Category: Umum

  • KPM tidak halang kehadiran pelajar tolak vaksin di sekolah

    KPM tidak halang kehadiran pelajar tolak vaksin di sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan menghalang pelajar yang tidak mengambil vaksin COVID-19 daripada hadir di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan nanti.

    Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pelajar yang menolak vaksin itu tetapi hanya sebilangan kecil kerana ibu bapa yang tidak bersedia untuk membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.

    “Seseorang pelajar itu ada hak (untuk belajar dan datang ke sekolah). Tiada sebab untuk KPM menghalang mereka kembali ke sekolah (tanpa vaksin). Kaunseling akan diberikan khususnya kepada ibu bapa kerana bukan pelajar yang enggan menerima vaksin tetapi ibu bapa yang tolak,” katanya pada sidang media khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bersama Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, di sini hari ini.

    Beliau berkata KPM melalui pejabat pendidikan daerah (PPD) telah mengeluarkan arahan kepada sekolah di seluruh negara supaya pemberian janji temu bagi PICK Remaja dapat dipercepatkan untuk memastikan kejayaannya. 

    Katanya pelbagai kaedah akan diambil KPM untuk memberi penerangan kepada ibu bapa tentang keperluan vaksin supaya mereka bersedia demi keselamatan serta melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan serius COVID-19. 

    “KPM bersedia mengadakan hebahan membantu ibu bapa dan sekolah mencapai matlamat. KPM merancang untuk menghantar pelbagai bahan hebahan untuk membantu ibu bapa menerima maklumat yang betul supaya bersetuju membenarkan anak-anak menerima vaksin,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mah berkata prinsip yang dipegang kementerian itu adalah memastikan seramai mungkin pelajar menerima vaksin COVID-19 menerusi PICK Remaja dalam masa terdekat.

    Beliau berkata prinsip itu adalah seiring dengan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Okt ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. 

    “KPM tidak memilih jurusan mana atau kumpulan mana tetapi lebih kepada pembukaan sekolah khusus Tingkatan 6 atau pelajar yang perlu kembali ke sekolah untuk membuat persediaan peperiksaan,” katanya.- BERNAMA 

  • Enggan divaksinasi punca masjid tidak dibuka sepenuhnya – Exco Selangor

    Enggan divaksinasi punca masjid tidak dibuka sepenuhnya – Exco Selangor

    KEENGGANAN segelintir masyarakat Islam menerima vaksin COVID-19 menyukarkan pihak berkuasa membenarkan pembukaan sepenuhnya masjid-masjid di Selangor, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud.

    Beliau berkata sehingga semalam masih ada ahli masjid yang tidak mahu divaksin menyebabkan kelulusan sepenuhnya untuk membuka semula masjid-masjid belum dapat dipenuhi.

    “Perkara ini sudah pasti sangat menyedihkan, walaupun golongan yang menolak vaksin mengatakan perkara tersebut adalah hak mereka, hak majoriti juga perlu dilindungi. 

    “Saya rasa sudah cukuplah media sosial menguar-uarkan perkara yang tidak berasas (berkenaan vaksin dan COVID-19) yang telah menyebabkan banyak program tertunda,” katanya pada sidang media hari ini.

    Media hari ini melaporkan, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata hanya 20 peratus daripada 146 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah JAIS yang hadir program vaksinasi khas JAIS hari ini, bersetuju mendapatkan suntikan dos pertama.

    Menurut Mohd Shahzihan, jumlah sebenar mereka yang diarahkan hadir dalam program dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu adalah 872 orang.

    Susulan  itu, beliau berkata JAIS dijangka mempersembahkan senarai individu yang enggan menerima vaksin di bawah kelolaan pihaknya kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat ini untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • Sultan Selangor dukacita, teliti nama enggan ambil vaksin

    Sultan Selangor dukacita, teliti nama enggan ambil vaksin

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah akan meneliti nama-nama guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah yang tidak mahu divaksin dan menentukan tindakan yang bakal diambil terhadap mereka.

    Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila diberitahu hanya 203 daripada 873 guru KAFA, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah di Selangor menghadiri sesi program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner JAIS, yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

    “Lebih mendukacitakan baginda, daripada 203 orang yang hadir, 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.

    “Titah baginda apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA,” menurut kenyataan itu.

    Sultan Selangor bertitah pelbagai inisiatif dan cara dilakukan dengan kerjasama JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas masjid dan pejabat agama demi kesejahteraan dan membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.- BERNAMA

  • Annuar cadang wujud pusat kawalan komunikasi

    Annuar cadang wujud pusat kawalan komunikasi

    SATU pusat kawalan komunikasi dicadang diwujudkan dalam usaha menyampaikan maklumat diputuskan kerajaan kepada masyarakat dengan lebih tepat, pantas dan mudah difahami, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata cadangannya itu susulan cabaran-cabaran dihadapi dalam pelaksanaan program kerajaan yang didapati antara lain berpunca daripada maklumat salah dan maklumat palsu.

    Menegaskan bahawa kerajaan memandang amat serius mengenai keberkesanan penyampaian maklumat, beliau berkata satu kajian sedang dijalankan supaya pusat kawalan berkenaan kelak dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

    “Sesebuah kerajaan berkesan adalah kerajaan yang dapat menyampaikan maklumat pantas dan cepat serta difahamai rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Di peringkat Jemaah Menteri pula, Annuar berkata satu jawatankuasa yang dipengerusikannya dibentuk melibatkan 10 menteri yang akan bersidang setiap minggu bagi membuat penelitian dalam aspek berkaitan komunikasi kerajaan.

    Selain usaha itu yang memberi penekanan kepada komunikasi berkesan, Annuar berkata jentera penerangan kerajaan akan diperkemas bukan sahaja di peringkat Jabatan Penerangan yang berada di daerah-daerah, tetapi juga penglibatan komuniti.

    Ini katanya termasuk menghidupkan komuniti Keluarga Malaysia iaitu satu bentuk kerjasama badan bukan kerajaan di akar umbi agar mereka dapat bersama-sama dengan kerajaan di bawah konsep pemerkasaan komuniti untuk menyampaikan dan menerima mesej kerajaan.

    Pada masa sama, kementerian juga, kata beliau berharap Pusat Internet Komuniti yang ada di seluruh negara dapat diubah suai untuk turut menjadi pusat yang menjadi tempat penyaluran maklumat boleh disampaikan.

    “Pada masa ini ada hampir 800 pusat internet yang akan diubah menjadi pusat digital ekonomi Keluarga Malaysia dan mereka juga dengan kemudahan yang ada akan turut membantu usaha kerajaan menyampaikan maklumat kepada rakyat.

    “Usaha-usaha lain saya fikir memang telah diketahui, di mana agensi di bawah kerajaan termasuk RTM, Bernama, Jabatan Penerangan telah jalankan usaha bersesuaian dengan kaedah-kaedah semasa menggunakan pelbagai media bukan sahaja secara bersemuka, tetapi juga melalui sosial media dan kaedah-kaedah terkini,” katanya.

    Ahli Parlimen Ketereh itu berkata beliau menerima hakikat dan pandangan Ahli-ahli Parlimen bahawa usaha-usaha penyampaian maklumat perlu dipertingkat dan usaha-usaha merekayasa sistem itu perlu dilakukan.

    “Oleh kerana saya baru di kementerian ini, saya perlukan sedikit masa untuk pastikan proses merekayasa sistem ini dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya.- BERNAMA

  • ’Saya tak kan berlakon, tetap jadi diri sendiri’’ – MB Kedah

    ’Saya tak kan berlakon, tetap jadi diri sendiri’’ – MB Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ‘’KALAU orang lain nak jadikan perkara itu serius, terpulang pada mereka. Saya takkan bekerja dalam keadaan berlakon dan akan terus menjadi diri sendiri.’

    Itulah yang ditegaskan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md.Nor bagi membalas desakan pembangkang yang mahu beliau mengubah perwatakan diri beliau.

    Beliau sebaliknya mempersoalkan tindakan mereka yang membangkitkan isu tersebut ketika sidang Dewan Undangan Negeri memandangkan ia sepatutnya menjadi tempat bagi membincangkan perkara  berkaitan rakyat dan negeri.

    “Dalam sidang akhbar, saya selalu sebut nama wartawan tetapi itu pun ada orang lain yang merungut dan mengatakan tak payahlah sebut nama ketika sidang akhbar. Semua orang nak aturkan saya jadi macam mana tetapi saya tetap akan jadi diri sendiri dan mereka boleh jadi diri mereka sendiri,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Alor Setar, hari ini.

    Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang antaranya Datuk Johari Abdul serta Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta ADUN Kulim, Yeo Keng Chuan sejak semalam menegur Muhammad Sanusi agar lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan.

    Hari ini ADUN Pengkalan Kundur, Datuk Dr. Ismail Salleh yang juga bekas Exco Kesihatan negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, turut membangkitkan perkara sama dengan mengungkit gurauan Muhammad Sanusi dalam isu kontena jenazah beberapa bulan lalu.

    Muhammad Sanusi menambah, gurauan dilakukannya dianggap sebagai terapi bagi menghadapi tekanan kerja selain mengeratkan hubungan dengan mereka di sekelilingnya.

    “Nak suruh saya cakap bahasa muluk-muluk atau bangsawan, saya tak reti. Jadi saya cakap bahasa saya sajalah.

    “Kalau benda macam itu pun nak bawa masuk Sidang DUN, saya rasa tak patutlah kerana prestasi dan pencapaian sepatutnya dinilai daripada hasil pentadbiran termasuk dari segi produktivitinya,” katanya.

  • Melaka belum ‘buka pintu’ pada pelancong, keputusan Okt ini

    Melaka belum ‘buka pintu’ pada pelancong, keputusan Okt ini

    PEMBUKAAN sektor pelancongan di Melaka akan diputuskan pada pertengahan bulan depan berikutan beberapa faktor penting yang perlu diteliti. 

    Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak tercetusnya kluster pelancongan sekali gus menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di Melaka.

    Katanya antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi sektor berkenaan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Kerajaan negeri mengalu-alukan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berhubung pembukaan tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini termasuk Melaka.

    “Bagaimanapun, kita tidak akan tergesa-gesa membuka sektor pelancongan negeri ini dalam masa terdekat kerana menunggu SOP khusus daripada MKN,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga sedang memantau perkembangan semasa berkaitan kes COVID-19 di Langkawi, selepas sektor pelancongan pulau itu dibuka menerusi projek rintis Gelembung Pelancongan minggu lepas.

    Selain Melaka, dua destinasi lain yang akan dibuka kepada pelancong tempatan bermula 1 Okt ini ialah Genting Highlands dan Pulau Tioman.- BERNAMA

  • Sindiket dadah di Pulau Pinang tumpas, syabu hampir RM4 juta dirampas

    Sindiket dadah di Pulau Pinang tumpas, syabu hampir RM4 juta dirampas

    POLIS Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai untuk pasaran luar negara apabila merampas sebanyak 107.5 kilogram (kg) syabu bernilai RM3.87 juta dalam serbuan di jeti pendaratan ikan Sungai Acheh di Barat Daya pada Isnin lalu.

    Dalam serbuan itu polis menjumpai 100 bungkus dadah dibungkus di dalam paket teh Cina dan disorokkan di dalam sebuah bot.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan antara pukul 2.30 hingga 5 petang itu juga, polis turut menahan enam suspek lelaki termasuk tiga warga asing yang disyaki terlibat dengan sindiket terbabit.

    Menurut beliau, serbuan pertama di jeti itu kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Bukit Tambun, Jawi dan seorang lagi lelaki warga tempatan ditahan.

    “Suspek yang ditahan berusia 30 hingga 55 tahun dan bekerja sebagai buruh itu dipercayai menjadi penghantar bekalan dadah ke luar negara menggunakan jalan laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Siasatan juga mendapati sindiket itu bergerak aktif sejak awal bulan ini dan dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka termasuk di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, dalam operasi itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,000, dua buah kereta dan dua buah motosikal dengan nilai keseluruhan RM17,800 daripada tiga suspek warga tempatan.

    Ujarnya, ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek didapati negatif dadah dan mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Harga RON95, diesel kekal RON97 naik dua sen

    Harga RON95, diesel kekal RON97 naik dua sen

    HARGA runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter sehingga 29 Sept, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun harga runcit petrol RON97 naik dua sen seliter daripada RM2.73 kepada RM2.75 mulai esok sehingga 29 Sept.

    Menurut Kementerian Kewangan harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” katanya.

    Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.- BERNAMA

  • Kes pinjaman ‘ah long’ di Pulau Pinang tunjuk trend peningkatan

    Kes pinjaman ‘ah long’ di Pulau Pinang tunjuk trend peningkatan

    SEBANYAK  87 kes melibatkan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ‘ah long’ dengan nilai kerugian kira-kira RM800,000 dilaporkan di Pulau Pinang antara Januari tahun ini hingga bulan ini.

    Jumlah itu menunjukkan trend peningkatan berbanding tahun lalu yang mana sebanyak 91 kertas siasatan melibatkan kes along dibuka sepanjang tahun 2020.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menjangkakan kes melibatkan sindiket ‘ah long’ akan terus bertambah tahun ini sekiranya orang ramai tidak berhati-hati dan terus terperdaya.

    Mengulas lanjut tambah beliau, setakat ini juga, polis telah menahan seramai 99 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan along itu termasuk tiga suspek semalam.

    “Berbanding tahun lalu, kita menahan seramai 59 individu yang disyaki terlibat dengan ‘ah long’ dan kita mohon orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terjerat dengan sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

    Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis akan menggunakan teknologi dron dalam pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa khususnya di kawasan tumpuan ramai dan pusat pelacongan di Pulau Pinang.

    Menurut beliau, sepanjang pemantauan pihaknya di lokasi tumpuan serta pusat pelancongan pantai pada 16 hingga 19 September lalu, polis berpuas hati dengan pematuhan daripada orang ramai.

    “Kita pada mulanya menjangkakan orang ramai akan memenuhi pusat-pusat rekreasi dan lokasi pelancongan ini, namun pemantauan mendapati kehadiran pengunjung tidak terlalu ramai.

    “Malah, jumlah kenderaan juga  didapati menurun sehingga 28 peratus sepanjang tempoh terbabit” katanya.

  • Tiada pelancong dikesan positif Covid-19 di Langkawi

    Tiada pelancong dikesan positif Covid-19 di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PEMBUKAAN sektor pelancongan di Langkawi sejak 16 September lalu tidak membawa sebarang kes positif Covid-19 melibatkan pelancong destinasi pelancongan popular itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, keadaan itu membuktikan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan dalam projek rintis gelembung pelancongan tersebut.

    “Kes-kes Covid-19 di Langkawi ketika ini semuanya melibatkan penduduk pulau tersebut dan bukannya membabitkan mereka yang datang untuk melancong.

    “Itu bermakna SOP yang dilaksanakan berkesan malah ujian saringan yang dijalankan di lokasi sebelum pelancong berlepas ke Langkawi juga berjaya mengelakkan mereka yang positif Covid-19 daripada memasuki Langkawi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (PAS-Ayer Hitam) mengenai kesan pelaksanaan SOP kepada pelancong dalam sektor pelancongan di Langkawi dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

    Mohd. Firdaus menambah, kementerian pelancongan mengunjurkan seramai 200,000 pelancong akan memasuki Langkawi menjelang penghujung tahun ini.

    “Melihat kepada perkembangan positif di Langkawi, Kementerian Pelancongan telah mengumumkan pembukaan sektor pelancongan di destinasi lain pada 1 Oktober ini dengan Langkawi dijadikan sebagai contoh,” katanya.

    Sementara itu katanya, pembukaan Jeti Kuala Kedah bermula esok dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan di Langkawi selain mendatangkan manfaat kepada penduduk setempat.

    “Sebelum ini kita memang mengalami sedikit ‘kerugian’ kerana para pelancong yang menaiki feri ke Langkawi terpaksa dilencongkan ke Kuala Perlis memandangkan Jeti Kuala Kedah ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    “Insya Allah esok jeti itu akan kembali dibuka. Maka kita akan turut melihat rakyat di Kuala Kedah mendapat nikmat daripada pembukaan Langkawi,” katanya.