Category: Umum

  • Lebih 14 juta populasi dewasa lengkap divaksinasi – JKJAV

    Lebih 14 juta populasi dewasa lengkap divaksinasi – JKJAV

    SERAMAI 14,648,590 individu atau 62.6 peratus daripada populasi dewasa negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan, seramai 19,389,392 individu atau 82.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 34,027,548  dos.

    Menurut JKJAV, 59.4 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, manakala 44.9 peratus telah melengkapkan vaksinasi.

    Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 302,804 dos dengan 142,186 merupakan dos pertama dan 160,618 adalah dos kedua.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun  Sakaran Dandai meninggal dunia

    Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai meninggal dunia

    BEKAS Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai meninggal dunia di Hospital Gleaneagles di Kota Kinabalu, awal pagi ini.

    Perkara itu disahkan cucunya Ahmad Marzuki Nasir dan memaklumkan Sakaran, 91, meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi tadi.

    “Sama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.

    Pada 18 Ogos lepas, Sakaran dimasukkan ke hospital itu kerana disyaki dijangkiti COVID-19, sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 25 Ogos.

    Sakaran berasal dari Semporna berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah kelapan pada 1994.

    Allahyarham memainkan peranan penting untuk Sabah dan negara khususnya, dalam meningkatkan taraf sosioekonomi  dan pendidikan masyarakat serta menyebarluaskan kesusasteraan Islam.

    Jasa Allahyarham amat dihargai sehingga menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017.- BERNAMA

  • Lebih 235,000 penduduk Pahang layak terima vaksin belum daftar MySejahtera

    Lebih 235,000 penduduk Pahang layak terima vaksin belum daftar MySejahtera

    LEBIH 235,000 atau 20 peratus penduduk Pahang yang masih belum mendaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 walaupun layak untuk menerimanya, dinasihatkan mendaftar segera bagi membolehkan negeri ini mencapai imuniti kelompok lebih pantas.

    Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata suntikan vaksin adalah salah satu ikhtiar bagi mengawal COVID-19, dan sehingga hari ini lebih 50 peratus golongan dewasa di Pahang sudah menerima dua dos vaksin. 

    “Pahang hari ini merekodkan sebanyak 839 kes baharu, angka yang agak tinggi, namun jika kita lihat trend kumulatif mingguan dan purata seminggu kes harian, kita dapati ada menunjukkan penurunan. 

    “Trend penurunan ini pertama kali dilihat dalam tempoh sembilan minggu dan berlaku seiring dengan peningkatan liputan vaksinasi di Pahang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

    Pahang sebelum ini menyasarkan kira-kira 80 peratus penduduknya menerima vaksin lengkap pada penghujung Oktober iaitu sebelum musim tengkujuh bermula.- BERNAMA

  • Kes Covid-19 di Sarawak naik 224 peratus

    Kes Covid-19 di Sarawak naik 224 peratus

    KES jangkitan COVID-19 di Sarawak naik mendadak bulan ini dengan 35,517 kes baharu iaitu peningkatan 224 peratus berbanding tempoh sama pada Julai.

    Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata kehadiran varian Delta yang mempunyai kebolehjangkitan tinggi menjadikan ia faktor utama kes tinggi di Sarawak khususnya di Zon Selatan yang merangkumi daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

    “Setakat ini, varian Delta telah dikesan di 10 bahagian di Sarawak manakala kadar pengesanan varian Delta setinggi 99 peratus telah dilaporkan di Bahagian Kuching,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata walaupun kadar imunisasi COVID-19 di Sarawak telah mencapai 90.9 peratus bagi dos pertama dan 87.9 peratus bagi dos kedua setakat 28 Ogos namun kira-kira 30 peratus daripada kes harian merupakan golongan bawah 18 tahun yang masih belum layak menerima vaksin.

    “Kadar penggunaan katil bagi kes rawatan kritikal di seluruh Sarawak menunjukkan peningkatan pada bulan ini tetapi ia masih pada tahap pihak hospital masih berupaya menguruskannya,” katanya.

    Dr Mohamed Sapian turut memaklumkan sebanyak enam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Awam dijangka beroperasi semula manakala empat PKRC Awam yang baharu akan memulakan operasi sekiranya kes semakin meningkat.

    “Sekiranya kes masih banyak dan meningkat setiap hari, penggunaan sumber tenaga dan perkhidmatan kesihatan mungkin akan lumpuh.

    “Ini akan mengakibatkan tindakan-tindakan intervensi seperti pengasingan pesakit dan pengesanan kontak akan terjejas teruk,” katanya.

    Ketika ini, sebanyak 45 PKRC dibuka di seluruh Sarawak yang terdiri daripada 41 PKRC Awam berkapasiti 7,465 katil dan empat PKRC Tahanan berkapasiti 1,072 katil.- BERNAMA

  • Dua lokaliti di Sabah, satu di Johor dikenakan PKPD

    Dua lokaliti di Sabah, satu di Johor dikenakan PKPD

    DUA lokaliti di Sabah dan satu di Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 31 Ogos hingga 13 Sept ini, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.

    PKPD di Sabah melibatkan Kampung Bukit Gemuk, Tawau dan Kampung Nasakot, Ranau, manakala PKPD di Johor melibatkan Kampung Nelayan Benut, Mukim Sungai Pinggan di Pontian. 

    “Sementara itu hanya satu kawasan PKPD yang dilanjutkan iaitu Taman Megah Jaya (Lorong 2,3,9 dan 10) di Tawau, Sabah bermula 31 Ogos hingga 13 Sept ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    PKPD di tiga lokaliti di Kota Belud, Sabah iaitu Kampung Mantanau, Kampung Pirasan Ulu dan Kampung Suang Punggur pula akan ditamatkan esok mengikut jadual.

    Turut ditamatkan esok seperti dijadualkan ialah PKPD di Kampung Bukit Cina, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu dan 19 lokaliti di Mukim Kuala Dungun serta 14 lokaliti di Mukim Sura, Dungun juga di Terengganu. – BERNAMA

  • Ismail Sabri saksi suntikan vaksin dos kesejuta

    Ismail Sabri saksi suntikan vaksin dos kesejuta

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan sendiri suntikan vaksin AstraZeneca dos kesejuta di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Memetik laporan BH Online, suntikan itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

    Penerima dos vaksin AstraZeneca kesejuta itu ialah Zamratulazmi Sarmadi, 38.

    Penjawat awam itu menggangap dirinya sangat bertuah kerana suntikan vaksin yang diterimanya hari ini di PPV WTCKL disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri yang baharu.

    Zamaratulazmi yang juga jurugambar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, beliau mengetahui menjadi penerima dos kesejuta setelah hadir ke kaunter vaksin di WTCKL namun langsung tidak mengetahui mengenai kehadiran Ismail Sabri.

    ismail sabri dos kesejuta
    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menyampaikan replika suntikan yang ke 1 juta kepada Zamratulazmi Sarmadi, 38,(tiga dari kanan) di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya menerima panggilan telefon tadi dan diminta untuk hadir awal ke PPV di WTCKL. Saya tidak diberitahu pun mengenai dos kesejuta.

    “Hanya apabila tiba di kaunter dua di sini, saya diberitahu menjadi penerima kesejuta dan selepas itu dimaklumkan Perdana Menteri baharu akan hadir melihat suntikan itu dilakukan.

    “Saya memang sangat terkejut dan sedikit gembira kerana pengalaman lain dari yang lain,” katanya, hari ini.

    dos kesejuta
    Zamratulazmi Sarmadi, 38, bangga selepas diumumkan sebagai penerima vaksin yang ke 1 juta di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Bapa kepada dua anak itu juga menasihatkan mereka yang belum mendaftar atau enggan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 agar berbuat demikian, sebagai usaha menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

    “Mendapatkan suntikan ini adalah usaha kita sebagai seorang rakyat untuk membantu kerajaan mengekang jangkitan COVID-19, selebihnya kita reda dan bertawakal kepada Allah sahaja,” katanya.

    Tahniah kepada Zamratulazmi kerana berjaya menjadi penerima dos vaksin kesejuta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

  • Kilang jadi PPV pekerja asing – Ismail Sabri

    Kilang jadi PPV pekerja asing – Ismail Sabri

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, semua pemilik kilang yang mempunyai pekerja asing menjadikan premis mereka sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

    Menurut beliau, kilang-kilang seharusnya menyumbang kepada percambahan ekonomi dan bukannya menjadi pusat penyebaran Covid-19.

    “Saya juga telah berjumpa dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan supaya pekerja asing tidak lagi perlu beratur dan menyebabkan kesesakan di PPV sebaliknya hanya mendapatkan vaksin di tempat mereka bekerja.

    “Pendirian kerajaan adalah jelas dan tegas bahawa sesebuah kilang itu hanya dibenarkan untuk beroperasi semula setelah mencapai 80 peratus kadar vaksinasi.

    “Pemberian vaksin secara pandu lalu juga akan dipertingkatkan dalam masa terdekat supaya rakyat tidak perlu menunggu lama, cukup sekadar 15 minit di dalam kereta dan boleh terus dapatkan dos suntikan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan depan.

    Beliau memberitahu, negeri-negeri berkenaan iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50 peratus setakat ini.

    “Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi supaya tumpuan diberikan kepada enam negeri ini.

    “Saya mahu menjelang hujung September ini, keenam-enam negeri ini mesti melebihi 50 peratus kadar vaksinasinya. Kalau awal, lagi bagus,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemberian vaksin AstraZeneca dos ke sejuta di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur, hari ini.

  • 61.9 peratus populasi dewasa negara lengkap divaksin

    61.9 peratus populasi dewasa negara lengkap divaksin

    SEBANYAK 61.9 peratus atau 14,487,972 individu daripada populasi dewasa negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    JKJAV menerusi perkongsian maklumat di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan seramai 19,241,946 individu atau 82.2 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 33,724,744  dos.

    Menurut JKJAV, 58.9 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat dos pertama manakala 44.4 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

    Sementara itu, vaksinasi harian semalam pula merekodkan sebanyak 336,642 dos dengan 190,010 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 146,632 adalah dos pertama.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • 2.2 peratus penjawat awam belum daftar untuk vaksin

    2.2 peratus penjawat awam belum daftar untuk vaksin

    JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) akan memberi fokus terhadap 2.2 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat 19 Ogos lepas.

    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata susulan itu pihaknya akan mengemukakan nama-nama berkenaan kepada ketua jabatan masing-masing bagi mengetahui isu sebenar untuk tindakan selanjutnya.

    “Selepas kita buat pemadanan data di aplikasi MySejahtera dengan data penjawat awam, kita dapati daripada lebih sejuta penjawat awam, cuma 2.2 peratus yang kita tak dapat kesan mendaftar di aplikasi itu untuk mendapatkan vaksin.

    “Jadi kita akan sentiasa melihat dan cuba meningkatkan lagi peratusannya. Ini kerana bila mana lebih banyak sektor perkhidmatan dibuka, mereka kena hadir ke pejabat…kehadiran ke pejabat wajib walaupun suntikan vaksin belum lagi diwajibkan setakat ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kira-kira 400 masyarakat India di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Khairul Adib berkata setakat 19 Ogos lepas, 74 peratus penjawat awam di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 manakala 17.8 peratus lagi menerima satu dos.

    Beliau berkata pihaknya turut meminta Kementerian Kesihatan untuk menyegerakan pemvaksinan kepada 30,000 penjawat awam yang masih belum ada tarikh janji temu sebelum pembukaan semua sektor ekonomi di negara ini.

    “Ini kerana kalau kita nak buka sektor ekonomi, perkhidmatan kerajaan perlu dibuka terlebih dahulu, jadi kita harap yang belum ada janji temu segera divaksinkan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru penjawat awam yang belum mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk berbuat demikian sekali gus memastikan negara mencapai imuniti kelompok dengan segera.

    Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata semua penjawat awam kini telah bersedia untuk kembali ke pejabat dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sekali gus mengembalikan semula ekonomi negara seperti sedia kala.

    “Bagi mereka yang bekerja dari rumah pula, kita sarankan untuk sentiasa mengekalkan produktiviti malah perlu jadi lebih baik biarpun berdepan pelbagai kekangan termasuk masalah capaian internet,” katanya.- BERNAMA

  • 69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah jawatan di Istana Negara esok

    69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah jawatan di Istana Negara esok

    SERAMAI 31 menteri dan 38 timbalan menteri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok.

    Turut dijangka berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Selain itu, istiadat dijadual bermula jam 2.30 petang itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Kesemua mereka diumum sebagai ahli pentadbiran negara oleh Ismail Sabri Jumaat lepas, tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Seri Paduka 20 Ogos lepas.

    Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

    Menamakannya ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’, Perdana Menteri berkata senarai ahli pentadbiran baharu itu merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan ‘Keluarga Malaysia’.- BERNAMA