Category: Umum

  • Agenda transformasi sektor air 2040 akan diperkenal

    Agenda transformasi sektor air 2040 akan diperkenal

    RMK12

    AGENDA transformasi sektor air 2040 (WST 2040) akan diperkenalkan untuk menetapkan hala tuju strategik bagi memastikan sektor air sebagai pemacu pertumbuhan yang dinamik, di samping memastikan jaminan bekalan air untuk semua.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, transformasi itu akan dilaksanakan melalui empat fasa mengikut tempoh Rancangan Malaysia dengan tumpuan khusus dalam setiap fasa dengan hasrat Malaysia menjadi hab industri air serantau pada 2040.

    Empat fasa transformasi sektor air ialah fasa satu RMK-12 (2021-2025), mempergiatkan penerimagunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM); fasa dua RMK13 (2026-2030) membangunkan teknologi tempatan setanding dengan standard antarabangsa; fasa ketiga RMK14 (2031-2035) mencapai ekonomi bidangan dan fasa keempat RMK15 (2036-2040), menjadi hab industri air serantau.

    “Fasa satu iaitu penerimagunaan IWRM akan dipergiatkan kerana ia paling kritikal dan merupakan asas kepada transformasi ini. Pasukan petugas khas yang dianggotai oleh wakil sektor awam dan swasta akan ditubuhkan di bawah Majlis Air Negara yang berperanan memberi panduan, menyelaras, memantau dan melapor kemajuan pelaksanaan agenda WST 2040.

    “Pasukan ini juga akan bertanggungjawab mengkaji dan menjajar semula serta menyediakan syor penambahbaikan untuk menjayakan agenda ini,” menurut dokumen itu.

    Dalam pada itu, dokumen tersebut turut mencadangkan platform perundingan awam diwujudkan pada peringkat negeri dan daerah yang melibatkan orang awam secara aktif dalam pengurusan sektor air.

    Bagi memastikan keberkesanannya, keupayaan dan kemahiran ahli akan dipertingkatkan, terutama dalam penyelesaian konflik dan perundingan selain pelan komunikasi strategik juga akan dirangka untuk memastikan transformasi sektor air dilaksanakan dengan berkesan

    Selain itu, usaha memperkukuhkan tadbir urus pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah akan dilakukan termasuk semakan semula perundangan berkaitan air supaya selari dengan Rang Undang-Undang Sumber Air 2016.

    “Semakan ini akan menyediakan asas perundangan bagi penubuhan pihak berkuasa pengurusan sumber air di semua negeri untuk memastikan pelaksanaan IWRM yang berkesan dan perancangan guna tanah yang lebih baik pada peringkat daerah dan negeri,” menurut dokumen itu.

    Di samping itu, penggunaan Sistem Imbangan Air Negara (Nawabs) akan diperluaskan untuk menyediakan data yang komprehensif pada masa nyata dan penyedia perkhidmatan air akan digesa untuk mengkaji alternatif bagi menjana hasil bukan berasaskan tarif terutama daripada aktiviti kitar semula air.

    Turut disyorkan penggunaan teknologi berasaskan alam semula jadi iaitu tanah lembap buatan yang menggunakan teknologi biokejuruteraan yang bersesuaian akan dibina bagi merawat air sisa dan air yang terkumpul dalam kolam takungan.

    Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan RMK-12 berkata, pelaksanaan agenda tersebut melibatkan empat fasa dan fasa pertama Penerima-gunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu akan dipergiatkan pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.

    “Pewartaan dan perlindungan kawasan tadahan air akan dipercepat untuk menambah baik pengurusan sumber air dan loji rawatan air sisa bersepadu akan dibina untuk kawalan pencemaran,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga akan meningkatkan tadbir urus air melalui pemerkasaan penglibatan rakyat, pengukuhan aktiviti penguatkuasaan dan semakan undang-undang.

    Selain itu, katanya kerajaan telah meluluskan projek infrastruktur air dengan kos RM25.8 bilion untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air di samping penyediaan infrastruktur yang mampan serta meneruskan program pengurangan air tidak berhasil (NRW) yang dapat mengurangkan tahap NRW kepada 25 peratus pada 2050. – BERNAMA

  • RMK-12: RM2.25 bilion bantuan perumahan rakyat miskin

    RMK-12: RM2.25 bilion bantuan perumahan rakyat miskin

    RMK12

    KERAJAAN memperuntukkan RM2.25 bilion bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata peruntukan itu adalah untuk membina dan membaik pulih 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah, melibatkan 75,000 unit rumah di kawasan luar bandar dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar bagi tempoh 2021 hingga 2025.

    “Bagaimanapun, ia tidak termasuk pembinaan rumah yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri, sektor korporat dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO),” katanya ketika membentangkan RMK-12 yang bermatlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata kerajaan juga akan membina 500,000 unit lagi rumah mampu milik bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah selaras Dasar Perumahan Negara.

    Di samping itu, kerajaan juga akan menambah baik kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) bagi memastikan golongan tersebut tidak terbeban dengan bayaran ansuran. – BERNAMA

  • RMK-12 tambah baik seluruh sistem pendidikan

    RMK-12 tambah baik seluruh sistem pendidikan

    RMK12

    RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik seluruh sistem pendidikan negara serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.

    Antara langkah utama yang akan dilaksana bagi menambah baik sistem pendidikan negara termasuk memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk Revolusi Industri 4.0 (4IR).

    “Persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah RM1.6 bilion pada tahun 2021 dan 2022; dan sebanyak empat kompleks sekolah dan lima sekolah baharu akan dibina melibatkan kos RM848 juta.

    “Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET. Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET akan dibangunkan,” katanya semasa membentangkan RMK-12 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengenai pendidikan tinggi, Ismail Sabri berkata sistem yang lebih fleksibel akan diwujudkan selain meningkatkan kerjasama dengan industri bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri.

    Katanya naik taraf kemudahan beberapa universiti awam akan dilaksanakan, antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

    RMK-12 juga akan memperkenalkan pelan pendidikan digital di peringkat sekolah dan pengajian tinggi bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti.

    Sementara itu perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif seperti menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi.

    Inisiatif lain termasuk menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi; mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah; dan memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia.

    “Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh. Selain itu Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri,” katanya. – BERNAMA

  • Penyakit tidak berjangkit, COVID-19 antara cabaran RMK-12

    Penyakit tidak berjangkit, COVID-19 antara cabaran RMK-12

    RMK12

    PENINGKATAN insiden penyakit tidak berjangkit dan keperluan untuk menguruskan pandemik COVID-19 dikenal pasti antara cabaran pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Menurut dokumen RMK-12 dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, dua perkara tersebut dilihat akan memberi tekanan lebih besar kepada sistem penjagaan kesihatan dalam aspek sosial.

    Selain itu, perubahan demografi bermakna Malaysia perlu membuat persiapan menyeluruh dalam tempoh pelaksanaan RMK-12 untuk menghadapi cabaran yang wujud berikutan peningkatan peratusan masyarakat tua menjelang 2030.

    “Negara berhadapan cabaran menangani kemiskinan dan ketidaksamarataan serta keperluan meningkatkan taraf hidup B40 dan M40 dengan pendekatan yang lebih bersasar.

    “Usaha untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah juga menjadi cabaran. Walaupun kadar urbanisasi yang pesat menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan baharu, namun ia memberi cabaran untuk menyediakan infrastruktur serta bekalan tenaga dan bekalan air yang mencukupi,” menurut dokumen itu.

    Sementara itu, kadar pemulihan ekonomi dalam tempoh lima tahun ini bergantung kepada pelaksanaan vaksinasi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta keberkesanan langkah yang dilaksanakan di bawah pakej rangsangan.

    Penyampaian perkhidmatan awam pula akan diperkukuh bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan. – BERNAMA

  • RMK-12: Usaha bersepadu bangunkan ekosistem industri kreatif

    RMK-12: Usaha bersepadu bangunkan ekosistem industri kreatif

    RMK12

    USAHA bersepadu akan dilaksana bagi membangunkan potensi industri kreatif negara dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), sekali gus membuka peluang Malaysia untuk menjadi pengeksport industri kreatif.

    Langkah untuk mempercepat pertumbuhan industri kreatif ini termasuk membangunkan ekosistem yang menyeluruh, meningkatkan kemahiran bakat untuk memenuhi keperluan industri serta memperkukuh pembangunan dan promosi produk.

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, kreativiti rakyat Malaysia dan perkembangan teknologi digital akan dimanfaatkan untuk memaksimumkan potensi industri kreatif, selain memelihara budaya, seni dan warisan negara.

    “Penambahbaikan pemboleh daya pertumbuhan ini akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan serta menyokong pengukuhan identiti kebudayaan tempatan yang unik.

    “Usaha ini akan membantu industri kreatif berkembang pada kadar 3.6 peratus setahun dalam tempoh RMK-12 dan menyumbang sebanyak RM31.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2025,” menurut dokumen itu.

    Bagi membangunkan ekosistem industri kreatif sebagai pemangkin pertumbuhan dalam merangsang semula ekonomi, dasar sedia ada khususnya Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dan rangka kerja institusi berkaitan akan disemak semula bagi menentukan hala tuju baharu industri.

    Selain menyokong syarikat tempatan menembusi pasaran serantau dan global, rangka kerja pembangunan kandungan digital akan ditambah baik untuk meningkatkan eksport dan menarik pelaburan dan memanfaatkan sepenuhnya bakat serta memperkukuh perkongsian awam dan swasta.

    Akaun satelit bagi industri kreatif akan dibangunkan untuk mempermudah pengumpulan dan analisis data bagi memudahkan perancangan, pemantauan dan penilaian yang lebih baik, demikian menurut dokumen itu.

    Bagi meningkatkan kemahiran bakat untuk memenuhi keperluan industri, latihan kemahiran akan dipergiat dalam pelbagai bidang termasuk animasi, pembikinan filem dan pemainan elektronik. Platform serantau untuk eSports, hab serantau kandungan digital dan Creator’s Studio akan turut diwujudkan.

    Pengajaran dan pembelajaran subjek berkaitan industry kreatif iaitu multimedia, teknologi digital dan rekaan akan diperluas melibat instititusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

    Menurut dokumen RMK-12 itu, aplikasi mudah alih dan platform dalam talian akan digunakan bagi memperkukuh pembangunan dan promosi produk serta poerkhidmatan industri kreatif jenama Malaysia. – BERNAMA

  • RMK-12: Pergiat usaha lonjak pembangunan Sabah, Sarawak

    RMK-12: Pergiat usaha lonjak pembangunan Sabah, Sarawak

    RMK12

    PEMBANGUNAN Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), selari komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan kedua-dua negeri itu berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Menerusi rancangan lima tahun bermula 2021 hingga 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata ini termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik serta aspek pendigitalan dan keselamatan.

    Ismail Sabri, ketika menyentuh fokus ketujuh RMK-12 iaitu usaha melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun berkata penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.

    “Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat.

    “Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.

    Seperti diumumkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata peruntukan berjumlah RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak disediakan bagi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sepanjang tempoh RMK-12, yang diyakini dapat meningkatkan liputan jalur lebar.

    Menyentuh aspek penjagaan kesihatan, Ismail Sabri menjelaskan dalam RMK-12, perkhidmatan berkenaan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak, selain pembinaan 26 klinik baharu di kedua-dua negeri itu.

    “Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26,000 isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, Perdana Menteri berkata pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf.

    Selain itu, projek jalan dari sempadan Ba’kelalan/Kompleks Kastam, Immigresen dan Kuarantin (CIQ) menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada 2022, katanya.

    Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, Perdana Menteri berkata aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar, manakala infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap. – BERNAMA

  • Dasar nasional mengenai perpaduan akan diperkenal

    Dasar nasional mengenai perpaduan akan diperkenal

    RMK12

    DASAR nasional mengenai perpaduan akan diperkenal untuk menggalakkan kesepaduan sosial dan keharmonian serta memanfaatkan kepelbagaian sebagai aset bagi memperkukuh perpaduan rakyat.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini menyebut dasar tersebut akan menggariskan tiga teras bagi meneraju agenda perpaduan iaitu, membina rakyat yang patriotik dan demokratik, membentuk identiti nasional serta memperkukuh ekosistem perpaduan.

    “Pelan tindakan juga akan diperkenal untuk menterjemahkan dasar melalui pelaksanaan program dan inisiatif khusus merentasi pelbagai sektor dan agensi bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat,” katanya.

    Dasar berkenaan digariskan di bawah strategi memperkukuh tadbir urus bagi memperkukuh perpaduan untuk negara makmur, yang menjadi keutamaan RMK-12 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen itu lebih banyak program peningkatan keupayaan akan diadakan bagi memperkukuh kompetensi dan membangunkan pakar rujuk dalam bidang perpaduan.

    Bagi menggalakkan penggunaan platform digital secara beretika, beberapa peruntukan dalam perundangan sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan disemak semula dan diperkukuh, bagi mengawal penyebaran maklumat berniat jahat dan hasutan serta berita palsu, yang mengancam perpaduan dan keharmonian negara.

    Program advokasi mengenai penggunaan media digital yang beretika dan bertanggungjawab akan diperluas pada seluruh lapisan masyarakat bagi mengekalkan keharmonian.

    Menurut dokumen itu, penggunaan media digital yang beretika akan dimasukkan ke dalam program akademik yang relevan serta aktiviti kokurikulum di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

    Di samping itu, usaha akan dipergiat untuk menggalakkan rakyat mempelajari bahasa tempatan lain seperti bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa etnik lain.

    Kaedah pembelajaran bahasa tempatan lain akan dipelbagai dengan memanfaatkan teknologi digital. Inisiatif ini akan membolehkan rakyat lebih memahami pelbagai adat dan budaya serta meningkatkan tahap kepercayaan antara satu sama lain. – BERNAMA

  • Dasar tenaga dan komunikasi yang komprehensif dirangka

    Dasar tenaga dan komunikasi yang komprehensif dirangka

    RMK12

    DASAR tenaga baharu yang komprehensif akan dirangka supaya menjadi panduan dalam menangani pelbagai isu, merentas beberapa sektor yang menggunakan tenaga dan memastikan pembangunannya sejajar dengan trend peralihan tenaga global.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Unit Perancangan Ekonomi, melalui dasar baharu itu prospek pertumbuhan masa hadapan yang berkaitan tenaga akan diteroka terutama potensi tenaga baharu daripada sumber tenaga bersih dan mampan, termasuk hidrogen.

    “Pada masa kini sektor tenaga tidak mempunyai dasar yang menyediakan hala tuju strategik jangka panjang yang menyeluruh dan ditadbir urus oleh beberapa kementerian berbeza, yang mengakibatkan penggunaan tenaga tidak cekap dalam pelbagai sektor terutama pengangkutan, perindustrian dan komersial.

    “Dasar tenaga baharu akan membolehkan Malaysia merangka pelan jangka panjang sasaran rendah karbon dalam sektor tenaga dan kelestarian alam sekitar, dapat ditangani dengan lebih baik melalui pelaksanaan dasar baharu ini,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, dokumen itu turut mencadangkan bagi mewujudkan pelan komunikasi yang komprehensif untuk memperkukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan, serta memudahkan usaha mendidik pengguna dan meningkatkan kesedaran mengenai kewajaran liberalisasi pasaran.

    Ini kerana pengguna mempunyai pemahaman yang terhad mengenai ekosistem tenaga, termasuk manfaat jangka panjang rasionalisasi subsidi dan kurangnya penyelarasan penyampaian maklumat mengenai pembaharuan pasaran dalam sektor tenaga, menyebabkan pengguna tidak berpuas hati.

    Pelan baharu itu katanya akan memastikan penerimaan yang lebih baik oleh pihak berkepentingan serta membolehkan pembaharuan industri tenaga dapat dilaksana dengan lancar.

    Dokumen itu turut menyebut bagi memastikan subsektor minyak dan gas berkembang secara progresif, penggunaan petrol dan diesel keluaran domestik akan diutamakan, selain pelaburan industri petrokimia bernilai akan digalakkan dan penggunaan biobahan api diperluaskan.

    “Usaha ini akan menambah baik imbangan dagangan, merangsang pertumbuhan ekonomi, serta memastikan kemampanan rantaian nilai industri minyak dan gas seterusnya meningkatkan jaminan bekalan,” katanya.

    Selain itu hala tuju industri kimia akan dirangka bagi memastikan ia memanfaatkan teknologi dan inovasi, dengan menghasilkan produk kimia khusus selain penubuhan konsortium pula dapat meningkatkan keupayaan pemain tempatan dalam subsektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas.

    Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini berkata, Dasar Tenaga Negara komprehensif akan diperkenalkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon.

    “Saya memberikan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050,” katanya ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

    Selain instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan, perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022, katanya.

    Ismail Sabri berkata penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksanakan melalui pengoperasian beberapa loji jana kuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu.

    Menurutnya, kerajaan telah memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu yang baharu.

    Ismail Sabri berkata akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial.

    Menurutnya, penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada tahun 2025.

    Beliau berkata model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMK-12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.

    Konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiat bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan, di samping menggalakkan pelaburan hijau termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta syarikat milik kerajaan (GLC), katanya.

    Perdana menteri berkata inisiatif Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan.

    Pembangunan bandar hijau yang berdaya tahan akan dipergiatkan dengan 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan, dan kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV), katanya.

    Ismail Sabri berkata pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan, selain inisiatif perolehan hijau diperluaskan ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

    “Melalui pelaksanaan inisiatif ini, perolehan hijau kerajaan disasarkan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025,” katanya.

    Mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian khazanah semula jadi negara, beliau berkata mekanisme ecological fiscal transfer akan ditambah baik bagi menyokong usaha memulihara kawasan hutan, manakala santuari hidupan liar yang semakin terancam akan dipertingkatkan bagi tujuan konservasi.

    Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperkenalkan pelan rangka tindakan ekonomi biru untuk menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin.

    Beliau berkata beberapa projek di bawah program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta ramalan dan amaran banjir dengan kos sebanyak RM16 bilion akan dilaksanakan bagi tempoh RMK-12 dan RMK13.

    “Penjagaan alam sekitar adalah amat penting bagi melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian harta benda,” katanya. – BERNAMA

  • Pelan rangka tindakan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan akan diperkenal

    Pelan rangka tindakan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan akan diperkenal

    RMK12

    PELAN Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia akan diperkenal sebagai hala tuju baharu untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, dalam merangka pelan rangka tindakan ini kajian akan dijalankan untuk memantapkan landskap sektor penjagaan kesihatan.

    “Kajian ini akan merangkumi transformasi sektor penjagaan kesihatan awam, pembaharuan peraturan sektor penjagaan kesihatan swasta dan pembiayaan kesihatan yang mampan,” katanya.

    Pelan dan kajian ini adalah langkah untuk memperkenalkan dasar penjagaan kesihatan di bawah strategi memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan negara yang menjadi antara keutamaan RMK-12 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen RMK-12 itu beberapa dasar yang menyasarkan keperluan kesihatan khusus akan diperkenal seperti penjagaan kesihatan oral, kesihatan mental dan imunisasi.

    Di samping itu dasar keselamatan makanan akan dikaji semula untuk melindungi rakyat daripada ancaman kesihatan dan penipuan dalam rantaian bekalan makanan termasuk penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, selain Akta kualiti air minum juga akan diperkenal.

    Menurut dokumen itu selain memperkenalkan dasar penjagaan kesihatan, lima lagi langkah untuk memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan ialah memerangi penyakit berjangkit dan memerangi penyakit tidak berjangkit.

    “Tiga lagi langkah ialah memperkukuh program penjagaan kesihatan warga emas, meningkatkan kesiapsiagaan untuk mengendali krisis kesihatan dan memastikan kualiti dan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan,” menurut dokumen itu.

    Dua lagi strategi yang digariskan dalam RMK-12 untuk mempertingkat penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan ialah memperkukuh pembiayaan kesihatan dan kesedaran awam serta memanfaatkan teknologi.

    Di bawah strategi kedua iaitu memperkukuh pembiayaan kesihatan dan kesedaran awam, langkah akan diambil untuk menangani kenaikan kos dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

    Tiga langkah yang akan dilaksana ialah memastikan kemampanan kewangan untuk penjagaan kesihatan, memperkukuh perlindungan kesihatan dan mempertingkat literasi dan kesedaran mengenai kesihatan.

    Platform media sosial akan dimanfaatkan bagi meningkatkan literasi kesihatan dan menangani maklumat mengelirukan yang memburukkan lagi isu kesihatan.

    Strategi ketiga iaitu memanfaatkan teknologi bakal menyaksikan subsektor penjagaan kesihatan negara memanfaatkan teknologi baharu muncul bagi mengurangkan kos dan prosedur yang tidak perlu.

    Dua inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah strategi ini ialah mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan meningkatkan kapasiti penyelidikan, pembangunan dan inovasi. – BERNAMA

  • Program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan jaga kebajikan warga kementerian

    Program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan jaga kebajikan warga kementerian

    Kementerian Pertahanan melaksanakan program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan bagi memelihara kebajikan warga kementerian itu termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata program itu merupakan satu daripada inisiatif dalam memudahkan proses mendapatkan vaksinasi kepada veteran ATM.

    Beliau berkata ia diuruskan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Kesihatan ATM dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menggunakan kemudahan ATM sedia ada seperti Rumah Sakit Angkatan Tentera sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

    “Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sangat mengambil berat mengenai situasi semasa warga Kementerian Pertahanan sepanjang negara dilanda isu pandemik COVID-19, khususnya ke atas warga Veteran ATM.

    “Justeru, kementerian melancarkan beberapa program dan sedang giat berusaha untuk mendukung hasrat Kerajaan dalam usaha untuk mencapai sasaran 90 peratus penduduk mendapat vaksinasi COVID-19 sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ikmal Hisham berkata program yang diterajuinya itu turut berhasrat untuk memanjangkan pemberian vaksinasi kepada Veteran ATM dan keluarga termasuk anak atau cucu berumur 12 tahun ke atas.

    Jelasnya bagi memudahkan proses pendaftaran semasa di PPV kepada anak atau cucu, hanya ibu bapa atau wakil perlu hadir bersama tanpa kehadiran veteran ATM itu sendiri. 

    “Menerusi program ini pasukan vaksinasi ATM telah merancang program vaksinasi kepada veteran ATM bermula 4 Okt hingga 8 Okt ini di 59 PPV yang terdapat di dalam kem tentera di seluruh negara. Pemakluman awal sekurang-kurangnya tiga hari sebelum pemvaksinan adalah bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi di setiap PPV yang dipilih,” katanya.

    Beliau berkata veteran ATM dan keluarga diminta untuk mendaftar melalui pautan yang terdapat di media sosial JHEV ATM (https://tinyurl.com/vaksinveteranatm atau https://tinyurl.com/vaksinkeluargaveteran).

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyelaras iaitu Mej Hazamiah Mohd Gazali di talian 019-2980412 atau hotline JHEV ATM di talian 03-20508173.