ringkasnya OSHMP25 yang bertemakan KKP Inklusif: Kebersamaan dan Komitmen.

    “Penglibatan semua pihak berkepentingan dalam pelaksanaan OSHMP25 ini dijangka akan melonjakkan tahap KKP negara ke peringkat yang lebih cemerlang bertujuan melindungi sumber manusia, yang merupakan aset penting dalam menjayakan program pembangunan negara,” tambahnya.

    RUANGAN SISI

    KES TANAH RUNTUH DI BUKIT KUKUS, PULAU PINANG

    Pada 19 Okt 2018, negara dikejutkan dengan berita kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak projek jalan berkembar Paya Terubong di Bukit Kukus kendalian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

    Insiden itu meragut nyawa sembilan orang pekerja asing terdiri daripada tiga orang lelaki Indonesia, lima orang lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar. Empat orang pekerja lain cedera dan seorang dilaporkan hilang.

    Dalam tragedi yang dilaporkan berlaku pada pukul 1.56 tengah hari itu, tanah di tapak projek pembinaan jalan raya berkembar yang menghubungkan Paya Terubong ke Relau di Bukit Kukus itu runtuh bersama 13 buah kontena yang menjadi tempat tinggal pekerja.

    Sebelum itu, pada 11 Okt 2018 di kawasan yang sama, hujan lebat berserta angin kencang mengakibatkan 14 rasuk konkrit berukuran 25m panjang setiap satu di lereng cerun Jalan Tun Sardon jatuh ke lereng bukit di Projek Bukit Kukus itu.

    Susulan kejadian hingga meragut nyawa itu, kontraktor serta pengarah bagi projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong, di Jalan Bukit Kukus itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen George Town atas beberapa tuduhan pindaan antaranya gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh di tapak projek itu.

    Syarikat tersebut iaitu Yuta Maju Sdn Bhd (Yuta Maju) yang diwakili pengarah syarikatnya turut berdepan pertuduhan sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah  bagi kerja-kerja ‘backfill’ atau menampung tanah untuk cerun sementara, sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh pada pukul 1.50 tengah hari, 19 Okt 2018.

    Semasa kes itu dituduh pada 2019, syarikat tersebut pada mulanya membuat pengakuan tidak bersalah namun akhirnya menukar pengakuan kepada bersalah pada 19 Feb tahun lepas dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM35,000 masing-masing kepada syarikat dan pengarah projek itu atas kesalahan terbabit.

    Pada 8 Jan tahun 2020, syarikat itu yang diwakili pengarahnya, Osmera Mamat didenda RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen George Town selepas mengaku bersalah kerana gagal memastikan dan menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan tapak pembinaan ‘Projek Pembinaan Sebahagian Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong Pulau Pinang’, pada pukul 8.30 malam, 11 Okt 2018. – BERNAMA

  • Kanak-kanak antara paling berisiko dalam penularan ‘pandemik golongan tidak divaksinasi’

    Kanak-kanak antara paling berisiko dalam penularan ‘pandemik golongan tidak divaksinasi’

    SEJAK kebelakangan ini, jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 menunjukkan peningkatan ketara, dan ini dipercayai oleh pakar perubatan ada kaitan dengan penularan varian Delta yang semakin dominan di negara ini.  

    Perunding pakar kardiologi pediatrik Prof Madya Dr Norazah Zahari berkata perkembangan itu, khususnya dalam tempoh dua bulan lepas, menyebabkan satu tingkat di Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Malaya diperuntukkan bagi merawat kanak-kanak bergejala COVID-19, berbanding hanya satu wad sebelum ini. 

    “Ada beberapa kes yang dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi). (Mereka) mengalami komplikasi jantung akibat jangkitan COVID-19,” katanya kepada Bernama, dan menambah satu daripada kes tersebut disahkan sebagai sindrom keradangan pelbagai sistem pada kanak-kanak (MIS-C).

    MIS-C merupakan komplikasi COVID-19 yang serius, iaitu suatu keadaan di mana keradangan berlaku pada pelbagai organ seperti jantung, paru-paru, pembuluh darah serta buah pinggang. Sekalipun kemungkinan untuk kanak-kanak mengalami gejala COVID-19 yang teruk adalah kecil, jelas mereka tidak kebal jangkitan itu. 

    Pakar kesihatan kini menggambarkan penularan COVID-19 sebagai “pandemik golongan tidak divaksinasi” yang diburukkan lagi oleh kehadiran dominan varian Delta. Buat masa ini Malaysia belum membenarkan kanak-kanak divaksinasi sekalipun vaksin keluaran Pfizer-BioNTech telah diluluskan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

    “Golongan yang tidak divaksinasi ini dilihat sebagai lompang dan mereka menjadi golongan yang paling terdedah – kanak-kanak dan remaja,” kata Prof Madya Dr Mas Ayu Said, pakar epidemiologi di Universiti Malaya (UM).

    “Jika anda langsung tidak mempunyai antibodi, amat mudah (untuk anda dijangkiti), seolah-olah anda membuka pintu yang membolehkan ia (virus) masuk,” tambah beliau. 

    Peningkatan kes melibatkan kanak-kanak berserta penularan varian Delta menyaksikan kembalinya gesaan agar kerajaan melaksanakan pemvaksinan ke atas remaja.

    Pada 15 Ogos lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengumumkan pemvaksinan ke atas golongan berusia 12 hingga 17 tahun bermula 15 Sept ini. Keutamaan diberikan kepada mereka yang komorbid dan pelajar sekolah sebelum diperluas kepada generasi lebih muda, bergantung pada bekalan vaksin.

    Langkah itu disambut baik oleh pakar, namun mereka bimbang kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh beberapa negeri untuk golongan yang telah lengkap dua dos vaksin akan menyebabkan kanak-kanak terus terdedah. Antara kelonggaran itu ialah membenarkan ibu bapa makan di premis bersama anak-anak serta melakukan perjalanan rentas negeri.

    Setakat 14 Ogos lepas, sebanyak 51.7 peratus penduduk Malaysia, menyamai 72.1 peratus orang dewasa, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Daripada jumlah itu, 31.9 peratus atau 44.5 peratus telah lengkap dua dos vaksin.

    BIAR LAMBAT ASALKAN DAPAT

    Peningkatan kes kanak-kanak yang tidak divaksinasi dijangkiti COVID-19 akibat penularan varian Delta turut berlaku di negara-negara lain termasuk negara yang telah melaksanakan pemvaksinan ke atas orang dewasa dan remaja mereka.

    Lebih mudah berjangkit berbanding campak, ada data tentatif yang menunjukkan strain itu berpotensi menyebabkan jangkitan lebih serius. Malah, orang yang telah divaksinasi juga boleh dijangkiti dan menyebarkan virus, cuma dalam tempoh singkat dan pada kadar lebih rendah berbanding mereka yang tidak divaksinasi.

    Di Malaysia, kerajaan mengambil masa dua bulan sebelum membenarkan golongan muda diberikan vaksin disebabkan kebimbangan tentang kemungkinan mereka mengalami miokarditis dan perikarditis – keradangan pada jantung. 

    Kebimbangan itu ada asasnya dengan Pfizer dan Moderna kini meletakkan label amaran tentang kemungkinan kesan sampingan dalam kalangan remaja selepas dos kedua, namun pakar perubatan yang berpandangan kemungkinan risiko tersebut berlaku amat rendah, menegaskan dalam soal ini manfaatnya jauh lebih besar berbanding risiko. 

    “Tak mengapa lambat, asalkan dapat,” kata perunding pakar pediatrik  Datuk Dr Musa Mohd Nordin ketika dihubungi Bernama melalui WhatsApp.

    “Memang bagus JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin) menimbang keputusan berdasarkan sains dan analisis risiko-faedah,” katanya. 

    Memetik data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, beliau berkata risiko mengalami keradangan jantung akibat jangkitan COVID-19 bagi kelompok usia 12 hingga 17 tahun ialah 13 kali ganda untuk lelaki dan 24 kali ganda bagi perempuan, berbanding mendapatnya akibat vaksinasi.  

    Bagaimanapun, kadar insiden ialah 67 daripada sejuta dos kedua bagi lelaki dan sembilan daripada sejuta bagi perempuan. Setakat ini belum ada kes kematian dilaporkan.

    SUNTIKAN VAKSIN SEBELUM KEMBALI KE SEKOLAH

    Pemvaksinan ke atas golongan remaja yang dianggar Jabatan Perangkaan Malaysia berjumlah 2.7 juta orang, akan mengambil masa dan sebahagian daripada mereka tidak akan sempat divaksinasi sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula kembali, dijadualkan pada 3 Okt ini. 

     Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi COVID-19 Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata tidak ada keperluan untuk membuka semula sekolah kecuali untuk dijadikan sebagai pusat pemvaksinan pelajar.

    “Saya secara peribadi berpendapat tidak perlu lagi diadakan sesi bersemuka kerana penggal persekolahan tahun ini sudah hampir tamat, melainkan untuk pemvaksinan,” katanya menerusi WhatsApp.

     Beliau berkata setiap pejabat kesihatan daerah mempunyai pasukan kesihatan sekolah yang berpengalaman dalam melaksanakan pemvaksinan ke atas kanak-kanak, dan mereka boleh digerakkan untuk tujuan itu. 

    Pekeliling Kementerian Kesihatan bertarikh 12 Ogos menyenaraikan 12 tempat untuk pelajar sekolah mendapatkan vaksin termasuk hospital, klinik kesihatan serta program outreach.

    Dr Mas Ayu yang juga pakar perubatan kesihatan awam di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan UM menyarankan agar pusat pemberian vaksin (PPV) mega turut dimasukkan dalam senarai itu. 

    “Berdasarkan momentum semasa, saya rasa kita boleh capai 50 peratus pelajar sekolah dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

    Beliau juga menyarankan agar PPV menyediakan laluan khas untuk keluarga bagi memudahkan proses kerana mereka yang berusia 18 tahun ke bawah memerlukan persetujuan ibu bapa atau penjaga sebelum divaksinasi, dan pada masa sama boleh juga dimanfaatkan untuk pemvaksinan keseluruhan isi rumah.

    BELUM WAKTUNYA UNTUK BERI BEGITU BANYAK KELONGGARAN 

    Pakar kesihatan berpandangan belum waktunya untuk pihak berkuasa memberikan kelonggaran kepada mereka yang telah lengkap vaksinasi, khususnya ibu bapa yang tinggal atau bekerja dengan anak-anak, memandangkan Malaysia belum mencapai tahap imuniti kelompok.

    Dr  Awang Bulgiba menyifatkan kelonggaran yang diberikan itu sebagai “kurang bijak” dan boleh menjejaskan kejayaan yang disaksikan oleh Malaysia sekarang hasil program imunisasi tersebut.

    “Kita perlu mengasaskan jangkaan kita tentang ‘kehidupan normal’ pada persediaan melawan COVID-19 untuk jangka masa yang lama. Perkara praktikal yang perlu dilakukan ialah menyelesaikan pemvaksinan secepat mungkin agar kita dapat mencapai imuniti kelompok,” katanya. 

    Beliau juga berkata Malaysia harus terus memantau kadar penularan dalam masyarakat selain mengekalkan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum melonggarkan sekatan secara beransur-ansur.

    Dr Norazah pula berkata beliau tidak menggalakkan ibu bapa keluar rumah, baik dengan anak-anak ataupun tidak, sehingga semua kanak-kanak telah divaksinasi atau pandemik dapat dikawal.

    “Kalau mereka perlu juga keluar, patuhilah SOP bagi memastikan orang kesayangan yang belum divaksinasi di rumah selamat,” katanya.- BERNAMA

  • Vaksinasi Covid-19: 33.9 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin – JKJAV

    Vaksinasi Covid-19: 33.9 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin – JKJAV

    SEBANYAK 11,060,317 orang atau 33.9 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos kedua vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Mengikut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata, sebanyak 17,252,314 orang atau 52.8 peratus daripada populasi negara pula telah menerima dos pertama vaksin.

    Menurutnya, mengikut peratusan bagi populasi dewasa pula, sebanyak 73.7 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 47.2 peratus penerima, lengkap dua dos vaksin.

    Infografik pemberian vaksin di seluruh negara setakat semalam. Foto JKJAV

    “Secara keseluruhan, sebanyak 28,312,631 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, JKJAV berkata, untuk vaksinasi harian, sebanyak 501,776 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 175,874 dos pertama diberikan manakala 325,902 lagi melibatkan dos kedua.

  • Tempoh lanjutan pembaharuan LMM, LKM tidak disambung selepas 30 Sept.

    Tempoh lanjutan pembaharuan LMM, LKM tidak disambung selepas 30 Sept.

    TEMPOH lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV)  tidak akan disambung selepas 30 Sept ini, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Zailani Hashim.

    Beliau berkata tempoh lanjutan yang diberikan sebelum ini adalah mencukupi untuk individu melakukan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, selain ia boleh diperbaharu secara dalam talian.

    Selain kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), urusan pembaharuan boleh dibuat di Pos Malaysia Bhd dengan membuat janji temu, dan menerusi perkhidmatan dalam talian MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) bagi mengelakkan kesesakan di premis, katanya.

    “Pembaharuan LMM dan LKM digalakkan dibuat secara dalam talian bagi mereka yang cekap internet dan hanya hadir ke premis sekiranya perlu,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai urusan pembaharuan LKM dan LMM hari ini.

    Menurut rekod urusan pembaharuan LKM dan LMM bagi tempoh 1 hingga 15 Ogos, JPJ mencatatkan sebanyak 639,965 rekod pembaharuan, Pos Malaysia (373,805), MyEG (322,231) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pula 8,400 bagi urusan LKM sahaja.

    Pos Malaysia sebelum ini memaklumkan janji temu boleh dibuat secara dalam talian melalui ciri Outlet Finder di www.pos.com.my atau aplikasi mudah alih Pos Malaysia dengan membuat pilihan negeri, cawangan pejabat pos dan klik pada pautan yang tersedia.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif MyEG Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata buat masa ini terdapat peningkatan transaksi yang tinggi dan pihaknya berusaha memastikan setiap transaksi dapat dihantar kepada pelanggan sebelum 30 Sept ini.

    “Bagi pelanggan di kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), sekiranya terdapat kelewatan penghantaran, boleh hubungi talian 03-7801 8888 bagi urusan selanjutnya,” katanya.- BERNAMA

  • 3 beranak nyaris dihanyutkan arus Sungai Klang diselamatkan polis trafik

    3 beranak nyaris dihanyutkan arus Sungai Klang diselamatkan polis trafik

    TINDAKAN pantas dua anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memberi bantuan kepada tiga beranak yang terperangkap dalam banjir kilat di Sungai Klang semalam berjaya menyelamatkan nyawa kesemua mangsa daripada dihanyutkan arus deras sungai.

    Malah, rakaman video kejadian itu berhampiran Jalan Kuching menghala Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur berdurasi 19 saat juga tular di media sosial.

    Menurut Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam kira-kira pukul 3.20 petang.

    Katanya, orang awam meminta bantuan polis agar menyelamatkan seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan daripada dihanyutkan arus Sungai Klang.

    “Dua anggota JSPT, Lans Koperal Hafizul Khalis Anuar dan Konstabel Wan Muhammad Hazleeshah Wan Hasbullah kemudian ke lokasi dan bertindak pantas memberi bantuan kepada ketiga-tiga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sarifudin memberitahu, ketiga-tiga beranak itu difahamkan sedang memancing di Sungai Klang ketika hujan lebat sebelum air naik secara tiba-tiba tanpa mereka sedari.

    Orang awam yang berada di lokasi kejadian turut dirakam membantu anggota polis terbabit.

    Sementara itu, warganet yang melihat status dan video kejadian tersebut di media sosial memuji tindakan pantas anggota polis berkenaan selain merakamkan ucapan terima kasih.

  • Tugas melawan COVID-19 satu penghargaan – Ismail Sabri

    Tugas melawan COVID-19 satu penghargaan – Ismail Sabri

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan ia sebagai satu penghargaan apabila diberikan tanggungjawab yang besar dalam situasi yang sukar ini.

    Beliau yang juga bekas Menteri Kanan Pertahanan berkata, perjuangan melawan pandemik COVID-19 terus menjadi keutamaan semua pihak.

    “Terima kasih untuk semua saya ucapkan. Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan.

    “Sama-sama kita doakan Malaysia terus makmur, aman dan sentosa,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dibubarkan setelah Yang di-Pertuan Agong berkenaan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.

    Kabinet
    Gambar: Facebook Hishammuddin Hussein

    Bekas Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menyifatkan tugas yang digalasnya ketika seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19, bukan sesuatu yang mudah kerana ia penuh dengan dugaan dan cabaran.

    Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, cabaran tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus melunaskan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

    “Saya bersyukur dan rasa bertuah kerana diberi peluang untuk memimpin. Tidak mungkin dapat saya sempurnakan tugasan ini tanpa sokongan, dedikasi, semangat profesionalisme dan ketekunan mereka.

    “Pada saya, tiada noktah dalam perjuangan. Saya akan terus berbakti dalam apa jua kapasiti yang saya boleh,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya.

    Gambar: Facebook Azmin Ali

    Sementara itu, bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha menangani masalah ekonomi dan menjamin pekerjaan untuk rakyat sentiasa menjadi keutamaannya.

    Menurut beliau, walaupun ekonomi semakin pulih, ramai orang menderita dalam situasi pandemik global yang kejam ini.

    “Secara jujur, saya meminta maaf atas segala kekurangan. Satu penghargaan dapat berkhidmat untuk Malaysia,” katanya dalam ciapan Twitter.

    Gambar: Facebook Fadillah Yusoff

    Dalam pada itu, bekas Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusoff berkata, beliau telah berusaha sedaya upaya melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin demi kesejahteran infrastruktur rakyat dan negara.

    Beliau berharap agar sesiapa sahaja Menteri Kerja Raya yang akan dilantik selepas ini akan meneruskan segala projek yang telah diluluskan dan dirancang demi kesejahteraan infrastruktur rakyat.

    “Sepertimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan semua projek yang telah diluluskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini,” jelasnya.

  • [VIDEO] Demi pertahankan prinsip, Muhyiddin Yassin jadi korban dendam politik

    [VIDEO] Demi pertahankan prinsip, Muhyiddin Yassin jadi korban dendam politik

    PERJUANGAN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemudi negara berakhir hari ini apabila beliau menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menduduki jawatan Perdana Menteri Ke-8 bukanlah dengan cara mudah. Beliau mengambil risiko untuk menyelamatkan negara selepas Kerajaan Pakatan Harapan yang baru memerintah selama 22 bulan ranap selepas Tun Dr.Mahathir Mohamad membuat keputusan mengejut meletak jawatan Perdana Menteri Ke-7, pada 24 Februari 2020.

    Muhyiddin mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020, selepas Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020 yang menerima menghadap seorang demi seorang ahli Parlimen mempercayai anak kelahiran Muar itu mungkin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Ketika Muhyiddin mengambil alih tugas Perdana Menteri, negara bukanlah berada dalam keadaan senang, kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang dari semasa ke semasa telah mewujudkan krisis kesihatan dan ekonomi.

    Walaupun sejak awal lagi beliau berusaha bersungguh-sungguh mengatur strategi bagi menangani satu krisis yang tidak pernah dialami oleh negara, namun perjuangan beliau penuh dengan ranjau dan duri.

    Dendam politik yang membara dalam kalangan ahli-ahli politik termasuk ada antara dalam kalangan pemimpin yang parti mereka menganggotai kerajaan sedikit sebanyak menjejaskan usaha kerajaan memerangi wabak itu dengan berkesan.

    Pelbagai langkah beliau lakukan bermula dengan pelaksanaan ‘total lockdown’ sepenuhnya hinggalah pengisytiharan darurat. Pada masa sama pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat dilaksanakan bagi membantu mereka yang terjejas teruk dan  memulihkan ekonomi negara.

    Tiada kenyataan politik yang beliau keluarkan bagi membalas serangan kelompok yang merasakan mereka sahaja boleh menguruskan negara.

    Muhyiddin terus fokus kepada usaha membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 termasuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan seterus Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Bagaimanapun politik dendam dan persepsi telah ‘membenamkan’ segala usaha-usaha yang Muhyiddin lakukan sebagai Perdana Menteri seperti mana kata, beliau dalam perutusan khas terakhirnya,’’ ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.’’

    Musuh-musuh politik beliau yang kononnya mendabik dada berjuang untuk rakyat mengambil apa sahaja isu dan kesempatan yang boleh dipolitikkan bagi memburuk-burukkan kerajaan.

    Bermula dengan ‘hastag’ ‘kerajaan gagal’, isu Ordinan Darurat bagaikan menjadi kemuncak ‘serangan’ kepada Muhyiddin. Keadaan lebih parah apabila UMNO yang dahulunya beria-ia bersetuju menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas kehilangan kuasa akibat ditolak rakyat pada 2018 dalam PRU-13 menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan atas alasan Perdana Menteri melakukan ‘penderhakaan’.

    Walaupun sebenarnya tidak wujud soal penderhakaan, namun ia agak terlambat untuk Muhyiddin mengawal keadaan. Tindakan UMNO menarik sokongan itu benar-benar memberi kesan kepada pentadbiran negara. Krisis politik pun tercetus apabila pemimpin-pemimpin UMNO melakukan serangan bertali arus terhadap Muhyiddin.

    Bagaimanapun Kerajaan PN masih mampu bertahan apabila 23 daripada 38 ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan memutuskan tidak menarik sokongan mereka.Tindakan itu dilakukan kerana berasa bertanggungjawab untuk terus berada dalam kerajaan memulihkan negara yang berada dalam keadaan cukup genting akibat serangan pandemik Covid-19.

    Ketika sebahagian pemimpin UMNO terus menjadi ‘batu api’ dan memberi tekanan kepada Muhyiddin dan PN, empat menteri UMNO memainkan peranan utama dalam memerangi wabak tersebut. Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.Adham Baba dan Menteri Sains Teknologi Inovasi Khairy Jamaluddin.

    Kesetiaan mereka yang meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kehendak politik kepemimpinan  UMNO mendapat pujian Muhyiddin.

    Bagaimanapun akibat tindakan politik UMNO khususnya penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen parti, keabsahan Muhyiddin dipersoalkan dan beliau secara sukarela memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, akan mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen September ini.

    Bagi mengelakkan konflik politik negara berterusan sekaligus akan menjejaskan usaha-usaha kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 apatah lagi hanya tinggal dua bulan sahaja untuk negara mencapai imuniti kelompok, Muhyiddin muncul melalui ucapan khas mencadangkan rangka kerjasama rentas parti yang bertujuan bagi membolehkan usul percaya diluluskan.

    Kata Muhyiddin dalam ucapannya, ‘’’Bukan untuk kepentingan peribadi saya dan rakan-rakan yang lain tetapi  akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat. Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bi- partisan di Dewan Rakyat.

    ‘’Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah.

    ‘’Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.

    ‘’Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini.’

    Malah dalam ucapan yang ditonton berjuta-juta rakyat Malaysia itu,  Muhyiddin menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa dan dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.

    ‘’Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan,’’ katanya.

     Namun niat ikhlas beliau ditolak ‘mentah-mentah’ oleh kepemimpinan UMNO dan parti-parti pembangkang. Mereka seolah-olah merasakan inilah saat terbaik untuk mendapat kuasa atau kembali berkuasa.

    Berikutan keadaan itu, Muhyiddin memahami beliau sudah kehilangan majoriti dan sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip dan Perlembagaan beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan.

    Seperti mana kata Muhyiddin, beliau boleh sahaja mengekalkan jawatannya dengan mengorbankan prinsipnya tetapi beliau tidak mahu bersekongkol dengan kleptokrat dan mencampuri kebebasan badan kehakiman.

    Apapun Muhyiddin telah berundur secara terhormat. Walaupun hanya 17 bulan menjadi Perdana Menteri namun jasa beliau dalam menerajui negara pasti akan diingati dalam sejarah lipatan sejarah negara.

    Dan ketika muncul menyampaikan ucapan khas terakhir sebagai Perdana Menteri, dalam media sosial, netizen melahirkan rasa sedih mendengar amanat seorang pemimpin yang bergelar ‘abah’ itu.

    Namun mereka gembira kerana Muhyiddin meletakkan jawatan bukan kerana beliau atau mana-mana ahli keluarga melakukan salah guna kuasa, penyelewengan  atau rasuah tetapi demi mempertahankan prinsip sehingga beliau menjadi korban dendam politik kelompok tertentu.

  • China penyumbang terbesar vaksin Covid-19

    China penyumbang terbesar vaksin Covid-19

    CHINA muncul negara paling banyak menyumbangkan vaksin COVID-19, menurut laporan Associated Press (AP) pada Ahad.

    Menurut laporan itu lagi China dilihat senantiasa komited dalam usahanya untuk membantu negara-negara membangun dan kurang membangun.

    Ahli epidemiologi dari Nigeria, Christian Happi berkata sumbangan vaksin dari beberapa negara maju yang lain tidak mencukupi dan terjamin.

    “Mereka bukan sahaja memperoleh kebanyakan vaksin di dunia, malah sedang meneruskan memberikan suntikan vaksin penggalak kepada warganya,” katanya.

    Wakil Kanan Kesatuan Eropah (​EU) bagi Dasar Luar dan Keselamatan, Jose Borrell menyifatkan usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk menyumbang vaksin dilihat kurang berkesan.

    Negara membangun seperti Venezuela, Haiti dan Syria masih menghadapi kekurangan bekalan vaksin.

    Pengkaji akses perubatan dari Universiti Northeastern Amerika Syarikat iaitu Profesor Brook Baker pula menganggap masih terdapat ketidakadilan dalam agihan vaksin melalui Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 Global (COVAX).

    “Lebih 90 buah negara membangun masih tidak mendapat bekalan vaksin sebaliknya negara maju cuba mendapatkan kepentingan geopolitik melalui perkongsian bilateral vaksin,” katanya.- BERNAMA

  • 19,740 kes baharu Covid-19: Sarawak, Melaka catat peningkatan ketara

    19,740 kes baharu Covid-19: Sarawak, Melaka catat peningkatan ketara

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 menunjukkan trend penurunan berbanding semalam apabila 19,740 kes direkodkan hari ini berbanding 20,546 kes semalam.

    Kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,424,639 kes.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 5,706 jangkitan baharu, turun 1,601 kes berbanding semalam.

    Namun Sarawak dan Melaka mencatatkan peningkatan ketara jangkitan apabila masing-masing mencatatkan 1,566 kes dan 1,120 kes baharu jika dibandingkan dengan kes semalam iaitu 963 kes dan 631 kes.

    Sabah, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, Kelantan terus mencatatkan lebih 1,000 jangkitan tidak jauh berbeza daripada statistik semalam.

    Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing merekodkan tiga digit kes.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 2 kes diikuti Perlis (20 kes) dan Putrajaya (43 kes).