Category: Umum

  • REKOD!!!24,599 kes baharu, Johor, Pulau Pinang, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    REKOD!!!24,599 kes baharu, Johor, Pulau Pinang, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    BUAT tiga hari berturut-turut, jumlah jangkitan baharu Covid-19 di negara ini merekodkan lebih 20,000 kes apabila sebanyak 24,599 kes direkodkan hari ini.

    Kes baharu itu sekali gus menjadikan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,640,843 kes.

    Malah buat pertama kali, kes harian melepasi angka 24,000, tertinggi sejak penularan Covid melanda negara disumbang oleh lapan negeri yang mencatatkan lebih 1,000 kes.

    Kali terakhir kes harian Covid-19 tertinggi dilaporkan adalah pada 20 Ogos lalu dengan 23,564 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 6,936 jangkitan baharu.

    Johor mencatatkan peningkatan hampir seribu kes iaitu 2,785 kes berbanding hanya 1,832 jangkitan semalam untuk berada di tempat ketiga di belakang Sabah yang mencatatkan 3,487 kes hari ini.

    Pulau Pinang dan Sarawak turut mencatatkan peningkatan ketara apabila masing-masing mencatatkan 2,078 dan 2,024 kes.

    Negeri lain dengan lebih seribu kes harian pula ialah Kedah (1,538 kes) diikuti Kelantan (1,312 kes) dan Perak (1,170 kes).

    Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tiga jangkitan diikuti Putrajaya (20 kes) dan Perlis (67 kes).

  • Dr Mahathir bimbang Ismail Sabri selamatkan ‘kluster mahkamah’

    Dr Mahathir bimbang Ismail Sabri selamatkan ‘kluster mahkamah’

    Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang perdana menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyelamatkan para pemimpin UMNO yang digelar “kluster mahkamah” daripada tuduhan.

    Beliau bimbang perkara itu akan berlaku memandangkan kuasa Ismail Sabri selaku Perdana Menteri mengatasi peguam negara dalam kerajaan, katanya dalam wawancara dengan Insight Talk.

    Para pemimpin UMNO dalam kelompok “kluster mahkamah” itu seperti Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula lebih kanan daripada Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden parti.

    “Itu tak boleh. (Selamatkan kluster mahkamah). Jangan sentuh undang-undang. Pentadbiran mengikut undang-undang. Jangan cuba campur tangan dan pengaruhi mahkamah atau peguam negara.

    “(Peguam negara) duduk bawah Perdana Menteri. Dia boleh kata tiada kes. (Jika ada) 46 kes mahkamah, nanti tiba-tiba kata tiada kes,” kata bekas Perdana Menteri itu.

    Dr. Mahathir tidak menolak andaian bahawa perkara itu mungkin akan berlaku memandangkan terdapat keputusan yang kini memihak kepada “kluster mahkamah” tersebut.

    Beliau memberi contoh, keputusan mahkamah memulangkan wang ratusan juta yang dirampas kepada Tun Najib Razak berkaitan kes dihadapi Perdana Menteri Keenam itu.

    “Macam-macam, orang ada yang curi (ratusan) juta bagi balik. Bagi balik pada pencuri. Jackpot lah (menang judi besar),” katanya.

    Kenyataan merujuk kepada keputusan mahkamah memulangkan RM114 juta yang dirampas daripada Najib selepas menolak pendakwaan melucut hak aset terbabit.

    Dr Mahathir juga memberi amaran, walaupun tidak terlibat dengan kegiatan salah laku yang didakwa dilakukan Najib, Ismail Sabri tetap akan memikul bebannya.

    Malah sekiranya Ismail Sabri mengikut dasar “cash is king” iatu memberi wang tunai bagi mendapatkan sokongan, Ahli Parlimen Bera itu juga sama seperti Najib.

    “Dia tidak terlibat dengan kegiatan yang diamalkan oleh Najib, setakat kita tahu tetapi kalau dia ambil orang itu sokong maka dia akan dapat pengajaran yang buruk.”

    “Kalau dia kata cash is king. Saya ingat (pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin) tiada perubahan. Ia akan jadi apa berlaku zaman Najib dan Muhyddin,” katanya.

    Ditanya mengenai apa pandangan beliau tentang kepimpinan Ismail Sabri, Dr Mahathir kata ia belum teruji kerana terlalu awal.

    “Saya percaya dalam kalangan orang muda ada yang berbakat tapi kita belum tahu kebolehan mereka. Pengalaman mereka kurang kalau berbanding dengan orang yang sudah lama jadi pemimpin,” katanya lagi.

    Najib berjaya meraih semula wang RM114 juta pada Jun lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan aset tersebut diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.

    Wang tersebut antara hasil operasi merampas harta bernilai lebih RM1 bilion yang dijalankan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas pilihan raya 2018.

    Ia dijalankan sewaktu kerajaan dipimpin Dr Mahathir yang konsisten menggelar Najib sebagai pencuri. Bekas Perdana Menteri itu kini sedang merayu selepas dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta bagi tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa.

    Kes melibatkan penggelapan RM42 juta dana 1MDB dan SRC International itu antara pelbagai tuduhan dihadapi Najib di mahkamah pada waktu ini.

    Ahmad Zahid pula berdepan 47 pertuduhan yang mana 12 daripadanya melibatkan jenayah pecah amanah, lapan tuduhan rasuah.

    Selain itu, beliau juga berdepan 27 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Ahmad Zahid semalam tidak hadir ke mahkamah bagi salah satu kesnya kerana mendakwa mengalami kecederaan selepas terjatuh, yang menimbulkan kemarahan hakim.

    Empat lagi Ahli Parlimen Umno yang meraih jolokan “kluster mahkamah” itu termasuk Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

    Kes Ahli Parlimen Pontian itu mengelak cukai pendapatan berjumlah RM2 juta baru bermula dan Ahli Parlimen Putrajaya itu pula baru lepas dari tuduhan rasuah RM1 juta

    Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang merupakan bekas Pengerusi Tabung Haji pula berdepan 14 tuduhan rasuah dan mengubah wang haram bersama abangnya Abdul Latif.

    Seorang lagi Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang dituduh bagi kes rasuah bernilai RM2.8 juta bagi pelaburan Felcra berjumlah RM150 juta.

    Kesemuanya merupakan antara ahli Parlimen yang menyokong dan membolehkan Muhyiddin bentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional melalui Langkah Sheraton tahun lalu.

    Pentadbiran Muhyiddin tumbang semula apabila 15 ahli Parlimen Umno, termasuk kumpulan “kluster mahkamah” itu menarik sokongan ke atasnya pada minggu lalu.

    Ismail Sabri kemudian pada Sabtu lalu mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kesembilan dengan sokongan 115 wakil rakyat, termasuk dari UMNO dan juga daripada parti Muhyiddin, Bersatu.

  • Ismail Sabri persembah senarai Kabinet kepada Agong

    Ismail Sabri persembah senarai Kabinet kepada Agong

    ISTANA Negara hari ini mengesahkan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima persembahan senarai anggota jemaah menteri Kabinet baharu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz di Kuantan.

    Dalam kenyataan melalui Facebook, Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Perdana Menteri selama 1 jam 30 minit bermula pukul 11 pagi.

    ‘’Sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri. Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos  lalu,’’ kata kenyataan tersebut.

    Selesai menghadap Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan  santapan tengah hari kepada Perdana Menteri.

  • Muhyiddin yakin Ismail Sabri mampu tingkatkan hubungan Malaysia-Singapura

    Muhyiddin yakin Ismail Sabri mampu tingkatkan hubungan Malaysia-Singapura

    TAN SRI Muhyiddin Yassin yakin hubungan baik Malaysia dan Singapura akan terus ditingkatkan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu disampaikan ketika menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loon yang menghubungi beliau bagi bertanya khabar dan mengetahui perkembangan selepas Muhyiddin tidak lagi menerajui negara.

    ‘’Hsien Loong turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas hubungan serta kerjasama baik yang kami sama-sama jalinkan sepanjang lebih setahun bergelar rakan sejawat, dan berdoa saya dapat terus memainkan peranan dalam aspek hubungan dua hala antara kedua-dua negara,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook.

    Beliau berkata, Perdana Menteri Singapura itu juga memberi jaminan langkah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek.

    ‘’Secara peribadi, saya amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan Hsien Loong, bukan sahaja kebelakangan ini, bahkan ketika kami saling mengenali lama dahulu.

    ‘’Masih segar diingatan pertemuan bersemuka dan bersejarah kami di tengah-tengah Tambak Johor pada Julai tahun lepas, iaitu sejurus saya menjawat jawatan Perdana Menteri, manakala beliau sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri. Saya doakan Lee Hsien Loong diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan mentadbir Singapura,’’ katanya

  • 53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, setakat ini seramai 53,571 orang pekerja industri telah dikenal pasti positif COVID-19 sejak Julai, melalui saringan yang dijalankan di tempat kerja masing-masing.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saringan yang dijalankan itu adalah melalui pihak majikan sebagai persediaan sebelum masuk ke tempat kerja, kontak rapat kepada rakan kerja yang positif, dan saringan kendiri pekerja itu sendiri di fasiliti kesihatan swasta.

    “Daripada jumlah pekerja industri yang dinyatakan, 62 peratus adalah terdiri dari pekerja di sektor perkilangan (33,214 orang); 14.5 peratus adalah terdiri dari sektor perkhidmatan (7,768 orang); 13.5 peratus pekerja sektor pembinaan (7,232 orang) dan 10 peratus pekerja di sektor perdagangan (5,357 orang).

    “Secara kasarnya, jumlah tersebut meliputi 17.1 peratus kes yang dikenal pasti di Selangor adalah pekerja daripada (sektor) industri,” katanya yang menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang), yang ingin mengetahui jumlah individu yang disyaki dijangkiti dalam sektor industri semasa mereka bekerja.

    Dalam pada itu Amirudin berkata, sebanyak 79 buah kilang sektor pembuatan telah diberikan arahan penutupan, di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 disebabkan melakukan tiga atau lebih kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard akta tersebut, mulai 13 Julai sehingga 23 Ogos oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

    “Arahan penutupan ini dikeluarkan selama tempoh tujuh hari dan pemilik industri turut diberikan arahan kerja serta penambahbaikan, untuk diselesaikan dalam tempoh penutupan tersebut,” katanya.- BERNAMA

  • Covid-19: Kebolehjangkitan Perlis, Sarawak tertinggi

    Covid-19: Kebolehjangkitan Perlis, Sarawak tertinggi

    KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di seluruh negara semalam kekal pada nilai 1.02 buat dua hari berturut-turut.

    Sebanyak sembilan negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan dengan Perlis dan Sarawak tertinggi pada nilai 1.22, diikuti Sabah 1.21.

    Selain itu, negeri yang mencatatkan Rt lebih 1.02 ialah Pulau Pinang 1.12, Kelantan 1.08, Perak 1.09, Kedah 1.08, Johor 1.05 dan Terengganu 1.04.

    Sementara itu, negeri yang mencatat Rt di bawah purata kebangsaan ialah Pahang 1.00, Melaka 0.99, Selangor 0.95, Kuala Lumpur 0.87, Negeri Sembilan 0.82, Putrajaya 0.80.

    Dalam tempoh dua bulan, jumlah Rt tertinggi yang pernah direkodkan negara ialah 1.16 pada 28 Julai lalu.

    Berdasarkan Model Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR) Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian COVID-19 yang dikongsi Dr Noor Hisham, Rt boleh melonjak melebihi 1.2 dengan kes mencecah 22,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

    Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), Rt terendah pernah dicatatkan pada 0.81 pada 3 Mac lalu.

    Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu jumlah ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

    Sebagai contoh, jika nilai Rt 1.5, bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

  • Seramai 866 remaja, kanak-kanak dijangkiti COVID-19 di Sabah

    Seramai 866 remaja, kanak-kanak dijangkiti COVID-19 di Sabah


    SERAMAI 866 orang daripada keseluruhan 3,224 kes positif COVID-19 direkodkan di Sabah semalam adalah remaja serta kanak-kanak berusia 17 tahun dan ke bawah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

    Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata, daripada jumlah itu, seramai 565 orang berumur enam hingga 17 tahun, 268 orang berusia satu hingga lima tahun, manakala 33 orang berusia kurang setahun.

    “Kesemua 866 orang didapati positif COVID-19 ini masih belum layak untuk diberikan vaksin. Sehingga semalam, 53.9 peratus penduduk dewasa Sabah telah memperoleh satu dos vaksin dan 32.5 peratus telah melengkapkan pengambilan dua dos,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

    Beliau berkata, daripada jumlah kes direkodkan semalam juga seramai 2,119 orang positif pandemik itu berusia antara 18 hingga 59 tahun, manakala 239 orang adalah warga emas berusia 60 tahun atau lebih.

    Masidi berkata, seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dengan Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi hari ini iaitu 630 kes, Penampang (413) dan Tuaran (348).

    “Dengan jumlah catatan sebanyak 2,098 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata, jumlah kes dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan di Sabah mencapai 131,030 kes, manakala seramai 2,020 pesakit COVID-19 sembuh semalam menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 101,624 dan 4,763 pesakit sedang menerima rawatan.– BERNAMA

  • 42.4 peratus populasi Malaysia lengkap divaksin

    42.4 peratus populasi Malaysia lengkap divaksin

    SEBANYAK 13,842,928 individu atau 42.4 peratus populasi keseluruhan di Malaysia sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik pemberian vaksin seluruh negara di Facebook berkata, pada masa sama, seramai 18,792,979 individu atau 57.5 peratus sudah menerima dos pertama.

    Menurutnya, ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 32,635,907 dos.

    “Selain itu, peratusan populasi dewasa yang menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam ialah sebanyak  59.1 peratus manakala peratusan dos pertama 80.3 peratus,” katanya hari ini.

    Sementara itu, JKJAV berkata, sebanyak 423,380 dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara setakat semalam.

    Tambahnya, daripada jumlah itu, 261,994 daripadanya adalah dos kedua dan baki 161,386 adalah dos pertama.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • Dos penggalak tidak bantu kawal varian Delta

    PEMBERIAN dos penggalak (booster dose)  kepada mereka yang lengkap divaksinkan tidak akan membantu mengawal penularan varian Delta.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, yang dapat mengawal penularan varian Delta adalah dengan memberi vaksin kepada mereka yang belum divaksin.

    “Kita mesti meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan dos penggalak.

    “Tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

    Dr Noor Hisham sebelum ini mendedahkan, varian Delta boleh membiak di dalam hidung individu yang sudah mendapat suntikan vaksin.

    Ujarnya, keadaan itu disifatkan sama seperti individu yang belum divaksin.

    Menurutnya, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian Delta itu membiak di hidung orang yang sudah divaksin seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

    “Virus yang ‘tumbuh’ itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksin. Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya.

  • TDM pertimbang serap kembali anggota yang dipecat jika terima vaksin

    TDM pertimbang serap kembali anggota yang dipecat jika terima vaksin

    ANGGOTA Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dipecat kerana menolak vaksin COVID-19 akan dipertimbangkan untuk diserap semula jika dia bersedia menerima suntikan vaksin itu, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

    Beliau berkata namun, keputusan memberhentikan anggota berkenaan masih kekal setakat ini.

    Zamrose berkata anggota tentera berkenaan sebelum ini telah menjalani empat sesi kaunseling selepas dia enggan menerima suntikan vaksin dan keputusannya masih sama iaitu tidak mahu menerima suntikan vaksin.

    “TDM akan pertimbangkan (serap semula bertugas) jika dia mahu menerima suntikan vaksin dan saya yakin pegawai pemerintah mengambil tindakan sewajarnya.

    “Segala apa yang patut anggota itu dapat kita akan serahkan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kempen Tabung Pahlawan 2020 (Matching Grant) kepada 83 persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

    Zamrose berkata TDM mempunyai 86,000 anggota dan tidak mahu sebarang implikasi berlaku terhadap anggota lain yang bekerja dalam pasukan.

    “TDM merasakan dia tidak sesuai dengan tentera darat kerana TDM bekerja dalam kumpulan dan TDM tidak mahu sebarang implikasi kepada anggota lain kerana dia seorang sahaja yang tidak mahu menerima vaksin,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan seorang tentera berpangkat Sarjan dipecat kerana menolak vaksin COVID-19 dan menyebabkan dia kehilangan kelayakan untuk menerima skim pencen.- BERNAMA