Category: Umum

  • Najib, Rosmah, pemilik firma Lubnan periksa 11,991 unit barang kemas bulan depan

    Najib, Rosmah, pemilik firma Lubnan periksa 11,991 unit barang kemas bulan depan

    Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta pemilik syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, Samer Halimeh akan memeriksa 11,991 unit barang kemas yang disita polis dan kini disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM), bulan depan.

    Barang kemas itu antara pelbagai barangan yang disita dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018.

    Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin semasa dihubungi berkata pihak-pihak terlibat bersetuju untuk memeriksa barang kemas itu bermula 25 Okt hingga 5 Nov.

      “Pemeriksaan akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) BNM serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan Covid-19,” katanya kepada Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini.

    Pemeriksaan barang kes tersebut yang kini disimpan dalam lebih 90 buah kotak telah ditangguh beberapa kali disebabkan pandemik Covid-19.

    Najib, Rosmah dan Global Royalty merupakan pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas dalam permohonan lucut hak difailkan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki oleh Tan Sri Bustari Yusof.

    Pada 25 Julai tahun lepas, Najib dan Rosmah telah memeriksa sebanyak 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

    Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

    Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

  • 19,307 kes baharu Covid-19, Sarawak tertinggi, Perlis 108 kes

    19,307 kes baharu Covid-19, Sarawak tertinggi, Perlis 108 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini turun sedikit hari ini apabila merekodkan sebanyak 19,307 kes hari ini berbanding 19,733 jangkitan semalam.

    Penurunan 426 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,919,774 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak buat hari keempat berturut-turut merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila mencatatkan sebanyak 3,118 kes baharu berbanding 3,100 kes semalam.

    Selangor pula terus mengekalkan kes harian jangkitan pada paras 2,000 kes, apabila mencatatkan 2,700 kes berbanding 2,989 kes semalam untuk berada di tempat kedua.

    Selain Selangor, Sabah, Pulau Pinang dan Johor turut menyumbang lebih 2,000 kes harian apabila masing-masing mencatatkan 2,298 kes, 2,243 kes dan 2,032 kes.

    Perlis pula mencatatkan 108 kes harian dipercayai tertinggi pernah dicatatkan negeri yang kini berada di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Sebanyak tiga negeri pula mencatatkan lebih 1,000 jangkitan iaitu Kelantan (1,438 kes), Kedah (1,355 kes) dan Perak (1,341 kes).

    Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 15 jangkitan dan Putrajaya 28.

  • PKPD: Kerajaan negeri Kedah edar bantuan makanan kepada penduduk

    PKPD: Kerajaan negeri Kedah edar bantuan makanan kepada penduduk

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Edaran bantuan makanan kepada penduduk di dua zon mukim Kuala Kedah yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sudah pun bermula sejak dua hari.

    Menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, kerajaan negeri melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) malah akan mula mengedarkan 5,000 lagi bakul makanan tambahan kepada penduduk yang terkesan bermula Sabtu ini.

    Katanya, penyerahan bakul makanan tambahan itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000.

    Sementara itu Muhammad Sanusi ketika dihubungi Warta Rakyat memaklumkan, terdapat pihak tertentu dilihat sengaja memburukkan keadaan berikutan pelaksanaan PKPD tersebut, dengan penyebaran pelbagai dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak memberi perhatian terhadap kawasan itu

    Malah katanya, nombor telefonnya turut disebarkan secara meluas hingga dengan beliau telah menerima lebih 1,000 panggilan serta mesej Whatsapp sejak semalam.

    “Saya minta mereka semua hubungi PKOB jika terputus bekalan makanan. Ketika ini semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak penularan Covid-19.

    “Sektor penting seperti makanan, keselamatan, pelabuhan dan kesihatan dibenarkan beroperasi namun penduduk diminta terus berada di rumah jika tiada urusan,” katanya.

    PKPD di dua zon mukim Kuala Kedah bermula pada Isnin lalu dan bakal berakhir pada 19 September depan.

  • Pekerja penyelenggara cedera dihempap tiang antena

    Pekerja penyelenggara cedera dihempap tiang antena

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja penyelenggaraan cedera selapas dihempap tiang antena di atas sebuah bangunan di Taman Mawar, Ampang, hari ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima laporan pada jam 12.21 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

    “Seorang lelaki berusia 25 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat dihempap antena di atas sebuah bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untung menerima rawatan lanjut.

  • Hanya kakitangan sokongan lengkap vaksin boleh masuk sekolah

    Hanya kakitangan sokongan lengkap vaksin boleh masuk sekolah

    HANYA kakitangan sekolah yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan memasuki premis sekolah, dedah satu pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM).

    Kakitangan sokongan KPM itu melibatkan pekerja perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK), perkhidmatan bekalan makanan bermasak (BMB) dan bekalan makanan mentah (BMM).

    Menurut pekeliling bertarikh 3 September lalu itu, langkah berkenaan dilaksanakan bagi merealisasikan usaha KPM mencapai imuniti kelompok di kawasan sekolah.

    “Kebenaran itu terpakai untuk penerima dos lengkap yang sudah melepasi hari ke-14 daripada tarikh kedua suntikan untuk vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

    “Bagi penerima vaksin satu dos keluaran syarikat Johnson & Johnson serta CanSino pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya.

    Dokumen itu dikeluarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Noor Azman Abdul Rahman.

    Arahan itu dibuat selaras dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, bahawa sesi persekolahan secara bersemuka dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 3 Oktober depan, tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Sehubungan itu, KPM mengingatkan kontraktor perkhidmatan PKK, KBK, BMB dan BMM untuk memastikan pekerja seliaan mereka lengkap divaksinasi sebelum memasuki kawasan sekolah.

  • Dakwaan langgar kuarantin kendiri, polis ambil keterangan Guan Eng

    Dakwaan langgar kuarantin kendiri, polis ambil keterangan Guan Eng

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang akan memanggil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar tempoh kuarantin kendiri sebaik sahaja beliau selesai menjalani tempoh kuarantin itu pada 10 September ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

    Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

    “Kita juga telah merekodkan keterangan kesemua individu yang membuat laporan polis semalam manakala keterangan daripada pihak Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan direkodkan hari ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Semalam dua sayap pemuda parti pembangkang di Pulau Pinang iaitu Gerakan dan MCA membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kerana didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri. 

    Laporan itu supaya polis menjalankan siasatan selepas Guan Eng menghadiri sidang DUN pada 2 September lalu sedangkan beliau dilaporkan sepatutnya menjalani kuarantin kendiri bermula 1 hingga 10 September. 

    Terdahulu, media melaporkan perbicaraan kes Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan melibatkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19. 

    Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya itu diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.

    Bagaimanapun Guan Eng dalam kenyataan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan beliau hanya diberitahu pada 2 September setelah menghadiri sidang DUN yang mana beliau mungkin menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September. 

    Sehubungan itu jelasnya, beliau telah tinggal di rumahnya di bawah kuarantin kendiri selepas menghadiri sidang DUN pada 2 September sebelum kemudiannya diuji negatif. 

  • Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    JUMLAH penganggur di negara ini mengalami sedikit kenaikan kepada 778,200 ketika kadar pengangguran bulan Julai kekal pada 4.8 peratus.

    Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, jumlah guna tenaga terus mencatatkan penurunan namun pada kadar yang perlahan manakala pengangguran mencatatkan sedikit peningkatan.

    Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada awal Julai berkata, seluruh negara diletakkan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan peningkatan mendadak jumlah kes baharu Covid-19 dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi.

    Katanya, lapan negeri yang beralih ke Fasa 2 PPN, membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut.

    Berdasarkan sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan penurunan bulan ke bulan kecuali sektor perkhidmatan dengan perubahan positif yang kecil.

  • Amalan berpuasa rahsia dua beradik hidup lebih satu abad

    Amalan berpuasa rahsia dua beradik hidup lebih satu abad

    AMALAN berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan dan puasa sunat Isnin Khamis menjadi rahsia dua beradik dari Kampung Rengas, Tok Bok, Machang, Kelantan hidup sehingga mencecah usia lebih 100 tahun.

    Kedua-dua wanita itu, Munah Yunus, 115, dan Pah Yunus, 111,kini hanya mampu mengengsot selepas tulang belakang mereka terjejas akibat terjatuh dalam kejadian berasingan sejak 10 tahun lalu.

    Menurut Pah, umur rasmi dia dan kakaknya yang masing-masing telah kematian suami adalah 97 dan 101 tahun.

    Bagaimanapun kata ibu kepada lima anak itu, jika mengikut usia sebenar, umur mereka telah melebihi satu abad berdasarkan lambang ‘*’ pada hujung nombor kad pengenalan.

    Katanya, mereka bersyukur kerana dikurniakan umur yang panjang dan pada masa sama sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin pada awal Ogos lalu.

    “Saya hanya menghidap penyakit darah tinggi dan Parkinson, manakala kakak pula tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

    “Namun, disebabkan usia yang semakin lanjut pendengaran kami kurang jelas selain penglihatan kakak juga sudah kabur dan nyanyuk,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, nenek kepada 18 cucu serta 36 cicit itu memberitahu, rahsia dia kekal sihat adalah disebabkan amalan berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan serta puasa sunat setiap Isnin dan Khamis ketika masih muda.

    Malah katanya, amalan itu masih diteruskan sehingga ke hari ini.

    “Sejak kebelakangan ini, kakak saya sudah tidak lagi dapat berpuasa berterusan selama tiga bulan dan hanya berpuasa penuh pada bulan Ramadan sahaja kerana mudah keletihan.

    “Di sebalik kekangan termasuk faktor fizikal sudah tidak seperti sedia kala, kami berdua tidak pernah meninggalkan amalan wajib iaitu solat fardu lima waktu meskipun terpaksa menunaikannya secara duduk,” katanya.

    Sementara itu, anak ketiga Pah, Mohd Ramli Ismail, 63, berkata, ibunya juga sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat serta mengamalkan makan ulam-ulaman selain berpuasa.

    Katanya, dia amat bersyukur kerana ibu dan ibu saudaranya (Munah) dikurniakan kesihatan ketika usia mereka sudah lebih satu abad selain berpeluang melihat cucu serta cicit membesar di depan mata.

    “Malah hubungan ibu dan kakaknya juga sangat akrab kerana selepas ibu dan ayah mereka meninggal dunia, hanya tinggal mereka dua beradik sahaja memandangkan tidak mempunyai adik-beradik lain,” tambahnya.

  • Separuh populasi Malaysia lengkap divaksin

    Separuh populasi Malaysia lengkap divaksin

    LEBIH 50 peratus populasi keseluruhan Malaysia telah lengkap divaksinasi setakat semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam hantaran Facebook hari ini.

    Menerusi perkongsian infografik JKJAV memaklumkan, sebanyak 50.5 peratus populasi keseluruhan negara menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 manakala 64.1 peratus populasi keseluruhan mendapat dos pertama vaksin.

    Bagi populasi dewasa pula, sebanyak 16,492,295 individu atau 70.5 peratus telah menerima dua dos lengkap vaksin manakala 20,943,582 orang atau 89.5 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 37,392,241 dos vaksin termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos diberikan di seluruh negara,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, Sabah merupakan satu-satunya negeri yang masih belum mencapai tahap 50 peratus populasi dewasanya telah menerima dua dos lengkap vaksin iaitu 47 peratus.

    Johor, Pahang, Perak, Kedah dan Kelantan masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin ketika ini pada sekitar 50 peratus.

    Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu pula masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin membabitkan populasi dewasa ketika ini pada sekitar 60 peratus.

    Lembah Klang membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menyaksikan peratusan tertinggi dalam pemberian dos vaksin membabitkan populasi dewasa iaitu 113 peratus sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 98.4 peratus lengkap divaksinasi.

    Pencapaian itu diikuti Labuan (102.6 peratus satu dos dan 95.7 peratus dua dos); Sarawak (91.3 peratus satu dos dan 87.9 peratus dua dos); Negeri Sembilan (98.7 peratus satu dos dan 85.1 dua dos) dan Perlis (92.7 peratus satu dos dan 72.6 peratus dua dos).

    Sementara itu, JKJAV pada masa sama memberitahu, untuk vaksinasi harian, sebanyak 320,452 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, ia melibatkan pemberian 128,038 dos pertama manakala 192,414 lagi dos lengkap.

    Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Februari lalu memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • Mayat lelaki ditemui di belakang kuil, berdekatan belukar

    Mayat lelaki ditemui di belakang kuil, berdekatan belukar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki berusia 40-an ditemui maut di kawasan belukar di belakang kuil di Jalan Lahat, Simpang Pulai, Ipoh, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.15 tengahari memaklumkan penemuan mayat berkenaan.

    “Sekumpulan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh dan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh digerakkan bagi menjalankan siasatan di lokasi penemuan,” lapor BH, hari ini.

    Katanya, hasil siasatan pegawai penyiasat dan forensik mendapati tiada unsur jenayah atas kematian mangsa.

    Yahaya berkata, mayat lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.