Category: Umum

  • Tiada arahan warga emas pulangkan lesen memandu

    Tiada arahan warga emas pulangkan lesen memandu

    KEMENTERIAN Pengangkutan tidak pernah mengeluarkan arahan atau berhajat uuntuk mensyaratkan warga emas berusia lebih 70 tahun untuk mengembalikan lesen memandu, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata, kompetensi (memandu) adalah bukan berdasarkan faktor umur dan banyak sebab yang menentukan kemalangan jalan raya.

    “Kompetensi (memandu) adalah berlainan. Macam YB Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) beliau dapat memandu dengan baik.

    “Jauh lebih baik daripada orang lebih muda. Tidak boleh ada diskriminasi,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata, dalam sesuatu nahas jalan raya 80 peratus disebabkan faktor manusia, 13 peratus disebabkan kenderaan dan tujuh peratus disebabkan persekitaran manakala pemanduan di bawah pengaruh alkohol berisiko 13 kali lebih tinggi terdedah kepada nahas berbanding memandu dalam keadaan biasa.

    Katanya, bagi pemandu yang dihadapkan ke mahkamah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak ada pesalah yang hanya dikenakan denda dan mereka wajib dikenakan penjara bagi tujuan pencegahan.

    Kepada soalan asal Syed Ibrahim, Ka Siong berkata, dalam kes memandu lawan arus ia berlaku disebabkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan perkara ini adalah amat membimbangkan.

    Beliau berkata, berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri (KDN,) statistik nahas jalan raya yang melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus tahun ini dari Januari sehingga semasa berjumlah 807 iaitu 29 kemalangan yang menyebabkan maut, 17 (parah), 49 (cedera ringan) dan 712 (rosak).

    Katanya, kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah penyumbang utama berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus (seperti menggunakan telefon bimbit) dan aplikasi tunjuk arah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

    Ka Siong berkata, faktor manusia pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu. – BERNAMA

  • Kerajaan komited selesai isu Sabah, Sarawak secara tuntas

    Kerajaan komited selesai isu Sabah, Sarawak secara tuntas

    RMK12

    KOMITMEN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah gambaran jelas kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikannya secara tuntas.

    Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, Perdana Menteri yang menyentuh perkara itu semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) semalam, telah mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam mengharmonikan lagi hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Isu berkenaan MA63 ini tidak boleh dilewat-lewatkan lagi sebab ia sudah sekian lama dibincangkan. Harus dilihat pencapaian yang pantas, yang konkrit melalui strategi di bawah tempoh tertentu (dalam mencari penyelesaian).

    “Hanya dengan (penyelesaian) ini sahaja bukan sahaja dapat memuaskan hati rakyat Sabah dan Sarawak tetapi akan lebih memberi makna kepada aspirasi awal pejuang kemerdekaan dan juga gagasan Keluarga Malaysia yang dikemukakan Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Menurutnya, jika tuntutan di bawah MA63 ini dapat dipenuhi dalam tempoh terdekat ini, sudah pasti akan memberikan kelebihan kepada kerajaan negeri sekarang dalam persiapannya menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

    “Ini (menyelesaikan isu MA63) merupakan langkah ke hadapan untuk memastikan akan wujud keharmonian dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan dan kemudiannya memberi kesan kepada bagaimana rakyat di negeri ini bertindak balas dalam pilihan raya akan datang,” kata Jeniri.

    Menurutnya, Perdana Menteri turut memberikan komitmen yang jelas untuk memastikan pembangunan di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo itu dapat dipacu dengan lebih pesat berdasarkan perancangan untuk merapatkan lagi jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Saya percaya jika semua projek ini dilaksanakan dengan efektif tanpa ketirisan, dilaksanakan mengikut jadual akan memberi kesan limpahan besar dalam usaha untuk memacu dari segi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di bandar dan luar bandar,” tambahnya. – BERNAMA

  • Tingkat purata pendapatan selari cadangan pengenalan SSM baharu

    Tingkat purata pendapatan selari cadangan pengenalan SSM baharu

    RMK12

    MATLAMAT kerajaan meningkatkan purata pendapatan isi rumah kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025 selaras dengan harapan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu untuk perkhidmatan awam diwujudkan.

    Presidennya Adnan Mat berkata pihaknya berharap kerajaan menyediakan peruntukan dalam Belanjawan 2022 bagi mewujudkan SSM baharu memandangkan sejak penggubalannya pada November 2002, ia tidak pernah dikaji atau ditambah baik sehingga hari ini.

    “Pelaksanaan sistem saraan baharu perlu dilakukan bagi memastikan ia relevan dengan persekitaran ekonomi semasa dan bukannya menggunakan dapatan daripada sistem yang diwujudkan 19 tahun lalu.

    “Ia juga boleh menjadi permulaan kepada kerajaan dalam merangka jalan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah yang ketika ini sekitar RM7,901 pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mengenai inisiatif untuk mengkaji cadangan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Awam, Adnan berkata ia wajar disokong bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam urus tadbir perkhidmatan awam kerana membolehkan pengasingan kuasa dan tanggungjawab antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam.

    “Jika berlakunya campur tangan dalam urusan penjawat awam, sudah tentu akan mewujudkan isu konflik kepentingan dalam kalangan anggota pentadbiran manakala penjawat awam sukar untuk melaksanakan dasar dengan jayanya.

    “Pengasingan kuasa sebenarnya sudah wujud, namun sering kali disalah erti kerana tidak wujud ketegasan dalam undang-undang atau akta sedia ada…cadangan ini amat baik dan wajar disokong,” katanya.

    Menyentuh cadangan memperkenalkan Indeks Tadbir Urus Malaysia, Adnan berkata ia wajar bagi memastikan sesuatu dasar untuk rakyat dapat disampaikan dengan baik.

    “Ia bukan suatu perkara baharu dalam sesebuah organisasi termasuklah dalam perkhidmatan awam kerana sudah tentu setiap perkara yang mahu dilaksanakan perlu ada suatu petunjuk prestasi utama (KPI) atau indeks ditetapkan bagi mengukur kejayaan tersebut.

    “Mungkin namanya sahaja berubah tetapi pelaksanaannya tetap bermatlamat untuk memastikan rakyat menikmati hasil terbaik dan pada masa sama menjadi garis panduan kepada perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat agar selari dengan apa yang ditetapkan,” katanya.

    Selain itu, Adnan berkata Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi yang dilaksanakan kerajaan perlu didukung supaya setiap strategi dan inisiatif di bawah RMK-12 dapat dilakukan secara tersusun dengan penuh integriti serta bertanggungjawab. – BERNAMA

  • Pertingkat peranan MKN teraju, selaras dasar keselamatan

    Pertingkat peranan MKN teraju, selaras dasar keselamatan

    RMK12

    TADBIR urus keselamatan negara akan diperkukuh dengan menambah baik fungsi dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju yang menyelaras dasar berkaitan keselamatan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, penyelarasan pelbagai jawatankuasa di bawah MKN akan ditambah baik bagi memastikan arahan dan langkah berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dilaksana dengan lebih berkesan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

    RMK-12 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen berkenaan penyelarasan itu akan memberi tumpuan kepada isu keselamatan termasuk siber, jenayah rentas sempadan, wabak penyakit, bencana alam serta krisis ekonomi dan sosial.

    “Di samping itu, Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) akan diperkukuhkan melalui penyelarasan yang lebih baik antara pihak berkepentingan yang berkaitan serta menghubungkan semua sistem pengurusan keselamatan, pertahanan dan bencana.

    “Ini akan membolehkan pengumpulan maklumat dengan lebih pantas dan mempercepat proses membuat keputusan serta penyelarasan yang lebih baik dalam kalangan agensi untuk menangani ancaman dan krisis,” menurut dokumen itu.

    Menurut dokumen itu, undang-undang berkaitan jenayah merangkumi Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas ) 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015 dan Kanun Keseksaan 1957, selain menyemak semula Akta Hasutan 1948 serta Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 untuk memastikan kesesuaian dan keberkesanannya meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

    Sementara itu, langkah pencegahan rasuah akan diperkukuh meliputi semua agensi penguatkuasaan dan Angkatan Tentera Malaysia termasuk pelaksanaan piawaian Sistem Pengurusan Antirasuah yang digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional secara mandatori.

    “Bagi mengurangkan risiko rasuah, semua agensi penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri dikehendaki melaksana Sistem Peprofilan Pengambilan bagi jawatan berisiko tinggi dan sensitif selain pusingan kerja juga akan dilaksana secara mandatori,” menurut dokumen itu.

    Untuk menambah baik penyelarasan dan kerjasama, dokumen itu menyatakan majlis perundingan keselamatan dan ketenteraman awam akan ditubuhkan untuk menyelaras usaha menangani ancaman keselamatan dan sebagai platform perkongsian pengetahuan dalam kalangan pakar keselamatan.

    Bagi menangani jenayah rentas sempadan, usaha bersepadu akan dilaksanakan untuk menyatukan pelbagai mandat dan kuasa ATM serta semua agensi penguatkuasaan berkaitan kawalan sempadan termasuk di semua pintu masuk.

    “Dalam tempoh lima tahun ini, dasar identiti digital nasional akan diperkenal bagi membolehkan pergerakan data yang dipercayai, selamat dan telus selain memastikan semua sistem yang berkaitan dengan pendaftaran penduduk diintegrasi bagi membolehkan perkongsian data dalam kalangan agensi berkaitan,” menurut dokumen itu. – BERNAMA

  • Agenda Bumiputera, Keluarga Malaysia terus diperkasa – PM

    Agenda Bumiputera, Keluarga Malaysia terus diperkasa – PM

    RMK12

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan agenda Bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan, sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan Melayu dan anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain.

    Perkara itu dinyatakan dalam Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia iaitu fokus keenam dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi mencapai pembangunan sosioekonomi lebih adil, saksama dan inklusif.

    “Hasrat kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

    “Agenda ini akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar bagi memastikan ia menjadi komponen yang diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan,” katanya ketika membentangkan usul mengenai RMK-12 (2021-2025) di Dewan Rakyat hari ini.

    Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa sebilangan besar Bumiputera masih berpendapatan rendah serta miskin berbanding etnik lain, dengan jurang pendapatan penengah antara Bumiputera dan Cina semakin melebar, iaitu empat kali ganda pada 2019 berbanding 1989.

    Menurut Perdana Menteri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta sektor swasta akan bersama dalam menjayakan agenda tersebut.

    Ismail Sabri berkata akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan, termasuk huffaz (huffaz al-Quran) akan diperkukuh bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi.

    Antara inisiatif yang akan dilakukan adalah latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang serta kemahiran untuk kerjaya masa hadapan, seperti penganalisis dan saintis data dan pakar data raya.

    Ismail Sabri berkata dalam usaha menyelaras semua inisiatif berkenaan, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

    “Langkah ini adalah bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera. Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini,” katanya sambil menjelaskan rangka kerja itu memperincikan inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera. – BERNAMA

  • Kerajaan komited rapatkan jurang digital dalam negara

    Kerajaan komited rapatkan jurang digital dalam negara

    RMK12

    MENINGKATKAN infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital di dalam negara antara yang diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan rancangan lima tahun bermula 2021 hingga 2025 itu di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan sedar teknologi digital telah banyak mencorak kehidupan rakyat pada masa kini.

    Beliau berkata sehubungan itu kerajaan akan merapatkan jurang digital terutama antara luar bandar dan bandar disebabkan perbezaan prasarana jalur lebar, melalui penyediaan kemudahan infrastruktur digital.

    “Dalam hubungan ini, Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bersepadu.

    “Penggunaannya juga akan diperluas untuk memberi kemudahan kepada penduduk setempat terlibat dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat,” katanya.

    Ismail Sabri berkata pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas, dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang 2025.

    “Sehingga Ogos 2021, sebanyak 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G, manakala kelajuan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula telah mencapai 29.1 megabit sesaat dan lebih 6,000 premis telah mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap.

    “Rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung 2021… pelbagai inisiatif pendigitalan ini dijangka menyokong pencapaian sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025,” katanya.

    Beliau berkata langkah mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk teknologi Revolusi Industri 4.0 (4IR).

    “Pada awal tahun ini, kerajaan telah melancarkan agenda MyDIGITAL dan diikuti dengan Dasar 4IR Negara. Perancangan dasar, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif 4IR dan pendigitalan negara diselaraskan melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara,” katanya.

    Ismail Sabri berkata penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta, bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada dan bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta.

    “Projek pembangunan Identiti Digital Nasional sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan dipercayai,” katanya. – BERNAMA

  • RMK-12: Rangka kerja perkasa gender akan diperkenal

    RMK-12: Rangka kerja perkasa gender akan diperkenal

    RMK12

    KERAJAAN akan memperkenalkan rangka kerja bagi memperkasakan gender manakala undang-undang sivil dan syariah akan diperkukuh bagi menangani isu berkaitan wanita, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini, Ismail berkata usaha memperkasakan gender dalam pembangunan juga akan diteruskan dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan.

    “Akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan akan dipertingkat bagi mendorong lebih ramai wanita untuk kekal atau kembali bekerja,” katanya.

    Tambahnya penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada 2025.

    Mengenai pembangunan ekonomi usahawan wanita, Ismail berkata ia akan diperkukuh dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan aktiviti latihan kemahiran.

    “Usahawan wanita juga akan digalakkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian untuk memperluas pasaran,” katanya.

    Dalam pada itu, Ismail berkata jumlah Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar telah meningkat sebanyak lapan peratus iaitu daripada 548,000 pada 2019 kepada 593,000 pada 2020.

    Jelasnya golongan ini akan terus diperkasa dengan melaksanakan program seperti ‘Job Coach’, Pemulihan Dalam Komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.

    Perdana Menteri berkata bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada warga emas.

    “Sehingga hari ini, sebanyak 140 pusat warga emas telah diwujudkan dan kerajaan merancang untuk memperluas usaha ini ke seluruh kawasan Parlimen.

    “Malaysia juga perlu mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang. Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluas,” kata perdana menteri. – BERNAMA

  • RMK-12 perkenal Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara

    RMK-12 perkenal Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara

    RMK12

    DASAR Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenal kerajaan bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif bagi tempoh 2021-2025 itu termasuk penambahbaikan kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan selain melibatkan usaha mempertingkatkan ketenteraman awam.

    “Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara adalah asas bagi memastikan keamanan dan kestabilan Malaysia.

    “Ia juga merangkumi inisiatif pengukuhan keselamatan dan pertahanan siber selain menjaga kebajikan anggota,” katanya semasa membentangkan RMK-12 di Parlimen hari ini.

    Beliau berkata langkah lebih tegas turut akan dilambil kerajaan untuk melaksanakan pelan menyeluruh, dan memperkukuh Operasi Benteng (Op Benteng) bagi usaha mengekang pendatang tanpa izin.

    Dalam tempoh lima tahun mendatang, Ismail Sabri berkata pelbagai projek termasuk Marine Police Sea Monitoring System di lima wilayah maritim, pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu di Sarawak akan dilaksana.

    “Ia juga meliputi pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak di Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim,” katanya.

    Beliau berkata kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dibina dalam tempoh RMK-12.

    “Kerajaan turut menjamin kebajikan anggota tentera dan penguat kuasa terbela dengan penyediaan 10,200 unit rumah keluarga angkatan tentera dan kuarters yang sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMK-12,” katanya. – BERNAMA

  • Transformasi perkhidmatan awam dalam RMK-12

    Transformasi perkhidmatan awam dalam RMK-12

    RMK12

    PERKHIDMATAN awam akan ditransformasi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) melalui pendekatan keseluruhan kerajaan, dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini memberikan komitmen bahawa perkhidmatan awam yang menjadi nadi pentadbiran negara, akan terus dimantapkan bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan.

    Beliau berkata perkhidmatan awam akan ditransformasi dalam tempoh pelaksanaan RMK-12 iaitu dari 2021 hingga 2025 itu melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan.

    “Pelaksanaan penyampaian perkhidmatan yang berkesan amat penting bagi memastikan Keluarga Malaysia benar-benar merasai pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

    Ismail Sabri berkata struktur dan fungsi kementerian dan agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi.

    Beliau berkata mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik.

    Ismail Sabri berkata cadangan untuk memperkenalkan akta perkhidmatan awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam.

    Beliau berkata pendigitalan perkhidmatan awam akan terus ditingkatkan, dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 telah dilancarkan yang menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam bagi memacu agenda Kerajaan Digital yang mampan.

    Menurutnya kerajaan menyasarkan perkhidmatan dalam talian peringkat awal ke akhir (end-to-end) meningkat kepada 80 peratus pada 2025.

    Ismail Sabri dalam pada itu berkata rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dan swasta yang lebih meluas. – BERNAMA

  • Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek – Ismail Sabri

    Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek – Ismail Sabri

    RMK12

    SEBUAH Institut Penyakit Berjangkit Malaysia akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun depan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata penubuhan institut itu bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit.

    “Kerajaan juga akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada, dan dasar kesihatan negara akan dirangka bagi meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan,” katanya.

    Beliau berkata Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri, di samping sebagai persediaan menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang.

    “Dalam situasi pandemik COVID-19, rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan dan kerajaan akan sentiasa mencari jalan yang terbaik memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek, terutama penjagaan kesihatan dan penyediaan kediaman yang berkualiti.

    “Kerajaan kekal komited bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan demi memastikan rakyat sihat dan produktif,” katanya.

    Dalam pada itu, Perdana Menteri memgumumkan kerajaan juga telah mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap seribu penduduk menjelang tahun 2025.

    Bagi tujuan itu, kerajaan akan turut membangunkan fasiliti kesihatan baharu, sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMK12, katanya.

    “Kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah dan dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA