PEMBUKAAN semula gelembung pelancongan di Pulau Perhentian sejak Isnin lalu dijangka mampu menghidupkan kembali sektor pelancongan di Terengganu.
Ini kerana, penutupan sementara pulau peranginan terkenal itu pada akhir Ogos lalu ekoran berlaku penularan Covid-19 memberi kesan amat mendalam bukan sahaja kepada penggiat industri, tetapi juga penduduk di pulau berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab yang juga merupakan Pegawai Daerah Besut, pulau peranginan itu mula dibuka kepada pelancong berkuat kuasa Isnin lalu.
Katanya, langkah itu dibuat selaras dengan keputusan kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada individu sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan peralihan Terengganu ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, penggiat industri pelancongan di Pulau Perhentian terutama pengusaha chalet dan pemandu bot sudah bersedia menerima kedatangan pelancong di mana shingga ini lebih 1,508 atau 90 peratus golongan terbabit sudah lengkap divaksin.
“Malah, pengusaha chalet turut menekankan aspek kebersihan dapur dan penyediaan makanan kepada tetamu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada program pemeriksaan premis makanan mengikut norma baharu, di Pulau Perhentian, Besut hari ini.
Turut hadir ialah Pegawai Kesihatan Daerah Besut, Dr. Hafizuddin Awang.
Pembukaan semula Pulau Perhentian selaras keputusan kerajaan melonggarkan SOP kepada individu sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan peralihan Terengganu ke fasa tiga PPN.
Menurut Ahmad Farhan, Jawatankuasa Bencana Daerah Besut bersetuju membenarkan operasi di Jeti Kuala Besut dibuka sepenuhnya Isnin lalu selepas semua penggiat industri pelancongan lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Menurut beliau, pembukaan Pulau Perhentian dilakukan selepas semua penggiat industri pelancongan di pulau berkenaan mematuhi SOP Fasa Tiga PPN.
Akhir Ogos lalu, kerajaan Terengganu terpaksa menutup sementara aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian ekoran berlakunya 75 kes penularan Covid-19.
KERAJAAN bersetuju memberi bantuan kewangan secara sekali-beri RM500 kepada semua pemandu bas ekspres di seluruh negara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata pemberian bantuan itu melibatkan anggaran 6,600 penerima dengan peruntukan berjumlah RM3.3 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).
Syarat utama penerima bantuan tersebut ialah individu atau pemandu bas ekspres adalah warganegara Malaysia dan berdaftar secara rasmi sebagai pekerja dengan syarikat bas ekspres, serta mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang masih sah.
“Individu atau pemandu yang telah menerima bantuan sebagai pemandu bas sekolah, bas pelancongan, teksi atau e-hailing sebelum ini, tidak lagi layak menerima bantuan kepada pemandu bas ekspres,” kata Wee dalam satu kenyataan hari ini.
Syarat lain adalah individu atau pemandu bas ekspres mempunyai Lesen Vokasional yang sah dengan mengambil kira tempoh pengecualian pembaharuan Lesen Vokasional yang telah diberikan Kementerian Pengangkutan (MOT) sepanjang 2021.
Beliau berkata hanya syarikat atau pengusaha bas ekspres yang mempunyai lesen pengendali dan/atau lesen/permit kenderaan bas ekspres yang sah, dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak, layak memohon bantuan berkenaan.
Wee berkata pihak syarikat atau pengusaha bas ekspres dikehendaki mengemukakan maklumat individu atau pemandu bas ekspres di bawah syarikat masing-masing yang lengkap, kepada pihak APAD dan LPKP Sabah dan LPKP Sarawak bagi tujuan saringan kelayakan dan penyaluran bantuan.
“Pihak syarikat atau pengusaha bas ekspres boleh mula menghubungi pejabat APAD dan LPKP Sabah dan LPKP Sarawak terdekat bagi tujuan penyelarasan pemberian bantuan itu,” katanya.
Wee berkata proses penyaluran bantuan akan dilaksanakan segera sebaik sahaja peruntukan bantuan diterima MOT dan agensi pelaksana berkaitan.
“Mudah-mudahan bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada pemandu bas ekspres dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik COVID-19, dan seterusnya kembali bangkit untuk meneruskan operasi apabila keadaan beransur pulih sepenuhnya kelak,” katanya.
Wee berkata MOT juga akan mengenal pasti langkah dan meneliti garis panduan bagi membantu pihak pengusaha bas ekspres dapat menyediakan perkhidmatan ke tahap yang normal, dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berwajib lain dan persatuan syarikat serta pengusaha bas ekspres.
Beliau berkata garis panduan dan langkah pengoperasian yang selamat akan dibangunkan, bagi membantu pengusaha bas ekspres memberikan perkhidmatan dengan baik apabila perjalanan rentas sempadan dibenarkan kelak, serta menyokong pelaksanaan perjalanan pelancongan domestik terhad yang akan dibenarkan oleh kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).- BERNAMA
PIHAK pengurusan sekolah dinasihatkan supaya mengurangkan penggunaan penyaman udara bagi memastikan sistem pengudaraan dan kualiti udara yang baik sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan COVID-19 apabila sesi persekolahan kembali dibuka kelak.
Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kadar suhu yang dinasihatkan adalah antara 23 hingga 26 darjah Celsius sekiranya penyaman udara masih digunakan di bangunan sekolah.
“Kita nasihatkan supaya mengurangkan penggunaan penyaman udara dan suhu jangan sejuk sangat (jika guna), yang paling penting adalah pengudaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City di sini, hari ini.
Dr Mah berkata pihaknya sedang melakukan pemantauan bagi memastikan setiap sekolah dan institusi pendidikan mempunyai sistem pengudaraan yang baik bagi mengelakkan penularan COVID-19 sebagai antara persediaan pembukaan semula sesi persekolahan.
Sementara itu, ditanya sama ada terdapat pelajar sekolah atau ibu bapa yang enggan membenarkan anak-anak menerima vaksin COVID-19, beliau berkata kementerian masih berada di peringkat awal pelaksanaan PICK Remaja untuk membuat penilaian berkenaan.
“Yang kita nampak pada keseluruhan pelajar dan ibu bapa sangat bersedia dan teruja untuk menerima vaksin.
“Setahu saya tiada bantahan diterima oleh mereka yang tidak mahu menerima vaksin,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Mah berkata maklumat yang betul dan hebahan berhubung vaksinasi perlu dipergiatkan bagi menggalakkan pelajar dan ibu bapa membawa anak-anak mendapatkan suntikan vaksin demi keselamatan ketika mengikuti pembelajaran di sekolah.
Pembukaan sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 3 Okt ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.
Rabu lepas, Kementerian Kesihatan memberi penekanan dan panduan kepada orang ramai berhubung kepentingan sistem pengudaraan dan kualiti udara dalaman yang baik bagi membendung penularan COVID-19.
Terdahulu, seramai 127 pelajar daripada 570 orang di sekolah berkenaan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada program bermula pukul 9 pagi tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud.-BERNAMA
MINGGU kedua persidangan Dewan Rakyat menyaksikan Ahli-ahli parlimen pembangkang dan kerajaan membangkitkan pelbagai isu pada sesi perbahasan dan dijawab oleh menteri-menteri berkaitan dalam masa dua hari sesi penggulungan.
Sebanyak 27 kementerian selesai menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bermula Rabu lepas dimulakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan berakhir dengan Jabatan Perdana Menteri.
Sebanyak 91 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan bermula 14 Sept dan sepanjang persidangan kali ini, Ahli-ahli Parlimen baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang mengutarakan soalan dan perbahasan tanpa menimbulkan ‘kekecohan’ tidak perlu.
Setiap soalan rata-ratanya berkaitan kepentingan di kawasan masing-masing, dijawab oleh menteri atau timbalan menteri dan kebanyakan jawapan diterima dengan baik.
Antara yang menarik perhatian adalah isu pembukaan sekolah dengan Kementerian Pendidikan memaklumkan akan membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 kepada sekolah berasrama dan sekolah harian di bawah kementerian itu, sebelum murid-murid memulakan sesi persekolahan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan menyatakan meskipun penularan kes COVID-19 masih tinggi, namun berdasarkan indikator-indikator penting, ia mula menunjukkan trend penurunan dan memberikan sinar ke arah proses pemulihan negara yang lebih baik.
Selain itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan projek pembinaan menara telekomunikasi baharu akan dilaksanakan segera untuk memastikan pelaksanaan program jalur lebar dan khidmat 4G di negara ini.
Rang Undang-undang Anti Lompat Parti juga dibangkitkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu sidang dewan Peguam Negara telah menerima arahan untuk menggubal undang-undang itu.
Dalam pada itu, Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021 adalah satu-satunya yang dibentang bagi bacaan kali pertama dalam tempoh dua minggu persidangan.
Sidang bersambung Isnin ini dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA
SERAMAI 19,156,694 individu atau 81.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.
Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.3 peratus atau 21,847,551 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Selain itu, seramai 23,703 individu atau 0.8 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.
Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 326,612 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 132,562 dos pertama dan 194,050 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 41,573,883 dos.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.
Sementara itu, sebanyak 116 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi (23 Sept), menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 24,681.
Bagaimanapun, daripada 116 kematian baharu itu, 92 kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (23 Sept) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak dan angka boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.
Sebanyak 29 daripada kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). – BERNAMA
JABATAN Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan bahawa terdapat dua kes Leptospirosis (kencing tikus) dan satu kes Rotavirus dilaporkan dengan pesakit kes berkenaan ditempatkan di Hospital Tuanku Jaa’far (HTJ), di sini untuk rawatan.
Pengarah JKNNS Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata tiga pesakit itu dimasukkan ke HTJ selepas mengalami gejala demam, muntah dan cirit birit kerana mempunyai sejarah mengunjungi Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah minggu lepas.
“Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam siasatan dan masih menunggu keputusan ujian pengesahan Leptospirosis, penilaian risiko dan sampel persekitaran di kawasan berkenaan yang diambil pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah sebelum tindakan susulan dilakukan.
“Sehubungan itu, jika sesiapa mempunyai sejarah perjalanan ke Ulu Bendul dan mempunyai gejala, boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Baru-baru ini, tular dalam aplikasi WhatsApp mendakwa terdapat individu yang dijangkiti kencing tikus dan Rotavirus selepas mengunjungi Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah pada minggu lepas.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) berkata kolam mandi Ulu Bendul ditutup sementara berkuat kuasa Jumaat lepas sehingga Ahad ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dilakukan.
“Penutupan itu dilakukan susulan dipercayai berlakunya penularan Rotavirus dan Leptospirosis di lokasi berkenaan. Ia ditutup sementara selepas disyorkan JKNNS supaya pihak berkenaan dapat melakukan siasatan dan analisa kes,” katanya.- BERNAMA
TIGA lokaliti di Pahang dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 25 September sehingga 8 Oktober ini.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD di Pahang melibatkan Kampung Telimau, Pos Terisu, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands dan PASDEC Damansara, Kuantan.
“Satu kawasan di Sabah adalah di Kampung Pangkalan Abai, Kota Belud,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah, Pahang dan Terengganu esok.
Rodzi berkata, ia membabitkan satu lokaliti di Pahang iaitu Kampung Kuala Koyan, Mukim Ulu Jelai, Lipis.
“Lima lagi lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Lembah Permai dan Kampung Desa Aman di Ranau; Sekolah Henry Gurney, Keningau; Taman Sungai Labuk, Beluran serta Kampung Timug, Matunggong, Kudat.
“Selain itu, tujuh kawasan ditamatkan PKPD di Paka, Terengganu adalah di Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas,” jelasnya.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia agar lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri berkata, NJCSP akan disokong oleh lima petugas khas di bawah Majlis Pekerjaan Negara.
Beliau berkata, penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkatkan melalui enam teras utama iaitu: *Meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik *Memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri *Memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa *Memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan *Memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden *Mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.
“Enam teras tersebut akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung mesyuarat NEC kali ketiga yang diadakan semalam.
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, antara cadangan NJCSP adalah pewujudan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia serta program dan peluang yang ditawarkan.
Ujar beliau, ini bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.
Menurutnya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif.
“Mesyuarat (NEC) juga bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.
“Kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu-isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan telah menyediakan bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang boleh dituntut daripada PERKESO.
Beliau menambah, bagi yang masih mencari pekerjaan pula, mereka boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasrat kerajaan untuk mewujudkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan tahun ini bakal dicapai setelah lebih 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan setakat bulan ini.
Perdana Menteri berkata, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang bermesyuarat buat kali ketiga semalam dimaklumkan bahawa, pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 10 September lalu.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi NEC berkata, kejayaan menempatkan pekerja itu adalah melebihi sasaran yang ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 September ini.
“Ia menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
NEC ditubuhkan Mac lalu semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengatasi masalah pemberhentian kerja dan pengangguran.
NEC merupakan badan tertinggi dalam penetapan dasar, strategi dan pemantauan pelaksanaan inisiatif berkaitan penciptaan pekerjaan.
Ia dianggotai oleh 12 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan 12 wakil dari sektor swasta dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Ismail Sabri selain itu berkata, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.
“Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021,” tambahnya.
Berikut adalah wawancara portal ikatan.my dengan DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD. Beliau adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan.
Dalam wawancara tersebut, Dr.Marzuki yang mengenali Muhyiddin ketika belajar di universiti menceritakan secara terbuka bagaimana bekas Perdana Menteri itu menguruskan negara yang berada dalam suasana cukup genting dan mencabar berikutan pandemik Covid-19.
Banyak yang Dr.Marzuki dedahkan dalam wawancara tersebut bagi membolehkan orang ramai memahami apa sebenarnya dilakukan oleh Muhyiddin ketika serangan wabak itu.Berikut petikan wawancara tersebut;
Mungkin Datuk dapat berkongsi sedikit dengan pembaca tentang bagaimana pada awalnya Datuk terlibat hingga dilantik menjadi KSU Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY).
DR.MARZUKI : Saya mula mengenali TSMY ketika zaman saya belajar di universiti lagi. Saya berkhidmat sebagai pelatih (intern) di sebuah pusat penyelidikan ketika itu sekitar tahun 1995-96.
Pada masa itu TSMY adalah Menteri Belia dan Sukan dan saya melakukan penyelidikan dalam membantu menyediakan penulisan, kertas cadangan dan sebagainya. Selepas itu, ketika TSMY dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada tahun 2009, saya ditawarkan untuk bekhidmat sebagai Pegawai Khas kepada TPM.
Pada masa itu saya mengajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan saya dipinjamkan ke Pejabat TPM. Kemudian selepas PRU Ke- 13, TSMY minta saya untuk melihat politik lebih sedikit. Jadi, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan.
Semasa menjadi pegawai khas, tugas Datuk khususnya apa?
DR.MARZUKI: Saya buat research (penyelidikan) mengenai dasar dan saya banyak membantu dalam hal-hal berkaitan pendidikan dan isu-isu sosial, NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan lain-lain. Kementerian Pendidikan pada masa itu membuat kajian berkenaan dengan Education Blueprint 2013-2025.
Saya bertindak sebagai Liaison Officer (Pegawai Seranta) antara Pejabat TPM dan Kementerian Pendidikan pada masa itu. Kemudian selepas TSMY berada di dalam pembangkang, iaitu selepas beliau dipecat daripada Kabinet, saya balik mengajar di UIA dan saya terus membantu beliau.
Selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihanraya Umum Ke-14 dan TSMY dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, saya kembali berkhidmat dengan beliau sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas (PTTK).
Tugas saya adalah untuk melihat hal-hal berkaitan dasar dan hal ehwal parlimen. Setelah TSMY dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, saya diberi tanggungjawab sebagai Ketua Setiausaha Sulit (KSUS) Kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri sehingga beliau meletak jawatan pada 16 Ogos yang lalu.
Ketika menjawat jawatan PM, bagaimana Datuk melihat karakter dan usaha TSMY apabila mengambilalih kerajaan sejak bulan Februari dan bulan Mac terus kita hadapi serangan Covid 19.
DR.MARZUKI : Saya memerhati dari segi kerja-kerja yang dibuat. Beliau fokus kepada tugas. Bila ada tanggungjawab, TSMY betul-betul melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada beliau.
Kalau ikutkan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, saya ingat dalam tempoh seminggu dua sahaja kita terus berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19 dan saya lihat bagaimana kita tiada masa untuk honeymoon (bulan madu). Biasanya ada honeymoon period. (Kita) tiada. Kita terus buat kerja.
Saya masih ingat lagi pada masa itu Tan Sri Muhyiddin berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat keputusan lockdown (kawalan pergerakan).
Walaupun ada pelbagai pandangan tetapi beliau melihat bahawa pada masa itu, itulah cara yang paling sesuai diambil. Kita masih belum tahu the behavior of the virus (tindak-tanduk virus) di seluruh dunia. Ini suatu virus yang baru.
Beliau buat keputusan untuk menjaga keselamatan nyawa rakyat. Ini soal nyawa dan telah ada orang-orang yang dijangkiti. Dalam mengawal virus ini daripada menular, banyak negara telah melaksanakan lockdown. Jadi itu satu keputusan berat yang diambil kerana ia melibatkan kesan terhadap kehidupan rakyat terutama sekali dari segi ekonomi.
Jadi, kerana itu TSMY pada ketika itu nekad untuk melaksanakan lockdown. Mulanya untuk tempoh dua minggu, kemudian disambung dua minggu lagi dan ditambah lagi. Dalam membuat keputusan lockdown, beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Kena fikir dari segi kehidupan rakyat. Kerana itu diumumkan banyak pakej-pakej rangsangan ekonomi.
Kalau kita tutup sahaja sektor-sektor ekonomi, tidak benarkan orang pergi bekerja tetapi tidak disediakan bantuan, mungkin dalam seminggu boleh tahan lagi. Tetapi masuk dua minggu tiada pendapatan, tiada simpanan. Kerana kebanyakan orang kita tidak menyimpan wang.
Data menunjukkan mungkin kalau dia tidak bekerja, dia boleh bertahan paling lama sebulan. Selepas itu dia tidak boleh bertahan lagi dan terpaksa meminjam duit untuk beli makanan. Jadi, TSMY pada ketika itu meminta Menteri Kewangan supaya cari duit bagaimana hendak memberikan bantuan-bantuan ini.
Akhirnya sepanjang kita berhadapan dengan pandemik ini, bukan setakat kita melaksanakan kawalan-kawalan pergerakan tetapi juga bantuan-bantuan diberi. Hampir setiap golongan masyarakat terima bantuan daripada sejumlah RM 530 billion pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat yang disediakan oleh kerajaan dalam tempoh 17 bulan.
Ini saya fikir satu pakej rangsangan ekonomi yang terbesar dalam sejarah negara. Kalau saya ingat zaman PH dahulu, kerana saya pun dalam PH pada masa itu, bila disebut bantuan untuk rakyat jawapannya kita tiada duit.
Tetapi rupanya ada duit. Kita duduk di situ ada duit yang kita boleh cari di mana-mana untuk tujuan membantu rakyat. Memanglah tahap hutang meningkat sedikit tetapi hutang ini kita boleh bayar apabila kita ada pendapatan. Bila ekonomi telah dibuka dan sumber pendapatan negara bertambah, hutang itu kita boleh bayar.
Tetapi yang penting ialah nyawa dan kehidupan rakyat yang terlibat. Kita lihat dalam tempoh 17 bulan itu perkara utama yang dilaksanakan ialah bagaimana hendak memastikan nyawa rakyat selamat dan pada masa yang sama kehidupan mereka juga boleh dibela, terutama sekali dari segi pendapatan.
Ramai yang terkesan. Saya baru balik dari Langkawi untuk melihat sektor pelancongan yang baru dibuka. Itupun wisdom (kebijaksaan) juga kerana kita tengok sektor pelancongan ini adalah antara sektor yang paling teruk terjejas. Orang tidak boleh melancong kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak boleh bergerak ke sana sini.
Jadi hotel, homestay (inap desa), pengusaha kenderaan pelancongan dan lain-lain banyak yang terjejas. Saya lihat data di Langkawi sahaja kerajaan membelanjakan lebih RM140 juta dalam bentuk subsidi upah kerana sesetengah hotel ini tidak boleh ditutup. Kalau ditutup dan tiada maintenance (penyelenggaraan) hotel-hotel ini akan rosak. Jadi mereka terpaksa upah pekerja-pekerja walaupun tiada pendapatan perniagaan.
Ini kadang-kadang kita terlepas pandang. Jumlah subsidi upah yang diberikan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu pengusaha hotel dan sebagainya untuk mengekalkan pekerja walaupun tidaklah menampung keseluruhan tetapi meringankan beban. Saya lihat ada yang tidak dapat terus terlibat dalam sektor pelancongan semasa PKP dilaksanakan dan mereka terpaksa menjadi nelayan untuk cari sumber pendapatan.
Kita lihat kehidupan rakyat memang terjejas. Kerajaan dengan TSMY sebagai Perdana Menteri pada ketika itu melihat perkara ini sebagai satu yang penting bagi kita. Dasar kita ialah prihatin kepada rakyat. Tidaklah kita kata kita laksanakan PKP dan kita tidak lihat dari segi aspek yang lain. Kerana itu, kerajaan telah beberapa kali melaksanakan pakej rangsangan ekonomi. Selepas satu, satu dilaksanakan – PRIHATIN, PEMULIH, PEMERKASA dan lain-lain.
Kita lihat kehidupan rakyat memang terjejas. Kerajaan dengan TSMY sebagai Perdana Menteri pada ketika itu melihat perkara ini sebagai satu yang penting bagi kita.
Dalam masa kritikal itu, bagaimana beliau (TSMY) mengurus kabinet, ada tak perbezaan pandangan tentang aspek perlaksanaan SOP?
DR.MARZUKI: Ada banyak pandangan yang berbeza-beza. Saya hendak menceritakan lebih sedikit tentang Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tentang bidang kuasa MKN.
Dalam Mesyuarat Sidang Khas MKN, beliau (TSMY) akan mendengar pandangan semua pihak dan akhir sekali akan membuat keputusan. Itu yang lama bermesyuarat sampai dua tiga jam. Nak tutup kilang ke, tak nak tutup kilang ke. Perbahasan tentang hal itu sahaja saya ingat mengambil masa yang lama.
Banyak keputusan dibuat secara kolektif kerana kesan keputusan itu amat besar kepada rakyat dan negara. Maksud kolektif ini, TSMY tidak membuat keputusan secara bersendirian. Bukan beliau fikir hendak buat, beliau buat. Tidak. Setiap keputusan mesti dibuat di dalam mesyuarat.
Saya boleh bagi contoh, Mesyuarat Sidang Khas MKN mengenai Covid19. Keputusan-keputusan mengenai SOP misalnya, itu semua dibuat di dalam Sidang Khas MKN. Diteliti dahulu di peringkat Jawatankuasa Teknikal yang merangkumi pelbagai Kementerian dan agensi. Diperhalusi dan kemudiannya dibawa ke dalam Sidang khas MKN untuk diputuskan.
Sidang Khas MKN bermesyuarat di peringkat awal dahulu tiga kali seminggu iaitu setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ini kerana kita tidak mahu nanti ada senggang masa yang lama antara setiap mesyuarat. Bila ada keputusan-keputusan penting yang perlu dibuat segera, ia boleh dibahas dan diputuskan dalam mesyuarat.
Pada peringkat awal dahulu Sidang Khas MKN hanya melibatkan Menteri-Menteri Persekutuan dan pegawai-pegawai kanan di peringkat persekutuan. Tetapi TSMY memikirkan MKN ini ada struktur di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah. Jadi tidak memadai Menteri-Menteri persekutuan sahaja yang terlibat kerana setiap keputusan yang dibuat mesti dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah.
Di peringkat negeri yang menjadi pengerusinya ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri. Jadi TSMY memikirkan perlu juga dijemput mereka ini hadir bersama-sama tidak kira samada negeri itu di bawah Perikatan Nasional atau pembangkang (Pakatan Harapan). Beliau kata jemput. Jadi sampai ke akhirnya Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri-negeri pembangkang pun terlibat sama dalam membuat keputusan.
Selangor misalnya yang menjadi pusat penularan Covid19 paling kritikal di Lembah Kelang. Banyak keputusan dibuat melibatkan MB Selangor yang hadir bersama dalam setiap mesyuarat. Sehinggalah akhirnya dibuat satu keputusan untuk mempercepatkan proses vaksinisasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Greater Klang Valley. Ditubuhkan Special Task Force for Greater Klang Valley (Pasukan Petugas Khas Lembah Klang) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan. Itu dari segi tindakan kesihatan untuk menangani Covid-19.
Dari segi vaksin, YB Khairy Jamaludin pada masa itu melancarkan Operation Surge Capacity (Operasi Peningkatan Kapasiti) bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Kita lihat hari ini Selangor dan Kuala Lumpur merupakan antara negeri yang mencapai herd immunity (imuniti kelompok) paling cepat. Sekarang ini sudah mencapai lebih 100 peratus sasaran imunisasi populasi dewasa.
Ini adalah wisdom keputusan-keputusan yang dibuat secara kolektif. Bila buat keputusan, everybody must be collectively responsible for the decision made by the council (setiap orang mesti bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat oleh majlis secara kolektif). Jadi tidak boleh kata, ah… saya memutuskan benda lain. Tidak. You are part of the decision making process (kamu sebahagian daripada proses pembuatan keputusan). Dia mesti ambil tanggungjawab. Itu keputusan bersama.
Yang kedua, kita dapat lihat kombinasi dari segi pelaksanaan keputusan yang dibuat. Ia dilaksanakan segera di peringkat negeri dan turun ke daerah-daerah. Ini yang dikatakan pengurusan Covid-19 melibatkan whole of government dan whole of society (keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat). Ia tidak hanya melibatkan Kementerian Kesihatan sahaja, ataupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) sahaja, Polis sahaja. Tidak.
Semua kementerian terlibat. Kementerian Pertanian misalnya mesti memastikan bekalan makanan cukup. Bila orang tidak bekerja, kita buat pengecualian untuk sektor pertanian. Kalau orang tidak pergi bertani nanti tiada siapa hendak membekalkan makanan, sayuran, ikan dan lain-lain yang melibatkan the whole supply chain (keseluruhan rantaian bekalan).
Menyentuh mengenai supply chain ini saya hendak sebut juga mengenai isu kilang. Ini perdebatan besar. Berjam-jam berfikir, berbincang, berbahas dalam mesyuarat MKN. Nak tutup ke nak buka? Kalau buka berapa banyak kapasiti nak buka. 50 peratus ke, 80 peratus ke, nak tutup semua ke, tutup sebahagian ke. Macam-macam kita kena fikirkan kerana kesannya besar.
Satu dari segi supply chain. Kalau kilang-kilang makanan tidak beroperasi semasa tempoh PKP, saya ingat kita nak cari susu, beras dan bahan makanan di semua pasaraya pun susah. Ini akan menimbulkan satu lagi krisis iaitu shortage in food supply (kekurangan bekalan makanan). Ini kita tidak boleh biarkan berlaku. Oleh kerana itu, kita kategorikan kilang yang boleh beroperasi antaranya kilang memproses makanan dan mana kilang yang kita boleh tutup dulu sementara.
Penutupan kilang tidak boleh dibuat untuk tempoh yang lama. Ini kerana ia melibatkan global supply chain (rantaian bekalan global). Banyak kilang di negara kita yang membekalkan komponen ke negara-negara luar dan ini melibatkan pelaburan yang jumlahnya berbilion ringgit.
Apabila mereka menghadapi masalah (kerana kilang ditutup), ibu pejabat syarikat-syarikat ini Amerika Syarikat contohnya menghantar bantahan kepada kita untuk tarik balik pelaburan. Kalau berbilion nilai pelaburan yang ditarik dari negara kita apa kesannya? Kesannya bukan kepada syarikat itu sahaja. Syarikat itu mungkin boleh melabur semula di negara lain. (Mereka) tiada kesan sangat.
Tetapi kesannya amat besar kepada rakyat kita yang bekerja di kilang-kilang ini. Ada yang jadi engineer (jurutera), supervisor (penyelia), technician (juruteknik) dan lain-lain. Jadi, banyak kesan yang perlu kita fikirkan.
Saya menerima banyak memorandum yang dihantar kepada TSMY oleh persatuan-persatuan pengilang dan sebagainya dan mereka meminta supaya kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat. Jadi, kerajaan bawa balik perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat MKN.
Bukan bila kita buat keputusan dan ada respon, kita biarkan. Tidak. Kita bincangkan balik dalam mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Teknikal, dibawa semula ke Sidang Khas MKN dan Perdana Menteri buat keputusan setelah meneliti pandangan yang pelbagai.
Kita lihat dalam masyarakat kita pun ada yang kata tutup, ada yang kata buka. Macam-macam. Tetapi sebagai pemimpin, TSMY mesti buat keputusan. Tidak boleh dibiarkan tiada keputusan. Bila dibuat keputusan pula ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju. Yang tidak bersetuju akan kata ini kerajaan gagal. Yang setuju diam-diam.
Saya pun perhati juga dalam media sosial. Dia bersetuju tetapi dia diam. Yang tidak bersetuju expressed their anger (menyerlahkan kemarahan mereka). Jadi nampak macam semua tidak betul dan gagal.
Tetapi, I think on hindsight (saya fikir dengan pengalaman yang lalu), strategi kita di peringkat awal ialah membuat kawalan pergerakan. Tetapi pada masa yang sama kita tahu bahawa kita tidak dapat mengawal pergerakan rakyat selama-lamanya. We must have an exit plan (kita mesti ada jalan keluar) dari masalah pandemik. Exit plan ini telah dirancang lebih awal.
Kerana itu kita ada Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita sudah letakkan fasa-fasa peralihan, nilai ambang dan sebagainya. Tengok dari segi kapasiti katil hospital, tengok dari segi jumlah kes harian, death rate (kadar kematian), immunisation rate (kadar imunisasi) dan lain-lain. Kerana itu, hari ini kita telah dapat lihat hasil daripada strategi kita mempercepatkan proses vaksinasi.
Awalnya kita menjangkakan sasaran vaksinasi 80 peratus populasi dewasa akan dicapai pada suku pertama tahun hadapan. Tetapi oleh kerana kita lihat bahawa masalah ini menjadi semakin teruk, dengan kes meningkat dengan begitu banyak, kerajaan memutuskan supaya kita mempercepatkan proses vaksinasi.
Jadi hendak mempercepatkan proses vaksinasi ini ada dua aspek. Pertama, kita kena pastikan bekalan yang mencukupi. Kerana bekalan ini bukan kita beli hari ini sejuta, esok sampai sejuta. Kita beli sekitar 80 juta dos vaksin dengan jadual penghantaran yang telah ditetapkan. Dalam 3 bulan ke hadapan, 6 bulan ke hadapan baru sampai.
Jadi, kerana itu TSMY sebagai PM pada ketika itu membuat keputusan. Pertamanya, pada peringkat awal ada COVAX Facility di bawah United Nation (UN) yang membekalkan vaksin. Kalau kita ingat di peringkat awal dahulu vaksin tiada lagi. Tetapi fasiliti ini telah memulakan usaha untuk mengeluarkan vaksin dan negara kita mesti bayar dahulu wang pendahuluan untuk buat tempahan. Vaksin tiada lagi tetapi bayaran pendahuluan mesti dibuat.
Kalau kita tengok dari segi kebiasaannya, kita tiadak buat perkara seperti itu. Kita hendak beli barang, barang itu mesti ada dahulu, baru kita beli. Tetapi kalau kita tunggu barang itu ada dahulu baru hendak beli, sedangkan barang itu adalah hot item (barang laris), dan kita lambat membuat pesanan, penghantarannya boleh tertangguh sehingga empat, lima atau enam bulan. Akan berlaku keadaan di mana kita sepatutnya sudah boleh mulakan program vaksinasi tetapi kita tidak boleh mula lagi sebab vaksin tidak sampai.
Jadi, TSMY buat keputusan untuk bayar wang pendahuluan RM400 juta walaupun vaksin belum ada. Tawakkal. Kenapa? Kerana ini soal hendak menjaga nyawa rakyat. Jadi, Pfizer kita beli, Sinovac kita beli, Sinopharm kita beli. Whatever available (apa yang tersedia) kita tempah, kita beli.
Keduanya, dalam proses ini kadang-kadang jadual penghantaran terganggu. Sedangkan kita ada jadual vaksinasi sehingga bulan berapa kita mesti capai sasaran 200 ribu suntikan sebulan, 500 ribu suntikan sebulan dan sebagainya. Kalau bekalan vaksin tidak sampai kita hendak cucuk macam mana? Pusat Pemberian Vaksin ada, kakitangan ada, tetapi vaksin tidak ada.
Jadi perkara ini dibincang dalam Kabinet. Kadang-kadang dibawa Kertas Jemaah Menteri untuk memohon kelulusan bagi pembelian vaksin tambahan. Tengok mana yang ada. Pfizer lambat sampai, Sinovac ada, beli Sinovac. Ini untuk memastikan supaya jadual vaksinasi tidak terganggu. Jadi kerana itu, daripada asalnya kita hendak mencapai sasaran herd immunity (imuniti kelompok) pada suku pertama tahun hadapan, kini kita boleh capai lebih awal.
Sektor-sektor ekonomi boleh dibuka lebih awal. Sektor pelancongan misalnya, dibuat keputusan dahulu supaya dipercepatkan proses vaksinasi di pulau-pulau pelancongan. Di Langkawi dipercepatkan. Jadi orang Langkawi dapat vaksin lebih awal. Begtu juga di Pulau Redang, Pulau Pangkor, Pulau Perhentian, supaya sampai suatu ketika kita boleh buka sektor pelancongan, orang boleh pergi melancong dengan selamat.
Semalam (16 Sept ) Pulau Langkawi telah dibuka kepada pelancong. Saya diberitahu ketibaan pelancong sekitar 5,000 orang. Hotel dan kedai sudah mula dibuka walaupun belum mencapai 100 peratus. Dijangkakan sehingga bulan Disember tahun ini, 400 ribu pelancong akan tiba di Langkawi sahaja. Ini bermakna kehidupan rakyat sudah mula bertambah baik dan InshaAllah kegiatan ekonomi akan bertambah rancak,
Penduduk setempat pun berasa lebih yakin untuk menerima pelancong kerana mereka telah dapat double dose (vaksin lengkap). Mereka boleh berniaga, bawa teksi dan bekerja. Pelancong yang datang pun mesti buat ujian saringan Covid-19. Kalau negatif boleh pergi. Kalau positif, mesti kuarantin.
Kita lihat proses vaksinasi di Malaysia antara yang terbaik di dunia. Hasilnya, sektor-sektor ekonomi, keagamaan dan lain-lain sudah boleh dibuka. Dulu masjid pun kita tidak boleh pergi. Sekarang sudah dibuka walaupun dengan jumlah jemaah yang terhad. Sekolah pun akan dibuka dan sekarang ini sedang dilaksanakan vaksinasi bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun dan kanak-kanak yang akan bersekolah.